Assalamualaikum wbt..
Sebenarnya Patung Beruang ada buku yang pending Book Review. Tapi.... rasa malas pula nak memerah otak malam-malam ini, walaupun tangan ni gatal je nak menaip di sini. Kita cerita santai-santai je lah ye..
Semalam pagi, Patung Beruang berjaya habiskan drama Korea di Netflix yang bertajuk Hi Bye, Mama!. Patung Beruang ambil masa hampir sebulan juga lah untuk habiskan 16 episod ini.
Drama ini mengisahkan seorang wanita bernama Cha Yu Ri yang meninggal dunia disebabkan kemalangan jalan raya. Kemalangan berlaku ketika hari-hari terakhir Yu Ri sebelum melahirkan anak sulungnya.
Di hospital, doctor bertungkus lumus menyelamatkan pasangan ibu dan anak ini. Malangnya, hanya anak saja yang selamat. Maka, lahirlah seorang bayi perempuan bernama Cho Seo Woo.
Ketika di hospital, para petugas kesihatan berusaha untuk memaklumkan kepada suami Yu Ri, Dr Cho Gang Hwa tentang keadaan isterinya yang parah. Sayangnya, Gang Hwa sedang sibuk menjalankan satu pembedahan terhadap seorang pesakit yang kritikal. Gang Hwa hanya mengetahui keadaan Yu Ri setelah pembedahan tersebut selesai. Malangnya ketika itu Yu Ri sudah meninggal dunia.
Kematian Yu Ri benar-benar meninggalkan kesan kepada Gang Hwa. Dia menyalahkan dirinya sendiri atas kematian tersebut. Dari seorang pakar bedah yang terbaik di hospital, Gang Hwa berubah menjadi seorang doctor yang sangat trauma dengan bilik pembedahan. Setiap kali Gang Hwa ingin menjalankan pembedahan ke atas pesakit, Gang Hwa akan diserang anxiety sehingga memaksanya meninggalkan dewan pembedahan dengan serta-merta.
Kini, setelah 5 tahun kematian Yu Ri, keadaan mula berubah sedikit demi sedikit. Gang Hwa telah berkahwin dengan Oh Min Jung, seorang jururawat yang bertugas sama hospital dengannya. Selepas perkahwinan mereka, Min Jung berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga Gang Hwa, terutama anak Gang Hwa dan Yu Ri, iaitu Seo Woo.
Di usia 5 tahun, zahirnya Seo Woo seperti kanak-kanak comel yang lain. Hakikatnya, Seo Woo dikategorikan sebagai underdeveloped child. Seo Woo kurang bercakap, kurang berinteraksi dan lebih senang bermain sendiri berbanding dengan rakan sekelasnya. Keadaan Seo Woo menjadikan kanak-kanak comel ini bahan gosip ibu bapa lain di tadika tersebut.
Rupa-rupanya, selepas kematian Yu Ri, rohnya masih lagi berada di dunia ini. Ini kerana roh Yu Ri keberatan untuk meninggalkan Seo Woo. Maka, sejak hari pertama kematiannya, Yu Ri berada di samping Seo Woo, suaminya, ahli keluarga terdekat Yu Ri serta sahabat karib mereka iaitu Hyun Jung dan suaminya, Dr Geun Sang.
Dan disebabkan Yu Ri sentiasa berada di samping Seo Woo, anak kecil ini juga boleh melihat roh-roh lain yang berada disekelingnya, yang tidak dapat dilihat oleh orang dewasa. Kasihannya Seo Woo, oleh kerana dia masih kecil, dia tidak mampu membezakan yang mana satu roh dan yang mana satu manusia.
Pada suatu hari, Seo Woo leka bermain dengan roh seorang kanak-kanak yang merupakan bekas pelajar tadika tersebut. Kanak-kanak tersebut telah meninggal dunia tetapi rohnya masih terperangkap di tadika tersebut. Ketika bermain bersama, Seo Woo telah tertidur di dalam peti sejuk. Kehilangan Seo Woo mencetuskan panik semua pekerja tadika. Dalam masa yang sama, Yu Ri melihat situasi tersebut namun rohnya tidak mampu untuk membuat apa-apa, apatah lagi untuk menyelamatkan Seo Woo. Mujur seorang kakitangan tadika tersedar yang pintu peti sejuk tersebut agak renggang dan ternampak Seo Woo sedang tertidur di dalamnya. Mereka bergegas membawa Seo Woo ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Yu Ri sangat sedih dengan peristiwa tersebut dan mula menyedari yang dialah punca bagaimana Seo Woo mampu melihat roh-roh lain. Disebabkan terlalu sedih, Yu Ri terlepas cakap seolah-olah seperti mempertikaikan kematian dirinya. Bagi Yu Ri, jika dia masih hidup, pasti Seo Woo tidak akan berkeadaan seperti sekarang.
Keesokkan harinya, tiba-tiba Yu Ri hidup semula dan mempunyai jasad seperti seorang manusia. Rupa-rupanya Yu Ri diberi peluang untuk hidup selama 49 hari. Dalam tempoh 49 hari ini, jika Yu Ri berjaya mendapatkan semula tempatnya sebagai isteri Gang Hwa dan ibu Seo Woo, maka Yu Ri boleh kekal hidup. Jika tidak, Yu Ri akan mati sekali lagi dan rohnya perlu meninggalkan dunia ini.
Dalam tempoh 49 hari ini, pelbagai peristiwa berlaku. Kehidupan semula Yu Ri menggembirakan Gang Hwa, ahli keluarganya serta rakan karib mereka. Namun persoalan lain juga mula timbul terutama berkenaan perkahwinan Gang Hwa dan Min Jung.
Baiklah.... Drama ini memang mengarut pun sebab mana lah ada orang dah mati, boleh hidup semula kan?? huhu..
Tema drama ini adalah tema keluarga dimana dia menunjukkan bila seseorang itu mati, kematiannya memberi kesan kepada orang disekeliling, terutama ahli keluarga dan sahabat terdekat. Sakitnya rindukan orang yang telah mati ini, tidak mampu digambarkan.
Ada satu babak tu, di sebuah kuil. Selepas mak Yu Ri melawat kuil, dia duduk disebuah bangku bersama dengan beberapa orang wanita yang juga kematian ahli keluarga. Kebetulan, salah seorang wanita tersebut adalah mak kepada pelajar tadika yang rohnya selalu bermain dengan Seo Woo. Antara dialog yang paling terkesan sekali untuk adegan itu adalah,
"A woman who lost her husband is called a widow. A man who lost his wife is called a widower. And a kid who lost his parent is called an orphan. But there's no word for a parent who lost their kid. Why? Because there is no word can describe parent's pain due to that."
Drama ini sebenarnya drama sedih. Setiap episod, Patung Beruang akan menangis. Itu sebabnya Patung Beruang ambil masa lama sangat untuk habiskan semua 16 episod.
Sedih melihat bagaimana sukarnya Gang Hwa untuk bangkit semula selepas kematian Yu Ri. Hidupnya sangat kosong. Struggle seorang diri untuk menjaga dan membesarkan Seo Woo, sebelum dia berkahwin dengan Min Jung. Dirinya seperti zombie, tiada perasaan, tiada jiwa. Ada kalanya, dia berhenti di tepi jalan ketika pulang dari hospital, semata-mata untuk menangis, melepaskan segala kesedihan, kekesalan, kerinduan dan rasa bersalah yang ditanggungnya sehari-hari.
Sedih melihat bagaimana mak Yu Ri berpura-pura kuat dan tabah. Tidak sekali-kali menangis di depan suami dan anak bongsunya (adik Yu Ri). Namun, apabila keseorangan, dia melepaskan segala perasaannya. Setiap hari, dia datang ke kuil dan berdoa agar dia diberi peluang untuk berjumpa dan menatapnya anak perempuannya untuk sekali lagi, walaupun dia sedar itu adalah perkara yang mustahil.
Sedih ketika pertama kali Yu Ri berpeluang memeluk Seo Woo. Anak yang dikandungnya selama 9 bulan, tetapi dia tidak mampu menyentuhnya. Air muka dan emosi Yu Ri ketika pertama kali memeluk Seo Woo jelas memperlihatkan kerinduan seorang ibu terhadap anak kandungnya.
Paling sedih bila semua orang menyedari yang selama ini Yu Ri berada disamping mereka. Tatkala mereka menangis, bergelut dengan emosi, Yu Ri ada disebelah mereka dan tidak putus-putus meminta maaf diatas kematiannya. Yu Ri meraskan kematiannya telah menyusahkan dan membebankan orang-orang yang disayanginya.
Makin penghujung, makin sedih cerita ini. Stress pula Patung Beruang, adoi hai... Level sedihnya drama ini dah sama dengan drama Jepun yang bertajuk 1 Litre of Tears.
Bila dah menangis-nangis ni, yang jadi mangsa mestilah Bibi. Sebab itu lah pagi semalam, habis saja episod 16, Patung Beruang terus ambil Bibi, sembur Febreeze dan jemur dia. Mana taknya, tangan, kaki, perut dan kepala Bibi dah basah dengan air mata Patung Beruang. Nasib baiklah cuaca cerah semalam. By tengahari, Bibi dah kering dan wangi semula. Alhamdulillah, hehehe...
Kalaulah Bibi tu boleh bercakap, mesti dia dah marah Patung Beruang. Tengok cerita Korea pun boleh nangis sambil basah lencun. Hati tisu betul, huhuhu...
Oh ye, ending Hi Bye, Mama! ini sedih tapi itulah ending yang terbaik untuk semua orang. Dan Episod 16 ini juga lah paling banyak makan air mata, huhu..
Apapun, nasib baiklah Iman takde kat rumah hujung minggu yang baru ini. Jadi, takde lah Patung Beruang malu bila seharian mata ni bengkak sebab menangis. Kalau tak, memang kena bahanlah.. hehehe..
Itulah serba sedikit kisah Patung Beruang menonton Hi Bye, Mama!...
Lepas ni, Patung Beruang tak nak lagi tengok Netflix. Penat tau nangis ni.
Lepas ni Patung Beruang nak baca buku je..
Tapi, tu lah.. Baca buku pun sedih juga. Contohnya novel Mitch Albom, The 5 People You Meet in Heaven yang Patung Beruang habiskan 2 minggu lepas. Tu belum campur buku-buku Hamka lagi. Level sedih yang tak boleh nak bawa berbincang.
Adoiiiii.....