Saturday, October 17, 2020

Book Review : The Magic Strings of Frankie Presto

Tajuk : The Magic Strings of Frankie Presto

Penulis : Mitch Albom 


Menariknya Naskah Ini : 

Naskah The Magic Strings of Frankie Presto ini baru saja Patung Beruang selesai baca pada malam semalam. Naskah yang mempunyai 489 mukasurat ini mengambil masa hampir sebulan untuk dihabiskan. Alhamdulillah.. 

Untuk kali ini, Mitch Albom membawa pembaca kepada kisah kehidupan pemuzik lagenda bernama Francisco de Asis Pascual Presto atau nama komersilnya Frankie Presto. 

Frankie Presto adalah anak tunggal kepada Carlos Andres Presto dan isterinya, Carmencita. Carlos adalah seorang guitaris yang terkenal di Villarreal, Spain. Malangnya dia hilang penglihatan ketika peperangan. 

Ketika detik-detik terakhir sebelum Frankie dilahirkan, Carmencita telah pergi ke gereja untuk berdoa. Ketika berada di gereja, para pemberontak datang dengan tujuan memusnahkan gereja tersebut dan membunuh para paderi yang ada. Carmencita telah dibawa bersembunyi oleh seorang nun. Ketika persembunyian tersebut, Frankie pun lahir ke dunia. Carmencita menyerahkan bayi yang tidak berdosa ini kepada nun tersebut dan meminta wanita itu melindungi anaknya. Tidak berapa saat, Carmencita pun menghembuskan nafasnya yang terakhir. 

Beberapa hari selepas itu, penduduk sekitar menjumpai jasad Carmencita di celah-celah kebakaran dan runtuhan gereja. Carlos terasa hidupnya hilang sekelip mata apabila menyedari yang isterinya, Carmencita dan anak mereka telah pergi untuk selama-lamanya. 

Selain jasadnya, dompet Carmencita juga dijumpai dan dipulangkan semula kepada Carlos. Di dalam dompet tersebut mengandungi 6 strings gitar yang ingin dihadiahkan oleh Carmencita kepada suaminya, namun tidak kesampaian apabila ajalnya sampai. Sejak hari itu, Carlos menyimpan barang-barang peribadi Carmencita termasuklah strings gitar itu di dalam almari. Tanpa mengetahui strings gitar itu mempunyai magis tersendiri dan bakal mengubah kehidupan satu-satunya anak mereka, Frankie Presto. 


Setelah beberapa lama Frankie Presto dijaga oleh nun atau nama sebenarnya Josefa, kehidupan mereka semakin tersepit. Apatah lagi Frankie yang masih bayi, tidak berhenti menangis kecuali waktu tidur. Pelbagai cara dilakukan Josefa untuk menghentikan tangisan itu namun semuanya gagal. 

Josefa buntu dan akhirnya meletakkan bayi itu ke dalam sebuah kotak dan menghanyutkannya di sungai. Seketika kemudian Josefa tersedar kesilapannya terutama apabila dia teringat janjinya pada Carmencita untuk sentiasa melindungi bayi tersebut. 

Dalam kekalutan itu, Josefa ternampak seekor anjing menarik kotak berisi bayi itu ke tebing. Di tebing, seorang lelaki bernama Baffa Rubio melihat kelakuan anjing tersebut. Baffa adalah lelaki bujang dan juga seorang pemilik kilang sardin. Baffa tertarik dengan bayi @ Frankie didalam kotak itu, dan juga anjing yang menyelamatkannya. Maka, Baffa pun membawa pulang Frankie dan anjing tersebut dan menganggap mereka sebagai ahli baru keluarganya. 

Frankie hidup dan membesar bersama ayah angkatnya dan anjing mereka. Sedari kecil Frankie menunjukkan minat terhadap music. Malah dia sudah pandai bernyanyi hanya dengan mendengar lagu atau music dari radio atau piring hitam. 

Baffa bercadang untuk menghantar Frankie belajar music dan Baffa teringat tentang seorang guitaris hebat tetapi buta yang sering membuat persembahan di kelab malam. Guitaris hebat tersebut bernama Carlos Andres Presto. 

Pada awalnya Carlos enggan menerima Frankie yang baru berusia 4 tahun sebagai anak muridnya kerana usia Frankie yang terlalu muda. Namun, keputusan itu berubah tatkala Carlos mendengar Frankie menyanyikan melodi bertajuk Lagrima yang dicipta oleh Francisco Tarrega. 

Lagrima bermaksud air mata. Francisco Tarrega adalah pemuzik, komposer  dan pemain gitar lagenda Spain yang berasal dari pekan tersebut pada tahun 1852. Seperti Frankie, Tarrega juga membesar dalam keadaan terumbang ambing. Dirinya dibuang oleh penjaga, sehingga memaksanya berdikari dan matang sebelum usianya. Namun kesusahan dan keperitan hidupnya tidak pernah menghalang Tarrega untuk menghasilkan karya seni yang hebat sehingga diangkat menjadi lagenda berabad lamanya. 

Kini, bermulalah sesi pembelajaran Frankie bersama dengan Carlos dalam bidang muzik terutama gitar, tanpa menyedari gurunya itu adalah ayah kandungnya. 

Dalam masa yang sama, peperangan semakin memuncak. Ketika Frankie dalam perjalanan pulang dari kelas muziknya dengan Carlos, anak kecil ini melihat kehadiran askar di kilang sardin Baffa. Frankie hairan dan mula mencari ayah angkatnya. Belum sempat Frankie bertanya tentang Baffa, seorang pekerja kilang memberi isyarat agar Frankie segera berlari menyembunyikan diri. 

Seakan faham situasi yang sedang berlaku, Frankie pantas melarikan diri untuk mencari tempat persembunyian. Di tempat persembunyian itu, Frankie berkenalan dengan seorang kanak-kanak perempuan bernama Aurora York. Dua orang kanak-kanak ini memanjat pokok untuk mengelak dari pandangan para askar yang bertebaran. 

Di atas pokok itu, kedua kanak-kanak ini melihat bagaimana para askar membuang mayat-mayat pesalah atau orang awam yang tidak bersalah ke dalam sebuah kubur. 

Aurora York adalah anak perempuan kepada seorang spy British. Atas tujuan pekerjaan dan keselamatan, mereka sekeluarga sering berpindah randah dan kali ini destinasi mereka adalah Villarreal, sebuah pekan di Spain. 

Takdir menemukan dua kanak-kanak ini ketika situasi genting. Namun, beberapa tahun selepas itu, takdir menemukan mereka sekali lagi untuk memberitahu yang inilah cinta sejati mereka. 


Lewat petang, Frankie pulang ke rumah. Namun rumah tersebut kosong tanpa kehadiran Baffa. Selepas menunggu beberapa hari, Frankie hampa dan merasakan tiada lagi peluang untuk bertemu dengan lelaki yang dianggap sebagai ayahnya, lelaki yang menjaganya sejak bayi sehingga kini. Baffa hilang tanpa khabar berita. Entah hidup atau sudah tidak bernyawa. 


Frankie dan anjingnya mula menetap bersama Carlos. Kehadiran kanak-kanak itu dan anjingnya seakan memberi sinar baru kepada kehidupan Carlos. Terasa dirinya mempunyai keluarga selepas bertahun-tahun kematian Carmencita. 


Tatkala Frankie berusia 9 tahun, Carlos berusaha menjejak Baffa. Berpandukan kepada maklumat dari kenalan askarnya, Carlos pergi ke sebuah penjara untuk bertemu dengan Baffa. Pertemuan kedua lelaki dewasa ini merungkai misteri kehilangan Baffa selama ini. 

Baffa meminta pertolongan Carlos untuk menghantar Frankie ke Amerika demi melindungi keselamatan kanak-kanak tidak berdosa itu. Menggunakan wang yang disembunyikan oleh Baffa, Carlos mula bertindak demi masa depan Frankie. 

Frankie dihantar menaiki kapal yang akan membawanya ke Britain dan seterusnya ke Amerika. Carlos membekalkan sedikit wang dan sebuah gitar yang ditempah khas, bersama-sama dengan 6 strings yang sangat berharga. 6 strings itu adalah strings gitar yang ingin dihadiahkan Carmencita kepada Carlos. 6 strings ajaib. 


Bermulalah kehidupan Frankie seorang diri tanpa kehadiran penjaga dewasa. Ditipu dan dikhianati, menahan lapar dan dahaga, berusaha bermain muzik demi mencari sesuap nasi, semuanya bagai asam garam kehidupannya yang masih kanak-kanak. 


Melepaskan pemergian Frankie adalah antara perkara yang sukar dalam kehidupan Carlos. Terasa jiwanya hilang sekali lagi. 

Tanpa diduga, selepas kapal yang dinaiki Frankie bergerak, Carlos ditolak oleh Alberto, lelaki yang dianggap sahabat sejatinya, ke dalam laut. Akhirnya jasad dan jiwanya hilang di laut di tengah kepekatan malam. 

Tamatlah riwayat Carlos Andres Presto, seorang pemuzik hebat di Villarreal tanpa mengetahui legasi bakat dan kehebatannya bakal disambung oleh anak kandung yang tidak disedarinya iaitu, Frankie Presto.... 



Cerita The Magic Strings of Frankie Presto ini panjang. Bermula dari;

  • Kelahiran Frankie di sebuah gereja; 
  • Kehidupannya bersama Baffa Rubio;
  • Seterusnya kehidupannya bersama Carlos Andres Presto atau pun El Maestro (nama panggilan Frankie terhadap Carlos); 
  • Kehidupan selepas Frankie dihantar ke Amerika; 
  • Suka duka kehidupannya sebagai gelandangan dan di rumah anak-anak yatim di Amerika;
  • Zaman remaja dan dewasa;
  • Pertemuan semula dengan Aurora York, 
  • Zaman kegemilangan Frankie sebagai artis terkenal; 
  • Kepincangan rumahtangganya dengan Aurora dan perkahwinan Frankie dengan seorang model;
  • Frankie terjun ke dalam bidang lakonan dan perceraiannya dengan model;
  • Frankie hilang arah sehingga terlibat dengan dadah dan arak;
  • Waktu pemulihannya dari semua ketagihan tersebut; 
  • Penyatuan semula rumahtangga Frankie dan Aurora serta kehidupan baru mereka di sebuah pulau terpencil;
  • Kehadiran bayi perempuan yang diambil sebagai anak angkat oleh pasangan ini dan diberi nama Kai;
  • Bakat muzik Kai yang semakin berkembang dan perpindahan semula keluarga ini ke bandar;
  • Frankie mengasingkan diri di sebuah kuil demi menebus dosa dan kesilapan lama;
  • Frankie kembali ke pangkuan keluarga dan meniti usia tua bersama Aurora; 
  • Kematian Aurora di sisi Frankie, selepas Frankie menyanyikan lagu kegemarannya di tepi katil hospital;
  • Frankie membawa diri ke Filipina, menjadi tenaga pengajar muzik; 
  • Kembalinya Frankie ke Spain demi meraikan pertandingan muzik yang disertai Kai;
  • Persembahan terakhir Frankie yang disaksikan oleh Kai dan semua penonton.

See.... Panjang kan ceritanya.. 

Seperti biography pula.

Tetapi seperti biasa, Mitch Albom tidak pernah mengecewakan pembacanya.

Walaupun naskah ini tebal dan ceritanya panjang, namun ia sarat dengan emosi dan pengajaran kehidupan. 
Seperti kita menonton wayang melihat babak-babak kehidupan Frankie Presto.
Ada masanya kita gembira, ada masanya kita rasa sebak, ada masanya kita rasa teruja dan ada masanya kita rasa terharu... 

Selain itu, ada banyak muzik dan lagu menarik yang diketengahkan dalam naskah ini. Antara yang Patung Beruang suka sangat adalah Lagrima,  A House Is Not A Home dan Recuerdos de la Alhambra.

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...