Wednesday, June 17, 2020

Book Review : Hujan Hujung Januari

Tajuk : Hujan Hujung Januari

Penulis : Rebecca Ilham

Menariknya Naskah Ini : 

Naskah ini Patung Beruang selesaikan pembacaannya semalam. Yelah, kalau lambat habis baca, lambatlah Patung Beruang boleh baca buku baharu pula, huhu..

Hujan Hujung Januari menghimpunkan 16 buah cerpen yang mengangkat tema kekuatan dan perjuangan wanita baik dari segi kehidupan peribadi, kerjaya, keluarga malah termasuk juga perjuangan atas nama agama, bangsa dan negara. 

Ada beberapa cerpen yang menarik perhatian Patung Beruang. Antaranya adalah Seribu Burung Jenjang. Dalam cerpen ini, pembaca dibawa mengenali Sophia, gadis kacukan Melayu Jepun yang dibesarkan di Kuala Lumpur. Kini Sophia berada di Jepun untuk melanjutkan pelajaran serta dalam masa yang sama merapatkan semula ikatan kekeluargaan dengan keluarga mamanya, yang berasal dari Jepun. Di sini, Mak Cik Masako melantik dirinya sendiri sebagai pengganti mama Sophia di Jepun. Keghairahan wanita ini terserlah apabila dia berusaha menerapkan budaya warisan turun-temurun bangsa Jepun termasuklah kepercayaan terhadap dewa-dewa dan kebergantungan kepada burung jenjang. Sebagai seorang gadis yang dibesarkan dalam persekitaran Islam, tindakan Mak Cik Masako terang-terang menyalahi pegangan agama Sophia. Namun, adakah Sophia cukup kuat untuk menolak permintaan Mak Cik Masako untuk mengizinkan wanita itu memuja seribu burung jenjang demi Sophia? 


Kerana Aku Seorang Perempuan membawa pembaca kepada konflik kerjaya yang dihadapi oleh Dr. Tunku Soraiya, pakar bedah terkemuka di hospital juga merangkap calon ketua residen di hospital. Cita-cita Dr Soraiya sangat tinggi. Dia ingin mempelajari selok-belok pentadbiran sesebuah institusi kesihatan agar mudah untuk dirinya mendaki ke jawatan yang lebih tinggi. 

Namun, langkahnya kini berdepan cabaran apabila tanpa disangka-sangka, suaminya sendiri, Dr. Lucentio tiba-tiba sahaja juga menghantar pencalonan, untuk turut sama merebut jawatan ketua residen tersebut. Tambah menyakitkan hatinya apabila berita pencalonan Dr Lucentio itu diperolehi dari Marcella, rakan sejawat yang terkenal dengan kaki gosip. 

Dr Soraiya berteka-teki dimanakah silapnya sehingga dirinya dicabar oleh suami sendiri? Sedangkan selama ini, sebagai isteri, dirinya sudah meminta keizinan suami untuk memberi tumpuan kepada kerjaya dan mendaki setinggi mampu. Apa tujuan sebenar Dr Lucentio bertindak sedemikian? Adakah jantinanya menjadi penghalang untuk Dr Soraiya mengemudi hospital tersebut? 




Walaupun naskah ini adalah kumpulan cerpen, jujurnya Patung Beruang bergelut untuk menghabiskan pembacaannya. Kisah yang dipaparkan menarik. Mengambil pelbagai latar belakang sama ada di Malaysia atau di luar negara. Memaparkan konflik yang dihadapi oleh kaum wanita, dan mungkin juga kita sebagai pembaca mengalami situasi yang sama.

Tetapi, perkara yang memperlahankan momentum pembacaan Patung Beruang adalah kerana susunatur ayat dan perkataan yang digunakan oleh penulis boleh dianggap sebagai Bahasa Melayu aras tinggi. Banyak perkataan yang baru pertama kali Patung Beruang jumpa dan bergelut untuk memahami maksud sebenarnya. Yang pasti, penulisan begini menampakkan sisi intelektual penulis ini. 

Selain itu, ia juga petanda untuk Patung Beruang memperbaiki kualiti Bahasa Melayu diri ini. Perlu lebih banyak membaca bahan-bahan bacaan yang berkualiti, agar mudah sesuaikan diri dengan laras bahasa yang betul. Hm...Baiklah... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...