Assalamualaikum Ayah…
Saya datang melawat Ayah pada 30 Syawal. Petang ini, ramai juga pengunjung di tanah perkuburan ini. Alhamdulillah…
Mesti Ayah dan jiran-jiran di sini gembira dengan kehadiran kami.
Dulu, setiap kali hari terakhir Ramadan, awal pagi Ayah akan keluar bersama Ibu untuk membeli daging, tulang, dan ayam. Sotong kering pula biasanya Ayah sudah beli lebih awal, supaya Ibu boleh rendam beberapa malam sebelumnya.
Bahan masakan lain seperti bawang, serai, lengkuas dan santan juga selalunya sudah tersedia lebih awal. Ketupat pula Ayah akan tempah siap-siap dengan Pak Abu. Petang selepas Asar, Ayah akan pergi ambil ketupat yang sudah siap dimasak.
Di rumah, saya dan Imran akan membantu Ibu menyediakan lauk-pauk. Biasanya kami mula memasak selepas Zohor—kari daging pekat, rendang ayam, sambal sotong (signature dish kita), dan kadang-kadang siap ada serunding kering. Kalau sempat, Ibu akan masak sup tulang sekali.
Ayah ingat tak, sebelum berbuka, Ayah selalu siapkan sedikit ketupat dan lauk untuk dihantar kepada Uncle Mike?
Beberapa hari sebelum Raya, Uncle Mike pasti akan datang ke rumah membawa hamper Raya—dan yang paling wajib dalam hamper itu ialah coklat Ferrero Rocher.
Bertahun-tahun lamanya, itulah tradisi persahabatan Ayah dan Uncle Mike.
Berbuka puasa pada hari terakhir Ramadan memang meriah. Tak perlu lauk lain pun—ketupat dan lauk Raya sudah cukup membahagiakan.
Tapi… tahun ini semuanya terasa sangat berbeza.
Masa Tahun Baru Cina tempoh hari, saya beli hamper untuk Uncle Mike dan Imran tolong hantarkan. Sejak Ayah pergi pada 18 April 2025, kami memang belum pernah berjumpa beliau.
Ketika Imran ke rumah Uncle Mike untuk hantar hamper Tahun Baru Cina, barulah kami tahu yang Uncle Mike juga sedang melawan kanser—kanser prostat. Beliau baru sahaja selesai menjalani rawatan kemoterapi di Pantai Hospital Ayer Keroh… hospital yang sama tempat Ayah dirawat dahulu.
Ayah… maafkan saya sebab terlupa untuk bertanya khabar sahabat baik Ayah.
Saya terlalu tenggelam dalam kesedihan sendiri, sampai terlupa bahawa Uncle Mike juga turut bersedih atas pemergian Ayah.
Tapi Ayah jangan risau… dia sedang dalam fasa pemulihan, Insya-Allah.
Uncle Mike kata, kemoterapi itu sangat menyakitkan… dan dia bersyukur Ayah tidak perlu melaluinya. Katanya, mungkin Ayah tidak akan mampu menanggung kesakitan itu.
Ayah…
Saya sentiasa percaya setiap keputusan yang kami ambil adalah dengan izin Allah, dan itulah yang terbaik.
Saya bersyukur kerana Dr. Khai banyak memberi pandangan dan membimbing saya ketika merawat Ayah. Dan saya juga bersyukur kerana Allah lembutkan hati saya untuk menerima setiap cadangan beliau.
Kami hanya mahu Ayah selesa dan tenang di saat-saat akhir… kerana keadaan Ayah ketika itu sangat rapuh.
Sebab itulah kami memilih untuk tidak meneruskan kemoterapi.
Setakat ini, hanya Imran yang sudah berjumpa Uncle Mike.
Insya-Allah, bila saya pulang lagi ke Melaka nanti, saya akan bawa Ibu melawat beliau.
Ayah tahu tak… Raya Aidilfitri tahun ini, saya cuba ambil alih tugas Ayah menyediakan juadah Raya.
Tapi…
Saya tak pandai nak memilih daging dan tulang.
Maafkan saya, Ayah… saya tak pernah belajar semua itu. Mungkin sebab selama ini saya selalu bergantung pada Ayah. Saya terlupa… kita semua tidak akan ada selamanya. Bila tiba waktunya, Allah akan menjemput kita pulang.
Jadi, sejak sebelum Ramadan lagi, saya sudah buat keputusan untuk tempah sahaja lauk-pauk Raya—rendang daging, rendang ayam, daging masak hitam dan kuah kacang.
Untuk ketupat pula, minggu lepas saya jumpa Pak Abu untuk membuat tempahan.
Pak Abu kenal saya… katanya wajah saya mirip Ayah. Betul lah, saya kan anak Ayah.
Cuma kelakarnya, Pak Abu panggil saya “doktor”… mungkin dia tersilap dengan Kak Chik. Orang Bukit Katil ramai tahu anak perempuan Ayah seorang doktor—tapi mungkin mereka tak tahu yang Ayah ada dua orang anak perempuan.
Pagi ini, Ibu dan Imran pergi berjumpa Pak Abu untuk ingatkan tentang tempahan ketupat. Itu kali pertama Imran bertemu Pak Abu.
Kata Pak Abu, Imran juga banyak mewarisi wajah Ayah.
Dia sempat bertanya tentang saya… sudah pulang ke Melaka atau belum.
Ayah…
Raya tahun ini tiada sambal sotong.
Saya tak sanggup untuk membiarkan Ibu atau Imran memasaknya, walaupun itu adalah signature dish keluarga kita.
Saya takut… kalau kami terlalu bersungguh menyediakan juadah Raya, seolah-olah kami terlupa bahawa keluarga ini sudah kehilangan seorang yang sangat penting.
Tadi, waktu Maghrib di 30 Ramadan… suasana berbuka terasa sangat berbeza.
Hanya Ibu, Imran dan saya di meja makan.
Ya, kami makan ketupat dan lauk Raya… tapi rasanya tidak sama.
Esok 1 Syawal…
Ibu kata selepas solat Aidilfitri, dia ingin beraya ke rumah adik-beradik Ayah di Bukit Katil.
Ayah… berat sangat rasa hati ini. Saya tak mampu untuk turut serta. Jadi saya minta Imran yang temankan Ibu.
Maafkan saya, Ayah.
Ada antara mereka yang saya tiada masalah pun. Saya seronok saja untuk berkunjung, saling bertanya khabar.
Tetapi.. ada juga dikalangan mereka yang saya sedaya-upaya cuba untuk mengelak dari bertemu. Namun, seandainya bertemu juga, saya tetap akan menegur dan menghormati mereka kerana mereka lebih tua dari saya.
Ibu selalu pesan… jangan berdendam.
Saya tidak berdendam. Saya sudah maafkan apa yang mereka telah lakukan pada Ayah.
Cuma… saya belum mampu untuk melupakan. Luka itu masih terasa dalam.
Fitnah yang berleluasa, kelakuan yang tidak sepatutnya. Yang membuatkan Ayah bersedih bertahun-tahun.
Saya tiada niat untuk memutuskan silaturrahim.
Cuma kali ini… saya memilih untuk menjaga hati saya sendiri.
Seperti mana Ayah menjaga hati Ayah selama ini… kini, giliran saya pula.
Makanya, mungkin tidak semuanya saya akan bersua. Saya mohon Allah permudahkan segala pertemuan di Syawal ini, Aamiin.
Ayah…
Saya tak tahu bagaimana saya nak menghadapi 1 Syawal esok.
Syawal kali ini hanya mengingatkan saya tentang pemergian Ayah.
Kalau boleh… saya rasa seperti mahu melangkau sahaja Syawal, terus ke Zulkaedah.
Boleh ke, Ayah?
Sejak beberapa hari ini, saya terfikir…
Jika saya masih bernafas tahun hadapan, mungkin 1 Syawal nanti saya mahu pergi mengembara seorang diri.
Saya tak mahu berada di Melaka.
Anak perempuan Ayah ini sudah terbiasa sendiri. Buat apa-apa sendiri, pergi mana-mana sendiri. Uruskan segalanya sendiri.
Saya cuma ingin berada di tempat yang orang tidak mengenali saya, di tempat yang tiada sambutan Hari Raya.
Kerana bagi saya… Aidilfitri sudah tidak sama tanpa Ayah.
Tapi Ayah jangan risau…
Kalau saya benar-benar pergi nanti, saya tetap akan uruskan semua persiapan Raya lebih awal—seperti tahun ini.
Saya tidak akan menyusahkan Ibu dan Imran.
Dan tentang melawat Ayah…
Kita kan selalu “dating” setiap dua minggu. Saya akan teruskan rutin itu.
Cuma mungkin, saya tidak akan datang pada hari terakhir Ramadan.
Tapi saya janji… bila saya pulang saja ke Melaka, saya akan terus datang melawat Ayah.
Mana mungkin saya biarkan Ayah lama tanpa dikunjungi.
Ayah kan tempat saya berkongsi cerita… tempat saya menyimpan rahsia.
Entah-entah jiran-jiran Ayah pun dengar cerita saya, setiap kali saya meluah rasa dengan Ayah?
Kalau betul, malunya saya. Adoiii...
Terutama bila saya cerita benda yang pelik-pelik, perkara-perkara nakal yang saya buat kat atas dunia ini, huhuhu..
Ayah tolong pesan pada jiran-jiran Ayah, selepas ini, bila saya bercerita dengan Ayah, minta mereka tutup telinga ye. Jangan curi-curi dengar lagi.
Terima kasih, Ayah… kerana sentiasa menjadi pendengar yang setia, walaupun kita berlainan alam.
Saya sayang Ayah.
Hari ini… hari ke-336.
Tak lama lagi, genap setahun Ayah pergi.
Banyak yang telah berlaku dalam tempoh ini.
Saya masih ingat janji saya pada Ayah.
Insya-Allah… saya akan lakukan yang terbaik.
Saya akan berusaha menjadi seorang Muslimah yang baik, dan anak yang membanggakan Ayah, dunia dan akhirat.
Ayah tak perlu risau tentang kami.
Allah ada.
Allah akan menjaga keluarga yang Ayah tinggalkan ini.
Selamat Hari Raya, Ayah…
Nanti saya datang melawat Ayah lagi ya.
Selamat berehat, Ayah.
Saya rindu Ayah… sangat-sangat.


No comments:
Post a Comment