Malam ini, Patung Beruang memilih untuk bersendiri.
Keluar dari pejabat tadi, langkah terasa berat - dan entah mengapa, diri tidak rasa ingin terus pulang ke rumah. Jasad memang penat, tetapi hati dan mental terasa jauh lebih lelah.
Makanya, Patung Beruang memilih untuk mencari damai - sambil mengisi perut yang lapar, dan jiwa yang diam-diam meminta ruang untuk sembuh.
Di sebuah meja kecil, dalam dunia yang seolah-olah terhenti seketika - tanpa suara yang memanggil, tanpa mata yang menilai.
Hanya ada diri sendiri, dan sunyi yang memeluk dengan lembut.
Sejujurnya, Patung Beruang bukanlah peminat nasi padang. Selalu sahaja terasa pening melihat lauk yang pelbagai rupa dan rasa dalam satu pinggan.
Kebiasaan diri, cukup sekadar ada protein, fiber dan carbo - ringkas, teratur, dan tidak berserabut.
Namun malam ini, memilih untuk melangkah sedikit berbeza. Masuk ke restoran yang tidak pernah dikunjungi, memilih hidangan yang lari dari kebiasaan diri, sekadar untuk mencari kelainan dalam rutin yang sama.
Dan dari situ, Patung Beruang belajar sesuatu -
bahawa hidup ini penuh dengan keunikan yang tidak terhitung, cuma kita jarang memberi peluang pada diri untuk menikmatinya.
Bersendirian itu bukan kosong.
Ia ruang untuk jiwa bernafas, tempat hati merawat luka yang tidak terlihat,
dan masa untuk menyusun semula segala yang berserabut di dalam dada.
Diri ini menikmati suapan, perlahan-lahan -
seolah-olah setiap rasa itu berbicara,
menggantikan segala kebisingan yang ditinggalkan di luar.
Penat itu masih ada.
Bebanan tugas dan tanggungjawab memang sudah sedia berat,
tetapi melayan kerenah manusia -
yang ada kalanya mencabar kesabaran -
itu yang paling melelahkan.
Penat dengan ragam manusia,
dengan sikap yang sukar difahami -
cekap tidak seberapa, tetapi ego melangit.
Tidak tahu, tetapi penuh sombong tanpa sedar.
Namun apapun yang berlaku, diri tetap harus berdiri dengan professional dan matang. Perasaan marah dan kecewa ditolak ke tepi, anggap sahaja sebagai asam garam alam pekerjaan.
Kerana tidak semua perkara perlu dilawan, dan tidak semua emosi perlu diluahkan.
Malam ini,
Patung Beruang memilih untuk tidak membawa semua itu pulang ke dalam jiwa.
Kerana kadang-kadang, kita perlu berani untuk menjauh,
untuk duduk sendiri tanpa rasa bersalah.
Tidak perlu takut dilihat bersendirian -
kerana tidak semua cerita perlu dikongsi,
dan tidak semua luka perlu difahami orang lain.
Dalam diam ini juga, Patung Beruang belajar untuk bersyukur -
atas nikmat yang diberi, dan juga ujian yang datang silih berganti.
Kerana setiap satu daripadanya adalah tanda,
bahawa hidup ini masih bernyawa, masih bermakna,
masih dipilih oleh Allah untuk terus berjalan di bumi-Nya.
Hidup ini penuh warna - dan malam ini,
Patung Beruang memilih warna yang lembut,
warna yang tidak bising,
warna yang menyembuhkan.
Dalam tenang yang perlahan-lahan menyusun semula rasa.
Semangat itu ada, untuk menyambung tugasan yang belum selesai.
Namun, mata sudah mula memberat, seakan memujuk diri untuk berehat seketika.
Makanya, kita tidur dulu ya.
Semoga esok, Patung Beruang bangun seperti biasa -
dengan hati yang lebih kuat,
dan semangat yang cukup untuk menempuh hari yang baru.
Dan andai ditakdirkan inilah malam terakhir nafas ini berhembus,
setidak-tidaknya,
diri sudah menjalani hari dengan sehabis baik.
Dengan sabar yang dipaksa,
dengan tenang yang dicari,
dengan syukur yang tidak putus - Alhamdulillah.
Kerana hidup ini, walau penat dan penuh warna,
tetap indah untuk dihargai -
walau hanya untuk satu hari yang sederhana....



No comments:
Post a Comment