Allahuakbar.. Cepat sungguh masa berlalu.
Ramadan kali ini ada beberapa peristiwa yang membuatkan Patung Beruang berhenti sejenak untuk berfikir.
Cuma Patung Beruang tidak pasti sama ada semua kisah itu ada rezekinya untuk dikongsikan disini.
Tetapi ada satu peristiwa kecil yang berlaku minggu lepas.
Peristiwa itu berlaku di sebuah tangga sunyi.
Dan entah mengapa, ia masih tinggal di hati sehingga hari ini...
Di condo ini, Patung Beruang selalu terserempak dengan seorang cleaner muda. Namanya Lia.
Pertemuan pertama kami somewhere in October last year.
Lia biasanya bertugas membersihkan lif dan lobi di tingkat 2 hingga 6 yang bersambung dengan kawasan parking. Selalunya Patung Beruang akan terserempak dengannya pada waktu pagi ketika hendak ke pejabat, atau pada petang hari, tatkala pulang ke rumah.
Macam mana Patung Beruang tahu nama dia Lia?
Dari tanda nama yang dipakainya.
Di awal pertemuan, setiap kali terserempak, Patung Beruang akan berkata,
"Terima kasih, Lia."
Reaksi Lia ketika itu?
Dia hanya memandang dengan wajah terkejut, kemudian mengangguk perlahan. Air mukanya nampak takut.
Sehinggalah pada suatu hari, selepas Patung Beruang mengucapkan terima kasih seperti biasa, Lia tiba-tiba bertanya dengan suara perlahan:
"Puan, kenapa Puan selalu cakap terima kasih dengan saya? Kan ini memang kerja saya."
Patung Beruang tersenyum.
"Ya. Sebab kamu buat kerja dengan bersungguh-sungguh. Jadi memang patutlah saya cakap terima kasih."
Untuk pertama kalinya, Patung Beruang nampak Lia menguntum senyum.
Hilang air muka takutnya
Diganti pula dengan wajah yang kelihatan lega.
Sejak hari itu, setiap kali Patung Beruang mengucapkan terima kasih, Lia akan membalas dengan,
"Sama-sama, Puan."
Sambil tersenyum ceria.
Begitulah kebiasaannya selama berbulan-bulan.
Kadang-kadang kami sempat berbual sedikit. Sekadar berbasa-basi untuk menceriakan hari.
Lia ialah anak sulung dalam keluarga. Baru berumur 21 tahun. Ibunya sudah meninggal dunia. Ini pertama kali dia datang ke Malaysia dan ini juga pekerjaan pertamanya. Ayahnya sudah tua, jadi Lia yang memikul tanggungjawab untuk mencari rezeki supaya adik-adik di kampung dapat terus bersekolah.
Lia datang ke Malaysia bersama suaminya, yang bekerja sebagai buruh di tapak pembinaan.
Pernah sekali Lia merungut kecil,
"Cuma Puan seorang cakap terima kasih dengan saya."
Patung Beruang cuba menenangkan hatinya,
"Tak apa, Lia. Kamu buat kerja kerana Allah kan? Yang penting Allah tahu kamu sudah buat kerja sehabis baik walaupun tiada orang cakap terima kasih."
Comel saja dia merungut, hehehe..
Masih terserlah sifat seorang anak muda yang mungkin masih perlukan kasih sayang orang tua.
Besar ujiannya.
Baru berumur 21 tahun sudah perlu merantau ke negara orang demi kelangsungan keluarga di kampung.
Peristiwa di Ramadan 2026:
Minggu lepas, ketika pulang dari pejabat, Patung Beruang tergerak hati untuk singgah ke Village Grocer di tingkat LG.
Selepas parking Si Putih di tingkat 4, Patung Beruang berjalan ke lobi. Tapi lif agak lambat pula. Jadi Patung Beruang decide untuk turun tangga sahaja ke tingkat LG.
Ketika menuruni tangga, Patung Beruang ternampak Lia sedang duduk di anak tangga.
Dia menangis.
"Lia, kenapa kamu menangis? Kamu tidak sihat?"
Lia terperanjat.
Mungkin dia tidak menyangka akan terserempak dengan sesiapa disitu.
"Puan....saya mengandung."
Suaranya perlahan sekali.
Matanya bengkak seperti sudah lama menangis.
"Oh... Tahniah Lia. Suami kamu sudah tahu?"
"Sudah. Dia gembira sangat."
Dia diam seketika.
Air matanya jatuh lagi.
"Semua orang kata anak itu rezeki."
Dia menunduk.
"Tapi Puan... Saya tak nak anak ini. Saya benci dia."
Waktu itu Patung Beruang sedar, ada tangisan yang lahir dari kesedihan.
Tetapi disini, disaat ini, ada tangisan yang lahir dari ketakutan yang terlalu berat untuk dipikul sendirian.
Patung Beruang tergamam.
Patung Beruang duduk disebelahnya lalu memeluk Lia.
Biarkan dia menangis semahunya.
"Puan..... Berdosa ke kalau saya tak nak anak ini?"
Patung Beruang terdiam.
Tangan hanya mampu mengusap belakangnya perlahan.
Sejujurnya, Patung Beruang sendiri tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan itu.
Selepas beberapa minit, Lia kembali tenang.
Patung Beruang hanya mampu berpesan supaya dia berbincang dengan suaminya tentang kandungan itu.
Tidak tergamak untuk bertanya mengapa dia tidak mahu kandungan ini.
Pasti ada sebab tersendiri.
Dan mungkin terlalu peribadi untuk diceritakan...
Malam itu, sebelum tidur, Patung Beruang teringat kembali peristiwa di tangga.
Teringat satu soalan yang Lia tanya sebelum kami berpisah.
"Puan ada anak?"
Patung Beruang hanya menggeleng.
"Tapi Puan ada semuanya. Kenapa Puan tiada anak?"
Bibir ini hanya mampu mengukir senyum kecil.
Hati berkata,
Tiada manusia yang ada semuanya, Lia.
Hanya Tuhan sahaja yang memiliki segalanya.
Apa yang kamu nampak ini, tidak sampai 1% pun daripada kehidupan saya.
Banyak perkara yang kamu tidak tahu.
Malah, nama saya sendiri pun kamu tidak tahu.
Terbayang air muka Lia yang kelihatan sedih dan berserabut.
Terbayang bagaimana dia menangis seolah-olah kehamilan itu satu bencana buatnya.
Hati ini terasa sebak.
Air mata jatuh perlahan.
Di sudut hati, Patung Beruang berdoa agar Allah mengurniakan rezeki terbaik buat Lia dan suaminya - di dunia dan di akhirat.
Apa rezeki yang terbaik?
Mungkin anak itu yang terbaik.
Atau mungkin juga bukan.
Kita tak tahu. Dan mungkin tidak akan pernah tahu.
Pengetahuan kita sebagai manusia, sebagai makhluk Allah ini sangat terbatas.
Seperti firman Allah dalam Surah Hud, Ayat 123:
"And to Allah belongs the unseen (aspects) of the heaven and the earth, and to Him return all affairs. So worship Him, and put your trust in Him. And your Lord is not unaware of what you do." / "Dan Allah jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi dan kepada-Nya dikembalikan segala urusan. Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepada-Nya. Dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan."
Di sebuah ruang
yang tidak pernah menyimpan nama,
dua jiwa bertemu
tanpa dirancang oleh sesiapa
kecuali takdir.
Yang satu memegang rahsia
yang sedang tumbuh perlahan di dalam rahimnya.
Rahsia itu bernyawa,
tetapi hatinya bergetar - antara mampu dan belum bersedia,
antara harapan dan ketakutan
yang datang tanpa dipanggil.
Yang satu lagi memegang sunyi
yang telah lama belajar diam.
Sunyi itu tidak berbunyi,
tidak menuntut simpati,
cuma sesekali bergetar
apabila tersentuh
tentang sesuatu yang belum pernah dimiliki.
"Anak itu rezeki",
ujar suara lembut.
Bukan sebagai hukum,
bukan sebagai nasihat yang mengguris,
tetapi seperti doa
yang pernah berkali-kali
diangkat ke langit
dalam gelap yang sunyi.
Air mata jatuh.
Bukan kerana hidup tidak adil,
tetapi kerana takdir selalu hadir
dengan wajah yang berbeza.
Ada yang diberi sebelum bersedia.
Ada yang sudah bersedia,
namun masih menunggu
di pintu yang belum terbuka.
Di antara mereka
tiada siapa yang lebih beruntung,
tiada siapa yang lebih malang.
Hanya dua doa
yang terbang ke langit yang sama -
satu memohon kekuatan untuk menerima,
satu memohon kesempatan untuk merasa.
Dan mungkin,
tanpa disedari oleh dunia,
jiwa seorang ibu pernah berdiri di situ -
bukan kerana pernah melahirkan,
tetapi kerana mampu menenangkan,
mampu memeluk dengan kata-kata,
mampu melihat cahaya
walau hatinya sendiri sedang diuji oleh rindu.
Di ruang kecil itu
tiada takdir yang berubah arah,
tiada janji yang dimeterai.
Hanya dua wanita
yang pulang dengan hati yang sedikit berbeza -
entah siapa yang lebih kuat,
entah siapa yang lebih diuji,
atau mungkin
kedua-duanya sedang dipimpin perlahan-lahan
melintasi garis halus
di antara gentar dan redha...
Pasti ada hikmah mengapa Allah aturkan pertemuan ditangga itu.
Mungkin Allah mahu Lia bertemu seseorang yang tidak menghukumnya pada saat dia paling rapuh.
Dan mungkin juga Allah mahu Patung Beruang memahami sesuatu yang selama ini hanya mampu dirasakan dari jauh.
Kadang-kadang hidup mempertemukan dua manusia
yang sedang memikul ujian yang berbeza -
yang satu sedang takut dengan rezeki yang datang terlalu awal,
yang satu lagi sedang belajar redha dengan rezeki yang belum tiba.
Di tangga sunyi itu
tiada siapa yang lebih bertuah
dan tiada siapa yang lebih malang.
Hanya dua hati
yang sama-sama sedang belajar percaya
bahawa setiap takdir yang Allah tuliskan
tidak pernah tersilap alamat.....


No comments:
Post a Comment