Sunday, December 27, 2020

Book Review : Hiatus

Tajuk : Hiatus 

Penulis : Mato

Ceritanya Patung Beruang : 

Patung Beruang selalu nampak naskah ini di kedai buku. Puas membelek blurb (catatan di kulit belakang buku) tetapi tidak dapat mengagak apakah isi kandungannya. 

Beberapa minggu lepas, seperti biasa Patung Beruang berkunjung ke Borders selepas waktu kerja. Entah mengapa tatkala ternampak naskah ini di rak buku, Patung Beruang terus capai dan cakap pada diri sendiri, "It's time to give chance to this book. Maybe it really a good book."

Hiatus mempunyai pelbagai makna. Namun, umumnya bermaksud perhentian, berhenti sebentar dari sesuatu aktiviti atau perjalanan. Gangguan yang menghentikan sesuatu atau kejadian etc. 

Dalam naskah ini pembaca dikenalkan dengan watak utama bernama Amir Talhah bin Ahmad. 

Zahirnya Talhah kelihatan seperti seorang pemuda yang sangat beruntung. Dilahirkan dalam keluarga yang kaya dan mewah, tinggal menetap dan belajar di luar negara walaupun ibu bapanya berasal dari Malaysia, dikurniakan otak yang cerdas sehingga mampu menghafal ayat-ayat Al-Quran, sedang menuntut di tahun akhir jurusan perubatan, mempunyai wajah yang menarik sehingga digilai ramai wanita, idola anak muda sehingga sering dijemput untuk memberi motivasi kepada pelajar luar negara. 

Namun, ada suatu rahsia yang tersimpan kemas di dalam diri Talhah, yang tidak mampu untuk diluah kepada keluarga terdekat atau sahabat yang rapat. 

Talhah berdepan dengan masalah kemurungan sehingga menyebabkan dia sering mencederakan dirinya sendiri. Lengan dan paha penuh dengan bekas torehan yang dilakukannya sendiri. 

Selain itu, Talhah juga menjadikan rokok, arak dan zina sebagai escapism. Namun kegembiraan itu semua hanyalah sementara. Jiwanya tetap menderita, kosong, merana dan merintih. 

Raudhatul Hifza atau lebih dikenali sebagai Raudah, adalah seorang doctor muda yang berkhidmat di Malaysia. Kerjaya doctor yang sentiasa menuntut perhatian dan masa tidak menghalang gadis ini untuk bergiat aktif di dalam kegiatan dakwah dan kebajikan. 

Talhah dan Raudah berkenalan apabila kedua-duanya dijemput sebagai speaker jemputan untuk program motivasi pelajar Malaysia di Rusia. Perkenalan yang singkat namun cukup bermakna buat Talhah. 

Jarak umur yang berbeza tidak menghalang Talhah untuk cuba menarik perhatian Raudah. Namun, terlalu banyak cerita tidak enak seperti kenakalan Talhah yang sampai ke telinga Raudah. Cerita-cerita berkenaan membuatkan Raudah lebih berhati-hati dalam berdepan dengan lelaki ini. Tetapi gerak hatinya tetap menyatakan Talhah yang dilihatnya bukanlah diri lelaki itu yang sebenar. Lelaki ini sedang sakit dan memerlukan pertolongan. Sakit yang tidak nampak di mata kasar, sakit yang tidak nampak luka yang sedang berdarah.  

Temujanji Talhah dan Dr Safiyyah, pakar psikiatri kelihatannya membuahkan hasil. Tetapi benarkah Talhah semakin pulih? Terlalu banyak luka yang ditanggung Talhah sedari kecil. Luka yang bukan saja mencalarkan fizikalnya, namun, mental dan psikologinya. 



Naskah Hiatus ini membawa tema kesihatan mental. Entah mengapa Patung Beruang rasa mudah tertarik dengan tema ini dalam waktu-waktu begini. Mungkin kerana tema ini lebih dekat dengan kehidupan seharian. Ia memberi petunjuk sakit mental ini boleh menyerang sesiapa saja. Mereka yang kurang berkemampuan, kurang bijak dan pekerja bawahan. Tetapi juga mereka yang professional, berpelajaran tinggi, hidup dalam kemewahan dan kesenangan. Pendek kata, sesiapa saja. 

Selain itu tema kesihatan mental ini juga membuatkan Patung Beruang teringat insan-insan yang Patung Beruang kenal, yang berdepan dengan masalah yang sama. Zahirnya mereka kelihatan bahagia dan gembira. Senang tertawa dan menghiburkan orang lain. Hakikatnya, tatkala bersendirian, mereka menangis mengenangkan apa yang ada dalam fikiran mereka. Menangis dihantui permasalahan hidup yang seolahnya seperti tiada jalan keluar. Merintih dek rasa kekosongan dalam hidup mereka.

Mereka mula mencari bantuan. Ada yang mendekati sahabat yang dirasakannya boleh dipercayai untuk meluah perasaan. Ada yang mula mendapatkan bantuan professional. Mula menghantar whatsapp panjang berjela meluahkan apa yang terbuku dihati. Ada juga yang mengambil keputusan untuk berhenti kerja demi mencari semula diri yang semakin hilang. Semangat yang semakin hilang. Keinginan hidup yang semakin hilang.

Menarikkah naskah Hiatus ini? 

Menarik... 

Untuk kita lebih faham apa yang dirasakan mereka. 

Untuk kita lebih menjiwai apa yang terbuku dalam hati dan fikiran mereka.

Ia adalah luahan rasa seseorang yang menderita, yang cuba untuk menyakinkan dirinya bahawa masih ada sebab untuk dia terus bernyawa mengharungi jalan kehidupan yang penuh berliku....

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...