Tajuk : Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi
Penulis : Iman Danial Hakim
Menariknya Naskah Ini :
Ini adalah naskah kedua berkenaan bibliophile yang ada dalam simpanan Patung Beruang.
Apa seronoknya membaca kisah bibliophile ini? Entahlah.. mungkin lebih kepada Patung Beruang ingin tahu apa dan bagaimana keadaan bibliophile yang lain, pengalaman dan suka duka mereka sebagai bibliophile, apa yang mendorong mereka menjadi bibliophile dan macam-macam lagi.
Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi ini berkisar tentang pandangan, resensi dan perjalanan seorang bibliophile bernama Iman Danial Hakim yang juga mahasiswa Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Antara perkara menarik tentang penulis ini adalah beliau juga seorang peminat sastera. Peminat sastera yang meminati dan menghargai puisi dan karya-karya dari sasterawan negara.
Bab Pertama: 22 Tahun Bersama Buku lebih kepada salam pengenalan dari penulis mengenai detik-detik permulaan beliau menjadi seorang bibliophile, genre karya yang diminati dan barisan penulis yang dijadikan koleksi kegemaran dari dahulu sehingga kini.
Antara bab yang menarik perhatian Patung Beruang adalah Dosa Seorang Tsundoku Terhadap Buku. Apa itu tsundoku? Tsundoku adalah perbuatan mengumpul buku tetapi tidak membacanya. Istilah ini mula popular pada akhir abad ke-19 pada era Meiji iaitu sekitar tahun 1868 - 1912.
Dalam kalangan bibliophile, istilah tsundoku sering kali digunakan sama ada untuk menyatakan kekesalan tabiat buruk atau bergurau sesama sendiri. Bagi sesetengah individu, tsundoku boleh menjadi masalah yang besar buat mereka kerana kitaran membeli buku yang tidak berkesudahan tetapi buku-buku tersebut tidak dibaca. Situasi ini berbeza dengan ungkapan "So many books, so little time", yang lebih kepada mereka berusaha untuk membaca namun kekangan masa atau rutin harian telah menyebabkan tabiat membaca tersebut terhenti. Untuk seorang tsundoku, mereka akan sentiasa mencari 1001 alasan untuk tidak membaca seperti sibuk, lupa atau malas.
Bagi Patung Beruang pula, membeli belah buku adalah satu aktiviti yang menyeronokkan dan ia juga menjadi terapi untuk diri ini. Segala keserabutan kerja dan kehidupan seakan-akan hilang sebentar tatkala kaki melangkah masuk ke kedai buku.
Namun, untuk mengelakkan bilangan buku yang belum dibaca semakin banyak, Patung Beruang akan memilih buku-buku yang memang Patung Beruang ingin baca saja untuk dibawa ke kaunter pembayaran. Sebab itu lah proses pembelian menjadi sangat lama kerana Patung Beruang akan belek buku-buku yang menarik perhatian, meneliti sinopsis, membaca satu atau dua mukasurat terlebih dahulu sebelum Patung Beruang decide sama ada buku tersebut layak untuk dibeli atau tidak. Adakalanya, Patung Beruang akan baca book review buku tersebut di Internet untuk lebih mengetahui apa sebenarnya isi kandungan naskah tersebut.
Mungkin proses ini kelihatannya rumit tetapi sekurang-kurangnya Patung Beruang berusaha untuk mengelakkan pembaziran dan sekaligus mencegah diri dari menjadi tsundoku.
Ada tak buku yang Patung Beruang beli tetapi akhirnya tidak dibaca?
Mestilah ada... hehehe..
Cuma, buku-buku ini ada 2 kategori.
Kategori pertama adalah, Patung Beruang tetap akan membacanya tetapi lewat. Berapa lewat? Boleh jadi 6 bulan, boleh jadi setahun, boleh jadi 2 tahun dan boleh juga jadi lebih dari 2 tahun selepas tarikh pembelian. Tetapi akhirnya, buku tersebut tetap akan dibaca.
Kategori yang kedua pula adalah Patung Beruang hilang terus minat untuk membaca buku tersebut dan akhirnya buku itu dihantar ke kedai Pak Cik Halim di Puchong. Siapa Pak Cik Halim ini? Beliau adalah penjual buku terpakai yang mempunyai banyak koleksi buku-buku yang menarik. Sekurang-kurangnya, buku-buku tersebut mempunyai peluang untuk mendapat tuan baru yang akan meneliti dan menghargai isi kandungannya.
Jujurnya, bilangan buku yang termasuk dalam kategori kedua ini sikit saja. Mungkin kurang 20 buah setakat ini. Mungkin ye... sebab Patung Beruang pun tak keep track. Bila difikir semula, nak cari duit ini bukan mudah. Berusaha keras siang dan malam, demi mencari rezeki yang halal. Oleh itu, Patung Beruang akan rasa sangat sedih jika banyak buku yang termasuk dalam kategori kedua ini kerana ia merupakan satu pembaziran, huhuhu...
Selain dari berkongsi pengalaman sebagai bibliophile, penulis juga berkongsi beberapa book review yang menarik di dalam naskah ini. Antaranya adalah:
- Ibu Melayu Mengelilingi Dunia: Dari Rumah ke London, karya Tan Sri Aishah Ghani;
- Cinta Fansuri karya A. Samad Said;
- Naratif Ogonshoto karya Anwar Ridhwan;
- Daun: Perbahasan Falsafah dan Agama karya Malim Ghozali PK
Disebabkan itu, Patung Beruang mula teringin untuk memiliki naskah-naskah yang dikongsi seperti karya Tan Sri Aishah Ghani dan juga Anwar Ridhwan. Cuma naskah-naskah tersebut agak sukar untuk dijumpai di kedai-kedai buku ternama seperti Kinokuniya, Popular atau MPH. Mungkin Patung Beruang akan cuba risik-risik dengan penjual buku persendirian seperti Kiridaren (The Bibliophile) atau Pelita Dhihin.
Oklah, begitulah serba sedikit yang boleh Patung Beruang kongsikan berkenaan naskah Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi. Perkongsian pengalaman dari seorang bibliophile kepada bibliophile...
No comments:
Post a Comment