Saturday, May 2, 2015

Tatkala Ajal Hampir Menyapa

Pada suatu petang setelah azan Asar, hujan renyai-renyai turun membasahi bumi Allah, sebuah kenderaan sedang meluncur laju di lebuhraya untuk pulang ke KL. Perjalanan yang bermula pada pukul 2.30 petang tadi agak lancar dan tidak sabar rasanya hati ini untuk sampai ke rumah, bertemu ahli keluarga dan melepaskan lelah yang terpendam.

Sedang asyik memandu dilorong kanan, tiba-tiba terasa seperti kenderaan yang dipandu ini terbabas dan meluncur laju menuju ke divider kanan. Dan mata ini pantas menangkap sebiji bas ekspress yang sedang melunjur laju dari arah bertentangan. Allahu Akbar!!! 

Hati ini ini berdegup kencang dan tangan ini dengan segera memusing stereng kereta untuk mengelakkan divider tersebut. 

Dalam sekelip mata, kenderaan bertukar arah dan mula menghala laju kearah divider kiri pula. Degupan jantung semakin laju tatkala terlihat gaung yang luas dan curam terletak betul-betul disebelah divider kiri. Kaki pantas menekan brek sambil tangan ligat mengawal stereng kereta. Dan tiba-tiba... 

Dum!!!!

Kereta yang dipandu menghentam divider kiri tersebut. Hentaman yang kuat itu cukup membuatkan kereta tersebut hilang kawalan, berpusing dan menghentam divider kiri sekali lagi. Akal fikiran mula terbayang wajah ibu dan ayah dirumah. Hati mula berbisik, 

   "Ya Allah, adakah ajalku sudah tiba? Ya Allah, ya Allah, ya Allah......."

Terasa kereta yang dipandu ini sudah tidak terkawal, badan dan kepala ini pula menghentam kuat bertalu-talu ke badan kereta. Dan tiba-tiba, kereta berhenti dengan sendiri. 

Diri terpinga-pinga, apakah yang baru berlaku sebentar tadi???

Selepas beberapa saat, baru lah diri ini tersedar. 
   "Ya Allah, aku masih bernyawa lagi. Terima kasih ya Allah.."

Tiba-tiba telinga ini pantas menangkap bunyi ketukan di tingkap sebelah kanan. Terlihat kelibat seorang lelaki Serani sedang berdiri di tepi tingkap dengan wajah yang pucat. 

   "Are you ok?" 

Soalan itu lantas menyedarkan Patung Beruang yang diri ini baru sahaja terlibat dalam kemalangan jalan raya yang tidak diduga. 

Inilah divider kiri yang dilanggar berulang kali ketika detik kemalangan tersebut. 

Patung Beruang terus keluar dari kereta, melihat keadaan kereta dan melihat kearah divider kiri tersebut.

Allahu Akbar. Divider tersebut telah bengkok dan salah satu besi dari divider tersebut telah tercabut akibat hentaman yang kuat sebentar tadi.

Tidak dapat Patung Beruang bayangkan apa yang akan berlaku jika divider tersebut tercabut dan kereta ini terjunam kedalam gaung. Mohon dijauhkan, Nauzubillah minzalik.. 

Lelaki Serani itu, masih setia berdiri melihat keadaan Patung Beruang yang seperti bingung dan beliau berulang kali bertanya adakah Patung Beruang ok. 

Ya, ini lah pengalaman pertama Patung Beruang terlibat dengan accident yang serius seperti ini. Otak panik dan tak tau nak buat apa. Emosi pula bercampur-baur. Rasa nak menangis, takut, terperanjat, semua ada. 

Setelah membuat beberapa panggilan telefon untuk meminta pertolongan, Patung Beruang mula bertenang. Patung Beruang berterima kasih pada lelaki Serani tersebut kerana sudi berhenti dan bertanya keadaan diri ini. Dan selepas itu, beliau beredar dari lokasi kemalangan dan meneruskan perjalanan beliau. 

Itulah yang berlaku pada Patung Beruang pada minggu lepas. Pengalaman yang tidak pernah Patung Beruang terduga. Dan sampai ke hari ini, Patung Beruang masih terbayang detik-detik kemalangan tersebut. Memang rasa seperti ajal ini dah sampai. Dan takutnya hati ini, Allah SWT sahaja yang tahu.

Bagaimana keadaan Patung Beruang selepas kemalangan tersebut?? 

Of course, sangat sakit. Hari pertama selepas kemalangan itu, setiap kali bergerak walau sedikit pun, Patung Beruang akan menangis sebab terlalu sakit. Masa tu, tak rasa malu pun kalau orang nampak Patung Beruang menangis. Biarlah, bukan orang tahu pun sakit kita kan? huhu.. 

Dan selang beberapa hari selepas kemalangan tersebut, Patung Beruang mengalami pendarahan yang serius dibahagian bawah. Cukup serius sehingga dirujuk ke KPJ pula. Pendarahan tersebut menyebabkan kuantiti darah dalam badan ini berkurangan. Dan ia sangatlah menakutkan.... 

Akibat hentakan yang kuat, bahagian bawah tulang belakang Patung Beruang ini masih lagi sakit sampai ke saat catatan ini ditulis. Kesakitan itu menyebabkan Patung Beruang mengalami kesukaran untuk bangun dari tempat duduk dan tidak boleh berdiri lama. 

Trauma? Yup, of course trauma untuk memandu. Tetapi, hidup kena diteruskan. Patung Beruang kena gagahkan diri untuk memandu semula. Dan agak sakit setiap kali nak masuk dan keluar dari kereta terutama dibahagian tulang belakang. 

Apapun, syukur Alhamdulillah sebab Allah masih panjangkan umur Patung Beruang. Terima kasih pada semua yang tahu tentang kemalangan ini dan sudi bertanya khabar Patung Beruang. Dan pada yang tidak tahu, Patung Beruang minta maaf kerana tidak sempat untuk memberitahu musibah yang melanda ini. 

Setiap yang berlaku pasti ada hikmah-Nya. Dan Patung Beruang yakin, kemalangan ini juga ada hikmah-Nya yang tersendiri. Doakan agar Patung Beruang cepat sembuh ye. Aamin...

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...