Penulis: Genki Kawamura
Penterjemah: Hazman Baharom
Menariknya Naskah Ini:
Naskah ini Patung Beruang selesaikan pembacaan awal bulan Julai, ketika sedang menunggu Mr 3 service di Service Centre. Baru kini Patung Beruang dapat berkongsi disini.
Andai Kucing Hilang Dari Dunia adalah novel Jepun yang berkisar tentang seorang lelaki, yang membahasakan dirinya "Aku", menghitung hari-hari terakhir hidupnya, setelah disahkan mengidap kanser.
Aku bekerja sebagai posmen, seorang lelaki bujang dan tinggal bersendirian dengan seekor kucing yang bernama Cabbage.
Ketika sedang bermuram memikirkan hayatnya yang hanya tinggal beberapa hari, seekor syaitan muncul di rumahnya dan memberikan satu tawaran: "Hidup Aku boleh dipanjangkan sehari dengan syarat sesuatu benda perlu dilenyapkan dari dunia ini."
Syaitan itu Aku gelarkan Si Aloha kerana kemunculannya dalam bentuk seorang lelaki yang memakai baju Hawaii dengan gaya seperti sedang bercuti di pantai. Aku termenung memikirkan apa perlu untuk Aku menerima atau menolak tawaran Si Aloha. Rasanya seperti mimpi tetapi Si Aloha bersungguh-sungguh menyakinkann yang ini adalah nyata.
Untuk hari pertama, Aku meminta Si Aloha menghilangkan telefon dari dunia ini. Ketiadaan telefon membuatkan manusia mula berbual secara bersemuka, mula memberi perhatian terhadap insan disekeliling. Di dalam keretapi, penumpang ralit membaca buku ataupun melelapkan mata. Indah sungguh pemandangan ini bagi Aku.
Hari kedua pula Aku meminta Si Aloha menghilangkan wayang dari dunia ini. Tetapi, Aku berkira-kira rasionalkah permintaan ini? Aku ada sentimental value dengan wayang. Wayang juga tempat cinta zaman remaja Aku berputik. Seandainya wayang hendak dihilangkan dari dunia, filem apa yang Aku patut tonton sebagai filem terakhir?
Aku mula rasa serba-salah.
Tetapi bagaimana jika Aku menukar pilihan daripada wayang kepada jam? Ya, bagaimana andai jam pula hilang dari dunia?
Oh tidak..
Jika jam hilang dari dunia, bagaimana ayah ingin menyara hidup kami sekeluarga sedangkan ayah adalah pemilik kedai jam dan sangat berkebolehan untuk membaiki jam? Aduh... sulit sungguh dilema yang ada dalam diri Aku ini.
Atau..
Bagaimana jika kucing pula hilang dari dunia ini?
Tetapi tatkala ternampak Cabbage mundar-mundir dalam rumah ini, Aku sedar betapa kucing bernama Cabbage ini adalah peneman yang setia. Cabbage seringkali seperti faham perasaan yang terbuku dalam diri Aku.
Tergamakkah Aku untuk meminta Si Aloha menghilangkan semua kucing yang ada di dunia ini agar Aku dapat hidup sehari lagi?
"Untuk mendapatkan sesuatu, kita harus kehilangan sesuatu." Itu ungkapan dari ibu Aku. Ungkapan yang simple tetapi besar maknanya.
Naskah ini anggaplah sebagai bacaan santai. Jangan risau, ia tidak menggugat akidah walaupun wujudnya watak syaitan yang bernama Si Aloha, dan juga kebolehannya untuk memanjangkan usia Aku dengan syarat yang tertentu.
Naskah ini menyedarkan kita betapa hidup ini singkat. Kita terlalu sibuk mengejar material sehingga kita terlepas pandang perkara-perkara yang kita nampak remeh tetapi sebenarnya mempunyai impak yang besar dalam hidup kita. Contohnya seekor kucing. Ia hanya lah seekor kucing yang hadir dalam hidup kita secara tiba-tiba. Tetapi entah mengapa, ia tetap setia disisi walau apa pun keadaan kita ketika itu. Mungkin ia juga tahu hayat kita tidak lama di dunia ini. Disaat kita merasakan tiada manusia yang faham tentang kita, kucing ini seolahnya memahami kita. Betapa aneh sungguh kehidupan dunia ini....
No comments:
Post a Comment