Tuesday, October 13, 2020

Book Review : Tanah Airku Di Bumi Ratu

Tajuk : Tanah Airku di Bumi Ratu

Penyelenggara : 

1. Shahkang

2. Kymioflario

3. Fahd Razy

4. Rasydan Fitri


Menariknya Naskah Ini : 

Naskah ini baru saja Patung Beruang selesaikan pembacaannya kelmarin. Tanah Airku di Bumi Ratu ini menghimpunkan 28 anekdot karya anak Malaysia yang berada di United Kingdom (UK). 

Melalui naskah ini para penulis berkongsi pengalaman kehidupan mereka di sana, suka duka, pengajaran yang boleh diambil ketika berkelana di sana. Para penulis terdiri dari anak Malaysia yang menetap di sana sama ada atas tuntutan mencari ilmu, berkerja atau mungkin mengikut pasangan. 

Antara cerita yang menarik perhatian Patung Beruang adalah Menjadi Kordial Kepada Masyarakat nukilan Aiman Amri. Peluang belajar di luar negara, selain dari menuntut ilmu yang diperolehi dari kelas-kelas atau para pensyarah, para pelajar juga boleh menimba pengalaman kehidupan terutama dari masyarakat tempatan. 

Tidak semua budaya dan cara hidup orang putih atau orang luar negara itu tidak bagus. Banyak juga nilai-nilai murni yang boleh kita kutip untuk dijadikan panduan seperti amalan menjaga kebersihan, disiplin ketika menaiki pengangkutan awam, amalan tolong-menolong dan empati sesama manusia. 

Nilai-nilai murni yang dipelajari dan diamalkan ketika berada di luar negara, harapnya biarlah berkekalan walaupun ketika sudah pulang ke tanahair. Prinsipnya mudah, jika kita ingin melakukan perubahan yang lebih baik kepada masyarakat, kita sendiri yang mesti ke arah itu. Tidak guna jika perubahan itu hanya dituturkan tetapi tidak diikuti dengan perlakuan atau tindakan yang sepatutnya. 

Analoginya seperti kordial. Apabila air segelas diletakkan kordial oren sesudu, pasti air itu akan berubah warna. Itulah peranan yang sepatutnya dibawa oleh para pelajar kita apabila pulang ke tanah air. Pulang bukan saja dengan ilmu tetapi juga dengan perubahan atau acuan untuk sama-sama mendidik masyarakat agar menjadi lebih baik. 


Kalkulator Pink karya Ms Lily berkisar kepada kehidupan seharian kita ini tidak pernah lari dari tarbiah yang Allah nak bagi. Cuma, antara kita sedar atau tidak sahaja. 

Ketika penulis dan rakannya sedang mengulangkaji pelajaran di ruangan wanita "masjid" kampus tersebut, kalkulator pink yang dimiliki penulis telah menarik perhatian seorang wanita lain. Wanita tersebut pada awalnya disangka penulis sebagai seorang tukang cuci. Seorang wanita berkulit hitam dan dalam usia pertengahan umur. 

Hakikatnya, wanita yang dianggap tukang cuci ini adalah wanita yang hebat. Beliau adalah seorang siswazah PhD  di universiti tersebut. Setiap hujung minggu, wanita tersebut akan datang ke "masjid" untuk membersihkan dan mengemas rumah ibadat itu. Itulah rutin mingguan beliau, walau pun tanpa disuruh atau dipaksa, walaupun tanpa bayaran. Segala-galanya dilakukan demi mencari keredhaan Allah SWT. 

Betapa hebatnya wanita tersebut kerana walau dengan latar pendidikan yang tinggi, beliau masih berusaha mencari keredhaan Allah dengan cara yang mungkin dipandang hina oleh manusia lain. 

Benarlah, jangan kita manusia hanya melihat dengan pandangan kasar semata-mata. Mungkin terlihat rendah tarafnya dimata manusia, namun tidak di sisi Allah dan para Malaikat-Nya. 



Baiklah, cukup rasanya Patung Beruang kongsikan 2 buah cerita saja. Kalau nak lebih, kenalah baca sendiri ye.. 


Hm... bagaimana Patung Beruang boleh memiliki naskah ini? 

Ceritanya, pada bulan lepas, ketika berkunjung di Borders IOI City Mall, Patung Beruang terjumpa naskah ini di rak promotion. Di rak itu, semua buku dijual dengan harga 50% diskaun. 

Walaupun buku ini berbalut plastik dan Patung Beruang tidak boleh melihat isi kandungannya, Patung Beruang tetap nekad untuk memilikinya sebab tertarik untuk mengetahui apakah perkongsian yang ditawarkan oleh para penulis berkenaan kehidupan mereka di bumi Queen Elizabeth ini. 

Ternyata, ia adalah tindakan yang bijak sebab banyak perkongsian yang menarik dalam naskah ini. Ada yang meruntun emosi terutama apabila mereka berkongsi keperitan hidup tanpa keluarga tersayang, cabaran dengan perbezaan agama, budaya dan latar belakang. Namun, ada juga cerita yang menjentik rasa kehambaan kita iaitu apabila mereka berkongsi pengalaman mencari Tuhan yang Maha Esa atau kembali berpegang pada tali keimanan. 

Naskah santai yang menarik untuk diteliti..... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...