Friday, October 30, 2020

Book Review : Dr. Burhanuddin , Putera Setia Melayu Raya

Tajuk : Dr. Burhanuddin , Putera Setia Melayu Raya

Penulis : Ahmad Boestamam 

Menariknya Naskah Ini : 

Patung Beruang sering melihat naskah ini dipromosikan oleh Kiri, dalam group The Bibliophiles. Sayangnya Patung Beruang sendiri belum berkesempatan untuk berkunjung ke phyisical store mereka di PJ. 

Beberapa hari lepas, Gerak Budaya announced yang mereka sedang mengadakan jualan murah sebagai salah satu cara untuk meningkatkan sales dalam musim Covid ini. Jadi, lepas kerja hari tu, Patung Beruang terus bergegas ke PJ, berkunjung ke Gerak Budaya. 

Ini adalah salah satu buku yang Patung Beruang beli pada hari itu. 

Naskah kecil yang mempunyai kurang dari 100 mukasurat ini bukanlah riwayat hidup Dr. Burhanuddin. Tetapi ia lebih kepada catatan peribadi Ahmad Boestamam berkenaan kenangan-kenangan beliau bersama Dr. Burhanuddin. 

Naskah yang diterbitkan pada tahun 1972 (Patung Beruang pun belum lahir lagi, huhu... Jgn kata lahir, ibu dan ayah pun belum berkahwin lagi pada waktu ini, heheh..), mempunyai 10 bab yang dimulakan dengan perkenalan Ahmad Boestamam dengan Dr. Burhanuddin. 

Kedua-dua insan ini berkenalan ketika Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) mengadakan kongres pertamanya di Ipoh pada November 1945. Dr Burhanuddin pada waktu itu menyandang jawatan Naib Yang Dipertua Agung. Disebabkan ketiadaaan Mokhtaruddin Lasso, pemimpin yang sepatutnya memimpin perjalanan kongres tersebut, Dr Burhanuddin telah dipertanggungjawabkan untuk mempengerusikan kongres tersebut. 

Kongres pertama PKMM mencatatkan banyak sejarah untuk Parti tersebut dimana terdapat beberapa keputusan berat yang telah diputuskan ketika kongres berjalan antaranya pemilihan perkataan atau frasa yang akan digunakan sebagai teriakan parti, lambang parti dan juga lagu kebangsaan parti. 

Selain dari seorang pemimpin yang hebat dan sentiasa tenang, Dr Burhanuddin juga dikenali sebagai seorang yang kuat pegangan agamanya. Ini terbukti apabila beliau diajukan pertanyaan berkenaan kewujudan Tuhan dan jika benar Tuhan itu berkuasa, dapatkan Tuhan itu membuat terompah kayu dan meletakkannya di hadapan mata si bertanya, pada masa itu juga. 

Dr Burhanuddin menjawab soalan tersebut dengan tenang dan menyatakan Tuhan itu sangat berkuasa sehingga apa saja boleh dilakukan-Nya termasuklah  menghasilkan alam semesta, semua hidupan didalamnya serta juga menghasilkan terompah kayu. Namun, jika perkara mudah itu (menghasilkan terompah kayu) juga kita minta Tuhan lakukan sedangkan kita sebagai manusia yang lemah mampu melakukannya, ini bermakna kita mempersia-siakan kehebatan Tuhan itu sendiri. 

Selain ketenangannya dalam menjawab persoalan ketuhanan tersebut, Dr Burhanuddin memberi contoh-contoh yang nyata dalam kehidupan bagi menguatkan hujahnya. Menariknya, sepanjang perdebatan itu, Dr Burhanuddin tidak sekalipun mengeluarkan hadis dan firman seperti yang biasa dilakukan oleh orang-orang alim yang lain. 

Penulis juga berkongsi dengan pembaca berkenaan detik-detik sebelum dan selepas kehancuran Malayan Union. PKMM pernah menyertai UMNO demi melawan agenda jahat penjajah. Setelah Malayan Union berkubur, PKMM sedar perlunya mereka keluar dari UMNO demi menjadi parti yang berhaluan kiri. 

Pentingnya parti berhaluan kiri adalah demi check and balance, serta mengimbangkan pengaruh dan kuasa parti haluan kanan atau parti pemerintah. Keluarnya PKMM dari UMNO berlaku ketika Persidangan Tahunan UMNO dan parti-parti dibawahnya, yang diadakan di Ipoh. Peristiwa yang berlaku ketika persidangan tersebut benar-benar memeranjatkan semua pihak namun segala-galanya berjalan dengan aman tanpa sebarang provokasi atau keganasan. 

Naskah ini turut menyelitkan berkenaan kesedihan penulis kerana tidak dapat bersua muka dengan Dr Burhanuddin sebelum beliau meninggal dunia, serta ketidak hadirannya untuk melawat jenazah pemimpin hebat ini. Dr Burhanuddin  yang ketika itu menjawat jawatan Ketua Agung PAS, meninggal dunia akibat sakit.


Secara umumnya, naskah ini adalah perkongsian peribadi penulis, dari pemerhatiannya juga luahan isi hatinya terhadap sosok yang bernama Dr Burhanuddin. Menatap naskah ini seolah-olah seperti kita berbual dengan penulis, menikmati detik-detik bersejarah dalam hidupnya dan juga dalam dunia politik tanahair. 

Patung Beruang bukanlah seorang peminat tegar sejarah. Tetapi Patung Beruang mampu menikmati naskah ini mungkin kerana kesan personal touch dari penulis itu terlalu kuat. Menatap naskah ini seperti kita berdepan dengan Ahmad Boestamam dan mendengar cerita dari mulut beliau sendiri...

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...