Wednesday, February 28, 2018

February Ini Sangat Menyakitkan

Assalamualaikum wbt 

Hari ini 28hb February 2018, hari terakhir didalam bulan ke-2 ini. February kali ini amat berbeza dari tahun-tahun yang sebelumnya. 

Jika dahulu, February adalah bulan yang istimewa kerana jatuhnya tarikh lahir Ibu. Kini.. masih lagi istimewa namun perasaan itu kian bercampur-aduk. 

2hb February, Jumaat, genaplah setahun arwah Nenek pergi, mengikut perkiraan kalendar Masihi. Seperti tidak percaya, betapa cepat masa berlalu. 

Pada 17hb February, diri ini datang melawat Nenek di kediaman barunya. Semenjak hari sebelumnya lagi, hati ini meronta-ronta untuk kembali kesana. Maka, Sabtu itu, selepas Subuh, perjalanan dimulakan dari rumah.  Jarak 150km itu terasa dekat sahaja apabila hati ini terlalu kuat kemahuannya.  Sampai saja di Melaka, itulah destinasi pertama yang dituju. 

Suasana di tanah perkuburan pada pagi itu sangat mendamaikan. Tiada kenderaan lain yang berada disana melainkan Mr. 3 dan tiada insan lain melainkan diri ini.  

Telinga ini hanya menangkap bunyi burung-burung berkicau dan angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. 

Rasa rindu ini terlalu berat dan sangat menyesakkan. Tatkala tiba, salam dihulur buat  Nenek dan penghuni lain disana. Setelah itu, kalimah suci dibacakan sebagai hadiah. Harapnya, walau tidak kelihatan dimata namun ia tetap sampai kepada penerimanya. 

Agak lama berada disana. Meluah rasa, bermonolog didalam hati sambil menahan tangis. Betapa kehilangan ini terlalu berat dan masih belum pulih walaupun sudah 12 purnama berlalu. 

Nenek pergi bersama dengan 1001 cerita dan ingatan. Serta turut membawa separuh dari jiwa ini. 

Terasa berat hati ingin berpisah. Di mata ini, masih lagi terbayang malam terakhir kami bersua. Tatkala Tahun Baru Cina 2017. Mata ini masih lagi terbayang segala yang berlaku pada malam itu, dari mula kaki ini melangkah masuk ke rumah sehinggalah diri ini beransur pulang. Mata ini masih lagi terbayang ketika Mr. 3 beransur keluar dari halaman dan Nenek masih setia melambai kami dari beranda rumah. Ya Allah.. betapa seksanya diri terikat dengan ingatan dan kenangan ini. 

Terdapat kajian perubatan yang menyatakan tatkala seseorang manusia itu meninggal, otaknya masih berfungsi selama beberapa puluh saat dan dikala itu, ia memainkan segala kenangan / memori yang ada seperti sebuah tayangan gambar. Dan jika ia benar, semoga salah satu memori yang dimainkan tatkala diri ini menemui Pencipta-Nya adalah peristiwa pada malam tersebut. Kenangan terakhir bersama Nenek....  




Pulang ke rumah, Ibu dan Ayah kurang sihat. Risau melihat keadaan mereka tetapi diri ini tidak mampu untuk berada dihadapan mata sepanjang masa. Aduhai.. Salah satu impian yang masih belum tertunai sehingga kini. 

Terasa yang diri ini terlalu kerdil kerana banyak berhutang masa, perhatian dan kasih sayang dengan mereka. Adakalanya terdetik keinginan untuk diri ini lari tinggalkan segala tuntutan dan tanggungjawab yang digalas walau sebentar cuma, agar dapat meluangkan lebih masa dengan mereka. Betapa diri ini sering tersepit antara kasih sayang dan material, antara kemahuan dan amanah. 

Adakah aturan hidup ini memang tidak pernah adil? 
Atau, 
Mungkin kita yang tidak mampu melihat disebaliknya? 



Dan kini, diri sendiri tewas dengan pertahanan tubuh yang makin rapuh. Sudah beberapa hari berlawan namun masih belum ada tanda-tanda untuk sembuh. Hilang nikmat kesihatan, hilang nikmat kehidupan. 

Namun, disaat diri ini hampir tersungkur, disaat diri ini terduduk kepenatan, Allah hadirkan seorang insan sebagai teguran agar diri ini tidak mudah mengalah.

Tatkala sedang menunggu hidangan di medan selera, diri ini didatangi oleh seorang saudara sebangsa dan seagama namun kurang upaya. Berusaha menjual dagangan dari meja ke meja, cup cake hasil tangan dari ahli keluarga tercinta. 

Diluar nampak simple sahaja cup cake itu. 5 biji bersaiz sederhana, berharga RM10. Namun, tatkala menjamahnya, terasa cup cake itu lembut, basah dan tidak terlalu manis. Terasa elok sahaja di tekak ini. Buat mengalas perut disaat kelaparan. Dan.. kesunyian..  

Si penjual nampak gigih bergerak dari satu meja ke satu meja menawarkan hasil dagangannya. Walau sedar diri punya kekurangan, namun tetap bangun dan berusaha untuk hidup tanpa meminta-minta. 

Dan tiba-tiba sahaja diri ini terasa menyesal pula membeli sebungkus saja. Rasanya sedap jadi boleh saja untuk membeli lagi demi berkongsi dengan rakan sepejabat pada keesokkan hari. Sayang sekali, ketika diri ini tercari-cari si penjual, beliau sudah berlalu pergi tanpa jejak. 



Begitulah hidup ini. 1001 cerita pahit manis suka dan duka. Namun, mungkin dukanya lebih banyak dari sukanya. Permasalahan hidup, tugasan, keluarga dan syarikat kerap bersilih ganti. Kadang-kala terasa sangat lelah, sehingga terdetik rasa cemburu pada Nenek. Betapa Nenek bertuah kerana akhirnya dapat berehat di kediaman yang tenang dan mendamaikan, dikelilingi oleh jiran tetangga yang ramainya sudah lama tidak bersua. 

Namun, apabila difikirkan semula, pasti ada sebab mengapa Allah belum menghantar jemputan.  

Mungkin diri ini masih terlalu banyak dosa sehingga Malaikat juga tidak sudi untuk memandang. 
Mungkin juga diri ini masih banyak amanah yang belum terlunas, sehingga perginya hanya akan sahaja menyakiti mereka yang ditinggalkan. 

Maka, teruskan sahaja hidup ini. Walau hanya separuh jiwa yang tinggal, teruskan sahaja melangkah. Kerana walau kita hanya sekecil semut, pasti ada kesannya kepada alam....

Monday, February 12, 2018

Book Review: Ceritera Dari Pinggir Taman

Tajuk : Ceritera Dari Pinggir Taman

Penulis : Baharuddin Kahar

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah Ceritera Dari Pinggir Taman ini sebenarnya Patung Beruang beli pada tahun 2016, ketika menghadiri sebuah pesta buku. Pulang ke rumah, seperti kebiasaannya, Patung Beruang akan terus balut buku yang dibeli dengan plastic. Naskah ini juga tidak terkecuali. Dan selepas itu, ia elok terletak di rak buku. 

Tidak berapa lama selepas itu, oleh kerana terlalu banyak buku-buku yang belum dibaca tetapi elok tersusun di rak buku sehingga rak tersebut kehabisan ruang, Patung Beruang decide untuk simpan buku-buku yang belum berusik itu didalam kotak. Dan selepas itu, kotak itu tidak terusik selama beberapa ketika.

Baru-baru ini, ketika Patung Beruang mengemas bilik, Patung Beruang terjumpalah kotak ajaib ini. Perasaan seronoknya berjumpa dengan kotak yang berisi buku-buku baru ini sama seperti perasaan terjumpa harta karun, hehe..

Makanya, ini adalah buku pertama yang Patung Beruang keluarkan dari kotak tersebut untuk Patung Beruang baca. Semoga Patung Beruang dapat habiskan pembacaan semua buku-buku didalam kotak tersebut, pada tahun ini juga, Aamiin... (supaya Patung Beruang tidak akan rasa bersalah jika hendak membeli buku lagi.. 

Naskah Ceritera Dari Pinggir Taman membawa kita kepada watak utama  bernama Rasdi, seorang anak tunggal yang lahir dari keluarga ternama dan kaya-raya. Lahirnya, Rasdi kelihatan sempurna. Berwajah tampan, kaya-raya, mempunyai ibu bapa yang hebat dan ternama. Hakikatnya, hidup Rasdi tidaklah sebahagia yang disangka. Walau mempunyai pelbagai kelebihan, Rasdi diuji dengan kelemahan didalam akademik, mempunyai ibu bapa yang sentiasa sibuk dengan urusan perniagaan dan persatuan, serta mempunyai ibu yang garang dan tidak bertimbang-rasa. Rasdi lebih banyak menerima perhatian dan kasih sayang dari orang gaji dan tukang kebun. Baginya, itulah keluarganya. Mahligai yang indah tidak mampu menutup kesunyiaan dan kesedihan hati anak muda ini. 

Di sekolah, Rasdi berkenalan dengan Patricia, seorang gadis Serani yang cantik dan lincah. Patricia tinggal bersama ayahnya, Mr Paul, seorang ketua gereja di Ipoh dan ibu tirinya, Mama Tracy. Kehidupan Patricia lebih kepada urusan akademik dan juga minatnya terhadap music. Seperti Rasdi, Patricia juga mempunyai masalah dirumah. Ayahnya, Mr Paul sering kali menjadikan Patricia sebagai sasaran kemarahannya. Semuanya berpunca apabila ibu kandung Patricia nekad untuk meneruskan minatnya didalam dunia hiburan, dan jatuh cinta kepada lelaki lain dan akhirnya keluar dari rumah meninggalkan Mr Paul dan Patricia. Maka, semenjak hari itu, Mr Paul seakan berdendam dengan ibu kandung Patricia sehingga seringkali mengutuk wanita tersebut dihadapan Patricia. 

Persahabatan Rasdi dan Patricia membuahkan bibit-bibit cinta didalam hati dua remaja ini. Namun, kisah cinta mereka berdepan dengan ranjau berduri. Di sebelah Rasdi, ibunya bercadang untuk menjodohkan Rasdi dengan Sharifah Sriwani, anak kenalan rapatnya. Oleh itu, kehadiran Patricia sangat tidak dialu-alukan oleh ibu Rasdi. Sedangkan dalam masa yang sama, Sharifah Sriwani mempunyai agenda jahat terhadap Rasdi dan Patricia. 

Di sebelah Patricia pula, Mr Paul semakin berang tatkala mengetahui perhubungan Patricia dan Rasdi. Ia amat memalukan dirinya apabila anak perempuannya bercinta dengan pemuda Muslim dan sanggup memeluk agama Islam. Dalam masa yang sama, Ricky, seorang lelaki Serani amat meminati Patricia dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan gadis itu walaupun terpaksa menggunakan kekerasan. 

Kemuncak perhubungan mereka apabila pasangan ini melarikan diri dari rumah, dan seterusnya membawa kepada kemalangan sehingga menyebabkan Patricia cedera parah dan Rasdi pula dituduh membunuh Ricky. Namun, setelah beberapa lama berlangsungnya sesi perbicaraan, pihak mahkamah memutuskan Rasdi tidak waras dan harus dihantar ke Rumah Sakit Jiwa. Maka, bermulalah kehidupan Rasdi sebagai pesakit mental. 



Kisah Ceritera Dari Pinggir Taman ini sebenarnya adalah sebuah kisah percintaan yang tragik. Halangan keluarga, perbezaan agama, budaya dan status serta kehadiran orang ketiga mewarnai percintaan Rasdi dan Patricia. 

Selain itu, penulis juga berjaya menonjolkan konflik dan permasalahan yang dihadapi oleh watak-watak didalam naskah ini seperti keluarga kaya namun kurang kasih sayang yang dihadapi oleh Rasdi, penderaan mental dari ibu kandung sendiri, keluarga miskin dan bahagia seperti Aziz dan juga keluarga yang terlalu melindungi anak sendiri seperti Sharifah Sriwani. 

Di hujung-hujung perceritaan, penulis membongkarkan sebab musabab mengapa ibu Rasdi berperangai pelik dan sering naik angin tidak tentu pasal. Ia adalah berpunca dari rasa bersalah dan menyesal terhadap arwah datuk Rasdi, yang disimpan oleh wanita ini berpuluh-puluh tahun lamanya. Benarlah kata orang, hati yang gundah itu hanya akan memakan diri sendiri tanpa disedari oleh tuan punya badan. 

Naskah ini mempunyai pengakhiran yang hebat dimana plot twist yang direka oleh penulis amat menjadi. Jujurnya, sepanjang meneliti naskah ini, Patung Beruang tertanya-tanya apakah pengakhirannya kerana terlalu banyak hint yang diberi sehingga membolehkan ia mempunyai beberapa pengakhiran yang berbeza versi. 

Cuma yang memeningkan Patung Beruang adalah peralihan tempoh masa yang berlaku didalam naskah ini sangat pantas. Adakalanya babak itu berlaku di zaman Rasdi masih bergelar pelajar, adakalanya ketika Rasdi telah tamat belajar, adakalanya ketika Rasdi berkeadaan tidak waras dan hidup didalam dunianya sendiri dan adakalanya pula ketika zaman sekarang dimana Rasdi telah dewasa dan berumur 30-an. Aduh... peningnya Patung Beruang.... 

Sunday, February 11, 2018

Book Review: Antologi Cerpen Malaysia - Thailand

Tajuk : Antologi Cerpen Malaysia - Thailand

Penulis: 

  1. E Pian Pro Poul
  2. Hafizah Iszahanid
  3. Jaya Rimba
  4. Nasriah Abdul Salam
  5. Zainal Rashid Ahmad
  6. Ajin Panjapan
  7. Ded Akkhara
  8. Nagga Paksanawin
  9. Nathathee Sasiwimol
  10. Phanuk Traiwet


Menariknya Naskah Ini:

Naskah ini adalah buah tangan dari KL International Book Fair 2017 dari booth ITBM. Jujurnya, perkara yang membuatkan Patung Beruang tertarik untuk memiliki naskah ini adalah kerana Patung Beruang berharap ia mampu memberi serba sedikit gambaran tentang budaya dan kehidupan masyarakat di Thailand kepada pembaca. 

Cerpen bertajuk Tok Raja dijadikan pembuka naskah. Karya E Pian Pro Poul ini mengisahkan Tok Raja, ketua sebuah wat yang menghadapi dilema apabila pihak berkuasa ingin memperbaiki infrastruktur jalan raya dikawasan tersebut. Dilema tercetus apabila kawasan yang dikenalpasti untuk dinaik taraf turut melibatkan kawasan di dalam wat. Tok Raja tersepit antara ingin menyumbang bersama-sama kepada masyarakat demi kesejahteraan hidup mereka ataupun ingin memastikan wat dan persekitarannya kekal utuh seperti dahulu, tidak terpisah-pisah. Kehadiran para pegawai kerajaan ke wat tersebut sedikit sebanyak menggangu ketenangan Tok Raja dan sekalian penghuni wat. Semua tertanya-tanya, apakah kesudahan dilema ini?


Nama saya Ling Mei Ling memperkenalkan kita kepada seorang gadis Cina berasal dari Ipoh namun kini menuntut di Universiti Malaya sebagai pelajar perubatan. Mei Ling mempunyai hasrat untuk lebih mengetahui dan mengenali Islam terutama selepas berlakunya peristiwa World Trade Center di New York, tahun 2001 dan juga kisah pemergian M. Moorthy, pendaki Everest yang akhirnya menyeret kepada kontroversi membabitkan Artikel 121 (1A). Pada Mei Ling, kontroversi itu berlaku semata-mata kerana kita tidak faham pada perlembagaan dan membuat tafsiran sendiri. Di universiti, Mei Ling berkenalan dengan Ismail Danial Tan Sri Mohamad, pelajar jurusan perundangan, akibat dari perlanggaran kecil yang berlaku di perpustakaan. Perkenalan dengan Ismail telah membuka pintu untuk Mei Ling lebih mengenali Islam serta orang Melayu sendiri. Namun, semakin lama mengenali Ismail, Mei Ling merasakan yang Ismail sama seperti kebanyakkan umat Islam yang lain. Lebih banyak mengambil pendekatan mendiamkan diri dari bertindak menghulurkan bantuan tatkala saudara seIslam tersesat jalan. Lebih banyak memikirkan tentang periuk nasi dan masa depan diri sendiri berbanding masa depan dan hala tuju umat Islam keseluruhan. Mei Ling terfikir, Islam tidak pernah mengajar umatnya mementingkan diri sendiri. Namun, mengapa sifat ini begitu menebal didalam diri umat Islam dihadapan matanya???


Ai Plueay adalah seorang tukang penjaga api berpangkat senior yang bekerja di lombong bijih timah di wilayah selatan Thailand. Ai sangat dedikasi terhadap tugasnya kerana menyedari pentingnya dapur api sentiasa terbakar agar dapat membuatkan kapal korek terus berkerja di lombong tersebut. Namun, bulan Ramadhan bakal menjelma. Sebagai seorang Muslim yang baik, Ai seboleh-bolehnya berusaha untuk berpuasa di siang hari. Namun, pekerjaan seharian yang dilakukannya sangat mencabar. Kepanasan yang datang dari dapur api benar-benar menyerap air didalam tubuh Ai maka, menahan dahaga di sepanjang hari adalah suatu perkara yang amat terseksa buat dirinya. Penyelia bercadang menukarkan Ai kepada shift malam agar rutin penjaga api diwaktu siang digalas oleh pekerja yang tidak berpuasa. Namun, rakan sekerja berat untuk melepaskannya kerana Ai adalah tukang penjaga api terbaik mereka. Rakan sekerja berusaha agar Ai sentiasa bersama shift mereka, siang atau malam tanpa perlu menjejaskan ibadah puasanya, kisah Air dan Budi.  



Naskah Antologi Cerpen ini membariskan 5 buah cerpen dari Malaysia dan 5 buah cerpen dari Thailand. Keseluruhannya, ia adalah naskah yang menarik kerana menggambarkan kehidupan masyarakat di kedua-dua buah negara, membawa isu sejagat seperti perebutan harta dikalangan ahli keluarga, isu masyarakat berbilang bangsa dan agama, ikatan persahabatan yang mengatasi perbezaan pangkat, latar belakang dan agama serta konflik politik tempatan. Menariknya, naskah ini banyak menonjolkan watak masyarakat diluar bandar bagi memberi peluang kepada pembaca untuk mengenali sisi unik kehidupan dan budaya mereka.  

Ada beberapa buah cerpen yang menarik hati Patung Beruang seperti nama saya Ling Mei Ling (Malaysia), Bayak Bapa II (Malaysia), Air dan Budi (Thailand)  dan Fenomena Seseorang Yang Hilang Daripada Hidup Seseorang Yang Lain (Thailand). 

Friday, February 9, 2018

Book Review: Jutawan

Tajuk : Jutawan


Penulis : Kamaludin Abdul Settar



Menariknya Naskah Ini: 


Jutawan membawa penonton kepada kisah kehidupan Rasydan, seorang anak muda yang telah memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM 1 juta dari sebuah rancangan realiti televisyen. 

Kemenangan itu telah mengubah bukan sahaja kehidupan dirinya namun juga orang terdekat disekelilingnya. 

Rasydan digambarkan sebagai seorang abang yang baik, anak yang baik, tinggal dan mencari rezeki dikampung. Seorang yang suka membaca dan mempunyai ingatan yang kuat. Dan ia terbukti apabila beliau mampu mengingati fakta-fakta yang dibacanya selama ini dimana ia amat membantu tatkala beliau berada didalam rancangan realiti tersebut. 

Oleh kerana kebaikkan dan kemurahan hatinya, orang disekeliling sering mengambil kesempatan. Rasydan terpaksa berkerja berhempas pulas bagi menyara keluarga yang terdiri dari ibu, bapa, adik perempuan dan suaminya. Dan kerana itu, Rasydan rela mengorbankan masa depannya dengan berhenti belajar serta melupakan sebentar hasratnya untuk berkahwin bagi memberi laluan kepada adiknya. 

Setelah memenangi hadiah wang tunai tersebut, pelbagai orang mula mendekati Rasydan dengan tujuan untuk menumpang kesenangannya. Sejumlah wang diperuntukkan untuk menebus barang kemas ibunya yang telah digadaikan oleh bapa sejak berapa lama dahulu. Kemudian, sejumlah wang lagi diperuntukkan untuk membuka kedai dobi dan diserahkan kepada adik iparnya untuk dikendalikan. Malangnya, lelaki itu ralit bermain cinta dengan wanita Indonesia yang bekerja sebagai pembantu kedai dobi tersebut. Akhirnya, modal habis dilaburkan namun hasil tidak kelihatan. 

Sejumlah wang pula dilaburkan untuk mendirikan kilang bagi membuat makanan ringan demi memberi peluang pekerjaan kepada orang kampung. Sayang sekali apabila penyelia yang dilantik untuk menguruskan kilang tersebut tergamak untuk mengkhianati amanah yang diberikan. Walaupun yang dilantik adalah anak kampung itu sendiri, ia tidak bermakna individu tersebut mempunyai hati dan pemikiran yang sama seperti Rasydan. 




Pada mata Patung Beruang, naskah Jutawan ini sebenarnya lebih kepada menyindir orang Melayu yang: 
  • Terlalu lurus sehingga mudah dimakan oleh orang lain.
  • Terlalu naif sehingga tidak sedar bahaya dan risiko yang berada dihadapan mata. 
  • Terlalu mudah percaya pada orang lain sehingga mata sendiri menjadi buta dan tidak mampu berfikir secara kritis.
  • Bermurah hati yang tidak bertempat sehingga tidak kisah jika diri kehilangan segala-galanya. 
  • Gemar mengambil kesempatan atas kesenangan orang lain sehingga hilang rasa malu.
  • Mudah mengkhianti amanah yang diberikan tanpa rasa bersalah.
  • Sanggup menipu dan menikam orang lain demi kesenangan diri sendiri.

Meneliti naskah Jutawan ini seperti menonton filem yang menayang kelemahan dan sisi negatif masyarakat Melayu yang mana hati ini sukar sekali untuk menafikannya. 

Didalam kebanyakkan masa, Patung Beruang rasa marah sangat dengan watak Rasydan. Diri ini terfikir, mengapa lelaki ini sangat tidak bijak??? 
Atau mengapa lelaki sematang sangat tidak kritis??? 
Atau mengapa lelaki ini terlalu baik sehingga membiarkan diri dipijak??? 

Adoi... Sesak sungguh dada ini untuk menghabiskan naskah ini....

Dan rasanya, sesiapa pun pasti dapat meneka apa kesudahannya kisah Rasydan ini. Jawapan Patung Beruang adalah... tekaan anda memang tepat..

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...