Monday, May 26, 2025

Book Review: Sungai Mengalir Lesu


Tajuk: Sungai Mengalir Lesu

Penulis: A. Samad Ismail

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah ini Patung Beruang beli ketika jualan gudang Dewan Bahasa & Pustaka yang berlangsung pada tahun lepas. Tertarik dengan hasil penulisan Sasterawan Negara yang diterbitkan semula, dan berkulit keras  pula tu, maka Patung Beruang terus membeli naskah yang belum Patung Beruang miliki. 

Sungai Mengalir Lesu adalah naskah ke-9 yang berjaya Patung Beruang selesaikan pembacaannya pada tahun ini, Alhamdulillah. 



Naskah ini membawa pembaca ke era zaman Jepun,  di sebuah kampung di Singapura, terletak berdekatan dengan sungai dan juga gudang simpanan makanan tentera Jepun. 

Zaman perang, makanan dicatu, penduduk kampung yang terdiri dari pelbagai bangsa iaitu, Melayu, Cina, dan India sentiasa hidup dalam ketakutan. Tatkala dengar saja bunyi squadron B24 atau B29, peduduk akan lari bertempiaran menuju ke shelter untuk berlindung. Tak lama selepas itu, akan terdengarlah bunyi dentuman bom silih berganti yang jatuh dari B24 atau B29 itu. 


Sungai disini digambarkan jijik, dengan air yang hitam, penuh sampah-sarap termasuk tin-tin kosong, batang-batang balak, sayur-sayur busuk, bangkai haiwan seperti tikus dan katak, dan kadangkala mayat manusia. 

Namun sungai yang jijik itu jugalah menjadi nadi kehidupan penduduk disitu. Tempat mencuci, tempat mandi dan bermain kanak-kanak, tempat mencari saki baki makanan demi meneruskan kelangsungan hidup.


Dalim, seorang budak lelaki berusia 11 tahun yang tinggal berdua saja dengan kakaknya, Tuminah, si janda muda. Dalim keluar bermain di sungai, bersama-sama rakan sekampung seperti Sukon, Sakinah, Menon, Sai Yong. 

Bagi kanak-kanak ini, perang dihadapan mata bukan penghalang untuk mereka mencari pengalaman hidup. Kesusahan akibat peperangan menjadikan mereka kanak-kanak yang berani dan mempunyai keazaman yang kuat demi kelangsungan hidup. 



Di sungai tersebut, terdapat jambatan hijau. Jambatan yang fungsinya untuk memudahkan pergerakan penduduk setempat. Tetapi ketika zaman perang, jambatan itu sering kali dijadikan tempat untuk mengambil nyawa. Pernah seorang Cina muda, menggantung dirinya di jambatan hijau itu. Kata orang, si mati putus cinta. Ada juga yang kata, si mati sangat sedih kerana ayah dan ibunya telah diangkut oleh askar Jepun dan tidak pulang-pulang. Ada juga seorang India tua menjerat lehernya di jambatan tersebut. India tua itu lengkap dengan kain dan baju kot kuningnya. Peperangan membunuh jiwa-jiwa insan yang tidak bersalah sehingga mereka putus asa untuk hidup. 

Kebiasaannya, penduduk setempat akan turunkan mayat yang tergantung dijambatan itu, dan dibaringkan di tepi jalan sebelum ditutup dengan kertas dan kain buruk. Jika selepas beberapa jam tiada orang yang mengambil mayat tersebut, akan ada kereta sorong yang datang memungutnya dan hantar ke kubur. Tetapi kubur dimana? Tiada siapa yang tahu. 



Selain dari 3 kaum majoriti, terdapat juga orang Jawa yang datang menumpang hidup di kawasan kampung itu. Irwan dan Mulyadi, sama-sama datang ke Singapura dengan niat mencari rezeki demi masa depan yang lebih cerah untuk keluarga yang ditinggalkan di Semarang. Malangnya mereka terperangkap dalam kancah peperangan, menyebabkan kehilangan pekerjaan, menghadapi kebuluran dan menderita sakit malaria. Mereka menghabiskan sisa-sisa hidup di tanah perkuburan ditepi masjid. Tiada apa yang hendak ditakutkan apabila tidur dikubur kerana mereka sendiri pun tiada ubah seperti mayat hidup. 



Naskah ini sangat sedap.. Susun atur ayat dan pemilihan pekertaan sangat sedap. Tidak hairanlah ia menjadi karya malar segar. 

Apabila membacanya, terasa seperti Patung Beruang berada di kampung tersebut, rasa ketakutan setiap kali terdengar deruman enjin B24 atau B29. Terasa seperti jantung terhenti apabila bom jatuh satu persatu tanpa mengenal mangsa. Terasa sakitnya apabila makanan dicatu sehingga terpaksa makan apa saja yang ada dihadapan mata tanpa mengira bersih atau kotor, halal atau haram. 

Sepanjang pembacaan, dada rasa sesak dengan kesengsaraan yang dihadapi oleh masyarkat kampung itu. Rasa benci membuak-buak pada tentera Jepun yang melakukan sewenang-wenangnya atas alasan peperangan. 

Jika ingin lari sebentar dari realiti kehidupan di kota metropolitan yang menyesakkan, ambil lah beberapa jam, duduk dan teliti lah karya ini dengan sepenuh hati. Insya-Allah, kita akan terasa seperti masuk ke dunia lain, yang tidak pernah kita rasai sendiri dialam nyata, namun ia memang benar-benar berlaku, ketika 70 atau 80 tahun lampau. 


Cuma ending naskah ini sedih. 

Ada watak-watak yang terkorban akibat sakit, mati disebabkan bom yang dijatuhkan oleh B24 atau B29,  atau ada juga yang mati ditempak oleh askar Jepun ketika dalam misi mencari bekalan makanan... 

Kehidupan yang penuh dengan penderitaan.. 

Selamat kembali ke realiti..... 



Sunday, May 25, 2025

Kisah 38 Hari: Klinik Lama, Kenangan Abadi

 24 May 2025


Pagi ini aku menemani ibu ke Klinik Lim & Tan. Langkah kami perlahan, menapaki jejak yang sering dilalui bersama ayah.  

Klinik ini bukan sekadar tempat berubat— ia adalah arkib rahsia waktu, tempat cinta dan setia dirawat dalam diam.

Ruangnya masih sama, kerusinya masih sunyi, cuma yang tiada…  ialah seorang lelaki yang pernah temani ibu setiap kali.


Berpuluh tahun lamanya, mereka datang berdua —  dengan tangan saling berpimpinan, dengan langkah perlahan,  dan kasih yang tak pernah disebut-sebut.


43 tahun lalu, ibu datang ke sini buat kali pertama, ketika mengandungkan aku dalam rahimnya.  

Dr. Tan ketika itu masih muda, barangkali baru tamat pengajian. 

Kini, aku pula hadir, menggenggam tangan ibu yang sama, duduk di bilik rawatan yang sama, dengan doktor yang sama—walaupun masa telah berubah wajah kami semua.


Hari ini, hanya aku dan ibu.  Tapi bayang ayah masih ada —  duduk di sebelah kerusi yang kosong,  berbisik pada angin yang perlahan,  "Jaga ibu baik-baik, ya."


Aku genggam jemari ibu yang sudah tua, dan hati aku terasa sesak —  kerana terlalu lama aku tidak di sini.  Tidak temani. Tidak peduli.  Sedang mereka… tak pernah lupa.

Maafkan aku, ayah....

 

Klinik ini terasa begitu sempit hari ini, kerana rindu yang tak muat untuk dibungkam,  dan kenangan yang mengalir perlahan antara ubat, bau antiseptik, dan  senyum doktor yang sudah sama-sama menua.


Klinik ini seperti sebuah keluarga lama. Pelanggan-pelanggannya datang sejak muda, dan kembali sebagai warga emas. Ada yang kini datang bersama anak dan cucu— satu generasi meninggalkan tempat untuk generasi seterusnya.  


Staff mengenali nama, ingat cerita, dan menyambut dengan senyuman yang bukan dibuat-buat, tetapi lahir dari kenangan bersama.


Hari ini, bila kami melangkah masuk, para staff menyambut kami dengan wajah penuh empati. Mereka tahu—ayah baru pergi sebulan lebih.  

Nada suara mereka perlahan, seakan-akan tahu luka yang masih belum sembuh.


Di bilik rawatan, doktor yang sama masih ada - Dr Tan... masih menyambut ibu dengan senyum yang serupa, masih menyebut nama ayah dengan penuh hormat, kerana di sinilah,  ayah dan ibu berulang setiap bulan —  tanpa gagal, bersama-sama.


Soalan pertama Dr. Tan kepada ibu:  

“Apa khabar, Puan Faridah sekarang?”  

Ibu menangis. Bukan kerana sakit di tubuh, tapi kerana sakit di hati yang kehilangan.  Aku hanya duduk diam, menyimpan air mata dalam dada.



Aku sempat melihat rekod lama yang terbentang diatas meja doctor —  

25 Mac 2025, lawatan terakhir ibu dan ayah ke sini. Tarikh itu bersamaan 15 hari selepas ayah disahkan mengidap kanser hati. 

Dr. Tan meluahkan betapa ayah seorang lelaki yang kuat, tidak pernah sekali pun mengadu sakit, meskipun hari itu tubuhnya sudah lemah.  

Dan ketika bercerita tentang ayah, aku nampak air mata bergenang di mata doctor tua ini. Katanya, kehilangan itu terlalu cepat. Kami hilang ayah, tapi doctor hilang sahabat. Persahabatan lebih 40 tahun. Mereka menua bersama-sama tetapi akhirnya sahabat itu pergi dahulu ke negeri Abadi.  

Ibu kata, doctor suka bercerita dengan ayah tentang kebun duriannya. Kedua-dua lelaki ini minat berkebun dan minat pada durian. Minat yang menyatukan 2 insan yang berlainan bangsa dan agama, tetapi kekal bersahabat ke hujung nyawa.  


Dr. Tan pesan:  

“Jaga ibu selalu. Pantau kesihatan. Kehilangan akan terasa dalam. Sedih itu manusiawi, tapi jangan abaikan diri sendiri.”


Aku angguk, diam.  Dalam hati aku berbisik—  Janji yang sama diulang seperti beberapa jam terakhir sebelum nafas ayah terhenti. 

"Ayah pergilah dengan tenang. Saya janji, saya akan jaga ibu, jaga adik-adik sehabis baik." .... 



Hari ini, aku temani ibu. Bukan sekadar duduk menunggu — tapi membawa sebahagian dari hatimu  yang dulu selalu mendahului segalanya.  

Dan dalam tiap nafas ibu yang aku dengar,  ada cinta yang kau tinggalkan yang masih hidup.. dalam aku... 

Wednesday, May 21, 2025

Book Review: Bohong Di Dunia


Tajuk: Bohong Di Dunia

Penulis: HAMKA

Ceritanya Patung Beruang:

Alhamdulillah, setelah beberapa bulan menyepikan diri, baru sekarang Patung Beruang rasa nak berkongsi semula bahan bacaan yang telah berjaya dihabiskan. 


Tahun 2025 ini adalah tahun yang penuh dengan cerita. Pelbagai episod sedih, gembira, terkejut, teruja datang bersilih-ganti. 


Maaf kerana Patung Beruang lama bersembunyi. Kehilangan yang Patung Beruang dan keluarga hadapi pada masa ini terlalu berat sehingga Patung Beruang sendiri rasa lost. Rasa seperti jiwa ini dibawa pergi bersama ke negeri Abadi. Rasa hilang arah dan tujuan untuk hidup. 


Menangis tak perlu cerita lah.. Di rumah, di dalam kereta, di pejabat, ketika solat, ketika baca Al-Quran, ketika duduk makan, ketika bekerja. Cakap saja, dimana dan pada waktu bila? Walaupun sudah lebih sebulan, tapi air mata ini masih lagi mengalir tatkala kenangan menyapa. 


Tetapi, sampai bila mahu dilayan rasa sedih dan kehilangan itu?


Sampai satu tahap, Patung Beruang kena bangkit dan teruskan berjalan kerana yang pergi sudah pergi. Dan yang masih hidup dan bernafas  di muka bumi ini, kena teruskan hidup walaupun teramat perit... 


Jujurnya Patung Beruang tidak mampu untuk memikirkan tentang hari esok. Kerana Patung Beruang sangat struggle untuk teruskan kehidupan pada hari ini. 

Tapi, setiap kali teringat pesanan dari sahabat maya, Patung Beruang sedar yang diri ini tetap kena bangun, tetap kena bertahan walaupun dalam diri ini rasa gelap dan sunyi. Setiap air mata yang jatuh adalah bukti betapa dalamnya kasih Patung Beruang pada Ayah. Dan kasih itu bukan tanda lemah, tapi kekuatan yang senyap. 


Sahabat maya Patung Beruang selalu berpesan, jika Patung Beruang tidak mahu teruskan hidup untuk diri sendiri, hiduplah perlahan-lahan untuk mereka yang menyayangi Patung Beruang, dan untuk arwah Ayah yang sekarang sudah damai. Arwah Ayah pasti nak lihat anak perempuannya perlahan-lahan sembuh dari luka dan kesedihan ini. 


Kata sahabat, teruskan hidup hari ini.... walau cuma dengan satu nafas penuh. 

Itu sudah cukup. 

Satu nafas. 

Satu langkah.

Satu hari.....


Patung Beruang cuba... Insya-Allah.... 



Menariknya Naskah Ini:

Naskah Bohong Di Dunia ini adalah naskah ke-2 yang berjaya Patung Beruang selesaikan pembacaannya. Tamat membaca pada 11 January 2025. Maaflah, selepas 4 bulan baru Patung Beruang berkesempatan untuk berkongsi disini. 


Blurb: 

"Perkara-perkara yang tidak bertahan lama adalah di bawah naungan awan, teman yang jahat, cinta pada perempuan, berita bohong dan banyaknya harta benda." (Ibnu Muqaffa')

Pangkal segala dosa terbit daripada sikap berbohong, tidak kiralah kepada manusia mahupun Sang Pencipta. Dengan berbohong, segala kepercayaan habis diracik, yang terbina hancur luluh. 

HAMKA berusaha membongkar hujung pangkal sikap berbohong dari pelbagai sisi pandang yang berasingan; dari sudut Islam, falsafah dan psikologi. 

Bohong di Dunia merungkaikan perbahasan bohong - suatu sikap kemunafikan, termasuklah menebas lalang kejahilan yang menuntun ke arahnya, dan menyajikan ramuan dalam mengubati kebiasaan dalam berbohong.



Naskah ini mengandungi 11 bab. 

Bab pertama bermula dengan pengertian dan falsafah sikap bohong dan benar. Menurut penulis, bohong tetaplah bohong. Walaupun jika bohong itu dibenarkan oleh agama dan adat istiadat sendiri, perbuatan tersebut tetap dicap sebagai bohong. 

Selain itu, penulis juga menyimpulkan bahawa semua kesalahan budi pekerti seperti berikut adalah kebohongan iaitu:

  • Berlebih-lebihan dalam memberitakan sesuatu.
  • Mencampuradukkan antara yang benar dengan yang batil. 
  • Memotong-motong kebenaran, contohnya mengambil awal pangkalnya saja dan meninggalkan akhir hujungnya atau sebaliknya. 
  • Mengatakan sesuatu yang berlainan atau berlawanan dengan yang terasa di hati, walaupun pada hakikatnya, yang dinyatakan itu benar. 



Dalam bab ke-3, penulis memperincikan bohong berdasarkan agama seperti agama Yahudi, Nasrani (Kristian) dan Islam. Mengapa hanya 3 agama ini saja yang dibahaskan disini? Kerana ketiga-tiga agama ini adalah daripada satu rumpun, iaitu agama yang mengakui adanya satu tuhan. 

Ketiga-tiga agama ini sangat mencela kebohongan dengan cara masing-masing kerana salah satu tujuan agama-agama ini diturunkan adalah demi memperbaiki akhlak para penganutnya. 

Dalam bab ini, penulis berkongsi beberapa petikan dari Kitab Taurat (untuk agama Yahudi), beberapa sabda dari Nabi Isa al-Masih a.s. (untuk agama Kristian) dan ayat-ayat Al-Quran (untuk agama Islam) berkenaan larangan atau celaan terhadap sifat berbohong. 

Berdasarkan petikan ayat-ayat Al-Quran yang ada dalam naskah ini, dapat dikatakan bahawa hidup yang sepatutnya dijalani oleh seorang manusia itu adalah apabila mempunyai kepercayaan (iman) kepada Allah SWT. Namun, harus diingat bahawa iman dan takwa akan binasa apabila seseorang itu mula berani berbohong. 




Adakah kita memang tidak dibenarkan untuk berbohong sama sekali? 

Imam al-Ghazali ada mengulas tentang bohong yang dibenarkan, dalam bukunya yang bertajuk Ihya Ulumuddin. Berdasarkan penulisan Imam al-Ghazali, 
  • Perkataan yang keluar daripada lidah seseorang adalah suatu wasilah untuk menyatakan perkara yang terasa dalam hati. Namun, jika suatu tujuan yang baik tetapi hanya boleh tercapai dengan berdusta, maka ketika itu, dusta tersebut dibenarkan. 
  • Tetapi, walaupun ketika itu kita dibenarkan berbohong, janganlah bohong tersebut berlebih-lebihan sehingga keluar daripada batas keperluan. Kerana jika berlebihan, dikhuatiri bohong tersebut telah jatuh menjadi haram. 


Diriwayatkan dari Ummi Kulthum r.a. bahawa Nabi SAW  sekali-kali tidak mengizinkan bohong atau dusta kecuali hanya pada 3 perkara berikut: 
  • Untuk tipu muslihat atau sebagai strategi peperangan. 
  • Untuk mendamaikan dua golongan yang berselisih. 
  • Bohong suami kepada isteri untuk menyenangkan hatinya.
  • Bohong isteri kepada suami untuk menyenangkan hatinya. 



Dalam kehidupan seharian, kita tidak akan terlepas dari berjumpa dengan seseorang yang menjadikan bohong itu sebagai pemanis mulut. Atau mungkin juga kita sendiri yang melakukannya.Berkata dusta demi menyenangkan hati pihak yang lain atau, mengelakkan dari pertelingkahan / mudarat yang lebih besar. Apapun niat kita, berhati-hatilah dalam berkata-kata kerana setiap perkataan yang keluar itu akan dicatat oleh malaikat dikiri dan kanan kita. 




Bagi Patung Beruang, naskah ini simple sahaja. 
Kisah tentang bohong, prinsip dan falsafah disebaliknya, dan ragam manusia yang cuba untuk menghalalkan sifat bohong didalam kehidupan seharian. 

Naskah yang mempunyai 139 mukasurat ini walaupun santai dan boleh dihabiskan dalam masa beberapa jam, namun pengisiannya padat dan menjentik hati kita. Alhamdulillah.... 

Monday, May 19, 2025

Kisah 38 Hari: 17 May 2025 - Aiskrim Potong Kacang Merah, Kenangan Yang Cair di Dalam Jiwa


Hari ini, aku makan aiskrim potong kacang merah yang terakhir.

Ia bukan sekadar manisan yang tersimpan dalam peti sejuk - tapi ia adalah sisa kecil sebuah kenangan besar... 

Yang tersimpan didalam jiwa, tidak pernah benar-benar cair. 



Aku masih ingat hari aku membelinya. 

Di peti sejuk kedai, dua jenama disusun bersebelahan. 

Aku berdiri lama di hadapannya. 

Mata meneliti label, tangan memegang harapan .... kerana aku mahu pastikan satu perkara: 

"Yang aku bawa pulang bukan sekadar aiskrim potong, tetapi kasih yang menjaga." 



Doktor sudah berkali pesan, "Kanser hati ini menjadikan paras gulanya tidak stabil. Pantau ye. " 

Tapi doktor juga izinkan satu ruang kecil untuk bahagia - 

"Asalkan tak terlalu tinggi, biarlah dia nikmati apa jua makanan yang dia mahu." 

Jadi, aku pilih yang terbaik. 

Kacang merah - kegemaran ayah. 

Sekotak penuh doa, aku simpan dalam peti sejuk di rumah, seperti simpanan rasa yang tak terucap. 

Dan dari situ, bermulalah kisah kecil antara kami... yang kini hanya tinggal kenangan dalam aiskrim beku terakhir itu. 



Ada hari ayah hanya mampu menjamah sedikit, dan selebihnya cair sendiri dalam cawan. Tapi aku tahu.. walau hanya sedikit, itu sudah cukup untuk buat matanya bersinar. 



Malam  terakhir ayah makan aiskrim potong kacang merah - seminggu sebelum dia pergi.... 

Malam sudah lewat. Rumah sunyi. Ayah terbaring di katil, lemah, hampir tiada suara. Aku dekati dan tanya, "Ayah nak makan apa-apa?" 

Dan perlahan dia jawab ..

"Aiskrim kacang merah." 



Aku ke dapur. 

Ambil sebatang didalam kotak. Buka bungkusan dengan tangan yang bergetar. Aku suap perlahan. 

Dan malam itu... ayah habiskan satu batang aiskrim potong kacang merah. 

Bila habis, aku senyum dan bergurau kecil, "Wah, habis ayah makan sebatang. Takpelah ayah, makanlah.. jangan risau pasal gula ayah." 

Ayah pandang aku... dan senyum. 

Senyum yang paling aku rindu hari ini. 

Senyum yang seolah-olah berkata, 

"Terima kasih ...kerana tak pernah berkira."  


Lepas itu, dia tidur. Lena... 

Dan aku, duduk di tepi katil.. diam.... memandangnya seolah-olah mahu simpan wajah yang tenang itu dalam hati ini selamanya.



Pagi esoknya, bacaan gula ayah naik sedikit. 

Tapi aku tak kisah. 

Kerana aku tahu - malam tadi, dia kenyang. Bukan pada perut semata ... tapi pada jiwa yang merasa. 

Dan bagi aku, tiada apa yang lebih bermakna daripada melihat sinar mata ayah yang gembira ... walau untuk terakhir kali.



Dan hari ini.... 

Aku makan aiskrim potong kacang merah. 

Yang terakhir. 

Dengan tangan yang sama, tapi rasa yang berbeza. 

Yang mencair bukan aiskrim ini... tapi hati aku sendiri. 



Kalau rindu itu boleh dibekukan, aku mahu simpan batang aiskrim ini selamanya.

Tapi kini, ia hanya tinggal dalam satu ruang - di hati seorang anak perempuan yang tidak sempat mengucapkan: 

"Terima kasih kerana hidup kuat selama ini. Terima kasih kerana jadi pelindung saya selama ini. Terima kasih kerana jadi dahan untuk kami berpaut selama ini. Terima kasih...."  


About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...