Sunday, May 26, 2024

Book Review: Sehingga Yang Patah Tumbuh


Tajuk: Sehingga Yang Patah Tumbuh

Penulis: Aishah Madadiy

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah ini Patung Beruang sudahkan pembacaanya pada tengahari tadi, Alhamdulillah. 

Pada masa ini, momentum membaca Patung Beruang masih tinggi. Makanya, kita layan saja selagi boleh. Ini peluang untuk Patung Beruang membaca sebanyak yang boleh kerana bilangan buku-buku yang sudah dibeli tetapi masih belum dibaca semakin menimbun, hehehe... 


Sehingga Yang Patah Tumbuh membawa pembaca untuk mengenali gadis muda bernama Nawal Hamdi. Gadis yatim yang sangat merindukan sosok allahyarhamah bondanya. 

Nawal merasakan kehidupan di Malaysia tiada apa untuknya selepas dikecewakan Wadi, lelaki yang sering ditemaninya dari zaman mereka belajar. Hakikatnya, Wadi bukan yang terbaik untuk Nawal kerana lelaki itu terlalu pengecut untuk memperjuangkan hubungan mereka walaupun dia sedar Nawal yang banyak  menyokongnya disaat-saat Wadi jatuh. 


Nawal bangkit dari kekecewaan dan nekad membawa diri ke London demi menjejaki kakaknya, Nadya. Nawal menggalas tanggungjawab yang besar untuk menunaikan janjinya pada Ayah dan Mak Cik Ramlah, membawa Nadya pulang ke rumah sebelum Ayah menutup mata. 

Sudah lima tahun Nadya menghilang tanpa khabar setelah berkahwin dengan lelaki pilihannya, Salim Abboudi, lelaki dari Timur Tengah. Khabar terakhir yang diterima Nawal adalah Nadya dan keluarga berada di Frankfurt, Germany. 


Di London, Nawal bertemu semula dengan sahabat baiknya, Shalin dan suami, Amshah. Mereka bertiga bersahabat semenjak dari zaman universiti di German. Kini, pasangan suami isteri ini selesa membina kerjaya di London. 


Di London juga Nawal berkenalan dengan Ali, pemuda Indonesia yang aktif dalam pertubuhan Islamic Relief. Pertubuhan yang banyak membantu komuniti Islam di bumi Ratu dan juga terlibat dalam misi kemanusiaan di Syria, bersama-sama dengan United Nations. 

Bersama-sama dengan Ali dan Shalin, Nawal memulakan pencarian Nadya. Destinasi pertama adalah ke Frankfurt bagi bertemu dengan Ammar, lelaki yang dikatakan kenalan Salim Abboudi. Menurut maklumat, mereka berdua sama-sama berkhidmat di Pertubuhan al-Maktoum. 

Namun, kehadiran Nawal dan Shalin yang pada mulanya diterima Ammar dengan hati terbuka, berubah laku sekelip mata tatkala Nawal menyebut tentang sumbangan 50 ribu Euro yang diterima Pertubuhan al-Maktoum dari sebuah syarikat kenalan Nawal dan Shalin. 

Beberapa hari selepas perjumpaan dengan Ammar, Nawal menerima email dari Ammar yang mengatakan khabar terakhir berkenaan Salim Abboudi dan keluarga adalah mereka telah berpindah ke Sheffield, England. 


Berpandukan pada alamat yang diberikan oleh Ammar, Nawal dan Ali menuju ke Sheffield bagi menjejak Nadya dan keluarga. Kehadiran mereka di Sheffield telah membuka rahsia gelap Salim Abboudi termasuk kekejaman yang dilakukannya terhadap Nadya dan anak perempuan mereka, Samah. 

Akhirnya Nawal berhasil menemui Nadya di Hospital Shrewsbury, sebuah pusat rehabilitasi buat pesakit mental yang tidak kritikal. Nadya dihantar ke hospital tersebut oleh majikannya selepas melihat keadaan wanita tersebut yang semakin tidak terurus selepas Salam Abboudi dan Samah meninggalkannya. 


Perjumpaan dengan Nadya memberi cahaya terhadap Nawal. Dia berjanji untuk mencari Samah dan membawa pulang pasangan ibu dan anak ini ke Malaysia, demi memenuhi hasrat ayah mereka, Hj Hamdi. Dalam usaha pencarian Samah sehingga ke Syria, Nawal berdepan dengan detik-detik cemas yang hampir meragut nyawanya ketika konvoi kemanusiaan mereka ditawan militan Syria. 



Naskah Sehingga Yang Patah Tumbuh ini gaya bahasanya ada lenggok Indonesia sedikit (mungkin perasaan Patung Beruang saja kot). Patung Beruang minta maaf jika tersilap. Logic juga kerana ingin disesuaikan dengan watak Ali, pemuda Indonesia yang setia bersama-sama Nawal dalam pencarian keluarganya, dan juga akhirnya berjaya mencuri hati gadis itu. 

Bagi Patung Beruang naskah ini lengkap rencahnya. Ada perasaan sedih, sayu dan sepi seorang anak dan adik yang merasakan dirinya keseorangan didalam keramaian, ada rasa kuatnya semangat dan tekad bagi menenuhi janji pada Ayah  tersayang, ada rasa sakitnya dikhinati, rasa gembira dan syukur ditemukan dengan sahabat-sahabat dan insan-insan yang baik dalam usaha pencarian ini. 


Oh ye, ada beberapa ayat yang Patung Beruang suka dari naskah ini seperti: 

  • Kadang-kadang kamu perlu berlagak macam tak punya hati. Atau kamu simpan hatimu di tempat lain. Dalam peti besi. Kemas-kemas. Supaya hatimu tidak mudah terdera oleh apa-apa pun. 
  • Setiap orang mampu menjadi selfish. Namun sesetengah orang memilih untuk tidak begitu kerana apalah makna kehidupan jika kamu tidak boleh ada untuk orang lain, menyumbang sehabis mampu dalam apa jua keadaan. 
  • Hargai kekosongan itu. Baru dapat dinikmati kebersamaan. 
  • Manusia yang percaya bahawa apa-apa yang dia peroleh ialah hasil daripada apa-apa yang dikerjakannya, akan menggantungkan rezeki pada usaha. Untuk itu, dia sering berasa lelah memikirkan setiap hal yang tidak dikerjakan. Sedangkan kepercayaannya kepada perihal rezeki seharusnya mendatangkan kedamaian pada hati dan seluruh jasad. 
  • Perasaan ini ibarat api, kalau marak, ia akan memakan diri. 
  • Tidak ada salahnya dengan harapan. Jika harapan ialah satu-satunya perkara indah yang masih tumbuh dalam hati orang yang sudah tidak punya apa-apa, biarkan saja. 



Naskah ini penuh dengan harapan. Harapan seorang Nawal untuk menyatukan semula keluarganya. Harapan seorang Haji Hamdi untuk menyambut kepulangan anak-anak perempuannya. Harapan seorang Ali untuk melindungi Nawal sepenuh jiwa dan raganya, dunia dan akhiratnya. Harapan seorang Nadya untuk kembali menjadi seorang ibu dan anak. Dan harapan seorang Samah untuk keluar dari neraka dunia.....

Wednesday, May 22, 2024

Book Review: Penulis Jalanan


Tajuk: Penulis Arkitek Jalanan

Penulis: Teme Abdullah

Menariknya Naskah Ini: 

Ini adalah naskah terbaru dalam siri Jalanan dari Teme Abdullah. Alhamdulillah, baru kini Patung Beruang berpeluang untuk meneliti naskah ini. 

Catatan di book blurb Penulis Arkitek Jalanan berbunyi begini: 

"Kalau aku jadi penulis, tak ke mana. Aku tak boleh sumbang apa-apa." 

Akibat kekecewaan, Iskandar terus melupakan impiannya untuk menulis, hanya menumpukan perhatiaannya terhadap pengajian dalam bidang seni bina. Setelah berjaya menjadi arkitek di luar negara, Iskandar mengambil keputusan besar untuk pulang ke negara kelahirannya demi kecintaan kepada tanah air. 

Namun, perjalanan baru Iskandar tidak semudah yang disangka. Dia harus bermula dari kosong. Tidak mengaku kalah, Iskandar cuba mencari jalan. Namun, satu demi satu ujian muncul sehingga terpaksa berhutang besar. Hidup Iskandar semakin tersepit. 

"Ikiy ... Kalau kita asyik rasa kita mangsa keadaan, dan kalau kita asyik persoalkan kenapa semua jadi, kita akan zalimi diri kita sendiri." 

Ini kisah Iskandar, mencuba berjalan semula, dan menyuburkan kembali impiannya.... 


Seperti biasa, tulisan Teme Abdullah ada daya penarik tersendiri buat pembaca. Seingat Patung Beruang, naskah ini dihabiskan kurang dari 48 jam, Alhamdulillah... 



Antara perkara yang menarik perhatian Patung Beruang dalam naskah Penulis Arkitek Jalanan ini adalah Iskandar membuktikan bahawa jika kita seorang yang jujur dan ikhlas dalam bekerja, ia memberi kesan kepada pihak atasan dan majikan sehingga mereka menganggap kita aset yang sangat berharga dan sukar untuk dilepaskan. 

Setelah Iskandar berhenti dari firma arkitek di London dan pulang ke Malaysia, pihak atasan mula mengetahui identiti sebenar Iskandar di Malaysia yang merupakan seorang pelukis dan penulis yang sangat hebat. Karyanya laris dipasaran dan memenangi banyak anugerah. 

Oleh itu, tatkala mereka tahu Iskandar bergelut dengan isu kerjaya di Malaysia, mereka menawarkan peluang untuk Iskandar kembali berkhidmat di firma London. Menariknya, tawaran itu disertakan dengan kemudahan peralatan pejabat bagi membantu Iskandar untuk berkerja dengan lebih selesa walau apa pun keadaan kesihatannya, Iskandar boleh meneruskan minatnya dalam penulisan tanpa menggangu tugas hakikinya sebagai arkitek dan juga kemudahan kad kredit korporat untuk digunakan bagi membeli apa saja peralatan atau alat tulis yang diperlukan bagi kelancaran tugasnya. 

Walau berlainan bangsa dan agama, kepercayaan yang diberikan majikan Iskandar di London sangat mengharukan. 



Selain itu, Iskandar juga berdepan dengan kerenah birokrasi dan ketidakadilan pasaran kerja di Malaysia terhadap graduan samaada tempatan atau luar negara. Tidak kiralah sektor kerajaan ataupun swasta, ketidakadilan terhadap graduan terutama bidang teknikal seperti architecture dan engineering sangat ketara. 

Lumrah majikan mahukan pekerja yang hebat dan cekap tetapi upah yang dibayar terlalu sedikit, tidak sepadan dengan gelaran professional. Memburukkan lagi keadaan apabila sesi temuduga dan penilaian bakal pekerja dilakukan semata-mata kerana mengikut prosedur walau hakikatnya, jawatan tersebut sudah dimiliki oleh individu tertentu. Seperti kata pepatah, "Is not about what you know, but who you know." 


Dalam naskah ini, Iskandar ditemukan dengan seorang anak muda bernama Adam. Perkenalan bermula ketika Adam masih lagi bersekolah dan setiap hari Adam akan membantu ibunya di gerai makanan berdekatan dengan rumah sewa Iskandar. Adam adalah anak yang baik walaupun adakalanya terjebak juga dengan kenakalan remaja. 

Berkat persahabatan dengan Iskandar, Adam mula berubah dan lebih mengutamakan pelajaran disamping berbakti kepada keluarga. Persahabatan Iskandar dan Adam berterusan walaupun setelah Iskandar berkhidmat semula di firma London. 

Adam sangat menjaga rahsia dan identiti sebenar Iskandar. Kepercayaan Iskandar pada Adam sangat  tinggi sehingga Adam menjadi orang tengah untuk Iskandar menyalurkan bantuan kewangan kepada mereka yang memerlukan di Malaysia. 



Baiklah, Patung Beruang tak nak cerita lebih-lebih tentang naskah ini. Nanti spoiler alert pula. Seperti biasa, siri Jalanan tidak pernah mengecewakan. Membaca siri Jalanan ini seperti kita menonton filem berkenaan jalan hidup seorang anak muda bernama Iskandar, segala emosi suka duka dalam kehidupannya baik di Malaysia atau pun di UK. 

"Setiap yang disangkakan jalan mati, boleh jadi pondok istirehat sebelum melompat lebih tinggi." 

Harapnya, siri Jalanan ini ada sambungannya. Aamiin...

Terima kasih Teme untuk naskah yang menarik ini. 


Notes

Hari Jumaat ini bermulalah PBAKL 2024. Patung Beruang rasa tak sabar nak melawat deretan booth yang ada, menjelajah setiap dewan dan melihat pelbagai bahan bacaan yang menarik. Basically, Patung Beruang masih belum ada senarai buku yang hendak dibeli. Kita lihat saja apa yang menarik dan jika poket mengizinkan, kita beli lah ye. 

Jujurnya, Patung Beruang ada banyak lagi buku-buku yang sudah dibeli tapi masih belum dibaca. Kebanyakkannya masih berbalut plastic seperti di kedai, huhu. 

Semalam, dari ofis di Cyberjaya, Patung Beruang terus menuju ke MRT Taman Equine untuk catch MRT ke TRX. Dari awal sudah plan untuk melawat MPH di TRX yang baru 5 hari mula beroperasi. Seperti dijangka, bila sudah masuk dalam kedai buku, mesti Patung Beruang akan terbeli sekurang-kurangnya 1 buku, hehehe... 

Harapnya Patung Beruang dapat selesaikan pembacaan semua buku-buku yang ada di rumah ini secepat mungkin. Doakan Patung Beruang ye... 

Sunday, May 19, 2024

Book Review: Millennials vs Boomers (Listen, Learn and Succeed Together)

 


Tajuk: Millennials vs Boomers (Listen, Learn and Succeed Together) 

Penulis: 

1. Eric Harvey 

2. Silvana Clark 


Menariknya Naskah Ini: 

Dalam banyak-banyak buku Management atau psikologi manusia yang Patung Beruang pernah baca, ini antara naskah yang simple dan mudah difahami. 

Patung Beruang beli naskah ini di Bookxcess Ipoh beberapa tahun lepas. Kunjungan kali pertama ke Bookxcess disana sangat menarik kerana konsep yang berbeza dengan cawangan di KL dan Selangor. 


Dalam sesebuah organisasi, adalah satu perkara yang normal untuk mempunyai anggota kerja yang terdiri dari pelbagai peringkat umur. Kepelbagaian peringkat umur ini adakalanya memberi cabaran yang besar kerana perbezaan corak pemikiran, attitude, cara kerja, cara komunikasi dan sebagainya. Jika tidak diuruskan dengan baik, perbezaan ini boleh menyebabkan wujudnya kem-kem tertentu atau perpecahan anggota kerja sehingga boleh memberi risiko kepada matlamat dan hala tuju organisasi tersebut. 

Menariknya, naskah ini terbahagi kepada 12 bab dan setiap bab, akan ada point of view dari golongan millenials dan boomers. Antara 12 bab tersebut adalah: 

1. Teamwork and Working Together : 

  • Millenials sentiasa ada idea yang banyak tetapi mereka juga sering mengharapkan ada anggota kerja lain yang mampu menjadi sparring partner mereka. Tugas sparring partner adalah untuk challenge dan brainstorm bagi membolehkan idea atau keputusan yang lebih baik terhasil. Bukankah 2 heads are better than 1? 
  • Boombers pula seronok bekerja seorang diri dan rasa tiada keperluan untuk meminta pendapat semua orang kerana akhirnya hanya dia seorang yang perlu menyelesaikan tugasan tersebut. 


2. Loyalty to the Job and the Organisation : 
  • Bagi millennials, kesetiaan adalah hasil dari usaha kedua-dua belah pihak iaitu majikan / management dan juga pekerja. Jika pihak pengurusan berjaya mengekalkan persekitaran kerja yang condusive, sentiasa berusaha kearah lebih baik, memupuk nilai-nilai kreativiti pekerja, tidak terlalu rigid dengan peraturan-peraturan lapuk, sentiasa mementingkan kepuasan bekerja, mempunyai career path yang jelas, mungkin pekerja millenials akan berusaha untuk berkhidmat di organisasi tersebut selama yang boleh. Millennials tidak takut untuk lompat kerja jika mereka tidak rasa gembira atau tiada kepuasan bekerja. Bukankah high risk, high return? 
  • Setia pada sesuatu organisasi adalah nilai yang sangat dibanggakan oleh boomers. Mengapa perlu bertukar organisasi sedangkan organisasi sekarang mampu memberi gaji yang berpatutan, cukup untuk menyara keluarga dan memberi pendidikan pada anak-anak? Layanan yang tidak adil dari majikan? Pedulilah.. Tiada kepuasan bekerja? Tidak kisahlah asalkan cukup bulan gaji dibayar seperti yang dijanjikan.  Mengapa mesti bertukar organisasi sedangkan tiada jaminan yang organisasi baharu itu lebih baik? Grass not always greener on the other side. 


3. Dealing with Change: 
  • Change is positives adalah motto millennials. Oleh itu, tolonglah dengar idea-idea kami dan bekerja bersama kami agar kita boleh menghasilkan kejayaan yang unggul. Jangan takut dengan perubahan kerana sekecil-kecil perubahan tetap ada impaknya. Jika masih belum berjaya, kita teruskan cari dimana ruang untuk penambahbaikkan. Bagi millennials, perubahan adalah normal. Normal seperti mereka menukar handphone hampir setiap tahun, setiap kali keluar model terbaru. 
  • Boomers bukan lah takut cuma kurang selesa dengan perubahan. Bagi mereka, jika proses sedia ada memadai, mengapa perlu berubah? Tetapi itu tidak bermakna boomers anti-perubahan. Mereka juga ingin dilihat cekap dan efficient seperti millennials. Cuma perubahan yang terlalu kerap akan membuatkan mereka pening dan akhirnya putus asa. Oleh itu millennials, hulurkan tangan pada boomers agar dapat melalui perubahan ini bersama-sama. Perlahankan sedikit langkah anda agar mereka dapat berjalan bersama, menikmati proses perubahan tersebut dan seterusnya memberi impak yang lebih baik pada organisasi. 


4. Work-Life Balance : 

  • Kami perlu bekerja kerana itu adalah sumber pendapatan kami. Tetapi, kami juga ada kehidupan sendiri. Kami ada keluarga yang perlu diberi perhatian, kami ada rakan-rakan yang perlu disantun, kami ada hobi sebagai escapism dari tekanan kerja. Kami, millennials, suka dan sangat menghargai pekerjaan kami, tetapi jangan rampas kehidupan kami di luar waktu pejabat. Motto kami, work hard and play hard. Asalkan kami berjaya siapkan tugasan dalam waktu yang sepatutnya, dengan kualiti sehabis baik, jangan sekali-kali persoalkan mengapa kami bergegas tinggalkan pejabat selepas habis office hours. 
  • Boomers telah dididik untuk bekerja keras dan merasa bangga dengan pekerjaan yang dimiliki. Hidup ini untuk kerja. Pasangan dan anak-anak pasti faham jika kita pulang lewat ke rumah kerana kita ada banyak tugasan yang perlu diselesaikan dipejabat itu. Kami hairan bagaimana millennials boleh tinggalkan pejabat awal dan terus ke gym untuk bersenam, atau keluar minum dengan kawan-kawan sedangkan tugasan di pejabat masih belum selesai. Mungkin kami terlupa yang deadline untuk tugasan tersebut adalah lusa. 


Baiklah, cukuplah Patung Beruang kongsikan 4 aspek perbahasan antara millenials dan boomers. Jika nak tahu lebih, kenalah baca naskah ini... 


Basically, naskah ini sangat santai dan isinya disusun dengan menarik. Ini membuatkan pembaca lebih menyelami apa isi hati millenials dan boomers. Jika focus, boleh saja selesaikan pembacaan dalam masa beberapa jam, hehehe.. 

Bagi Patung Beruang, ini adalah naskah yang menarik untuk diteliti agar kita lebih memahami character anggota kerja di organisasi kita dan membantu kita untuk menguruskan mereka dengan lebih baik. Dan sebenarnya, info-info dalam naskah ini boleh juga diaplikasi dalam perhubungan seharian, samaada dalam keluarga atau masyarakat sekeliling. 

Selamat membaca.... 

Sunday, May 5, 2024

Book Review: Kami


Tajuk: Kami

Penulis: Akiya

Menariknya Naskah Ini: 

Akiya atau nama sebenarnya Mahat a/l China adalah seorang penulis berketurunan Semai bareeh. Menggunakan nama pena Akiya dalam penulisan seni. Dikalangan keluarga, beliau juga dikenali dengan nama Anggor. 

Patung Beruang mengenali buah tangan Akiya melalui naskah beliau yang bertajuk Hamba dan Patung Beruang juga ada kongsikan betapa menariknya naskah Hamba itu di blog ini. 

Naskah Kami ini berkisah tentang kelangsungan hidup Anggor dan keluarganya. Ia berkisar dari semenjak zaman darurat sehinggalah waktu terkini, yang melibatkan perjalanan hidup tiga generasi keturunannya. 


Akiya atau Anggor dilahirkan pada 2 January 1953 adalah anak sulung kepada Jakob@China a/l Ah Hu dan isterinya, Tamun a/p Megat Husin. Mempunyai 6 orang adik iaitu: 

  • Jalih (sudah meninggal dunia)
  • Imah (sudah meninggal dunia)
  • Sehak (sudah meninggal dunia)
  • Borhan (sudah meninggal dunia)
  • Bibi a/p China
  • Abas a/l China 

Anggor berketurunan Semai bareeh dan membesar di pedalaman negeri Perak. Semai bareeh bermaksud kaum Semai yang menetap dalam kampung di pinggir bandar. Kampung Anggor berjiran dengan kampung Melayu. Oleh itu, mereka banyak berhubung dengan orang luar seperti Cina, Melayu dan India. 


Ketika Anggor berumur 10 tahun, iaitu pada tahun 1960-an, bermulalah usaha-usaha pembangunan di kampungnya sebagai salah satu usaha kerajaan untuk membantu orang kampung. Pembangunan tersebut termasuklah pembinaan sekolah dan pos perubatan bagi kemudahan masyarakat kampung. 

Anggor dan keluarga tinggal secara tetap dan berkampung halaman. Keluarganya bercucuk tanam dan menternak secara ekonomi sara diri. Selain itu, penduduk kampungnya juga terlibat secara langsung dalam kegiatan ekonomi jual beli dalam skala kecil. 

Seperti kebiasaannya, setiap kampung pasti diketuai oleh penghulu (penghuluk). Penghulu ini bertanggungjawab untuk menjaga hal-ehwal anak-anak buahnya iaitu penduduk kampung tersebut seperti:
  1. Melaporkan kepada pihak berkuasa tentang kelahiran dan kematian. 
  2. Menyelesaikan pertengkaran yang berlaku antara anak-anak buahnya. 


Ayah dan emak Anggor bercerita yang Anggor dilahirkan ketika zaman darurat, zaman komunis. Ayah bercerita yang ketika itu banyak askar berkubu di pinggir-pinggir kampung, di hulu dan di hilir Sungai Erong. Di seberang sungai juga ada askar berkubu. Orang kampung takut akan askar. Tetapi orang kampung juga takut akan komunis. 

Hidup ketika darurat sangat sukar. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Barang makanan seperti beras, gula, tepung, garam, minyak masak semuanya kena catu. Barang makanan dikawal oleh kerajaan bagi mengelakkan ia jatuh ke tangan komunis. 



Datuk Anggor berketurunan Cina Hokkien, bernama Ah Hei. Namun orang kampung lebih mengenalinya dengan nama Aki Mya. Aki Mya berasal dari Tongsan, China dan datang ke Tanah Melayu untuk mencari kehidupan yang lebih baik. Aki Mya adalah seorang peniaga dan menjadi orang tengah untuk membeli hasil pertanian dari kawasan pedalaman untuk dijualnya di pekan Sabak Bernam. 

Wan Nanti atau Eh adalah isteri Aki Mya. Dalam ingatan Anggor, neneknya ini adalah seorang wanita tua yang suka memakai baju kurung Kedah warna hitam dan berkain hitam. Perwatakan wanita ini yang pendiam dan suka menyendiri membuatkan Anggor merasakan yang Wan Nanti adalah seorang wanita tua yang penuh misteri. 



Zaman kanak-kanak adalah zaman yang menyeronokkan kerana mereka hanya bermain dan bermain sepuas-puasnya. Anggor dan rakan-rakan seronok bermain pondok-pondok dan peperangan menggunakan senapang mainan yang dibuat dari kayu. Jika bermain peperangan, pastu terung pipit kesayangan emak habis dibuat peluru. Keadaan ini mencetuskan kemarahan emak dan akhirnya emak membakar senapang mereka dan melarang anak-anak dari membuat senapang baru. 

Samaada musim kemarau ataupun musim tengkujuh, kedua-duanya mempunyai kenangan manis buat Anggor. Ketika musim kemarau, air Sungai Erong akan cetek termasuk kawasan lubuknya. Oleh itu, pelbagai jenis ikan sungai seperti ikan baung, ikan bujuk, ikan toman, ikan susur batang, ikan terbul, ikan temperas, ikan tilan malah labi-labu akan terperangkap di dalam lubuk yang airnya separas dada orang dewasa. Oleh itu, orang kampung termasuk Anggor dan keluarga akan menangkap ikan dengan cara menggagau ikan. 

Aktiviti menggagau ikan ini seperti satu pesta. Baik lelaki atau perempuan akan turun ke sungai untuk menggagau ikan. Kanak-kanak pula akan menonton dan mempelajari teknik menggagau yang dilakukan orang dewasa. 

Ikan yang dapat ditangkap melalui aktiviti menggagau ini sangat banyak dan tidak akan habis dimakan sekaligus. Oleh itu, ikan yang tidak habis dimakan akan disalai. Itulah cara mereka menyimpan ikan untuk dijadikan simpanan makanan.  Selain disalai, ada juga yang membuat ikan pekasam. Semuanya demi memastikan, bekalan makanan sentiasa ada untuk keluarga ini. 

Apabila musim tengkujuh tiba, Sungai Erong menjadi tempat ikan sungai bertelur. Pada waktu itu, semua kawasan lembah atau kawasan rendah yang berada di tebing sungai akan digenangi air bah. Ikan-ikan pula banyak berkumpul di tebing-tebing sungai atau kawasan lembah. Oleh itu, penduduk kampung akan memasang lukah atau bubu untuk menangkap ikan. Penduduk kampung Anggor pula lebih gemar menangkap ikan dengan cara memasang candik. 


Anggor mula bersekolah ketika berusia 10 tahun, iaitu lewat 3 tahun daripada usia sepatutnya. Emak dan ayah mahu Anggor bersekolah dan belajar menjadi orang pandai. Mereka sedar yang pendidikan mampu mengubah masa depan keluarga itu. Ketika itu orang kampung Anggor mempunyai pelbagai pandangan yang berbeza berkaitan persekolahan anak-anak mereka. Ada yang berpendapat, kalau anak-anak mereka bersekolah, anak-anak mereka akan menjadi orang pandai dan boleh menjadi mandur di Ladang Ulu Bernam. Gajinya besar dan kerjanya juga agak senang. Oleh itu, anak-anak mereka tidak perlu lagi menjadi penoreh getah. Tetapi ada juga orang kampung yang berpendapat jika anak-anak mereka bersekolah, anak-anak ini akan jadi orang Melayu, dan seterusnya merugikan masyarakat orang Asli sendiri. 


Antara perkara yang sangat menyakitkan berlaku dalam keluarga Anggor adalah kematian adik-adiknya. Dua adiknya, Sehak yang lahir pada tahun 1959 dan Borhan, lahir tahun 1960 meninggal dunia kerana demam panas. Sehak meninggal ketika berumur 6 tahun dan Borhan pula ketika berumur 5 tahun. 

Ketika itu, kawasan kampung mereka tidak mempunyai kemudahan perubatan. Apabila sakit, mereka tidak mampu untuk mendapatkan rawatan yang baik. Kedua-dua anak ini meninggal dunia pada bulan dan tahun yang sama, cuma berselang dua minggu. 

Semasa Sehak dan Borhan mengalami demam panas, ayah telah mengayuh basikal sejauh lebih 5 kilometer, membawa anaknya ke klinik di Ladang Ulu Bernam. Walaupun pembantu perubatan telah memberi ubat demam panas, suhu badannya masih tidak turun sehingga menyebabkan kematiannya. 

Jalih pula lahir pada tahun 1954. Ketika kanak-kanak, Jalih kerap sakit dan sering keluar masuk Hospital Tapah. Jalih ada tanda-tanda mengidap penyakit lelah. Akhirnya, pada usia 21 tahun, Jalih meninggal dunia di Hospital Tibi, Kuala Lumpur. Didalam sijil kematiannya, tercatat punca kematian adalah penyakit tibi. 

Kematian yang terakhir berlaku dikalangan adik-adik Anggor adalah Imah. Kisah Imah ini sangat sedih kerana banyak rahsia dirinya terungkap melalui tulisan-tulisan dalam diarinya, yang dibaca Anggor selepas pemergian gadis ini. 




Apa yang Patung Beruang gemar dengan naskah Kami ini adalah walaupun Akiya menggunakan gaya bahasa yang ringkas dan bersahaja, beliau tetap mampu bercerita tentang kehidupan keluarganya dengan amat terperinci. Beliau bercerita tentang kedua-dua ibu bapanya yang sangat beliau hormati, tentang adik-adiknya yang sangat dikasihinya, tentang saudara-maranya yang pelbagai ragam, dan juga tentang kawan-kawan sepermainannya. 

Dalam naskah Kami ini ada perjalanan suka dan duka. Ada kasih yang merimbun dan terus mewangi. Ada nostalgia yang jauh ditinggalkan, tetapi sentiasa kejap tersemat dalam ingatan. 

Jujurnya, Patung Beruang jatuh cinta dengan penulisan Akiya selepas membaca naskah Hamba. Gaya bahasa yang ringkas tetapi masih menusuk ke hati, membuatkan kita terasa seperti sedang mendengar Akiya bercerita kisahnya atau kisah masyarakatnya, sambil duduk minum petang di tepi halaman rumah. 

Sejak itu, Patung Beruang berazam untuk mengumpul seberapa banyak naskah Akiya, kerana melaluinya kita dapat belajar tentang cara kehidupan kaum berbilang bangsa yang berada di zaman yang berbeza.  


Terima kasih Akiya untuk naskah yang sangat merendah diri tetapi hebat dan berbekas di hati pembaca. Semoga naskah ini menjadi harta paling berharga untuk tatapan generasi muda. 

Book Review: Finding Chika


Tajuk: Finding Chika

Penulis: Mitch Albom 

Menariknya Naskah Ini: 

Untuk genre fiction berbahasa Inggeris, Mitch Albom adalah antara penulis kegemaran Patung Beruang selain Jeffrey Archer. Oleh itu, sedaya-upaya Patung Beruang berusaha untuk memiliki dan membaca semua buku tulisan Albom. 

Gaya tulisan Albom ada soothing effect seperti mana jika Patung Beruang membaca tulisan Mizi Wahid. 

Finding Chika sudah berada di pasaran sejak 2019 cuma baru sekarang Patung Beruang berpeluang untuk menghayatinya. 


Naskah ini adalah kisah benar seorang gadis kecil bernama Chika Jeune yang merupakan seorang anak yatim dari rumah anak-anak yatim di Haiti yang dikendalikan oleh Mitch Albom dan isterinya, Janine. 

Chika lahir 3 hari sebelum satu gempa bumi yang besar melanda Haiti pada tahun 2010. Ajaibnya, walaupun rumahnya ranap, bayi comel ini ditemui dalam keadaan selamat. Chika membesar dalam keluarga yang dhaif dan selepas ibunya meninggal dunia ketika melahirkan adik lelakinya, Chika dihantar ke The Have Faith Haiti Orphanage, yang terletak di Port Au Prince, ibu kota Haiti. 

Di rumah anak-anak yatim ini, Chika dikelilingi rakan-rakan dan penjaga yang menyayanginya seperti keluarga sendiri. Sayangnya, ketika berumur 5 tahun, Chika disahkan mengidap ketumbuhan otak. Makanya, Albom dan Janine mengambil keputusan untuk membawa Chika ke Amerika untuk mendapatkan rawatan yang lebih baik dengan harapan, setelah sembuh, Chika akan dihantar pulang ke Haiti untuk bersatu semula dengan keluarganya. 

Dalam masa 2 tahun, pasangan Albom dan Chika sentiasa berulang-alik antara rumah dan hospital sehingga Chika dikenali oleh hampir semua kakitangan di hospital tersebut. Dalam tempoh ini juga, trio ini menjadi satu keluarga kecil yang bahagia. 

Chika adalah kanak-kanak pintar dan penuh dengan empati. Kehadirannya memberi dimensi baru pada pasangan Albom dan Janine, selain mengukuhkan lagi rumahtangga mereka. Albom yang sentiasa sibuk bekerja, mula belajar untuk menjadi seorang ayah dan suami yang prihatin dengan keperluan keluarga bukan saja dari segi material tetapi juga emosi dan mental. 

Hari demi hari, keadaan kesihatan Chika semakin merosot. Keadaan ini memberi beban emosi yang berat pada pasangan Albom dan Janine. Mereka sedar, walau secanggih mana dunia perubatan di negara maju, mereka tetapi tidak mampu mengawal takdir Tuhan. 

Kematian Chika pada 15 April 2017 telah meninggalkan kesan yang mendalam pada Albom dan Janine. Setiap hari Albom hanya duduk di ruang kerja di rumahnya, cuba untuk meluahkan segala perasaan yang terpendam namun gagal. Ingatannya sentiasa penuh dengan kenangan pada Chika. Segala perbualan mereka, telatah Chika yang suka mengusik dan menceriakan suasana serta ketabahan Chika dalam menyembunyikan kesakitannya, seolah segalanya baik-baik saja pada gadis kecil itu. 


Naskah Finding Chika ini sangat meruntun perasaan. 

Kisah tentang cinta, pengorbanan dan apa yang dimaksudkan dengan keluarga. Naskah yang ditulis berdasarkan kisah Albom sendiri, magisnya lain. Pembaca turut merasa segala kebimbangan, kerunsingan, kekalutan dan kesyukuran yang ada dalam jiwa Albom dan Janine. Setiap pagi, tatkala melihat Chika masih bernafas, mereka rasa sangat bersyukur kerana Tuhan masih meminjamkan Chika kepada mereka untuk 1 hari lagi. Rasa syukur yang tidak mampu digambarkan kerana mereka tidak pasti, adakah keadaannya masih sama pada keesokkan hari. 


Berikut adalah beberapa petikan dari naskah ini yang Patung Beruang sangat suka: 

  • "There are many kinds of selfishness in this world, but the most selfish is hoarding time, because none of us know how much we have, and it is an affront to God to assume there will be more."
  • "Dying is only one thing to be sad about, Mitch. Living unhappily is something else." 
  • "A child is both an anchor and a set of wings." 
  • "The most precious thing you can give someone is your time, Chika, because you can never get it back. When you don't think about getting it back, you've given it in love." 
  • "Families are like pieces of art, they can be made from many materials. Sometimes they are from birth, sometimes they are melded, sometimes they are merely time and circumstance mixing together, like eggs being scrambled in a Michigan kitchen. But no matter how a family comes together, and no matter how it comes apart, this is true and will always be true: you cannot lose a child. And we did not lose a child. We were given one. And she was glorious." 


Naskah yang sangat menarik untuk diteliti sebagai satu escapism disaat kehidupan material yang melelahkan....

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...