Setiap orang ada jalan kehidupan
sendiri. Ada yang perjalanannya tampak seperti lancar dan sangat mengujakan.
Namun ada juga yang perjalanannya nampak berliku, mendaki dari jurang yang
curam, berdepan dengan gaung yang dalam dan mungkin terserempak dengan haiwan
liar dan buas.
Namun, apa pun perjalanan hidup kita
dan orang lain, setiap darinya ada pahit manis masam masin kelat tawar yang
tersendiri.
Lumrah manusia, sering merasakan yang
jalan orang lain lebih menyeronokkan.
Lumrah manusia, sering merasakan diri
lebih hebat.
Lumrah manusia, sering merasakan diri
lebih layak untuk menegur dan membahan tanpa terlebih dahulu bertanya.
Lumrah manusia, sering merasakan orang
lain memakai kasut yang sama size, warna dan specifikasi sepertinya.
Tetapi kita juga sering terlupa...
Perjalanan orang lain yang terlihat
menyeronokkan itu sebenarnya luaran sahaja. Dalamannya tidak dikongsikan.
Kita kagum melihat seseorang yang
berpendapatan tinggi walau umurnya masih muda. Kita melihatnya seperti itulah
erti kesempurnaan. Namun, kita tidak mengerti beban tanggungjawab yang
dipikulnya. Kita tidak mengerti betapa kerja kerasnya tanpa mengira waktu amat
diperlukan demi memenuhi nafsu pihak atasan dan pemegang saham. Kita tidak mengerti
betapa buah fikiran dan perancangan strategi dan taktikalnya amat ditagih demi
kelangsungan syarikat, demi memastikan pekerja bawahan mempunyai wang
ringgit untuk dibawa pulang pada setiap hujung bulan.
Kita terpandang kereta yang dipandu.
Besarnya. Tentu mahal harganya.
Pakaian yang tersarung sehari-harian
kelihatannya anggun walau masih lagi patuh syariah. Kasut dan tas tangan
menjadi aksesori sepadan. Tanpa dilupa, beg berisi laptop tetap kekal disandang
di belakang.
Tetapi kita mungkin terlupa..
Kehidupan yang terlihat sempurna itu
hanya perhiasan untuk pandangan mata sahaja.
Tatkala kita bebas untuk meninggalkan
pejabat apabila sampai waktunya, dia masih lagi bertungkus-lumus di meja,
menyiapkan tugasan yang tidak berkesudahan.
Tatkala kita sedang duduk dimeja makan,
mengadap hidangan bersama keluarga, dia baru sahaja melangkah untuk pulang
setelah seharian dan hampir semalaman.
Tatkala kepulangan kita disambut oleh
pasangan dan anak-anak, kepulangannya hanya disambut oleh kesunyian dan kesepian
sebuah kediaman. Berseorangan tanpa teman.
Tatkala kita mengeluh melihat rumah
yang bersepah, dia pula mengeluh melihat betapa kemas dan teraturnya kediaman…
Kita mempertikai mengapa dia gemar
menghabiskan usia di pejabat. Kita mempertikai seolahnya dia tiada kehidupan.
Seolahnya kehidupannya amat membosankan. Seolah pekerjaan adalah keperluan
utama dalam kehidupannya. Seolah keluarga itu tiada nilai disisinya.
Namun..
Kita terlupa sejenak.
Betapa bidang tugas kita dan dia adalah
berbeza. Skop kerja berbeza. Tenaga kerja berbeza. Expectation juga berbeza.
Dan akhirnya, kita terlupa yang disaat kita hanya mementingkan kelangsungan
team kita yang hanya beberapa orang, dia sedang mementingkan kelangsungan
syarikat yang menaungi ribuan orang.
Kasut kita dan dia berbeza…
Kita merasakan diri kita hebat.
Berpelajaran tinggi, punya kerjaya tetap, gaji besar dan keluarga yang
sempurna. Lantas kita mencemuh dia yang hanya biasa-biasa sahaja. Belajar
semampunya, pendapatan seadanya dan keluarga yang biasa sahaja kehidupannya.
Label malas dan tidak berwawasan meniti dari bibir kita sesuka rasa.
Tetapi kita mungkin terlupa..
Disaat kita sedang leka menuntut ilmu,
dia pula leka menjaga orang tua yang uzur dan rapuh kesihatannya. Disaat kita berbangga
dengan duit biasiswa, dia mengikat perut demi kelangsungan hidup adik-adiknya.
Maka kini apabila kita dipuncak dunia,
kita bebas menilai manusia dari kaca mata kita. Mengukur manusia mengikut
ukuran kita. Membayangkan manusia mengikut acuan kita.
Walau hakikatnya kasut kita dan dia
amatlah berbeza...
Kita merasakan diri kita sering
teraniaya, dibuli dengan persekitaran. Kita merasa lelah dan membenci mereka
dengan alasan mereka mementingkan diri. Hipokrit dan mementingkan kroni.
Tetapi kita mungkin terlupa..
Jika kita berada di tempat mereka, kita
juga mungkin berperangai sama. Atau mungkin lebih hebat.
Bertuhankan nafsu semata dan
bertopengkan agama.
Usah berbangga dengan mengatakan yang
kita tidak akan berubah. Melaungkan yang kita teguh memegang prinsip. Sangat
kelakar kerana kita masih menyarungkan kasut yang sama di kaki ini.
Tunggulah apabila kita menyarungkan
kasut yang sama dengan mereka. Kala itu pasti kita akan terpesona dengan
keindahan kasut baru. Kita bangga menyarungkannya walau dimana sahaja. Kalau
boleh, tidak mahu tanggal. Hendak menyarungnya sepajang masa dan ketika. Sikap,
pemikiran, tindakan dan percakapan kita juga mula berubah. Dan tanpa disedari
kita mengulangi sejarah mereka yang terdahulu. Mengulangi kesilapan dan kecacatan
mereka. Meniru perilaku dan tindakan mereka.
Kerana pada masa itu, kita menyarungkan
kasut yang sama dengan mereka…
Dalam kehidupan ini ada banyak kasut.
Macam-macam...
Dan logiknya, tiada sepasang kasut pun yang sempurna. Kasut kita
dan dia mungkin sama dan mungkin berbeza. Jika sama, tidak lah sehingga
sepenuhnya. Namun ia boleh berbeza sepenuhnya.
Salahkah memakai kasut yang
berbeza?
Tidak salah pun..
Cuma jangan terlalu ghairah untuk
meminta orang mencuba kasut kita kerana belum tentu ia padan.
Dan jika terlihat kasut orang yang
berbeza dengan milik kita, usahlah cepat membahan.
Kita tidak tahu keperitannya menyarung
kasut tersebut.
Mungkin jika diberi peluang untuk kita
menyarungnya, sehari pun kita tidak mampu bertahan…