Thursday, August 15, 2024

Book Review: Selamat Datang Ke Kedai Buku Hyunam-Dong


Tajuk: Selamat Datang Ke Kedai Buku Hyunam-Dong

Penulis: Hwang Bo-Reum

Penterjemah: Azzah AR

Menariknya Naskah Ini: 

Ini adalah naskah terkini yang baru saja Patung Beruang selesaikan pembacaannya pada hari Ahad lepas. Secara amnya, Patung Beruang mengambil masa hampir 12 jam untuk menghabiskan naskah ini. 

Beberapa bulan lepas, ketika Patung Beruang dan Crime Partner berkunjung ke MPH TRX, Crime Partner tertarik dengan naskah ini yang berbahasa Inggeris dan terus membelinya. 

Naskah ini menjadi bualan hangat rakan-rakan bibliophiles dan jika dilihat di carta jualan, ia termasuk dalam kategori laris di peringkat antarabangsa. 

Setelah Crime Partner habis membacanya, naskah ini elok terletak di rak buku dan Patung Beruang berazam untuk membacanya satu hari nanti. Namun, tidak lama kemudian Patung Beruang terbaca pengumuman dari Cik Puan Azzah yang beliau telah menterjemahkan karya ini ke Bahasa Melayu. Wah.. bestnya. Patung Beruang nekad untuk memiliki naskah Bahasa Melayu sebagai penambah koleksi. 

Akhirnya, awal bulan hari tu, impian Patung Beruang untuk memiliki naskah terjemahan Bahasa Melayu ini tercapai tatkala berkunjung ke MPH DPulze. Alhamdulilah.. 

Baiklah, cukuplah cerita Patung Beruang. 

Sekarang, mari kita selami pula kisah Kedai Buku Hyunam-dong ini dan mengapa ia jadi bualan hangat di pasaran. 


Blurb: 

Kedai buku kecil itu satu perhentian yang sederhana, tersembunyi di dalam lorong kecil, tersudut di sebuah kejiranan di pinggir kota Seoul. Di sebalik pintunya, Yeongju dengan senyuman yang jarang pudar menguruskan segala-galanya dengan bantuan Minjun, barista yang mahir dalam seni kopi. 

Kedai Buku Hyunam-dong bukan sekadar tempat berteduh bagi tubuh, bahkan sebuah destinasi untuk berlabuh bagi jiwa-jiwa yang memiliki luka dan berasa kehilangan sebahagian daripada diri. Namun, membawa harapan dalam skala berbeza. 

Disini, mereka bersama-sama menemukan semula kilauan budi, empati dan solidariti yang mendamaikan dalam sebuah persahabatan. Buku-buku yang menghubungkan mereka, menyembuhkan luka. Dan perbualan-perbualan tulus penuh makna, mengingatkan bahawa tidak pernah terlewat untuk menamatkan plot lama dan memulakan kisah baharu dari halaman pertama. 



Yeongju, gadis muda yang bekerja di korporat, berkahwin dengan Changin, pekerja teknikal di syarikat yang sama. Kedua-duanya sangat serasi dan gila bekerja. Pasangan ini akhirnya memutuskan untuk berkahwin kerana yakin tiada orang yang lebih baik untuk mereka, kerana mereka saling memahami. 

Yeongju dan Changin, sama-sama beriringan memburu kejayaan. Kedua-duanya workholic, lebih sering berjumpa di kantin pejabat berbanding di dapur rumah. Seluruh syarikat tahu betapa berjayanya pasangan ini dalam mengendalikan pelbagai projek syarikat. 

Segala-galanya nampak sempurna sehingga pada suatu hari Yeongju mengalami simptom burnout yang sangat teruk. Yeongju bergegas mendapatkan nasihat dan rawatan dari pakar. Namun, keadaan tidak pulih sehingga Yeongju nekad untuk berhenti kerja dan ingin mengembara. Yeongju berusaha memujuk Changin untuk sama-sama bebas sebentar dari dunia korporat. 

Sayangnya Changin menolak permintaan Yeongju. Penolakan itu sangat menyakitkan sehingga Yeongju terasa yang tiada guna lagi perkahwinan mereka kerana Changin tidak berusaha untuk menjadi pasangan yang terbaik dalam apa jua situasi Yeongju. Rumahtangga yang aman damai mula retak dan akhirnya pasangan ini bercerai. 

Perceraian Yeongju dan Changin bukan saja menghilangkan Changin dalam hidupnya tetapi Yeongju juga dibuang ibu kandungnya sendiri kerana merasakan keputusan dan tindakan Yeongju itu salah. 

Yeongju bergelut dengan kesihatan mentalnya tanpa sokongan dari keluarga terdekat. 



Sedari kecil Yeongju sangat suka membaca. Baginya, perpustakaan dan kedai buku adalah dunia impiannya. Oleh itu, Yeongju nekad untuk kembali mencari dirinya dengan cara membuka kedai buku indie. Maka, lahir lah Kedai Buku Hyunam-dong, syurga baru Yeongju dalam usahanya untuk kembali bangkit dan melangkah dengan yakin dalam kehidupan baharunya. 

Kedai Buku Hyunam-dong bukan sekadar kedai buku biasa. Kedai ini dipenuhi dengan pelbagai buku-buku yang bagus dan bukan semata-mata buku yang laris dipasaran. Ini kerana bagi Yeongju buku-buku terlaris tidak semestinya bagus pengisiannya. 

Selain itu, pelanggan juga boleh membeli kopi, hasil tangan barista bernama Minjun, yang sangat berseni dan suka bereksperimen. 

Kedai buku ini sangat menenangkan dan para pelanggan akan sentiasa rasa dialu-alukan tatkala melangkah kaki ke dalam. Muzik yang lembut dan mendamaikan, warna dan pencahayaan yang menenangkan, bau biji kopi yang semerbak dan barisan buku-buku yang tersusun kemas seolah-olah menggamit pengunjung untuk menghabiskan masa disini tanpa risau. Jika penat berdiri, ada saja ruang yang diletakkan kerusi dan meja untuk pengunjung duduk dan membaca tanpa gangguan. 


Di dunia Kedai Buku Hyunam-dong, penghuninya bukan setakat Yeongju dan Minjun. Terdapat juga Mincheol, remaja lelaki yang tidak minat belajar dan tiada cita-cita tetapi dipaksa datang ke kedai ini oleh ibunya, Heeju untuk belajar mengenai kehidupan. Ternyata Heeju mengambil tindakan yang tepat apabila akhirnya Mincheol menyedari minatnya dan mula berusaha untuk mempunyai impian seperti orang lain. 

Heeju, seorang suri rumah dan antara pelanggan awal Kedai Buku Hyunam-dong. Wanita ini saksi betapa kuat dan tabahnya Yeongju untuk bangkit dari luka lamanya dan seterusnya tumbuh berkembang bersama-sama dengan Kedai Buku ini. 

Seungwu, seorang pengkritik bahasa dan kemudiannya menjadi penulis, juga tertarik dengan Kedai Buku tersebut ketika pertama kali menjejakkan kakinya. Yeongju meminati hasil tulisan Seungwu dan Seungwu pula meminati keperibadian Yeongju. Keserasian dan minat yang sama menyebabkan perhubungan mereka berkembang dari sekadar penulis dan penjual buku kepada persahabatan yang akrab, membibitkan rasa kasih sayang sesama mereka. 

Terdapat juga Jimi, pembekal biji kopi merangkap teman baik Yeongju. Wanita ini luarannya nampak keras namun dia diuji dengan perkahwinan parasit. 

Sangsu, lelaki ulat buku dan mula bekerja di Kedai Buku Hyunam-dong tatkala kedai tersebut mula mendapat sambutan hangat disebabkan pelbagai aktiviti berkaitan buku dan publisiti dari media mengenai kedai tersebut dan Yeongju sendiri. 



Mengapa Patung Beruang boleh selesaikan naskah ini dalam masa kurang dari 12 jam? Gigihkan? hehehe...  Kerana dari muka surat pertama lagi, naskah ini berjaya menambat hati Patung Beruang. Membacanya terasa warm, cozy, seperti kita mengenali kesemua watak yang ada dalam naskah ini. 

Setiap watak ada luka dan parut yang tersendiri. Tetapi melihatkan persahabatan dan empati yang ada pada setiap orang, seperti memberi harapan bahawa tidak mengapa jika hari ini sangat teruk untuk kita. Teruskan melangkah kerana hari esok pasti lebih baik. Langkahlah walau sekecil mana pun kerana langkah yang kecil itu adalah petanda kita masih berusaha untuk bergerak ke hadapan. 


Naskah ini juga mengandungi petikan dari banyak buku-buku lain, sebagai cara menunjukkan kecintaan Yeongju terhadap buku. Secara tidak langsung, ini juga petanda yang penulis asal naskah ini iaitu Hwang Bo-Reum juga adalah seoang pembaca tegar. Patung Beruang sangat tertarik dengan caranya berkongsi buku-buku yang bagus untuk pembaca sekalian. 


Oh ya, ayat-ayat dalam naskah ini juga sedap. Kualiti terjemahan Cik Puan Azzah sangat terserlah sehingga kita tidak terasa yang ini adalah naskah terjemahan. 

Antara ayat-ayat yang Patung Beruang suka adalah: 

  • Sepanjang pengembaraan dalam hidup ini, tidak mengapa jika kita menunjukkan sisi diri yang mudah terluka. 
  • Sebuah pekan tanpa kedai buku, bukanlah sebuah pekan. Boleh sahaja ia menggelar dirinya pekan. Namun, selagi tiada kedai buku di situ, ia sendiri tahu tiada sesiapa yang akan dapat dibodohkan. 
  • Apa yang dia perlukan bukanlah ayat motivasi yang berdegar-degar, sebaliknya sesuatu yang membuatkan tubuhnya berasa hidup. 
  • Air mata takkan berhenti. Namun, jika kita terasa mahu menangis, kita perlu menangis. Menahan air mata secara paksa hanya akan melambatkan penyembuhan luka. 
  • Keterpencilan memerdekakan kita, sebagaimana kesunyian memberikan hidup kita makna yang mendalam. 
  • Lama-kelamaan dia semakin memahami cara perempuan itu memperkaya hidup dengan berpindah-randah antara dua dunia, mengapungkan diri di awan pemikiran dan membumikan diri pada realiti. 
  • Penulisan adalah kerja yang saya mahu cuba lakukan. Jadi, daripada risau sama ada saya berbakat ataupun tidak, saya beritahu diri sendiri supaya mula menulis, buat sahaja. Saya mahu hidup begini sekurang-kurangnya sekali dalam hayat saya. 
  • Perkara yang menggerakkan hidup ke hadapan ialah keputusan. Terlintas di fikirannya, yang perlu dia lakukan bukanlah berputus asa, tetapi membuat keputusan untuk keluar dari jalan yang dilalui selama ini. 
  • Minju bertekad untuk menjadi seperti Seymour, tidak menyesali keputusan sendiri. Namun, hakikatnya yang dia perlukan bukanlah tekad tetapi keberanian. Keberanian supaya tidak goyah berhadapan dengan kekecewaan orang terhadap dirinya. Keberanian untuk teguh dengan kepercayaan dan pilihannya sendiri. 
  • Jangan kehilangan diri sendiri sama ada ketika bekerja ataupun tidak. Jika kerjaya kamu tidak menggembirakan ataupun tidak memuaskan hati, jika setiap hari kerja itu dirasakan sia-sia dan menyakitkan, maka carilah pekerjaan lain. 
  • Pekerjaan seperti makanan. Makanan yang kita makan setiap hari. Makanan yang mempengaruhi badan, fikiran, jiwa dan roh kita. 
  • Menempuh hari demi hari dengan baik, sama seperti menjalani kehidupan yang baik. 



Kesimpulannya, Patung Beruang harap sangat agar ramai yang dapat membaca naskah ini. Bacalah walaupun sekali, untuk kita lebih menghargai dan menikmati jalan kehidupan kita.

Terima kasih Cik Puan Azzah atas karya terjemahan yang sangat sedap ini. Alhamdulillah... 

Semoga satu hari nanti Patung Beruang akan berjumpa dengan Kedai Buku Hyunam-dong Patung Beruang sendiri, Aamiin... 

Saturday, August 10, 2024

Book Review: Perfectly Imperfect Mom


Tajuk: Perfectly Imperfect Mom

Penulis: Syahirah Omar

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah Perfectly Imperfect Mom ini menjadi antara naskah bualan hangat ketika PBAKL 2024. Ramai yang memberi positive review dan mencadangkan naskah ini untuk dibaca oleh semua lapisan masyarakat. 

2 kali Patung Beruang berkunjung ke PBAKL 2024 dengan misi untuk mencari naskah ini. Namun, gagal kerana Patung Beruang tidak cukup sabar untuk melawat setiap booth yang ada, hehehe..

Akhirnya, pada minggu lepas Patung Beruang berkunjung ke MPH Dpulze dan terlihat buku ini. Apa lagi, teruslah beli sebab tidak tahu bila lagi akan bersua. 

Buku ini Patung Beruang mula membaca pada hari Ahad lepas, ketika dalam MRT menuju ke TRX. Pengisiannya terlalu menarik dan sedap sehingga Patung Beruang hanya mengambil masa selama 31 jam untuk sudahkan pembacaan, Alhamdulillah.. 


Meneliti naskah Perfectly Imperfect Mom yang ditulis berdasarkan pengalaman penulis sendiri, menerbitkan rasa kagum kepada semua insan yang bergelar ibu, tatkala melihata betapa besarnya pengorbanan seorang ibu. 

Buku ini bukan saja bercerita tentang kesusahan seorang ibu membesarkan anak-anak termasuk anak istimewa, tetapi turut berkongsi dengan pembaca suka-duka si ibu bertarung dalam menghentikan kitaran intergenerational trauma (trauma bergenerasi). 

Apa itu intergenerational trauma? 

Ia adalah trauma yang diturunkan atau diwariskan dari satu generasi ke generasi yang lain. Contohnya, seorang anak dibesarkan dalam persekitaran keluarga yang mementingkan kesempurnaan. Sedikit cacat cela atau kelemahan, pasti akan dimarahi orang tua habis-habisan. Seolah-olah seperti telah menconteng arang ke muka orang tuanya. Akhirnya, anak ini akan membesar dengan perasaan rendah diri kerana merasakan diri tidak cukup hebat atau tidak layak bersaing dengan dunia luar. 

Apabila anak ini berkahwin dan menjadi ibu atau bapa, kebarangkalian untuk beliau mengasuh dan mendidik anak-anak seperti mana beliau diasuh ketika kecil, adalah tinggi. Beliau akan mendesak dan memaksa anak-anaknya untuk sentiasa jadi sempurna walaupun ketika anak-anak sudah buat semaksimum yang boleh. Bagaimana dia rasa amat tertekan ketika kecil, kini anak-anaknya juga akan rasa tekanan yang sama atau mungkin lebih berat dari apa yang dirasanya dulu. Akhirnya, tidak mustahil ada anak yang mengambil jalan singkat dengan melarikan diri dari rumah, terjebak dengan kegiatan tidak bermoral atau paling teruk sekali, mengambil nyawa sendiri. 


Terdapat juga pemerhatian dimana anak yang dibesarkan dalam rumahtangga yang dicemari dengan keganasan (domestic violence), apabila dewasa, anak ini cenderung untuk menjadi abusive ataupun menjadi victim kepada pasangan yang abusive. Dan anak ini, walaupun sedar rumahtangga yang dibina itu tidak sihat, mereka tetap bertahan dengan pasangan yang sama kerana merasakan itulah cara kasih sayang yang normal seperti apa yang mereka lihat pada perkahwinan ibu ayah mereka terdahulu. Kasihankan?? 


Hakikatnya, trauma tidak akan pernah berhenti sehinggalah ada yang berusaha sehabis daya untuk menghentikan kitaran yang menyakitkan ini. Jika diteliti, ramai saja disekeliling kita yang mengalami trauma, tetapi masyarakat seolah-olah menutup mata dan menganggap ia tiada apa. Budaya menormalisasikan self-silencing ini sangat bahaya kerana ia hanya akan memburukkan lagi keadaan individu yang mengalami trauma tersebut.



Selain itu, penulis dengan jujurnya berkongsi pengalaman bagaimana membesarkan anak autisme. Walaupun beliau sudah melakukan yang terbaik dalam membesarkan dan mendidik anak-anak semua, namun realiti seorang ibu itu tidak mudah. Ini adalah kerana: 

  • Struggle yang dilalui oleh seorang ibu bermula ketika mengandung, melahirkan dan membesarkan. 
  • Setiap ibu itu tidak sama perjalanan hidup dan tekanan yang mereka lalui. Zahirnya mereka kelihatan ceria, tersenyum sentiasa. Namun, dalam hatinya hanya Tuhan saja yang tahu. Struggle untuk mengekalkan kesihatan mental dan fizikal yang optimum. Berusaha untuk jadi yang terbaik demi anak-anak namun banyak kekangan dihadapan mata. Kurangnya sokong dari pasangan. Masalah kewangan dan 1001 isu yang membelenggu seorang ibu. 



Ibu berkerjaya atau ibu suri rumah sepenuh masa, kedua-duanya adalah ibu yang hebat. Oleh itu, usahlah saling membandingkan. 


Ramai ibu yang terpaksa membelakangkan diri sendiri dan mendahulukan keluarga. Rasa sudah habis daya untuk berusaha, namun apabila anak asyik menangis, rumah pula berselerak, dan pasangan pula meminta untuk disediakan juadah beraneka jenis, ia benar-benar mendera fizikal dan mental ibu tersebut. Ibu tersebut akan mengalami burnout dan tidak mustahil kemuncaknya adalah major depressive disorder dan anxiety. 

Wahai ibu, bertenanglah sebentar. Curilah masa untuk memberi diri sendiri ruang untuk bernafas. Wahai ayah, fahamlah kehendak mental pasanganmu. Usahlah mendesak untuk rumahtangga dan anak-anak yang sempurna jika dirimu sendiri kedekut untuk sama-sama membantu menguruskannya. Secara fitrahnya, seorang ibu itu penuh dengan kasih sayang. Namun, bagaimana dapat ibu itu terus memberi kasih sayang dan perhatian jika langsung tiada apa yang tinggal untuk dirinya sendiri.... 



Major depressive disorder (penyakit mental kemurungan) dikenalpasti oleh WHO sebagai penyakit keempat terbesar yang menyumbang kepada penyakit global yang dialami oleh manusia seluruh dunia hari ini. Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada penyakit kemurungan antaranya adalah:

  • Genetik atau keturunan 
  • Personaliti diri : Individu dengan personaliti yang selalu gelisah, pendiam dan kurang ceria lebih cenderung untuk mendapat penyakit ini. 
  • Trauma ketika kanak-kanak 
  • Pengambilan dadah atau alkohol 
  • Tekanan hidup seperti environment yang negative atau tekanan yang berterusan 
  • Ubat-ubatan 
  • Ketidakseimbangan bahan kimia (neurotransmitter) dalam otak

Apa yang perlu dilakukan jika mengalami kemurungan? 
Segeralah berjumpa dengan doctor di hospital atau klinik yang berhampiran. 
Jika tidak, jumpalah kaunselor untuk bercerita apa yang anda alami. 
Rehatkan diri sebentar dari perkara yang rutin. Beri peluang diri untuk mencuba aktiviti baru atau pengalaman baru.
Dan sebagai seorang Muslim, sentiasa dekatkan diri dengan Allah. Sakit itu adalah tanda kasih sayang Allah pada hamba-Nya. Solat dan mengadulah sepuas-puasnya pada Allah. Dia Maha Mendengar dan Dia juga Maha Mengetahui segala yang berlaku. Sesungguhnya, kehidupan di dunia ini adalah medan ujian buat kita demi meraih keredhaan-Nya... 




Jujurnya, naskah yang ditulis berdasarkan pengalaman sendiri memang mempunyai magisnya. Topic yang diutarakan hakikatnya adalah berat tetapi stigma masyarakat sering memburukkan lagi keadaan. Namun, jika tidak diketengahkan, sampai bila-bila pun masyarakat akan merasakan semuanya baik-baik belaka. Tiada yang salah jika seorang ibu itu mengalami kemurungan. Tiada yang salah jika anak-anak membesar dalam suasana yang tidak condusive. Tiada yang salah jika beban dan tanggungjawab rumahtangga itu terletak diatas bahu seorang isteri semata-mata. Dan tiada yang salah jika seseorang itu nekad mengambil mengambil nyawanya sendiri kerana merasakan sudah tidak tertahan hidup dimuka bumi ini. 


Baca dan fahami naskah ini dengan hati dan fikiran yang terbuka. Insya-Allah, kita akan dapat manfaatnya. 
Dan mungkin juga kita akan lebih cakna dengan insan-insan di sekeliling agar kita dapat menghulurkan bantuan pada mereka yang sedang kelelahan, tetapi masih  berpura-pura kuat demi syurga kecil mereka.....

Friday, August 9, 2024

Book Review: Bayang Sofea

 


Tajuk: Bayang Sofea

Penulis: Teme Abdullah

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah Bayang Sofea ini antara naskah terhangat pada tahun 2024. Naskah yang dilancarkan sebelum PBAKL 2024 telah menerima sambutan yang hangat sehingga pre-order yang dibuka habis ditempah dalam masa beberapa minit saja. 

Selain itu, seingat Patung Beruang ketika menghadiri PBAKL 2024, di gerai Iman Publication boleh dilihat pengunjung membeli naskah ini bertalu-talu sehingga adakalanya buku ini tidak sempat disusun di rak. Buka saja kotak, terus disambar pengunjung yang ada. Begitulah hangatnya naskah Teme yang terbaru ini. 

Untuk Patung Beruang pula, naskah ini dibeli di MPH beberapa minggu / bulan selepas tamatnya PBAKL 2024. Bila melihat sambutan yang hangat dan komen-komen positive dari rakan-rakan bibliophiles, teringin juga untuk memiliki dan menelitinya secepat mungkin, hehehe...


Blurb: 

"Do you really think you can run from us, Sofea?" 

Sofea, seorang pekerja yang berdedikasi dan bijak, bercita-cita ingin berjaya di syarikat RICE dengan hasil usaha sendiri. Dia menyangka kehidupannya akan menjadi normal sepertimana orang lain. 

Namun, pertemuan dengan Danny - seorang atlet tinju tersohor - mengingatkan Sofea kepada sesuatu yang sudah lama dilupakan. Sebuah organisasi misteri yang telah membantunya berjaya - tetapi dengan harga yang mahal. 

Semenjak itu, perjalanan hidup Sofea mula teruji apabila seorang lelaki daripada organisasi misteri tersebut tiba-tiba muncul dan menuntut janji lama Sofea. 

"You've sold your useless soul. We bought it. Now, it's time for us to claim what's ours." 

Sofea mula dihantui mimpi ngeri. Jika dia tidak menurut apa yang diminta, nyawa diri dan orang kesayangannya akan berada dalam bahaya.

"Tugas anda sangat mudah, Sofea. Patuh!"

Dalam keterdesakan, Sofea hanya ada dua pilihan - turuti permintaan mereka agar orang disekelilingnya selamat, atau ingkar lalu menerima padah. Mampukah dia membuat pilihan yang tepat?"



Jujurnya, Bayang Sofea ini penuh dengan kejutan. Dari awal cerita, pembaca tertanya-tanya tentang misteri gadis bernama Sofea atau nama penuhnya Raisya Sofea Tangjungreja. Nama penuh Sofea hanya didedahkan ketika Bab 26, setelah Sofea ditimpa kecelakaan jalanraya. 

Dari awal, watak Sofea dilihat sebagai gadis yang lemah-lembut, pintar dan datang dari keluarga biasa-biasa. Oleh kerana latar belakangnya yang kelihatan biasa-biasa, Sofea menjadi mangsa buli Jess, bossnya sendiri. 

Jess digambarkan sebagai pengurus project yang licik dan suka mempergunakan orang lain demi kepentingan diri sendiri. Jess ingin mendaki tangga korporat setinggi langit walaupun sedar dirinya tidak kompeten. Oleh itu, Jess gemar bermain politik office dan tidak teragak-agak untuk menyingkirkan sesiapa saja yang dirasa boleh menjadi pencabarnya termasuklah Sofea. 

Namun, Sofea bukan calang-calang lawan. Dengan IQ setinggi 350 - 400, segala cabaran di syarikat RICE ditempuh dengan mudah sehingga nama Sofea disebut-sebut sebagai genius dan dilantik ke barisan pengurusan tertinggi dalam waktu yang singkat. Semua kagum dengan kehebatan Sofea, kecuali Jess dan Rina. 


Danny aka Danish Kuih Shark atau nama asalnya Danish Coelho Ilyas adalah rakan sekolah Sofea. Sayangnya Danny tidak menghabiskan persekolahannya kerana dibuang sekolah akibat memukul anak pengetua. Namun, Danny tidak pernah melupakan Sofea, rakan baiknya. 

Kini, Danny berjaya menjadi peninju nombor satu di dunia, cita-cita yang memang didambakan semenjak zaman persekolahan. Pertemuan semula Danny dan Sofea di lobi Intimsphare Hotel menyambung semula persahabatan mereka yang terputus akibat tragedi memalukan yang menimpa Sofea ketika zaman persekolahan. 



Naskah Bayang Sofea ini membawa pembaca kepada tema persahabatan, dasar percaya & ikhlas seorang sahabat, kisah halusinasi, jerit-perih individu yang mempunyai IQ terlalu tinggi berbanding manusia normal, kisah suka duka dunia korporat dan sedikit genre thriller. Naskah ini ada beberapa plot twist namun ada antara plot twist nya boleh dijangka. Sebagai peminat Jeffrey Archer yang plot twist nya boleh membuatkan kita tidak senang duduk, tidak adil untuk membandingkan kejutan plot twist Teme dan Archer. 

Overall, naskah ini menarik sangat dan Teme berjaya membuatkan pembaca terpaku untuk terus membaca sehingga ke mukasurat terakhir. Tiada babak yang membosankan atau klise. 

Perkara yang paling menarik adalah ending Bayang Sofea ini bergantung pada interpretation pembaca sendiri kerana penamatnya tidak terlalu direct. Seperti yang tercatat dalam blog peribadi Teme, ada 4 teori untuk ending Bayang Sofea. Sebagai pembaca, kita pilihlah ending mana yang kita rasa paling sesuai. Tiada paksaan untuk menetapkan 1 ending saja. 

Terima kasih Teme atas naskah yang menarik dan segar. Semoga Teme akan terus menulis tanpa jemu dan tulisannya dapat menjana saham akhirat, Aamiin.. 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...