Penulis: S.M. Noor
Sinopsis Novel Ini:
Pasir Lintang mengisahkan Adam, seorang kontraktor yang bersahabat baik dengan Zaidin. Zaidin adalah seorang bekas guru besar juga calon Pilihanraya Kecil Kawasan Pasir Lintang, sebuah kawasan di Terengganu. Zaidin bertanding atas tiket Parti Barisan Bertindak Bangsa (BBB). Namun takdir menentukan yang Zaidin tewas kepada calon dari Parti al-Hilal iaitu Ustaz Haji Mansor al-Urduni.
Selepas tewas dalam Pilihanraya, Zaidin membawa diri ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah. Pemergiannya kesana tidak diketahui langsung oleh ahli keluarganya dan juga Adam.
Namun, ternyata Allah lebih menyayanginya. Zaidin meninggal dunia di Tanah Suci dan kematiannya membawa seribu satu cerita duka yang selama ini disimpannya. Sebelum meninggal dunia, Zaidin telah mengamanahkan Haji Hashim, sahabat yang baru dikenalinya ketika mengikuti jemaah umrah, untuk menyampaikan sebuah kotak kecil kepada Adam.
Demi menyampaikan amanah tersebut, Haji Hashim nekad pergi ke Pasir Lintang untuk mencari Adam. Dan amanah itu turut membuahkan satu ikatan persahabatan yang kukuh antara Adam dan Haji Hashim.
Kandungan kotak kecil tersebut adalah sebuah pen drive yang mengandungi sebuah coretan perasaan dari Zaidin. Seakan mengetahui yang umurnya tidak panjang, Zaidin telah mencoretkan segala apa yang berlaku sebelum, sepanjang dan selepas Pilihanraya Kecil Pasir Lintang juga luahan perasaannya terhadap insan-insan disekelilingnya.
Kekalahan Zaidin didalam Pilihanraya Kecil Pasir Lintang hanyalah dengan beza undi yang terlalu sedikit. Kekalahannya bukanlah kerana Zaidin tidak bagus tetapi kerana beliau dikhianati oleh isterinya, Jamilah dan juga ahli-ahli Parti BBB yang selama ini menyimpan impian untuk menjadi calon.
Jamilah adalah seorang ustazah yang bersara awal. Sebagai ahli dan orang kuat Parti al-Hilal, Jamilah merasakan al-Hilal adalah parti yang terbaik dan berjuang bersama al-Hilal bermakna berjihad kerana Allah. Oleh itu, pencalonan Zaidin sebagai calon Pilihanraya Kecil dari parti BBB sangat ditentang keras oleh Jamilah sehingga beliau sanggup bertemu dengan ahli tertinggi al-Hilal bagi menyatakan hasratnya untuk bertanding menentang Zaidin. Jamilah menganggap yang Zaidin telah murtad hanya kerana Zaidin tidak menyokong al-Hilal.
Kematian Zaidin memberi kesan kepada Jamilah apabila beliau mula menyedari betapa sifat taksubnya kepada al-Hilal menyebabkan beliau telah mengabaikan Zaidin dan juga rumahtangga mereka. Sifat hormat seorang isteri telah hilang dan digantikan dengan sifat ego seorang perempuan yang gila kuasa. Jamilah sering merasakan dirinya adalah pemimpin wanita yang sangat hebat dan maksum, dan lebih layak untuk menjadi wakil rakyat Pasir Lintang berbanding Zaidin.
Dihimpit rasa sunyi, Jamilah mula berangan-angan untuk mendapatkan Adam bagi menggantikan tempat Zaidin. Adam yang kematian isteri sejak 6 tahun lepas menyedari perubahan perangai Jamilah dan taktik menggodanya. Namun, kerana menyedari siapa Jamilah sebenarnya dan bagaimana sikapnya sebagai seorang isteri membuatkan Adam bersikap acuh tak acuh kepada Jamilah.
Tanpa pengetahuan Adam, Zaidin telah meminang Hashimah, adik kepada Haji Hashim untuk Adam ketika di Tanah Suci. Peminangan tersebut disambut baik oleh Hashimah dan Haji Hashim walaupun ketika itu mereka langsung tidak mengenali Adam.
Adakah Adam akan bersetuju dengan peminangan tersebut dan memilih Hashimah sebagai teman hidupnya? Atau Jamilah berjaya menjadikan Adam sebagai miliknya?
Adakah ketaksuban Jamilah kepada Parti al-Hilal benar-benar berbaloi atau beliau hanya dijadikan alat oleh Parti tersebut demi mencapai cita-cita politik mereka?
Menariknya Novel Ini:
Pasir Lintang sarat dengan sindiran kepada senario yang berlaku pada masa ini. Perangai manusia yang bergiat dalam politik, manusia-manusia yang busuk hati, dengki khianat dan tikam belakang walaupun dalam satu parti yang sama ditonjolkan melalui watak Dato' Bazli, orang kuat Parti BBB.
Juga manusia yang sanggup menjual agama demi kepentingan parti dan diri sendiri. Parti yang berciri Islamik tetapi sayangnya ahli-ahli tidak bersikap seperti seorang muslim. Dimana Islamik nya jika seorang isteri tergamak mengherdik dan menengking suaminya, melabelkan suaminya murtad hanya kerana suaminya tidak menyokong Parti yang sama. Dimana Islamik nya jika ahli-ahli politik sanggup memberi jaminan sesiapa yang menyokong mereka akan masuk Syurga dan siapa yang membangkang, tempatnya adalah di Neraka.
Selain itu, watak Jamilah juga menyindir insan-insan diluar sana yang memakai topeng agama sehingga menampakkan sikap hipokrit mereka. Perubahan mendadak Jamilah selepas kematian Zaidin mengejutkan Adam kerana perubahan tersebut sangat tidak sesuai dengan gelaran Ustazah. Sikap gatal, mengada-ngada dan suka menarik perhatian lelaki hanya menambahkan perasaan benci Adam kepada Jamilah.
Kesimpulannya, seperti biasa novel terbitan Dewan Bahasa & Pustaka tidak pernah mengecewakan pembaca. Walaupun ia tebal (413 mukasurat) tapi novel ini langsung tidak membosankan dan sentiasa membuatkan Patung Beruang rasa tak sabar untuk tahu apa kesudahannya.
No comments:
Post a Comment