Monday, June 13, 2022

PBAKL 2022... Pesta Yang Dinanti-Nanti

Assalamualaikum wbt...

Semalam, Ahad, 12 June 2022 adalah hari terakhir penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) untuk tahun 2022. Setelah 2 tahun, PBAKL tidak kunjung tiba akibat dari pandemik Covid-19 yang melanda Malaysia dan juga seluruh dunia, penganjuran PBAKL kali ini sangat ditunggu-tunggu. 

Alhamdulillah Patung Beruang berpeluang menjejakkan kaki ke World Trade Centre (WTC), atau nama asalnya PWTC pada hari Sabtu, 11 June 2022. Jika selama ini, Patung Beruang akan berkunjung ketika waktu pagi, i.e. pukul 10am hingga 11am, kali ini Patung Beruang berkunjung pada waktu lewat petang pula.


Di poster, terpampang yang waktu operasi PBAKL 2022 adalah dari pukul 10am ke 10pm. Namun, hati ini tertanya-tanya, betul ke gerai pameran dan jualan masih lagi dibuka sehingga lewat begitu? Namun, keraguan tersebut terpadam sendiri apabila Patung Beruang terlihat ada acara di pentas utama dan juga sesi pertemuan dengan penulis yang dijadualkan pada pukul 8pm - 9pm. 


Pada hari Sabtu, 11 June itu, Patung Beruang ada appoinment service Mr 3 pada pukul 2.30 pm. Selesai saja service Mr 3 pada pukul 4.30pm, Patung Beruang terus pulang ke rumah sebentar untuk ambil bag pack, botol air, dan juga beberapa buah buku yang ingin disumbangkan ke Kotak Buku, di ruang legar WTC. 

Keluar rumah, terus menuju ke Putrajaya Sentral, naik ERL terus ke Station Bandar Tasik Selatan. Disana, Patung Beruang turun dan tukar naik LRT laluan Sentul Timur, untuk ke WTC. Ketika itu, hujan mula turun di Kuala Lumpur. Langit sangat gelap seperti waktu malam. 

Akhirnya, hampir pukul 6.30pm, Patung Beruang selamat sampai dan melangkah masuk ke WTC. Hooray... seronoknya dapat menjejakkan kaki ke PBAKL yang sangat dirindui ini. 


Oleh kerana Patung Beruang sudah ada target booth mana yang hendak di lawati dan buku apa yang hendak dibeli, Patung Beruang terus menuju ke direktori untuk dapatkan lokasi mereka secara tepat. 

Overall, Patung Beruang melawat booth yang berikut: 

  • Jejak Tarbiah di Hall Tingkat 4 
  • Biblio Press di Hall Tingkat 4
  • Iman Publication di Tingkat 4
  • Popular dan Perbadanan Perpustakaan Malaysia di Tingkat 3 (ini Patung Beruang tersesat sebenarnya, hehe) 
  • ITBM di Dewan Tun Hussein Onn di tingkat yang sama dengan Pentas Utama


Banyak tak harta karun yang Patung Beruang berjaya bawa pulang pada hari tersebut? jeng jeng jeng.... 
Patung Beruang beli 14 buah buku seperti dalam gambar tersebut. Buku-buku tersebut adalah dari Jejak Tarbiah, Biblio Press dan ITBM. 

Pada mulanya, Patung Beruang nak juga beli buku-buku di Iman Publication. Tapi pengunjung sangat ramai sehingga Patung Beruang rasa kurang selesa. 

Tidak mengapalah, buku-buku Iman itu nanti Patung Beruang beli saja di Borders IOI City Mall, sebagai terapi di waktu lain pula ye. 


Nasib baiklah Patung Beruang bawa bag pack. Kalau tidak, macam mana nak bawa pulang buku-buku tersebut. Itu pun ada beberapa buah naskah yang Patung Beruang terpaksa jinjit saja plastic nya sebab bag pack sudah penuh. 


Akhirnya, hampir 8.30pm Patung Beruang beransur pulang. Perjalanan pulang sangat smooth, Alhamdulillah. 

Apabila sampai saja di Putrajaya Sentral, barulah terasa penat dan lapar sangat. Air yang Patung Beruang bawa juga sudah habis. Ketika itu jam sudah menunjukkan hampir pukul 10 malam. Nak makan fast food, rasa bosan pula. Makanya, Patung Beruang terus ke Sri Mersing dan order Nasi Goreng Gila. Nyum nyum nyum.. harga mahal sikit i.e. RM10 tapi berbaloi sebab banyak rencah dan rasanya pun sedap. 


Ikutkan, malam itu juga Patung Beruang nak membelek satu persatu 14 buah buku tersebut. Tapi, oleh kerana kepenatan, Patung Beruang tangguhkan saja niat itu ke hari keesokkannya.... 


Itulah serba sedikit cerita kunjungan Patung Beruang ke PBAKL 2022. 

Ternyata PBAKL 2022 sangat meriah dan boleh dikatakan inilah PBAKL yang paling meriah sejak mula penganjurannya pada 10 tahun lepas (perhaps???? Honestly, Patung Beruang pun terlupa bila kali pertama ia dianjurkan walaupun setiap tahun, Insya-Allah pasti Patung Beruang akan datang, hehehehe... )

Bayangkan, pukul 8 malam itu, masih ramai lagi pengunjung yang baru tiba walaupun cuaca diluar hujan lebat. Didalam WTC pula, pengunjung sangat ramai, pelbagai peringkat umur (dari atuk nenek sehingga cucu cicit semua ada), pelbagai bangsa dan latar belakang. 

Di mana-mana, akan kelihatan pengunjung samaada bersendirian atau bersama keluarga, duduk bersila diatas karpet sambil membaca, mengisi perut dengan makanan ringan atau pun duduk berehat sambil melihat anak-anak mereka kusyuk membaca. Siapa kata rakyat Malaysia tidak minat membaca ye?

Berapa total wang yang Patung Beruang belanjakan untuk kesemua 14 buah buku itu? Hm.. secara kasar kurang daripada RM300. 


Baiklah....sekarang ini masa untuk Patung Beruang habiskan pembacaan seberapa banyak buku-buku ini. Masalahnya, buku yang sedia ada pun masih banyak lagi yang belum dibaca, opppppsss....  

Semoga ada rezeki untuk Patung Beruang berkunjung ke PBAKL 2023 pula. Aamiin... 

Sunday, June 12, 2022

Book Review: The Forgotten Road


Tajuk: The Forgotten Road

Penulis: Richard Paul Evans 

Menariknya Naskah Ini: 

Rupa-rupanya selepas The Walk Series, Richard Paul Evans ada mengeluarkan series terbaru yang jalan ceritanya ada iras-iras sedikit seperti The Walk Series

Patung Beruang terjumpa naskah The Forgotten Road ini ketika sedang mencari Volume 1 dalam The Walk Series, yang bertajuk The Walk. Percayalah, setelah bertahun-tahun Patung Beruang selesai membaca Walking on Water iaitu Volume 5 dan terakhir dalam series tersebut, Patung Beruang masih lagi gagal untuk memiliki Volume 1. Sabar je lah, huhu..

The Forgotten Road ini adalah Volume ke-2 dalam The Broken Road series. Alhamdulillah, Patung Beruang sudah memiliki Volume 1 dan 3, cuma belum berkesempatan untuk membacanya saja. Volum 1 dan 3 itu Patung Beruang terpaksa beli direct dari London melalui Book Depository. Harganya agak mahal sikit berbanding Bookxcess dan buku-buku tersebut mengambil masa sebulan lebih untuk sampai ke tangan. Tidak mengapalah, asalkan Patung Beruang dapat memilikinya. 


The Forgotten Road membawa pembaca kepada Charles (Gonzales) James, seorang lelaki berumur 34 tahun yang menetap di Chicago. Charles dikhabarkan meninggal dunia pada 3 May 2016 apabila pesawat The United Flight yang bernombor 227 yang dinaikinya, dilaporkan terhempas. Kejadian tersebut telah meragut nyawa kesemua penumpang dan anak kapal. 

Charles adalah seorang selebriti, penceramah dan penulis yang terkenal di Amerika. Hidupnya penuh dengan kemewahan namun hatinya kosong. Charles baru saja bercerai dengan isterinya, Monica. Entah mengapa, kemewahan material yang ada tidak mampu mengukuhkan rasa cinta dan sayang pasangan ini. 

Tatkala seluruh America membaca berita mengenai kematian Charles akibat nahas pesawat The United Flight, tiada siapa yang menyangka sebenarnya disaat-saat akhir, Charles gagal untuk menaiki pesawat tersebut. Dan kegagalan itu sebenarnya telah menyelamatkan nyawanya sendiri. 

Charles membaca obituary dirinya yang disiarkan oleh akhabr The Chicago Sun Times. Sungguh pelik rasanya apabila membaca obituary diri sendiri. Tatkala melihat baris-baris ayat didalam obituary tersebut, Charles menyedari yang ia ditulis oleh pembantunya, Amanda. 

Beberapa hari selepas itu, Charles menghadiri upacara kematiannya sendiri yang dianjurkan oleh Amanda di dewan sederhana, The Crystal Garden. Oleh kerana mayat nahas pesawat The United Flight  berkecai dan sukar dikenalpasti, maka upacara kematian dijalankan hanya dengan ucapan dan jamuan ringan oleh para hadirin. Charles sengaja hadir ke upacara tersebut untuk melihat siapa hadirin yang ada. Jauh di sudut hatinya, Charles mengharapkan ramai ahli keluarganya dan kenalannya akan hadir ke upacara tersebut. Tentu sekali insan yang ditunggu-tunggu adalah Monica, bekas isterinya dan anak mereka. 

Sedihnya, tidak sampai 6 orang hadir ke upacara tersebut. Malah, kelibat keluarga terdekatnya sendiri juga tidak kelihatan. Charles sangat kecewa dan mula tersedar yang selama ini dia tidak pernah peduli pada sesiapa pun melainkan harta dan kejayaannya sendiri. Maka, tidak hairanlah tiada siapa pun yang menangisi atau bersedih dengan kematiannya. 

Pulang dari upacara tersebut, Charles nekad untuk mengembara dari Chicago ke California, melalui Route 66, hanya dengan berjalan kaki. Mengapa California? Kerana Monica sekarang menetap disana. Tujuan perjalanannya hanya satu, Charles ingin berjumpa Monica dan meminta agar diberi peluang sekali lagi untuk dia membuktikan cintanya kepada Monica dan bersatu semula sebagai pasangan suami isteri. 

Namun, kembaranya di Route 66 tidak seindah disangka. 

Charles berdepan dengan cuaca yang tidak menentu dan dirompak ketika sedang berehat di dalam khemah di tepi jalan. Rompakan itu menyebabkan semua wang ringgit, jam tangan dan peralatan elektroniknya hilang. 

Sebatang kara, ketiadaan identiti pengenalan diri dan wang, memaksa Charles untuk berkerja sebagai buruh kasar bersama-sama pendatang asing/ haram dari Mexico. Pekerjaan yang dilakukan sangat melelahkan namun itu saja cara yang  ada demi sesuap nasi. Dalam masa beberapa minggu, dari seorang lelaki yang terhormat, mempunyai harta dan reputasi yang hebat, Charles berubah menjadi pendatang di negara sendiri. 


Dapatkah Charles keluar dari persekitaran yang menyeksakan itu dan menyambung perjalanannya di Route 66? 

atau ...

Memang inilah kesudahan kehidupan Charles, seorang lelaki yang direkodkan sudah meninggal dunia, maka tiada apa lagi yang tinggal untuknya di bumi ini? ...

Book Review: Aku, Buku & Kota Kaherah


Tajuk: Aku, Buku & Kota Kaherah

Penulis: Shahriman Jamalullayl

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah ini Patung Beruang selesaikan pembacaannya semalam, ketika sedang menunggu Mr 3 service. Alhamdulillah. 

Patung Beruang mula membaca naskah ini pada hari Isnin, ketika mood membaca Patung Beruang sangat rendah. Selepas puas berfikir, Patung Beruang memilih naskah ini kerana naskah ini bercorak memoir yang kebiasaannya mempunyai laras bahasa yang mudah dan santai. Ternyata pilihan Patung Beruang ini adalah tepat kerana kisah yang dipaparkan sangat menarik sehingga sukar untuk Patung Beruang berhenti membacanya. 

Aku, Buku & Kota Kaherah adalah coretan pengalaman peribadi penulis, seorang bibliophile yang pernah menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 1990-an. 

Penulis bercerita bagaimana minat membaca beliau bermula ketika sekolah rendah, apabila pada suatu hari, ayahnya membelikan majalah Dewan Pelajar. Beliau rasa sangat teruja dengan isi kandungan majalah tersebut dan bermula dari situlah, beliau sanggup mengumpul wang belanja sekolah setiap hari demi membeli majalah yang diterbitkan sebulan sekali. 

Di Mesir, penulis mula berjinak-jinak dengan buku-buku lama yang kebanyakkannya sudah tidak diterbitkan lagi. Oleh itu, menjadi kemestian untuk beliau menjelajah dari satu kedai ke satu kedai, walau di tepi jalan, atau di ceruk-ceruk lorong, demi mencari harta karun. Bagi beliau, bau-bau buku-buku lama dan debu-debu yang berterbangan itu seperti candu yang memberi 1001 kenikmatan yang tiada tandingan. Dan kerana minatnya itulah, beliau dikenali oleh peniaga-peniaga buku di Kota Kaherah yang rata-ratanya adalah orang tempatan.

Selain itu, beliau juga berkongsi pengalaman menghadiri Cairo International Book Fair yang boleh dianggap seperti syurga untuk bibliophiles. Pelbagai bahan bacaan samaada baharu atau lama, koleksi terpilih, koleksi kontroversi serta bahan bacaan yang diharamkan oleh pemerintah juga terdapat di sini. Selain itu, penulis juga berkongsi gelagat dan ragam pelik peniaga, pempamer dan pengunjung festival ini, tidak kira samaada penduduk tempatan ataupun orang luar. 

Adat kehidupan sebagai seorang pelajar yang tidak mempunyai pendapatan tetap, masalah kewangan adalah sesuatu yang lazim. Tidak terkecuali juga dengan penulis. Patung Beruang terasa sebak apabila meneliti kisah beliau yang terpaksa menyambung pengajian sarjana di Malaysia, kerana ketiadaan biasiswa dan permohonan zakatnya juga ditolak dek kerana kerenah birokrasi. Sebelum pulang ke Malaysia, dengan wang ditangan yang semakin susut, penulis berusaha keras untuk membeli seberapa banyak buku, kitab dan majalah untuk dibawa pulang ke Malaysia, sebagai koleksi peribadi. Begitulah nekadnya seorang pencinta buku, yang sanggup mengutamakan bahan bacaan berbanding mengisi perutnya sendiri. 


Secara kesuluruhannya, Aku, Buku & Kota Kaherah ini adalah buah tangan seorang pencinta buku kepada khalayak pencinta buku yang lain. Susunan ayat dan patah perkataan yang digunakan membuatkan seperti kita sedang mendengar beliau bercerita kisah suka-duka beliau secara lisan. Apabila sampai ke babak yang sedih, kita akan turut rasa sebak dan seperti memahami keperitan dan gejolak yang dihadapi penulis. Namun, apabila terserempak dengan babak yang lucu, kita akan tersenyum dan adegan lucu tersebut seolah-olah ternampak di hadapan mata. 

Sebenarnya, Patung Beruang rasa kagum dengan kecintaan beliau terhadap buku-buku lama sehingga sanggup menyelam dalam ribuan buku-buku dan majalah lama demi mencari permata. Patung Beruang adalah spesis yang tidak tahan dengan habuk. Dan disebabkan itu juga, semua buku-buku Patung Beruang berbalut plastik agar mudah dibersihkan. Patung Beruang memang tidak mampu untuk masuk ke kedai-kedai buku lama kerana percayalah, dalam masa 5 minit saja, Patung Beruang akan mula bersin tanpa henti dan ia berakhir dengan selesema dan demam yang sangat menyeksakan, huhuhu.... 

Benarlah yang naskah ini memang ditujukan khas untuk semua pencinta buku. Menelitinya, kita akan rasa puas dengan apa yang dipaparkan. 

Terima kasih penulis kerana sudi berkongsi pengalaman hidup ini dengan khalayak pembaca lain.....   


About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...