Sunday, February 5, 2023

Book Review: Please Look After Mother


Tajuk: Please Look After Mother 

Penulis: Kyung-Sook Shin

Penterjemah: Chi-young Kim

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah ini Patung Beruang selesaikan petang semalam, beberapa minit sebelum azan Maghrib. Beberapa bulan lepas, Patung Beruang ternampak ahli dalam group bibliophiles berkongsi pengalaman mereka membaca naskah ini. Rata-rata bercerita yang naskah ini sangat menarik untuk diteliti. Kisah yang diungkapkan terasa seperti dekat di hati. Makanya, Patung Beruang masukkan naskah ini didalam wish list. 

Minggu lepas, ketika di Popular IOI City Mall, Crime Partner terserempak dengan naskah ini dan terus membeli. Kuasa Allah, walaupun Patung Beruang tidak pernah bercerita dengan Crime Partner tentang buku ini, Allah gerakkan hati dia untuk membelinya dan Patung Beruang juga berpeluang untuk membacanya. Alhamdulillah... 


Please Look After Mother membawa pembaca kepada kisah Mak bernama Park So-nyo, berumur 69 tahun yang terpisah dari suaminya (Ayah) dalam lautan manusia di Stesen keretapi bawah tanah Seoul. Kehadiran Mak dan Ayah ke Seoul adalah untuk melawat anak menantu dan cucu-cucu mereka di Seoul. Tetapi tanpa diduga, pasangan tua ini terpisah dan akhirnya hanya si Ayah saja yang selamat sampai ke rumah anak sulung mereka, Hyong-chol.

Anak-anak Mak mencari beliau diserata Seoul. Selain membuat laporan polis, mereka juga membuat risalah dan mengedarkannya kepada orang awam, terutama di Stesen Seoul, dengan harapan suatu hari nanti Mak akan ditemui. 

Hari berganti hari, minggu dan bulan, Mak masih tidak ditemui. Setiap kali mereka mendapat khabar dari orang awam yang mengatakan pernah melihat atau bertemu dengan Mak, mereka akan bergegas ke sana. Ada kalanya, panggilan tersebut adalah palsu tetapi ada beberapa kali, ia adalah kejadian sebenar. Mak ditemui di kawasan kediaman lama Hyong-chol, berjalan di taman, mencari satu demi satu kediamanan anaknya. Ada juga dimana Mak ditemui oleh seorang ahli farmasi, dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Kakinya luka teruk sehingga dijangkiti kuman akibat dari berjalan kaki terlalu jauh, dan Mak memakan sisa makanan yang dikutipnya dari tong sampah. 

Ahli farmasi itu merawat kaki Mak dengan cermat. Puas ditanya nama dan hala tuju perjalanan, namun Mak hanya membisu seribu bahasa. Mak kelihatan sangat letih dan pandangannya kosong. Tatkala ahli farmasi tersebut beredar sebentar untuk menelefon polis demi memaklumkan tentang penemuan Mak, Mak berlalu pergi. Puas dicari, kelibatnya sudah hilang dari pandangan. 


Kehilangan Mak memberi tamparan hebat pada Ayah, anak-anak dan juga kakak ipar Mak. Mereka mula mencari siapa Mak sebenarnya? Mengapa mereka seakan-akan tidak kenal Mak walaupun sudah berpuluh tahun Mak wujud dalam kehidupan mereka. Banyak rahsia Mak yang mula tersingkap sedikit demi sedikit. 


Hyong-Chol, anak sulung dalam keluarga dan sentiasa menjadi kebanggaan Mak. Sedari kecil, Hyong-Chol pintar didalam pelajaran. Mak mengharapkan agar Hyong-Chol menjawat jawatan Pendakwaraya apabila dewasa. Tetapi Hyong-Chol sedar yang kemiskinan keluarga ini akan menyukarkan laluan beliau untuk merealisasikan impian Mak itu. Makanya, Hyong-Chol nekad berhijrah ke Seoul, bermula kerja sebagai pengawal keselamatan sambil mengikuti kelas untuk sambung belajar. Hyong-Chol berusaha keras dalam pelajaran dan berjaya diterima bekerja di sektor korporat. Hyong-Chol mendaki satu demi satu tangga korporat sehingga membawanya ke jawatan tinggi yang menjamin kehidupan mewah dan selesa. Antara impian yang tidak mungkin Hyong-Chol lupakan adalah memiliki kediaman yang selesa di Seoul agar setiap kali Mak datang ke Seoul, beliau akan rasa selesa dan tidak lagi kesejukan. 


Mak lahir dalam keluarga petani. Keadaan Korea yang sedang berperang ketika itu membuatkan keluarga mereka sentiasa hidup dalam kemiskinan dan ketakutan. Ibu Mak memaksa Mak untuk berkahwin dalam usia yang terlalu muda demi mengelakkan dirinya menjadi mangsa kerakusan askar Korea ketika itu. Makanya, semua impian dan cita-cita Mak berkubur begitu saja. 

Kehidupan selepas perkahwinan tidaklah seindah mana. Sedari awal, Mak bertungkus-lumus berkerja keras demi memastikan ada makanan untuk 4 orang anaknya. Jari-jemari Mak sangat ajaib. Apa pun pokok yang ditanamnya, pasti akan membuahkan hasil tuaian yang sangat sedap. Orang kampung sering memuji nasi yang terhasil dari padi yang ditanam oleh Mak, berbau harum dan sangat mengenyangkan sehingga mereka rasa lebih bersemangat untuk bekerja dan tidak terasa lelah pun selepas memakannya. Begitu juga dengan ternakan. Apa sahaja yang dibela Mak, pasti akan berkembang membiak dengan sihat. Kelebihan ini membuatkan Mak dan anak-anak jarang kelaparan. 


Dimanakan Ayah dalam perkahwinan Mak? Perkahwinan di usia muda membuatkan Ayah merasakan dia belum puas menikmati kehidupannya. Ayah biasa saja keluar rumah selama berbulan-bulan, merantau entah kemana, malah pernah membawa pulang seorang perempuan muda ke rumah yang lagaknya tidak ubah seperti teman wanita Ayah. 

Mak sudah lali dengan pemergian Ayah. Bagi Mak, ada atau tiada, sama sahaja kerana tanggungjawab kelangsungan hidup anak-anak terletak di bahu Mak. 

Anehnya, walau sejauh mana Ayah pergi, walau selama mana Ayah keluar, pada akhirnya Ayah tetap akan pulang ke rumah Mak. Kerana baginya, itu lah rumah, tempat tinggal Mak dan anak-anak. Itu rumah keluarga. Satu-satunya tempat yang boleh dituju tatkala hidup ini terasa seperti hilang arah. 



Naskah Please Look After Mother banyak memakan air mata Patung Beruang dan Crime Partner. 

Patung Beruang membaca naskah ini sehingga selesai, di ruang tamu rumah sambil ditemani Si Boyot. Semakin ke penghujung buku, semakin sedih dan meruntun hati jalan ceritanya. Sehingga akhirnya, Patung Beruang menangis tersedu-sedu di ruang tamu. Puaslah tekup muka dengan Si Boyot supaya esakan ini tidak terlalu kuat. Tetapi rupanya, Crime Partner dapat juga dengar tangisan Patung Beruang itu dari dalam bilik dia. Sabar je lah, huhuhu.. 

Naskah ini menceritakan 1001 rasa gembira, bahagia, kesedihan, patah hati,  kekecewaan, terkilan, bersalah seorang wanita yang bergelar Mak. 

Kita sering melihat figura Mak itu sebagai seorang wanita yang serba hebat, serba tahu, serba kuat dan serba segala-galanya. Namun, kita terlupa, seorang Mak itu, asalnya adalah seorang anak perempuan, seorang adik, seorang kakak, seorang teman. Dan apabila beliau menggalas jawatan Mak, semua peranan yang lain sebelum ini seperti dilupakan. 

Sedang hakikatnya, walaupun beliau sudah bergelar Mak, beliau masih memerlukan wanita lain yang bernama Mak baginya...


Semoga semua wanita yang bergelar Mak di luar sana sentiasa kuat dan tabah menghadapi kehidupan dunia ini. 

Terima kasih kerana menggalas jawatan Mak, sebuah jawatan yang sangat menuntut komitmen yang tinggi sehingga ke akhir hayat, tetapi dalam masa yang sama, sering tidak dihargai oleh pasangan dan anak-anak sendiri. 

Maaf kerana kami sering terlupa bahawa Mak juga adalah insan biasa yang mempunyai hati, perasaan, keinginan dan impian..... 


Book Review: Leaving Microsoft to Change the World


Tajuk: Leaving Microsoft to Change the World 

Penulis: John Wood

Penterjemah: Iskandar Syah Ismail

Menariknya Naskah Ini: 

Nampaknya ini adalah book review pertama untuk tahun 2023. Maaflah sebab Patung Beruang tidak mampu untuk update disini semenjak beberapa bulan lepas. Rasa macam sudah penuh saja sawang labah-labah di sini, hehehe.. 

Jujurnya, naskah Leaving  Microsoft to Change the World ini Patung Beruang selesaikan pembacaannya ketika July 2022 namun disebabkan keadaan yang tidak mengizinkan dan kekangan masa, baru hari ini Patung Beruang berpeluang untuk berkongsi disini.

 

Leaving Microsoft to Change the World adalah pengalaman sebenar John Wood, salah seorang pihak pengurusan tertinggi Microsoft namun kemudiannya nekad melepaskan jawatannya agar beliau boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada misi kebajikannya. 

Segala-galanya bermula ketika pengembaraannya di pergunungan Himalaya, Nepal. Ketika di sana, John berpeluang melawat sebuah sekolah yang daif. Sedang bersiar-siar melihat persekitaran sekolah, John meminta untuk melihat perpustakaan sekolah tersebut. Namun, apa yang berlaku selepas itu  sangat mengejutkan beliau kerana perpustakaan sekolah yang ditemuinya adalah  hanya sebuah bilik dan didalam bilik tersebut terdapat sebuah almari yang berkunci. 

Guru besar mengatakan semua buku-buku perpustakaan disimpan didalam almari berkunci tersebut untuk mengelakkan ia rosak atau pun hilang. Amat menyedihkan apabila melihat jumlah dan genre buku-buku yang ada. Kebanyakkannya adalah sumbangan dari para pendaki yang pernah sampai ke situ, makanya ada antara buku-buku yang ada di perpustakaan itu tidak sesuai untuk dibaca oleh para pelajar sekolah itu.

Guru-guru di sekolah itu meminta John untuk kembali semula ke sekolah itu dan membawa buku-buku yang lebih sesuai untuk para pelajar mereka. John berjanji untuk menunaikan permintaan tersebut. Maka, beliau mula menghantar email kepada kaum keluarga dan kenalannya untuk meminta sumbangan bahan bacaan yang sesuai untuk kanak-kanak.

Dalam beberapa minggu, jumlah sumbangan bahan bacaan yang diterima sangat banyak sehingga hampir memenuhkan ruang garaj di rumah ibu ayahnya. Malah, ada juga yang menyumbangkan wang ringgit demi membantu misi John. Kini, bermulalah perjalanan Room to Read, sebuah organisasi yang membina perpustakaan, sekolah dan menyediakan biasiswa jangka masa panjang untuk pelajar perempuan di negara-negara membangun. 


Naskah Leaving Microsoft to Change the World ini merakam emosi suka duka dan cabaran getir John Wood mencapai ketenangan hidup melalui jalan pendidikan. Membaca naskah ini membuatkan Patung Beruang terfikir, adakah kehidupan yang kita lalui setiap hari ini memberi makna kepada insan lain? 

Atau mungkin, ia hanyalah satu proses untuk mencapai material kita sahaja? 

Jika dilihat dari mata kasar, tiada yang kurang dalam kehidupan John Wood. Berjawatan tinggi disebuah organisasi antarabangsa yang ternama, gaji yang lumayan, kemudahan kediaman dan kenderaan mewah disediakan syarikat, mempunyai teman wanita yang sama-sama berada di puncak dunia korporat, menunggu masa yang sesuai untuk hubungan mereka melangkah ke fasa seterusnya, dikelilingi network yang high worth, segala-galanya ternampak sempurna. 

Tetapi kelebihan atau mungkin kesempurnaan material itu tidak mampu mendatangkan satu rasa kepuasan dengan kehidupan yang dikecapinya. John sering bertanya pada dirinya, adakah apa yang dilakukannya ini memberi impak positif pada orang lain. Jika ya, bagaimana? Dan jika belum, apa lagi yang perlu dilakukannya untuk menghasilkan jawapan "Ya"? 


Terima kasih John Wood kerana sudi merakamkan kisah peribadi ini untuk tatapan masyarakat luar. Dan terima kasih juga Iskandar Syah kerana terjemahan yang sangat bagus sehingga Patung Beruang terasa seperti sedang mendengar kisah ini dari mulut John Wood sendiri. Walaupun naskah ini tebal i.e. 468 mukasurat, tetapi apabila sudah mula membaca, sukar sekali untuk Patung Beruang berhenti. Jika boleh, ingin terus membaca dan membaca sehingga ke mukasurat terakhir. 


Dan akhir sekali, Patung Beruang sering katakan pada diri sendiri dan juga mereka yang rapat, buku sebenarnya adalah barang mewah. Jika ketika zaman kanak-kanak, ibu bapa mampu membelikan anda buku selain dari buku sekolah, anda adalah kanak-kanak yang sangat beruntung. Kerana di luar sana, ada berjuta kanak-kanak yang teringin untuk membaca buku tetapi mereka tidak mampu. Bukan saja buku cerita, buku sekolah juga mereka tidak mampu. Tidak mampu kerana kekangan kewangan, kemudahan dan mungkin juga kerana keupayaan untuk membaca yang sangat terbatas.  Makanya, jika dari zaman kanak-kanak sehingga kini anda menjadi seorang dewasa, anda masih lagi mampu membeli buku dan tetap membeli buku, panjatlah sebanyak-banyak kesyukuran kepada Yang Maha Kaya. Sesungguhnya, anda memang insan yang beruntung.... 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...