Sunday, February 16, 2020

Book Review : Ayahku (Bukan) Pembohong

Tajuk : Ayahku (Bukan) Pembohong

Penulis : Tere Liye

Menariknya Naskah Ini : 
Sudah lama Patung Beruang teringin untuk membaca karya Tere Liye, seorang novelis berjaya dari Indonesia. Namun setiap kali berjumpa dengan naskah beliau, hasrat untuk memilikinya terbantut kerana kekangan bahasa. Patung Beruang bergelut menghayati naskah bahasa Indonesia kerana sebutan dan pemahaman yang berbeza dengan bahasa Melayu. Pergelutan itu mencacatkan momentum pembacaan sekaligus mengurangkan keseronokkan menghayatinya. 

Akhirnya, apabila terjumpa naskah ini yang susun atur bahasa dan ayatnya lebih kemelayuan, Patung Beruang terus membelinya. 

Ayahku (Bukan) Pembohong membawa kita mengenali seorang anak lelaki, anak tunggal bernama Dam. Kehidupan Dam dan keluarganya sangat sederhana. Ayahnya adalah pegawai kerajaan peringkat menengah dan ibunya seorang suri rumah. 

Dam dibesarkan dengan cerita-cerita menarik yang sering dikongsikan oleh ayah seperti cerita Epal Emas di Lembah Bukhara dan Suku Penguasa Angin. Selain itu, ayah juga sering bercerita tentang Si Kapten, seorang pemain bola sepak merangkap ketua pasukan di Liga-Liga Eropah yang sangat terkenal di seluruh dunia. Ayah sering bercerita bagaimana beliau berkenalan dengan Si Kapten semenjak Si Kapten masih kecil lagi, bagaimana Si Kapten berusaha keras berlatih bermain bola sepak tanpa mengenal lelah, sehingga beliau menjadi sehebat hari ini. 

Di sekolah, Dam sering dibuli Jarjit, pelajar sekelas dan anak orang kaya yang terkenal di kota itu. Kesannya, beberapa peristiwa pergaduhan tercetus antara Dam dan Jarjit yang membawa kepada ibu bapa kepada kedua pelajar ini dipanggil oleh guru besar. 

Dengan bantuan Taani, sahabat baik Dam, mereka menyedari punca sebenar Jarjit suka membuli Dam adalah kerana nama Dam sering disebut-sebut oleh ibu bapa Jarjit sebagai seorang anak yang baik, sentiasa berbakti pada orang tua, ringan tulang, dan 1001 nilai baik yang menyebabkan Jarjit merasa cemburu. 

Namun sifat cemburu itu akhirnya lesap apabila Dam berjaya menyelamatkan Jarjit dari lemas di kolam renang ketika kedua-duanya sedang lumba berenang. Maka, bermula lah ikatan persahabatan antara dua anak muda ini.

Tamat persekolahan rendah, Dam menyambung peringkat menengah di Akademi Gajah. Akademi yang sistem pembelajarannya luar biasa, terletak di sebuah daerah yang memakan masa 8 jam perjalanan kereta api dari kota. 

Di Akademi Gajah, Dam bersahabat baik dengan Retro. Ketika sedang dihukum membersihkan perpustakaan, dua sahabat baik ini terjumpa buku-buku lama di rak yang terselindung. Hairannya, ada dua buah buku yang ceritanya sama seperti apa yang sering diceritakan oleh ayah kepada Dam semenjak kecil lagi. 

Dam mula tertanya-tanya adakah cerita ayah adalah kisah pengembaraan dirinya sendiri atau ia hanya dicedok dari buku cerita yang penuh dengan dongeng dan khayalan? 

Dam mula tertanya-tanya, apa lagi pembohongan ayah yang tidak disedarinya selama ini? 

Tatkala Dam mengajukan soalan-soalannya, ayah kelihatannya sangat tersingung. Ayah sangat sedih apabila satu-satunya anak yang dimilikinya, meragui pengalaman hidup yang dikongsinya selama ini. 

Hubungan Dam dan ayah mula renggang. Dan ia bertambah renggang apabila ibu meninggal dunia. Dam merasakan ayah tidak berusaha sehabis baik untuk menyembuhkan penyakit ibu. Dam rasa makin sakit hati apabila ayah kerap berkata ibu sudah bertahan selama 20 tahun kerana dia rasa bahagia. Sedangkan doctor menjangkakan dia hanya akan hidup 2 atau 3 tahun saja. 

Kini Dam sudah menjadi arkitek yang berjaya. Hasil rekaannya sering disebut-sebut sehingga peringkat antarabangsa. Dalam diam Dam mengakui rekaan-rekaannya banyak terinspirasi dari cerita-cerita ayah yang didengarnya sejak kecil, cerita-cerita yang kini dia merasakan adalah siri pembohongan ayah. 

Adakah masih ada peluang untuk Dam mengetahui kisah sebenar cerita-cerita ayah itu?

Atau mungkin memang ia hanyalah sekadar dongeng yang diceduk dari buku-buku cerita lama? 

Ayah yang sudah tua dan hanya menunggu untuk pergi, sering merindui ibu yang telah pergi bertahun-tahun dahulu. Ayah juga merindui satu-satunya anak yang dimilikinya, Dam. Namun anak itu terlihatnya sangat marah sehingga sudah beranak-pinak pun masih tidak sudi untuk duduk dan berbual mesra seperti zaman kanak-kanaknya dahulu. Mujur isteri Dam, Taani dan dua anak mereka, Zas dan Qon sering mengunjunginya. Inilah penghibur hati ayah diakhir usianya...  



Naskah Ayahku (Bukan) Pembohong ini Patung Beruang selesaikan pembacaan kurang dari 24 jam. Ceritanya panjang kerana penulis menggambarkan kisah Dam dari dia kanak-kanak sehinggalah sekarang Dam sudah dewasa, berjaya dan berkeluarga. 

Hebatnya, cerita yang panjang ini tidak membosankan. Penulis bijak menyusun plot dimana perlu dikisahkan waktu nyata, dan dimana perlu dikisahkan flashback. Momentum pembacaan tidak terganggu walaupun terdapat garis masa yang berbeza dalam satu bab yang sama. 

Perkara yang Patung Beruang suka adalah naskah ini sangat simple. Tentang kisah kehidupan, tentang keluarga, tentang erti kesederhanaan hidup, sangat humble dan sangat menenangkan. 

But, be prepared untuk mengalirkan air mata di beberapa babak yang berkenaan. Babak ibu meninggal dunia, babak pertengkaran Dam dan ayah, peristiwa ayah dijumpai pengsan di kubur ibu dan babak luahan rasa ayah di akhir hayatnya sangat menyayat hati. Terasa seperti kita berada disitu dan menyaksikannya dengan mata sendiri. 

Benarlah kata-kata yang tertulis di belakang naskah ini;
"Mulakan membaca muka surat pertama dengan hati yang terbuka. Dan apabila tiba di halaman terakhir, berlarilah secepat mungkin untuk mendapatkan ayah kita, sebelum semuanya terlambat, lalu kita takkan pernah menemukan kesempatan itu lagi.".....

2 comments:

  1. Book Review: Art of Deception

    Puan masih ada buku ini x..boleh saya beli?puan boleh emel saya di ekin_malek@yahoo.com

    ReplyDelete
  2. Ekin, maaf lambat reply. Sila check email awak ye. Terima kasih.

    ReplyDelete

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...