Tuesday, July 30, 2019

Book Review: Pintu Pengadang (Half Door)

 Tajuk : Pintu Pengadang (Half Door)

Penulis: Peng Xuejun

Penterjemah: Doris Tan Lai Peng

Menariknya Naskah Ini: 
Ini adalah naskah kedua karya Peng Xuejun yang ada dalam koleksi Patung Beruang. Naskah pertama yang Patung Beruang miliki bertajuk Kaulah Adikku. Nanti bila ada kesempatan, Patung Beruang kongsikan disini ye. 

Naskah Pintu Pengadang ini adalah karya terjemahan dari negara China, yang diterbitkan pada tahun 2008. Seperti biasa, Patung Beruang sangat tertarik dengan karya terjemahan terutama terbitan ITBM.

Kali ini, Peng Xuejun membawa pembaca untuk mengenali seorang kanak-kanak perempuan autistik yang bernama Sha Sha atau Shaji. Shaji adalah anak tunggal, dimana ibu bapanya bekerja sebagai juruteknik di landasan keretapi.

Sebagai kanak-kanak autistik, Shaji lebih gemar bermain seorang diri, kurang gemar berkawan atau berinteraksi dengan orang lain, dan suka berkhayal. 

Pada suatu hari, ketika Shaji sedang bermain di sebuah tapak pembinaan yang terbiar, seorang remaja lelaki terjatuh ke dalam lubang pasir yang digali oleh Shaji. Incident tersebut menyebabkan mereka menjadi sahabat. Agak aneh apabila Shaji gemar berbual dengan remaja itu sedangkan dirinya jarang berbual dengan orang lain kecuali ibu bapanya sendiri. 

Tidak lama selepas perkenalan tersebut, Shaji dan keluarga terpaksa berpindah kerana ibu bapanya dihantar bertugas di landasan kereta api di bandar. Oleh kerana sukar untuk menjaga Shaji ketika mereka sedang bekerja, ibu bapa Shaji membuat keputusan untuk menghantar Shaji ke rumah Nenek Yun. Maka, bermulalah episod Shaji menetap di rumah Nenek Yun, seorang wanita penjaga yang tinggal berseorangan. 

Rumah Nenek Yun terletak di Jalan Utara. Perkara yang menarik perhatian Shaji ketika berada di rumah Nenek Yun adalah adanya dua buah pintu pengadang yang terletak di hadapan pintu besar. Ketinggian pintu pengadang ini adalah separuh daripada pintu besar. Untuk Shaji yang masih berumur 3 ke 4 tahun, pintu pengadang ini kelihatannya lebih tinggi dari dirinya sendiri. Jadi, jika Shaji ingin meletakkan dagunya diatas pintu pengadang ini, dia terpaksa berdiri diatas bangku kecil. 

Pada mulanya Shaji menyangka pintu pengadang ini pintu "syaitan" kerana sebutannya di dalam bahasa pertuturan seakan-akan sama. Maklumlah, sebagai seorang kanak-kanak autistik, otaknya sentiasa menerawang jauh entah kemana-mana. Sehinggakan perkara yang baik juga adakalanya masih difikirkan yang bukan-bukan. 

Bagi Shaji, dia sendiri tidak faham mengapa pintu itu dinamakan pintu "syaitan". Adakah pintu itu untuk syaitan keluar masuk? Adakah dirumah Nenek Yun ini terdapat syaitan? Jika ini adalah tempat syaitan, pasti ia adalah tempat yang menyeronokkan.... Begitu lah pemikiran yang datang ke dalam otak Shaji pada masa itu. 

Selain dari pintu "syaitan", Shaji juga tertarik dengan Budak Air yang kelibatnya hadir ke rumah Nenek Yun hampir setiap hari. Budak Air adalah seorang kanak-kanak lelaki yang berumur lebih kurang 13 tahun. Dia hanya mampu menuturkan satu perkataan sahaja iaitu "Air". Budak Air mendapat gelarannya kerana setiap hari dia akan mengandar dua buah baldi air, melalui jalan tersebut sambil berteriak "Air, Air" untuk menjual air yang dikandarnya.. Pada waktu itu, masih tiada paip air di kawasan kampung Nenek Yun. Sumber air datang dari sungai atau perigi. Maka, perkhidmatan Budak Air sangat bermakna di kawasan tersebut. 

Budak Air ini tinggal bersama seorang nenek berwajah bopeng di bahagian barat di hujung jalan. Nenek itu tinggal seorang diri. Nenek itu bukanlah nenek kandungnya, tetapi Budak Air ini dijaga dan dibesarkan oleh nenek tersebut. Ketika kecil, Budak Air ini sakit teruk dan nenek tersebut telah menghabiskan kesemua wang simpanannya untuk mengubati Budak Air. Malangnya apabila sudah sembuh, Budak Air ini tidak boleh bercakap. Oleh kerana nenek tersebut sudah tua dan tidak berdaya untuk mengandar air lagi, jadi Budak Air inilah yang mengambil alih kerja nenek dan mencari rezeki untuk keluarga. Sekarang, nenek itu pula lumpuh kerana diserang strok, dan Budak Air lah pula yang menjaga nenek tersebut. 

Walaupun Budak Air tidak boleh bertutur, dia masih mampu untuk mendengar dan memahami percakapan orang lain. Oleh kerana sering melihat kelibat Budak Air, Shaji mula berminat untuk berkawan dengannya. 

Pada suatu hari, Shaji mengikut Budak Air sehingga ke perigi. Inilah kali pertama Shaji melihat perigi. Shaji sangat teruja ditambah lagi apabila melihat bayang-bayangnya sendiri terpancar di atas permukaan air didalam perigi tersebut. Selepas itu, Shaji mula mengikut Budak Air menjual air di kawasan tersebut. Untuk kanak-kanak kecil seperti Shaji, pengalaman menjual air dari rumah ke rumah adalah suatu pengalaman yang menyeronokkan walaupun agak meletihkan. 

Selain pengalaman menjual, Shaji juga pernah tergelincir dan hampir terjatuh ke dalam perigi. Tindakan pantas Budak Air menarik kolar baju Shaji telah menyelamatkannya dari lemas. Mujur tiada apa yang berlaku dan kejadian itu berjaya disembunyikan dari pengetahuan Nenek Yun. Jika tidak, sudah pasti Nenek Yun tidak akan mengizinkan Shaji untuk keluar rumah lagi. 

Persahabatan Shaji dan Budak Air tidak lah lama. Nenek yang dijaga oleh Budak Air akhinya meningal dunia, menyebabkan Budak Air tinggal sebatang kara. Selain itu, kerajaan telah menyediakan kemudahan paip air di kawasan tersebut. Dan paip air itu disalurkan ke setiap rumah termasuklah rumah Nenek Yun. Oleh itu, tiada siapa lagi yang ingin membeli air dari Budak Air. Maka, Budak Air pun berpindah dari kawasan itu dan tiada siapa yang tahu kemana destinasi yang ditujunya. 

Kini Shaji pula melangkah ke alam persekolahan. Hari pertama ke sekolah, Shaji berkenalan dengan seorang kanak-kanak perempuan yang sumbing bibirnya, bernama Li Qingliu. Perkenalan mereka bermula dengan suasana yang kurang ceria kerana Shaji menegur keadaan bibir Li Qingliu. Ini menyebabkan Li Qingliu ingin memukul Shaji. Kelakuan Shaji yang tidak peka dengan keadaan fizikal orang lain telah menyebabkan Nenek Yun menegurnya. 

Di sekolah, Li Qingliu sering diejek oleh kanak-kanak lelaki terutamanya Tongluo. Keadaan itu berterusan sehingga Li Qingliu memukul Tongluo dihadapan kanak-kanak lelaki yang lain. Dan Shaji pula menahan kakinya sehingga Tongluo tersadung jatuh ketika hendak melarikan diri. Bermula detik itu, Tongluo dan rakan-rakannya tidak lagi mengejek Li Qingliu. Dan Li Qingliu mula bersahabat dengan Shaji.

Li Qingliu sangat pandai menyanyi dan mempunyai suara yang merdu. Namun, tiada siapa di sekolah yang pernah melihat Li Qingliu menyanyi. Ini kerana setiap kali kelas musik, Li Qingliu tidak pernah membuka mulut. Mungkin disebabkan rasa rendah diri dengan keadaan fizikalnya. 

Pada suatu hari Li Qingliu mengajak Shaji untuk pergi ke loteng perpustakaan setelah habis waktu persekolahan. Dan itulah pertama kalinya Shaji mendengar nyanyian Li Qingliu. Bagi Shaji, nyanyian Li Qingliu adalah yang paling merdu yang pernah didengar seumur hidupnya. Lebih sedap dari mana-mana pelajar di sekolah itu. Sejak itu, bermulalah rutin harian mereka berdua. Bergegas ke loteng perpustakaan selepas sahaja tamat waktu sekolah. 

Li Qingliu rupanya adalah anak angkat kepada satu pasangan di kampung tersebut. Ibu kandungnya menetap di bandar dan sangat kaya. Kehidupan Li Qingliu mula berubah setelah membuat pembedahan untuk membetulkan bibirnya dan diambil semula oleh ibu kandungnya, untuk tinggal bersama di bandar. 

Shaji kehilangan lagi sahabat yang disayanginya. 

Selepas Li Qingliu pergi, Shaji bersahabat pula dengan Song Qiaoqiao dari kaum Miao. Mereka berdua duduk sebelah menyebelah di dalam kelas. Perwatakan Qiaoqiao dan Li Qingliu jauh berbeza. Qiaoqiao suka bercakap dan cepat mesra dengan sesiapa sahaja. Dan ini lah pertama kali Shaji mempunyai kawan dari kaum Miao. Maka, sejak itu Shaji mula mempelajari cari kehidupan dan pantang larang kaum Miao pula.




Naskah Pintu Pengadang ini seperti membawa Patung Beruang menjelajah ke masa lampau, melihat kehidupan Shaji dari seorang kanak-kanak sehinggalah ke awal remaja yang menghabiskan hidupnya di wilayah Hunan. Dari sebuah kampung yang mundur, penduduknya hanya bercucuk tanam sehinggalah kawasan kampung tersebut dibangunkan, mula ada kemudahan asas, dan akhirnya pesat membangun sebagai kawasan pelancongan. Ekonomi penduduk mula berubah dari petani dan penternak kepada peniaga, pengusaha rumah tumpangan, pemandu pelancong dan penjual cenderamata untuk para pelancong yang hadir ke situ. 

Penulis menulis dari kaca mata Shaji, seorang kanak-kanak perempuan yang naif tetapi mempunyai imaginasi yang tinggi. Dan umum mengetahui kehidupan seorang kanak-kanak sangat berwarna-warni. Penuh dengan keterujaan namun mereka sentiasa jujur pada diri sendiri dan juga orang disekeliling.

Perkara yang menarik dalam kehidupan Shaji adalah, seperti kanak-kanak yang normal, Shaji juga sangat menghargai persahabatan yang dimilikinya. Walaupun rata-rata yang menjadi sahabatnya adalah mereka yang bukan dari kalangan umurnya. 

Patung Beruang paling terkesan dengan detik ketika Budak Air mengucapkan selamat tinggal kepada Shaji dan seluruh penduduk di jalan tersebut. Peristiwa yang berlaku di awal pagi, beberapa hari selepas kematian neneknya. Ucapan selamat tinggal itu sangat meruntun perasaan walaupun hakikatnya Budak Air hanya melontarkan kalimah "Air, Air" pada ketika itu. Tetapi dari intonasi lontaran suara tersebut, sesiapa sahaja termasuk Shaji akan menyedari yang itu lah ucapan selamat tinggal buat mereka dari Budak Air. 

Peristiwa kehilangan Tongluo akibat ditimpa kemalangan ketika membawa 3 orang mahasiswa ke Gua Qifeng juga meruntun perasaan. Pada masa ini, Tongluo telah berhenti sekolah dan bekerja sebagai pemandu pelancong. Kakaknya, Kak Weilin membuka Rumah Tumpangan Mumu sebagai tempat untuk pelancong menginap.  Tongluo sangat gemarkan sungai sedangkan Shaji pula sering dihalang oleh Nenek Yun dari mendekati sungai. Pernah pada suatu hari Tongluo membawa Shaji menaiki perahu dan menyusuri sungai termasuk jeram yang bahaya. Keseronokkan kedua-dua orang kanak-kanak ini akhirnya sampai ke pengetahuan Nenek Yun. Akibatnya, Shaji dipukul teruk oleh Nenek Yun ketika dia pulang ke rumah. 

Selepas Tongluo hilang, Shaji dan Kakak Weilin menunggu dengan sabar setiap hari di tebing sungai. Penantian dan harapan semoga keajaiban akan muncul dan mengubah hari-hari mereka....

Selain itu, naskah ini juga banyak menceritakan kisah dongeng, cara kehidupan dan  pantang larang masyarakat disana. Contohnya, 

  • Dongeng nyanyian seorang penyanyi opera yang bernama Furong, yang penuh sedih dan pilu di setiap malam di loteng perpustakaan sekolah. Furong akhirnya ditemui mati kerana menggantung diri di alang loteng tersebut. Dan nyanyian Furong ibarat urban legend di sekolah tersebut. 
  • Adat zaman dahulu kala yang dinamakan "Penghalau Pontianak". Menurut kepercayaan, penduduk yang keluar ke tempat lain seperti peniaga, askar atau sesiapa saja yang mencari rezeki di luar kawasan tersebut, apabila mereka mati, mayat mereka tidak akan diusung balik ke kawasan itu. Mayat mereka akan dibiarkan "berjalan" pulang sendiri dengan mengikat mayat tersebut satu per satu seperti ikan masin. Ahli sihir akan membuat sihir di belakang mereka dan mayat tersebut akan melonjak-lonjak mara ke hadapan. Bagi mengelakkan orang yang hidup bertembung dengan mayat ini, maka orang yang menghalau mayat akan memukul gong sambil melaung, "Yang mati sudah sampai, yang hidup sila elak! Guang! Guang! Guang!" 

Dan bermacam lagi adat lain yang ada... 

Setelah tamat naskah ini, Patung Beruang terfikir adakah Peng Xuejun menulis berdasarkan pengalamannya sendiri? Tidak mustahil.. kerana penceritaannya sangat detail sehingga terasa seperti kita berada di zaman tersebut, pada waktu tersebut dan berkenalan dengan setiap watak yang diceritakan itu.. 

Monday, July 29, 2019

Book Review: If You're So Smart, Why Aren't You Happy?

Tajuk : If You're So Smart, Why Aren't You Happy?

Penulis : Raj Raghunathan 

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah ini adalah buah tangan dari Big Bad Wolf yang Patung Beruang hadiri ketika hujung tahun 2018. Tertarik dengan cover buku dan ulasan yang tercatat di kulit belakang, i decided to give a chance to read it. 

Naskah ini disusun dengan cara penulis menerangkan 7 sebab utama mengapa kita tidak bahagia (atau digelar sebagai "deadly happiness sin") dan 7 cara untuk mengatasinya. Maka, setiap chapter itu terbahagi kepada chapter A dan chapter B seperti berikut: 

Chapter 1A: The First Deadly Happiness "Sin": Devaluing Happiness
Chapter 1B: The First Habit of the Highly Happy: Prioritizing - But Not Pursuing - Happiness 

Chapter 2A: The Second Deadly Happiness "Sin": Chasing Superiority 
Chapter 2B: The Second Habit of the Highly Happy: Pursuing Flow 

Chapter 3A: The Third Deadly Happiness "Sin": Desperation of Love
Chapter 3B: The Second Habit of the Highly Happy: The Need to Love (and Give)

dan seterusnya..

Setiap manusia yang hidup pasti ingin rasa bahagia. Walau apa pun keadaan mereka ketika itu, berapa pun usia mereka, apa jua latar belakang, cara kehidupan, pegangan agama, jawapan mereka pasti sama, "Saya ingin bahagia." 

Namun, kalimah "Saya ingin bahagia" itu biasanya hanya dituturkan di bibir atau mungkin secara monolog. Manusia sering terlupa, bahagia itu ada dihadapan mata mereka. Tetapi mungkin mereka masih belum nampak, atau pura-pura tidak nampak. 

Naskah ini boleh dikatakan seperti menyindir manusia yang bijak atau pandai, namun mereka merasakan yang diri mereka tidak bahagia. 

Kesilapan yang sering dilakukan oleh golongan bijak pandai ini adalah, mereka mempunyai cita-cita dan impian yang tinggi dan ia dijadikan syarat untuk mereka bahagia. Contohnya,
"Bila saya dah kaya nanti, pasti saya akan bahagia."

"Alangkah bagusnya jika saya dapat jawatan Pengurus Besar itu. Mesti saya akan bahagia."

"Bahagianya saya jika saya berjaya diterima masuk ke Universiti ternama itu."

"Saya ingin berpindah ke negara itu kerana disitu lah kebahagiaan saya."

"Kalau saya kahwin dengan you, mesti saya bahagia."  (Ok, ini lari topik sikit, hehe.. For information, someone has said this to me and I still remember it until today. What was my response? Nothing... 
But I keep on saying to myself, or more to comfort myself, that Allah has better plan for us. I'm sorry..)


Dan 1001 syarat lain yang biasanya sangat materialistik untuk membolehkan golongan ini rasa bahagia. 

Masalahnya, ini bukanlah cara yang betul. 
Bahagia itu adalah kita terima keadaan kita pada ketika ini dengan lapang dada. Yes, terima dengan terbuka walau apa pun situasinya. 

Bahagia itu ada dalam hati kita. 
Dan ada terlalu banyak sebab untuk kita rasa bahagia. 

Walau pun hakikatnya, impian kita masih belum tercapai, cita-cita kita masih lagi menjadi cita-cita, atau perancangan kita tidak berjalan lancar seperti apa yang diharapkan. 

Ya, kita tidak sekaya Mr Robert Kuok, tapi sekurang-kurangnya kita masih ada tempat untuk berteduh, masih ada makanan untuk dimakan, masih ada kenderaan yang boleh membawa kita dari point A ke point B, masih boleh beribadah dengan tenang, masih boleh bersedekah walaupun sekadar yang termampu. 

Ya, kita tidak berjaya melanjutkan pelajaran ke Top 10 universiti in the world, but kita masih lagi boleh sambung belajar. Kita masih lagi diterima untuk jurusan yang kita minati. Kita masih boleh sambung belajar dengan pembiayaan sepenuhnya. Kita masih ada rakan-rakan yang sama-sama berjuang menuntut ilmu. 

Ya, kita belum lagi menjawat jawatan yang kita idam-idamkan itu. Tetapi, kita masih ada kerja, bukan? Bermakna, kita masih mampu menyumbang kepada syarikat. Bermakna, kita masih ada peluang untuk tunjukkan kebolehan kita. Jadi, mengapa menunggu untuk duduk di kerusi besar baru kita hendak bahagia?

Dan semua syarat yang kita letakkan untuk kita merasa bahagia itu sebenarnya  adalah cara kita untuk "devaluing happiness". Kita meletakkan nilai yang tidak sepatutnya untuk kebahagiaan kita sendiri...



Selain Bab 1 berkenaan devaluing happiness, Patung Beruang juga tertarik dengan Bab 3 iaitu Desperation for Love. 

Menurut penulis, golongan bijak pandai ataupun manusia secara umumnya, biasanya selfish. Mereka hanya ingin menerima sahaja, dan kurang memberi. Walaupun dalam soal kasih sayang dan perhatian.

Kita sering mengharapkan untuk orang bertanya khabar kita terlebih dahulu. Atau kita mengharapkan orang berlumba-lumba untuk datang membantu tatkala kita dalam kesusahan. Atau orang sentiasa memburu kita untuk mendapatkan nasihat atau pandangan. 

Kita rasa sangat bahagia apabila kita dijadikan tumpuan. Atau diberi perhatian. 
Ia meningkatkan self esteem kita namun kita akan mudah down apabila terasa diri diketepikan atau diabaikan. 

One thing that we need to clear is there is no one that expert on everything. And there is no one that will stay on top forever. 

Jadi, kita kena terima hakikat yang satu hari nanti, akan ada orang yang lebih hebat, lebih mahir, lebih bijak dari kita. Jadi, kita tidak akan mampu untuk sentiasa menjadi focal point. 

Tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh bahagia. Tidak lagi menjadi focal point bukanlah satu kegagalan didalam hidup ini. Kita masih boleh membantu dengan cara kita sendiri. Kita masih boleh menyumbang dengan apa yang kita ada. Give more and don't ever expect any return.

Satu hari nanti, kita sedar yang perhatian, kasih sayang dan cinta yang kita dambakan selama ini, rupanya ada insan lain yang lebih memerlukan. Dan jika selama ini kita hanya menerima, mungkin sudah sampai masanya untuk kita memberi pula...


Oklah, itulah serba sedikit cerita tentang naskah ini yang Patung Beruang ingin kongsikan disini. Sebenarnya, ada juga Bab lain yang menarik selain 2 Bab diatas tetapi tidak adillah kalau Patung Beruang kongsikan semuanya disini, betul tak?

Bagi Patung Beruang, naskah ini sangat menarik dan agak santai. 
Sesuai untuk dibaca sebelum tidur ataupun di waktu senggang. 

Cuma, perkara yang mengganggu Patung Beruang adalah font size yang agak kecil. Ia membuatkan mata Patung Beruang cepat letih. Apatah lagi jika dibaca diatas katil. Alamatnya, 20 minit selepas itu, instead of pegang buku ini, Patung Beruang dah mula peluk Bibi dan terbang ke alam mimpi, heheh.. 

Sebab itulah, naskah ini mengambil masa yang agak lama sedikit untuk Patung Beruang habiskan pembacaannya.... Sabar je lah ye.. 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...