Penulis: Dr. Adil Alhyar LL.M
Kisahnya Patung Beruang:
Buku ini Patung Beruang habiskan pembacaannya pada awal tahun hari itu, iaitu ketika Patung Beruang masih lagi berkhidmat di Internal Audit Department, Pos Malaysia Berhad. Dan usai pembacaan, Patung Beruang terus menyimpannya didalam storage box sehingga Patung Beruang terlupa yang buku ini belum didokumenkan dalam blog ini.
Namun, di awal Oktober hari itu, ketika shopping buku di Popular, Patung Beruang ternampak buku ini. Dan minda ini mula berputar ligat memikirkan adakah buku ini sudah Patung Beruang miliki? Jika ya, adakah Patung Beruang sudah selesai membacanya? Nasib baik tangan ini tidak terus membuat keputusan untuk mencapai dan membeli buku ini untuk kali yang ke-2 kerana apabila pulang ke rumah, ye betul lah sangkaan Patung Beruang. Buku ini terletak elok didalam storage box didalam bilik, huhu.. Sabar je lah...
Menariknya Buku Ini:
Buku ini ditulis selari dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Segeralah kamu beramal sebelum datang 7 perkara; apakah kamu akan menanti hingga datang kemiskinan yang membuat kamu lupa, ataupun kaya yang membuat kamu sombong, ataupun sakit yang merosakkan kehidupan kamu, ataupun tua yang melemahkan kekuatan, ataupun kematian yang datang secara tiba-tiba, ataupun datangnya dajal, iaitu makhluk ghaib yang paling buruk, ataupun datangnya hari kiamat, iaitu hari yang sangat dasyat dan mengerikan?" (Hadis riwayat Tirmidzi)
Buku ini terbahagi kepada 7 bab iaitu:
1. Peristiwa Kemiskinan Yang Melalaikan.
- Bab ini menceritakan dimana orang miskin sebenarnya mempunyai peluang yang besar untuk merasakan nikmat kasih sayang Allah SWT. Tetapi, ramai orang miskin yang memilih untuk hidup didalam kekufuran.
- Punca-punca kemiskinan terbahagi kepada 3 iaitu alamiah ataupun disebabkan oleh keadaan semula jadi seseorang, budaya iaitu rendahnya kualiti manusia akibat budaya masyarakat tertentu seperti sikap malas dan akhir sekali struktur. Struktur lebih kepada kemiskinan yang disebabkan oleh kelemahan sistem yang digunakan oleh suatu negara dalam mengatur urusan rakyat.
- Turut disentuh juga peranan negara untuk meminimumkan masalah kemiskinan yang membelenggu masyarakat. Jika negara tersebut lebih berpaksikan kepada kapitalis dimana peranan negara dalam bidang sosial dan ekonomi secara langsung sepatutnya diuruskan seminimum yang boleh, maka bersiap sedia lah untuk melihat masalah kemiskinan yang membuak-buak didalam negara tersebut.
2. Peristiwa Kekayaan Yang Melahirkan Penderhaka
- Apakah erti kekayaan yang sebenar? Adakah wang simpanan yang berjuta-juta ringgit atau deretan kereta mewah di puluhan banglo mewah itu dianggap kekayaan? Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda, "Kekayaan bukanlah banyak harta benda, tetapi kekayaan ialah kekayaan hati" (Hadis riwayat Bukhari Muslim).
- Jadi, bagaimanakah untuk kita memperoleh kekayaan yang sebenar???
- Dipaparkan juga kisah si kaya yang menderhaka seperti Qarun dan kisah si kaya yang soleh seperti Abdul Rahman bin Auf r.a.
3. Peristiwa Sakit Yang Merosakkan Kehidupan
- Manusia tidak akan terlepas dari sakit. Tetapi, benarkah sakit itu adalah tanda Allah SWT sayang pada kita? Dan benarkah kebanyakkan manusia ingin bertaubat dan berjanji untuk tidak mengulangi dosa-dosa silam mereka apabila mereka diberikan kesakitan?
- Bagaimana pula sakit menurut pandangan Al-Quran? Surah al-Anbiya, ayat 83-84 dalam Al-Quran menyebut tentang kisah Nabi Ayub A.S yang ditimpa penyakit, kehilangan harta dan anak-anaknya. Namun, semua itu tidak melemahkan semangat Nabi Ayub A.S. malah beliau tetap bersabar dan teguh keimanannya pada Allah SWT. Berkat kesabarannya, Allah SWT telah memberi kesembuhan kepada Nabi Ayub A.S.
- Didalam Bab ini turut dicatatkan kisah yang menarik mengenai 3 orang Bani Israil yang menderita akibat penyakit belang, botak dan buta. Apabila diberi kesembuhan oleh Allah SWT, ada antara mereka menjadi kufur tetapi ada juga yang menjadi soleh. Dan akhirnya, setiap mereka mendapat balasan yang setimpal dengan perbuatan masing-masing.
4. Peristiwa Tua Yang Melemahkan
- Islam meletakkan garis panduan umur seseorang mengikut tahap-tahap berikut: Mumaiyiz, Pemuda ataupun Pemudi dan Orang Tua. Jadi, bagaimanakah yang sepatutnya kita mengisi umur yang kita lalui sehari-hari ini demi mendapat keredhaan Allah SWT?
- Umur 40 tahun sering diungkapkan oleh ramai orang. Mengapa pentingnya umur 40 tahun itu? Adakah ia juga turut disebutkan didalam Al-Quran? Terdapat pelbagai tanda orang yang berusia 40 tahun seperti pencapaian yang sempurna dari segi material, kerjaya yang mantap, cenderung untuk melakukan amalan-amalan yang baik, rumah tangga yang semakin harmoni, cenderung untuk bertaubat dan kembali pada Allah SWT dan sebagainya.
- Bagaimana dengan tahap umur 60 tahun pula? Apakah hikmahnya jika Allah memberikan kita kesempatan untuk menikmati umur 60 tahun?
- Turut diceritakan perihal sahabat Nabi Muhammad SAW yang panjang umur iaitu Anas bin Malik.
5. Peristiwa Kematian Yang Mengejutkan
- Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Cuma, bila, bagaimana dan dimana menjadi rahsia Allah SWT. Adakah kematian itu bermakna pengakhiran kepada perjalanan kita? Tidak.. Bagi umat Islam, kita percaya bahawa kematian itu hanyalah satu daripada perjalanan kita untuk menuju ke alam yg kekal iaitu alam Akhirat.
- Mengapa manusia takut mati? Adakah ia datang secara tiba-tiba? Atau ia datang dengan perlahan-lahan? Apakah tanda-tandanya? Adakah kita menyedari tanda-tanda tersebut? 100 hari sebelum kematian? 40 hari sebelum kematian? 7 hari sebelum kematian? 3 hari sebelum kematian? 1 hari sebelum kematian? dan pada hari kematian?
- Turut dicoretkan kisah Nabi Ibrahim A.S dimana beliau ingin melihat bentuk wajah malaikat Izrail ketika mencabut nyawa orang yang diredhai dan orang yang dilaknat oleh Allah SWT.
6. Peristiwa Dajal Si Penjahat
- Dajal merupakan seorang kafir yang jahat. Ia akan muncul menjelang Hari Kiamat dengan membawa fitnah. Seperti sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, "Sejak Allah SWT menciptakan Nabi Adam AS hingga ke Hari Kiamat nanti, tidak ada satu ujian pun yang lebih dasyat daripada dajal." (Hadis riwayat Muslim)
- Dalam bab ini diceritakan perihal dajal membawa air dan api ketika musim kemarau, dan dajal akan bertanya adakah manusia itu menginginkan api ataupun air? Jika dia menjawab air, hal itu bermakna api yang akan diberikannya. Jika jawapannya api, dia akan memberikan air.
- Turut dicoretkan bagaimana untuk kita manusia berlindung daripada dajal. Seperti yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW agar kita umat Islam membaca dan menghafal 10 ayat pertama daripada surah al-Kahfi sebagai perlindungan daripada dajal.
- Selain itu, identiti dajal seperti dimana tempatnya, saiz badannya, 2 tandanya, jangka masa dajal hidup, tanda khusus dajal dan fitnah yang akan dibawa oleh dajal turut dikongsikan oleh penulis didalam buku ini.
7. Peristiwa Hari Kiamat Yang Dasyat
- Beriman kepada Hari Kiamat termasuk dalam salah satu Rukun Iman yang wajib dipegang oleh semua umat Islam. Tetapi adakah kita telah bersedia dengan kedatangan Hari Kiamat itu walaupun kita tahu ia pasti akan datang?
- Apakah tanda-tanda Hari Kiamat itu? Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menjelaskan tanda-tanda Hari Kiamat dalam beberapa buat hadisnya. Antaranya adalah, "Sesungguhnya Kiamat itu tidak akan terjadi sebelum adanya 10 tanda-tanda Kiamat, iaitu tenggelam di Timur, tenggelam di Barat, tenggelam di Jazirah Arab, adanya asap, datangnya dajal, dabbah (binatang merayap yang besar), Yakjuj dan Makjuj, terbit matahari dari sebelah barat, keluar api dari hujung Aden yang membawa manusia, dan turunnya Nabi Isa AS." (Hadis riwayat Muslim)
- Peristiwa Hari Kiamat turut diceritakan didalam bab ini dimana ia merangkumi dasyatnya Hari Kiamat tersebut, terjadinya kematian secara serentak bagi segala makhluk hidup, kebangkitan seluruh manusia daripada kematiannya, berkumpulnya manusia di Padang Mahsyar, detik perhitungan untuk segala amalan seseorang di dunia, Mizan iaitu alat untuk mengukur atau menimbang amalan manusia setelah dihisab, Siratulmustakim (jambatan) yang terbentang dia atas neraka jahanam. Semua manusia akan melaluinya termasuklah para Nabi dan Rasul. Dan akhir sekali Syurga dan Neraka.
Secara keseluruhannya, buku ini penuh dengan petikan-petikan ayat Al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW yang bersesuaian dengan topik yang diketengahkan. Topik yang berat tetapi disampaikan dengan cara penulisan yang santai sedikit tanpa menjejaskan objektif topik tersebut. Moga-moga semua pembaca mendapat manfaat dari penulisan buku ini, Amin..
No comments:
Post a Comment