Thursday, August 27, 2020

Book Review : Warung Western Tepi Kampung


Tajuk : Warung Western Tepi Kampung 

Penulis : Rafiuddin Rabu


Menariknya Naskah Ini : 

Ehem ehem.. This is fresh from oven, hehe.. 

Naskah ini Patung Beruang selesaikan pembacaannya sebelum Maghrib tadi. Dan Patung Beruang sangat tidak sabar untuk berkongsi book review naskah ini disini. 

Naskah Warung Western Tepi Kampung ini menceritakan tentang pengalaman sebenar penulis, Rafiuddin Rabu sebagai seorang peniaga warung western di sebuah kampung di Banting. 

Penulis adalah anak bongsu dan lebih berminat untuk bekerja sendiri agar beliau sentiasa dekat dengan ayahnya. Kedua-dua lelaki ini tinggal berdua sejak kematian emak penulis. 

Oleh kerana penulis berbakat dalam masakan, maka perniagaan yang paling sesuai untuk diceburinya adalah perniagaan makanan. Berniaga makanan ini persaingannya sentiasa ada. Demi menonjolkan kelainan warungnya, penulis nekad untuk menjadikan hidangan barat sebagai menu utama warungnya.

Hidangan barat, nama yang menarik perhatian, ditambah pula dengan harga yang mesra poket, menyebabkan warungnya menjadi perhatian pelanggan dari pelbagai latar belakang, umur dan taraf ekonomi. 

Naskah ini membariskan 117 cerita pendek, kisah suka duka dari awal penulis membangunkan perniagaan warungnya sehinggalah menjadi terkenal seperti sekarang. Suka duka, cabaran, pahit getir yang dilaluinya dalam memastikan perniagaan warungnya ini boleh bertahan selamanya. 

Tulisan yang dipaparkan mempunyai emosi yang pelbagai. Ada masanya kita tersenyum sendiri membayangkan kisah lucu yang berlaku. Di lain waktu pula kita  rasa sangat geram apabila membayangkan segala tingkah laku jelek yang dihadapi penulis seperti pelanggan yang kurang ajar ataupun kisah kecurian duit yang tidak berkesudahan. Namun, di lain waktu pula, kita akan rasa sayu dan sebak terutama apabila penulis berkongsi kenangan-kenangan indah beliau bersama arwah ayah tersayang, ataupun pengalaman beliau berdepan dengan pelanggan atau bakal pelanggan yang kurang berkemampuan. 

Satu perkara yang Patung Beruang sangat kagum dengan penulis adalah beliau seringkali menyatakan yang niatnya berniaga adalah untuk menggembirakan dan membahagiakan pelanggan-pelanggannya. Sebab itulah, beliau sangat menjaga kualiti product dan perkhidmatan yang diberikan demi memuaskan hati pelanggan. Dan disebabkan niat itu jugalah beliau tidak berkira untuk bersedekah dengan pelanggan. 

Penulis sangat beruntung kerana zahirnya beliau berurus niaga dengan manusia namun hakikatnya beliau juga berurus niaga dengan Allah, terutama apabila melibatkan perihal kejujuran dan berkongsi rezeki. Keikhlasannya sebagai seorang peniaga jelas terserlah. Tidak hairanlah jika Allah memberi rezeki yang melimpah ruah pada beliau dan juga orang disekelilingnya. 


Selesai membaca naskah ini, Patung Beruang terus cari page official warung penulis di FB dan juga akaun warung tersebut di Twitter. Ok, done follow, hehe..

And next, Insya Allah, Patung Beruang teringin untuk menjejakkan kaki ke warung beliau. Untuk melihat dengan lebih dekat warung yang hebat ini walaupun lokasinya di kampung dan juga hanyalah di hadapan rumah saja. Semoga ada rezeki Patung Beruang untuk berjumpa dengan penulis. Boleh lah nanti Patung Beruang minta beliau turunkan tandatangan di naskah ini, Aamin... 

Terima kasih penulis kerana sudi berkongsi pengalaman peribadi dengan pembaca diluar. Naskah yang simple namun besar ertinya buat pembaca terutama kami yang bukan terdiri dari golongan peniaga ini... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...