Saturday, October 10, 2020

Book Review : Pendiam?

Tajuk : Pendiam? Memahami Personaliti Introvert Dalam Dunia Ekstrovert 


Penulis : 

1. Aiman Amri

2. Aqila Masri


Menariknya Naskah Ini: 

Patung Beruang sering nampak naskah ini dipromosikan dalam group Whatsapp "the Bibliophiles". Hati tertanya-tanya apa yang menarik sangat naskah ini sehingga Kiri (admin group Whatsapp) tidak jemu-jemu bercerita berkenaannya. Pasti ada sesuatu yang menarik, menyebabkan naskah ini berbeza dengan yang lain. 


Secara umumnya, manusia mempunyai 2 jenis personaliti. Pertama dipanggil Ekstrovert, iaitu seseorang yang tampil yakin bercakap, lebih terkehadapan dan dikenali ramai orang.

Personaliti jenis kedua pula adalah Introvert, seseorang yang kelihatan pasif, pendiam dan jarang-jarang mengikuti sebarang aktiviti sosial. 

Naskah ini terbahagi kepada 14 bahagian antaranya adalah: 

  • Pengenalan : Perihalkan stigma terhadap introvert, perbezaan umum antara introvert dan ekstrovert, yang mana satu istilah yang paling tepat i.e. ekstravert atau ekstrovert?
  • Sunyi atau Menyendiri : Perbezaan rasa sunyi dan sikap menyendiri, psikologi kesunyian, persoalan benarkah introvert itu seorang yang sunyi? 
  • Aku Introvert, Aku Okey! : Stigma mengenai introvert, analogi gelas dan air untuk lebih memahami hakikat personaliti introvert. 
  • Kuasa Seorang Introvert : mengupas mengenai kelebihan mereka yang berpersonaliti introvert.
  • Bertukar Personaliti - Bolehkah? : mengupas persoalan mungkinkah berlakunya perubahan personaliti seseorang itu? Jika ya, bagaimanakah caranya? 
  • Anak Introvert Bukan Anak Yang Pasif : berkisarkan tentang jenis-jenis introvert dan perbezaan setiap satunya. 
  • Ambivert - Spesies Pertengahan : bercerita tentang bagaimana seseorang itu mempunyai gabungan personaliti introvert dan ekstrovert. Maka, muncul lah istilah baharu yang dinamakan ambivert. 

Ada banyak ilmu baharu dan menarik yang Patung Beruang jumpa dalam naskah ini. Terlalu banyak... 

Antaranya adalah berikut: 
  • Ada introvert yang pemalu, dan ada juga yang tidak. Kewujudan manusia dalam suasana sosial mungkin bukan prioriti mereka, berbanding idea, perasaan dan buah fikiran mereka ketika bersendirian. Introvert memilih untuk diamkan diri melainkan ada keperluan untuk bersuara. 
  • Terdapat berbezaan antara anti-sosial dan asosial. Asosial bermaksud seseorang yang tidak gemar bersosial. Sedangkan anti-sosial pula adalah sejenis tingkah laku yang mahu membuat kerosakan atau tidak mempedulikan kesejahteraan orang sekeliling. Jadi, selepas ini jangan tersalah guna terma lagi ye. 
  • Tidak semua introvert itu asosial.
  • Introvert juga ada masanya mereka akan bersosial, tetapi hanya dengan jumlah manusia yang sedikit dan yang mereka kenal saja. 
  • Cara introvert bersosial tidak semestinya dengan banyak bercakap. Mereka lebih senang menjadi pendengar yang baik dan memproses isi perbualan orang lain. Jangan terperanjat kerana itu juga adalah cara introvert bersosial. 
  • Introvert juga merasa bahagia dengan kehidupan mereka walaupun zahirnya nampak mereka duduk bersendirian di penjuru bilik. Sebenarnya introvert seronok saja bersendirian dengan apa yang mereka lakukan. Ingat, tidak semua orang meletakkan kebahagiaan dia pada manusia. Ada orang, dia sudah rasa cukup bahagia apabila dapat melakukan aktiviti kegemarannya walaupun tanpa kehadiran insan lain di sisi. 
  • Ambivert adalah mereka yang berada di tengah-tengah antara introvert dan ekstrovert atau dengan kata lain mereka mempunyai ciri-ciri kedua-dua jenis personaliti tersebut. Bagusnya mereka yang ambivert ini adalah disebabkan keseimbangan personaliti yang dimiliki, mereka boleh membina hubungan baik dengan kedua-dua golongan ini. 
  • Introvert yang memilih untuk bersendirian bukan bererti mereka sunyi. Being alone dan feeling lonely ialah dua perkara yang amat berbeza. Feeling lonely atau dalam bahasa Melayu dikatakan sunyi adalah satu perasaan dalaman yang akan dialami oleh sesiapa saja yang bergelar manusia, regardless mereka adalah introvert, ekstrovert atau ambivert. 
  • Kita boleh merasa sunyi walaupun sedang dikelilingi oleh rakan-rakan di restoran. Tetapi, kita juga tidak akan berasa sunyi walaupun sedang menonton wayang bersendirian di pawagam. Kita mungkin kaya, berpangkat, ada pasangan atau keluarga yang hebat, tetapi kita masih lagi tidak terlepas dari berasa sunyi. Mengapa??? Kerana, faktor luaran tidak mampu memenuhi kekosongan dalaman seseorang yang sedang kesunyian.
  • Bagi introvert, menyendiri daripada masyarakat adalah pilihan mereka sendiri. Jangan terperanjat jika sebenarnya mereka rasa lebih bahagia apabila dapat menyendiri. 
  • Introvert lebih sensitif dengan perasaan orang sekeliling dan mempunyai empati yang tinggi. Selain itu, mereka juga adalah pendengar yang baik. 
  • Personaliti manusia boleh berubah atau terpaksa berubah. Banyak faktor yang mempengaruhinya seperti keperluan hidup dan persekitaran contohnya faktor kerjaya. Namun, biasanya perubahan itu tidak berkekalan. Ia hanya pada masa-masa tertentu saja atau ketika adanya keperluan untuk mereka menukar personaliti mereka. 
  • Terdapat 2 bahan kimia dalam otak manusia yang memberi kesan kepada perbezaan tingkah-laku introvert dan ekstrovert iaitu hormon dopamine dan acetylcholine
  • Dopamine memberi perasaan seronok, nikmat dan bahagia secara langsung kepada seseorang yang mencuba sesuatu yang baru, bertindak pantas dan apa saja aktiviti yang menyeronokkan.
  • Acetylcholine pula memberi kita ganjaran rasa seronok yang sama, tetapi dengan kesan yang berbeza, iaitu timbulnya rasa tenang, rehat dan rasa puas secara dalaman. 
  • Mengikut kajian, individu ekstrovert kurang sensitif dengan dopamine menyebabkan mereka lebih memerlukannya untuk menimbulkan rasa seronok itu. Bermakna, semakin banyak bersosial, berborak dan berjumpa orang baru, semakin mereka rasa ganjaran kenikmatan dopamine. 
  • Untuk introvert pula, dopamine yang berlebihan menyebabkan mereka terlebih rangsangan dari sudut emosi dan cepat rasa penat dengan aktiviti-aktiviti sosial ini. Maka, mereka memerlukan ruang untuk berundur dan berehat. 
  • Tetapi, apabila introvert ini focus membaca atau membuat kerja sendiri, mereka rasa seronok dengannya kerana ketika itu, acetylcholine lebih banyak terhasil dalam otak. 


Hm... Nampaknya, macam banyak pula point penting yang Patung Beruang kongsikan disini, hehe.. Maaflah ye..

Usai membaca naskah ini Patung Beruang rasa yang tindakan membeli naskah ini adalah antara tindakan terbaik yang pernah dilakukan dalam hidup ini. Naskah ini bukan saja memberi banyak ilmu baru tetapi ia juga membuatkan Patung Beruang lebih mengenali diri sendiri. 

Banyak perkara yang dikupas dalam naskah ini refleks pada diri, emosi dan perasaan sendiri. Benarlah kata pepatah, kenali diri sendiri sebelum kita kenal orang lain. Sayang dulu diri sendiri sebelum kita sayangi orang lain......

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...