Monday, December 22, 2025
Kisah 38 Hari: Suapan Rindu di R&R Nilai
Friday, December 12, 2025
Happy Birthday Patung Beruang!!!!
Sunday, November 2, 2025
Book Review: Mencari Ramlee
Penulis: Raiha Bahaudin
Menariknya Naskah Ini:
Book Review: Entrok
Penulis: Okky Madasari
Menariknya Naskah Ini:
Ini adalah naskah ke-20 yang berjaya Patung Beruang selesaikan pembacaannya pada malam tadi, Alhamdulillah.
Walaupun momentum membaca Patung Beruang sudah hampir kembali ke asal, malangnya momentum menulis book review masih tidak kunjung tiba. Oleh itu, hari demi hari makin banyak book review yang pending. Insya-Allah, Patung Beruang akan cuba selesaikan seberapa banyak untuk tahun ini. Bersabarlah ye..
Ini adalah pertama kali Patung Beruang membaca karya penulis Indonesia bernama Okky Madasari. Beliau adalah antara penulis wanita terkenal Indonesia dimana karya-karya sering menyuarakan kritikan sosial masyarakat disana.
Blurb:
"Entrok merupakan kisah perempuan daripada dua generasi yang berdepan dengan segala penindasan dan ketidakadilan daripada masyarakat, negara dan bahkan orang agama. Namun Entrok bukan tentang kepasrahan dan ketidakupayaan perempuan, melainkan rakaman kesungguhan si ibu dan anak untuk memahami persekitarannya dan bangkit menguasai serta menentukan hidup mereka.
Entrok merupakan pengkisahan masyarakat terbawah terhadap perubahan sosial yang berlaku dalam sejarah panjang masyarakat Indonesia pasca merdeka, khasnya ketika era Orde Baru."
Entrok (yang bermaksud baju dalam wanita, dalam bahasa Jawa) mengisahkan kehidupan Marni, seorang wanita desa yang membesar dalam kemiskinan, buta huruf, namun bercita-cita mahu hidup lebih baik. Dia bekerja keras sehingga menjadi seorang peniaga, pemilik tanah dan kebun, mampu berdikari dari segi kewangan. Namun, kejayaannya itu datang dengan pertaruhan - terpaksa tunduk kepada sistem yang korup dan penuh penindasan dari lelaki-lelaki yang merupakan golongan badan beruniform, anggota kerja kerajaan, ahli agama etc.
Anaknya, Rahayu, pula membesar dalam suasana yang berbeza. Dia berpendidikan, lebih moden, dan sangat teguh dengan ajaran agama. Namun, hubungan ibu dan anak ini renggang. Rahayu mempersoalkan cara hidup ibunya yang masih terikat pada kepercayaan animisme dan menjalankan perniagaan meminjam wang kepada penduduk yang memerlukan. Rahayu juga berdepan dilema antara kasih seorang anak dan prinsip yang diyakininya.
Latar cerita Marni dan Rahayu ini beralun dari zaman penjajahan, Orde Baru, hingga ketegangan sosial-politik Indonesia.
Bagi Patung Beruang, naskah Entrok ini kuat dari segi kritikan sosial dan politik, memperlihatkan bagaimana wanita, terutama dari golongan bawahan, berdepan tekanan berlapis-lapis; dari keluarga, masyarakat dan juga negara.
Marni mewakili suara perempuan yang mencari ruang kebebasan dalam dunia lelaki. Walaupun tidak bersekolah, dia bijak membaca keadaan dan membina kehidupan sendiri. Rahayu pula mewakili konflik generasi muda yang cuba memahami nilai hidup antara agama, keluarga dan realiti sosial. Konflik antara dua watak ini memberikan kekuatan emosional kepada jalan cerita.
Antara petikan yang Patung Beruang gemari adalah:
- "Duh, Gusti Allah, kalau memang Kau Maha Mengetahui, Kau pasti tahu tak ada niatku untuk tidak menyembah-Mu, untuk menjadi berbeza dibanding anakku dan orang-orang lain itu. Tapi bagaiman aku bisa menyembah-Mu kalau kita memang tidak pernah kenal?
- Anakku sekolah tinggi sekali, pintar, tapi kok begitu bodoh. Bagaimana ibunya yang tidak pernah sekolah ini tahu tentang Gusti Allah, hafal doa-doa Arab itu, lha wong tahu saja tidak? Masa aku yang sejak kecil diajar nyuwun pada Mbah Ibu Bumi Bapa Kuasa tiba-tiba harus menghentikan semuanya. Ealah... Nduk, sekolah kok malah membuatmu tidak menjadi manusia.
- Kita sama, Koh. Sendiri dan sepi di tengah orang-orang yang mencaci maki. Mereka kata aku pencari pesugihan dan lintah darat. Orang-orang itu kata kamu pemuja naga yang tak beragama. Katanya kamu pelanggar aturan negara. Kita sama-sama terhukum, Koh. Kamu dihukum orang-orang berseragam. Aku dihukum tetangga-tetanggaku sendiri yang datang padaku saat perlu pinjaman wang, yang ikut menonton TV yang kubeli dari wang yang kata mereka tidak halal. Kata mereka kita sedang mendapat karma."
Patung Beruang suka dengan penulisan Okky Madasari yang bersahaja namun tajam. Bahasa yang digunakan tidak berbunga-bunga, tetapi cukup kuat untuk menyentuh isu penting seperti kemiskinan, korupsi, diskriminasi gender dan authoritarianism.
Malah tajuk Entrok itu sendiri menjadi simbol kepada beban yang tersembunyi dan perjuangan wanita dalam diam.
Naskah ini bukan sekadar kisah dua wanita. Ia adalah cerminan realiti masyarakat Indonesia dan dunia, tentang bagaimana sistem menekan mereka yang lemah. Bacaan yang sangat disyorkan bagi mereka yang mencari karya sastera yang membuka mata dan menyentuh hati...
Sunday, August 17, 2025
Book Review: Solehah 2
Penulis: Nabilah Alwie
Menariknya Naskah Ini:
Ini adalah naskah yang ke-8 yang berjaya Patung Beruang selesaikan pembacaannya, Alhamdulillah. Patung Beruang tamat membaca naskah ini 8 April 2025. Maaf ye, selepas beberapa bulan baru Patung Beruang berpeluang untuk berkongsi review disini. Jujurnya, ada banyak lagi buku-buku yang sudah tamat dibaca tetapi pending book review. Insya-Allah, Patung Beruang akan cuba selesaikan satu persatu. Bertabahlah ye, hehehe..
Naskah Solehah 2 ini menghimpunkan tujuh (7) kisah yang berkisar kepada 33 jenis jahiliah atau dosa yang sering berlingkar dikalangan kaum wanita.
Kisah pertama membawa pembaca kepada watak Hanim, seorang anak gadis kampung yang bekerja sebagai penoreh getah. Hanim tinggal berdua saja dengan ibunya, Mak Senah.
Hanim yang bosan dengan kehidupan yang miskin, kena bersusah-payah seawal pagi demi mencari sesuap nasi, telah meminta pertolongan Tok Esah, seorang bomoh di kampung itu. Hanim menggunakan ilmu hitam untuk mendapatkan lelaki idamannya, Razi, anak orang kaya disitu.
Hanim adalah gambaran wanita yang lupa tentang kedudukannya sebagai hamba Allah. Hanim tidak solat dan sering merungut tentang kekurangan lahiriah sehingga tiada secebis rasa bersyukur diatas pelbagai nikmat lain yang Allah kurniakan.
Kisah ke-2 pula kita dikenalkan dengan Sakinah, isteri Razi. Pasangan muda ini baru saja memulakan alam rumahtangga. Kehidupan Sakinah yang bergelar suri rumah sepenuh masa terlihat sempurna pada awalnya. Namun, keadaan bertukar apabila Sakinah mudah terpedaya dengan kehidupan perkahwinan orang lain yang dilihatnya di media sosial yang dianggap jauh lebih indah dari kehidupannya. Kini, Sakinah mula membanding-bandingkan Razi dengan suami orang lain yang dirasakannya berkali ganda lebih baik. Hakikatnya, Razi sudah menjalankan tanggungjawab dan tugasnya sebagai suami kepada Sakinah dengan sehabis baik seperti menyediakan tempat tinggal, makan minum yang cukup dan segala nafkah wajib semuanya. Malangnya Sakinah tetap menyebar aib Razi, suaminya di media sosial kerana terlalu mengikutkan perasaan.
Kisah ke-3 pula pembaca dihidangkan dengan kisah Mak Normah, ibu kepada Sakinah. Bagi Mak Normah, Sakinah adalah anak yang terbaik dan sentiasa membahagiakan dirinya sedangkan anak sulungnya, Syahirah pula dianggap tidak berguna. Mak Normah gemar menjadikan Syahirah sebagai bahan umpatannya dengan jiran-jiran, sehingga ke tahap memfitnah dan memaki hamun. Di pihak Syahirah pula, dia sudah berusaha menjadi anak yang terbaik dan berbakti pada ibunya. Oleh itu, dia redha dengan ujian yang Allah datangkan ini dan sentiasa berdoa agar suatu hari nanti Mak Normah sedar akan kesilapannya.
Cukuplah Patung Beruang kongsikan 3 kisah disini. Selebihnya, kenalah baca sendiri ya.
Walaupun naskah ini tebal, iaitu mempunyai 499 mukasurat namun Patung Beruang tidak rasa bosan pun untuk menelitinya kerana jalan cerita yang menarik dan mencerminkan realiti disekiling kita. Mungkin ada antara dosa-dosa yang diceritakan dalam naskah ini, kita pun turut sama melakukannya, huhu..
Selain itu, kisah yang dipaparkan ini wataknya saling berkait dan ini membantu kelancaran momentum membaca. Terima kasih penulis atas naskah yang menarik dan sangat bermanfaat. Semoga ia menjadi saham akhirat buat penulis, Aamiin...
Sunday, June 15, 2025
Book Review: Pengirim Buku Dari Pintu Ke Pintu
Penulis: Carsten Henn
Penterjemah: Hasnita Shaari
Menariknya Naskah Ini:
Naskah ini adalah naskah ke-10 yang berjaya Patung Beruang selesaikan pembacaannya untuk tahun ini, Alhamdulillah.
Ketika melawat booth Biblio Press di PBAKL 2025, Patung Beruang memang sudah nekad untuk membeli naskah ini. Entah mengapa, terasa seperti naskah ini ada tarikan yang sendiri. Ternyata telahan Patung Beruang adalah tepat, hehe..
Pengirim Buku Dari Pintu Ke Pintu adalah karya terjemahan dari penulis German yang bernama Carsten Henn. Menurut petikan dari naskah ini, penulis pernah bertugas sebagai penyampai radio dan wartawan yang menulis tentang wain dan restoran, dan telah menerbitkan beberapa buah novel yang berjaya.
Blurb:
"Ada sebuah buku yang ditulis untuk setiap daripada kita .....
Carl mungkin sudah berusia 72 tahun, namun jiwanya masih muda. Setiap malam, dia berjalan dari pintu ke pintu, menghantar buku secara peribadi kepada pelanggan setianya, sambil memilih dengan teliti cerita paling sesuai untuk setiap seorang daripada mereka.
Suatu malam, muncul seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun bernama Schascha. Petah dan penuh semangat, gadis kecil itu berkeras menemani Carl - malah cuba mengajarnya satu dua perkara tentang buku.
Namun, apabila pekerjaan Carl di kedai buku mula terancam, mampukah lelaki tua itu dan gadis kecil berjaket hujan kuning itu mempertahankan cara hidup Carl - dan menyemarakkan semula keseronokkan membaca di bandar kecil Eropah mereka? "
Carl Kollhoff dan kedai buku City Gate ibarat pasangan kembar. City Gate adalah kedai buku lama yang terletak di Jerman selatan. Carl berkhidmat di City Gate sejak berpuluh tahun dahulu, bersama dengan pengasasnya, Gustav Gruver, yang kini menghuni rumah jagaan Munsterblick. City Gate kini dalam tanggungjawab Sabine Gruber, anak perempuan Gustav.
Bagi pelanggan City Gate, Carl bukan saja penjual buku tapi juga seseorang yang tahu apa buku yang terbaik untuk para pelanggannya secara peribadi. Kerap kali buku yang dicadangkan oleh Carl menepati selera pelanggan City Gate. Dan ini membuatkan para pelanggan lebih senang berinteraksi dengan Carl berbanding Sabine.
Selain itu, Carl juga akan membalut setiap buku yang ditempah pelanggan, dengan sehabis baik sebelum menghantar sendiri ke rumah pelanggan tersebut. Perkhidmatan penghantaran peribadi ini telah mencetuskan satu hubungan platonik antara Carl dan para pelanggan setia City Gate.
Munsterplatz adalah tempat paling sentimental buat Carl di kota kecil ini. Disini, setiap hari Carl akan menelusuri jalan berbatu buntar, dengan langkah perlahan dan teratur. Rutin hariannya ini menjadi nadi penting untuk penduduk kota kecil itu walaupun sangat sedikit yang mengenali Carl secara peribadi.
Antara pelanggan setia Carl yang akan ditemuinya hampir setiap hari adalah:
- Christian von Hohenesch atau Carl gelarkannya sebagai Tuan Darcy (salah satu watak penting dalam novel Pride and Prejudice). Christian aka Tuan Darcy, berumur 37 tahun adalah orang terkaya di kota itu. Kekayaan keluarganya berasal dari perniagaan penyamakan kulit di tepi sungai kota sejak beberapa generasi. Beliau tidak perlu bekerja dan hanya membiarkan saham dan pelaburannya menjana pendapatan untuknya. Beliau adalah seorang lelaki yang tampan, tinggi, berambut hitam, dengan tulang pipi terbentuk dan dagu yang menarik. Sudah lama beliau tidak keluar rumah dan aktiviti sehariannya adalah membaca sehingga mampu menghabiskan sebuah buku sehari. Namun, entah mengapa raut wajahnya sentiasa kelihatan sedih atau lebih tepat lagi sunyi.
- Andrea Cremmen atau gelaran nama sastera diberikan Carl, Effi Briest adalah seorang wanita muda bertubuh lansing, dan berwajah jelita. Kejelitaannya itu membawanya kepada perkahwinan awal dengan Matthias, seorang lelaki berkerjaya dalam bidang insurans yang bekerja hingga larut malam dan hujung minggu. Pendapatan tinggi Matthias membuatkan pasangan muda ini mempunyai kehidupan yang selesa. Pada Carl, Andrea adalah seorang wanita yang mempesonakan namun memandangnya akan sentiasa mengundang perasaan sayu. Wanita menawan ini sentiasa menempah novel-novel emosi dan mempunyai pengakhiran yang tragis dan menyedihkan. Sangat ironi dengan pemandangan mata kasar manusia lain terhadap dirinya. Bagi Carl, Andrea mengingatkannya pada watak Effi Briest, watak utama dalam novel karya Theodor Fontane. Dalam novel tersebut, Effi adalah seroang wanita muda yang berkahwin terlalu awal, dan nasibnya tidak kurang tragis persis heroin dalam novel-novel yang sering dipesan Andrea.
- Dorothea Hillesheim adalah seorang wanita tua yang ceria, penuh semangat, dan gemar memakai stoking berlainan warna atau kasut yang tidak sepadan. Personaliti Dorethea mengingatkan Carl pada watak dalam buku cerita kanak-kanak - seorang gadis liar yang mencorakkan dunianya mengikut kehendaknya sendiri. Oleh itu, dia menggelarkan Dorothea sebagai Puan Longstocking.
- Carl tidak pernah berbohong. Sekali sebuah dusta dilepaskan ke dunia, ia tidak mungkin dapat ditarik kembali.
- Buku-buku yang perlu dibaca berulang kali, sama seperti mutiara yang perlu dipakai untuk mengekalkan kilauannya, atau haiwan yang perlu dibelai untuk berasa disayangi.
- Orang sekarang semakin ramai yang tidak suka membaca. Padahal dalam setiap buku, kita akan jumpa manusia dan kisah mereka. Ada hati yang mula berdegup setiap kali seseorang membacanya, kerana buku itu telah menemui pembacanya.
- Apabila keseluruhan hidup tersusun seperti mekanisme jam yang halus, fungsinya akan terganggu walaupun kerana debu sekecil zarah.
- Membaca banyak tak menjadikan seseorang itu intelektual, sama macam makan banyak tak menjadikan seseorang itu gourmet.
- Aku seorang egotis - membaca semata-mata untuk keseronokkan sendiri, bukan untuk belajar tentang dunia.
- Kalau kamu adalah watak di dalam buku, kamu akan hidup selamanya. Selagi ada orang membacanya, kamu tetap wujud.
- Tidak melakukan rutin penghantaran buku memberikan kesan kepada hidup Carl seperti mencabut seketul batu kecil yang menyokong keseluruhan tembok.
About Me
- ilyana bustan
- A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi, Bunny and Dak Yot...





