Tajuk : Stigma
Penulis : Muharikah
Menariknya Naskah Ini:
Patung Beruang tertarik untuk memiliki naskah ini kerana penulisnya adalah "Muharikah". Untuk pengetahuan, Patung Beruang mengenali Muharikah melalui komik "Muharikah, The Comic" dan "Muharikah H.O". Komik? Seriously???
Yes, komik..
Patung Beruang tertarik dengan komik tersebut kerana ia memaparkan kisah suka duka seorang doctor ketika di peringkat Housemanship. Lain dari komik tempatan yang biasa Patung Beruang jumpa di Popular.
(p/s: Sebenarnya, komik yang Patung Beruang selalu baca cuma Lawak Kampus dan Lawak Pasal Meow je, hehe)
Nak dijadikan cerita, bila Patung Beruang ternampak naskah ini di Popular, diri ini tertanya-tanya,
"Eh, sejak bila Muharikah ada tulis novel?"
Baca sinopsis di kulit belakang, nampak menariknya naskah Stigma ini. Jadi, jomlah kita beri peluang pada naskah ini ye..
Naskah Stigma ini mengetengahkan dua watak utama iaitu Dr Iman Syahirah dan Dr Faris. Mereka bertugas di Jabatan Perubatan, Hospital Universiti Puncak Alam. Kedua-dua mereka adalah doctor muda yang seringkali berhadapan dengan pengidap HIV. Sedihnya, ramai pesakit mereka ini datang dari dunia yang berbeza, iaitu mereka yang bercinta dengan sesama jantina.
Kedua-dua doctor ini berusaha sehabis baik untuk merawat pesakit mereka tanpa prejudis. Mereka sedar yang mereka menggalas tanggungjawab yang berat, iaitu sebagai doctor dan juga sebagai saudara seagama.
Dr Iman dan Dr Faris ini bukan sahaja berusaha untuk merawat fizikal pesakit-pesakit di Jabatan Perubatan itu, tetapi juga jiwa mereka. Bagi kedua-dua doctor ini, masih belum terlambat untuk para pesakit ini insaf dan kembali ke pangkal jalan.
Dalam berusaha memulihkan para pesakit mereka, kedua-dua doctor ini juga mempunyai kisah silam yang tersendiri. Sisi lain yang tidak mampu untuk mereka luahkan kepada sesiapa pun. Sisi lain yang cuba untuk mereka padamkan dari hidup mereka, untuk selama-lamanya.
Untuk berubah menjadi hamba Allah yang baik, memang sukar.
Tetapi adalah lebih sukar untuk terus istiqamah, dalam usaha menjadi baik.
Hanya mereka yang mengalaminya sahaja yang akan faham.
The struggle is real....
Rupanya, naskah Stigma ini adalah novel pertama Muharikah. Bagi Patung Beruang, naskah ini sangat unik walaupun temanya dekat dengan realiti yang berlaku pada masa kini.
Ada banyak perkara yang Patung Beruang suka dengan naskah Stigma ini.
Pertama, naskah ini ditulis berpandukan pada fakta dan juga imaginasi.
Oleh kerana watak utamanya adalah doctor, dan jalan ceritanya berkisar tentang bagaimana petugas perubatan berdepan dengan para pesakit HIV, banyak fakta yang menarik disampaikan seperti prosedur perubatan, keadaan pesakit yang mengidap HIV, simptom-simptom, kesan pengambilan ubat-ubatan, dan juga suasana sebenar ketika didalam wad kecemasan ataupun wad kritikal.
Walaupun penuh dengan fakta dan gaya percakapan petugas perubatan seperti akronim atau jargon yang digunakan, ia langsung tidak membunuh mood pembaca. Malah, Patung Beruang perasan, banyak sahaja pengetahuan am yang boleh diperolehi dari naskah ini.
Kedua, walaupun naskah ini mempunyai 2 watak utama, susunan cerita sangat teratur dan kedua-dua watak berkembang dengan seimbang. Pembaca tidak akan rasa keliru dipertengahan cerita dan momentum pembacaan juga tidak terganggu.
Ketiga, naskah ini membuka mata Patung Beruang tentang realiti kehidupan pesakit HIV. Ada antara mereka dijangkiti penyakit ini akibat dari gaya hidup yang salah. Namun, ada juga yang dijangkiti kerana menjadi mangsa keadaan.
Contohnya seperti kisah Aunty Letchumy. Dr Iman menyedari yang dalam masa 3 bulan, sudah 3 kali Aunty Letchumy dimasukkan ke wad akibat jangkitan kuman air kencing. Walaupun telah diberikan antibiotik yang kuat, namun jangkitan tersebut masih lagi berulang. Pelik dengan keadaan tersebut, maka ujian darah pun dijalankan. Keputusan ujian darah menunjukkan Aunty Letchumy mengidap HIV. Sebab itulah sistem imun beliau sangat lemah, menyebabkannya senang dijangkiti kuman walaupun dalam tempoh yang singkat.
Ketika private session antara Dr Iman dan Aunty Letchumy, wanita tersebut nampak tenang apabila diberitahu yang dirinya adalah pesakit HIV. Rupanya dia sudah lama merasakannya, cuma menunggu keputusan ujian darah saja. Aunty Letchumy menjadi mangsa akibat sikap mementingkan diri sendiri suaminya.
Keempat, situasi yang dipaparkan didalam naskah ini mencerminkan realiti. Realiti petugas perubatan, realiti pesakit, realiti penerimaan ahli keluarga dan masyarakat terhadap pesakit HIV. Ramai sahaja pesakit HIV yang insaf dan ingin berubah, namun adakalanya usaha mereka itu terbantut dek kerana tiadanya sokongan moral dari keluarga dan orang terdekat. Pandangan serong masyarakat pula memburukkan lagi keadaan.
Percayalah, di dalam dunia ini, tiapa siapa pun yang ingin mati keseorangan. Namun, apabila dirasakan diri ini dibuang, pesakit HIV ini lebih rela menanggung segala kesakitan dan penderitaan bersendirian.
Kelima, cabaran untuk berubah menjadi hamba Allah yang terbaik. Sebenarnya, inilah intipati cerita yang paling penting dalam naskah ini. Kita sedar dunia ini hanya sementara. Matlamat kita adalah kehidupan di Akhirat sana. Namun, adakalanya kita terleka sehingga terlupa matlamat utama kita. Disaat kita tersedar, kita insaf, bertaubat dan berazam untuk berubah. Berazam untuk tidak mengulangi dosa dan maksiat itu. Namun, ia tidak semudah disangka.
Betapa sukarnya kita untuk berubah. Sukarnya kita untuk bertaubat. Tetapi sukar lagi untuk kita istiqamah, menjaga diri dari mengulangi dosa-dosa yang lama.
Secara umumnya, Patung Beruang sangat suka dengan naskah Stigma ini. Tahniah kepada Muharikah kerana menghadiahkan buah tangan yang bagus pada pembaca. Naskah ini membuka mata Patung Beruang tentang struggle yang dialami oleh mereka yang diuji dalam kehidupan ini. Baik atau buruk, sihat atau sakit, sibuk atau tenang, kaya atau miskin, semuanya adalah ujian. Cuma antara kita sedar atau tidak sahaja..