Sunday, March 17, 2019

Book Review: Cikgu Kelas Sebelah

Tajuk : Cikgu Kelas Sebelah

Penulis : Mohd Fadli Salleh

Menariknya Naskah Ini: 

Cikgu Mohd Fadli Salleh adalah antara guru yang mempunyai ramai follower di Facebook. Jujurnya, Patung Beruang sendiri pun salah seorang follower beliau, hehe.. 

Seorang guru Matematik yang mengajar di sebuah sekolah rendah di Lembah Klang, Cikgu Fadli terkenal kerana keunikkan cara pengajaran beliau di dalam kelas. Ini membuatkan pelajar berasa seronok untuk mempelajari Matematik dan merasakan Matematik adalah subjek yang mudah difahami. 

Selain itu, Cikgu Fadli juga terkenal dengan aktiviti kebajikan dengan membantu pelajar dan keluarga yang kesusahan terutamanya golongan miskin bandar. 

Patung Beruang menjadi follower beliau pun disebabkan beliau selalu update aktiviti-aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan yang beliau dan team jalankan di Facebook. Dari situ, kita sebagai orang luar, boleh saja turut sama menyumbang jika berhasrat ingin sama berkongsi saham akhirat. 

Naskah Cikgu Kelas Sebelah ini Patung Beruang beli di Popular Sunway Velocity. Pada hari itu, Patung Beruang keluar dinner dengan Iman selepas waktu kerja. Selepas makan dan solat Maghrib, kami menuju Popular sebab ingat nak belilah buku sebuah dua. Bukanlah sebab buku di rumah sudah habis baca, tetapi lebih kepada rindu nak beli buku. Sabar je lah kan? huhuhu...  

Naskah Cikgu Kelas Sebelah ini membariskan 101 kisah pengalaman Cikgu Fazli sebagai seorang guru yang mengajar di sekolah rendah. Pengalaman bersama dengan para pelajar, ibu bapa, kakitangan sekolah dan juga masyarakat sekitar. 

Ada kisah yang membuatkan kita tersenyum atau tergelak sendiri, dan ada juga kisah yang mengundang sebak didada. 

Ada suatu kisah tentang seorang ibu yang bersusah payah mengumpul duit untuk membayar yuran PIBG anaknya. Akhirnya, setelah beberapa bulan penggal persekolahan dibuka, barulah beliau dapat menyerahkan bayaran PIBG sebanyak RM50 kepada Cikgu Fazli. Keesokan harinya, setelah tamat waktu persekolahan, Cikgu Fazli terserempak dengan ibu tersebut dan memulangkan duit RM50 itu. Dengan alasan buku resit sudah dipulangkan ke pejabat. Maka, agak leceh untuk meminta semula buku resit semata-mata kerana seorang pelajar membuat bayaran. Duit RM50 yang dipulangkan itu disambut dengan rasa syukur dan sebak oleh ibu tersebut. 

Hakikatnya, Cikgu Fazli tidak tergamak untuk menerima bayaran tersebut kerana menyedari kesusahan keluarga itu. Namun beliau kagum bagaimana ibu tersebut masih berusaha untuk melunaskan bayaran yuran PIBG kerana menyedari tanggungjawabnya sebagai penjaga pelajar. 

Mungkin bagi sesetengah orang, RM50 itu tiada apa nilainya. Hanya cukup-cukup untuk belanja sekali makan di cafe hipster. Namun, bagi orang lain pula, RM50 itu terlalu besar nilainya. Mungkin itulah jumlah duit dapur untuk makan seminggu bagi satu keluarga. 


Di satu kisah yang lain, seorang pelajar meluahkan rasa sedih kepada Cikgu Fazli kerana tidak dapat mengikuti rombongan sekolah. Pelajar tersebut memberitahu yang ibunya tidak membenarkan dia mengikuti rombongan dengan alasan tidak mampu untuk membayar yuran rombongan tersebut. 

Cikgu Fazli mula bertanya tentang latar belakang ibu bapa pelajar tersebut. Yelah, manalah tahu jika pelajar tersebut dari keluarga susah, bolehlah beliau bantu apa yang patut. 

Setelah ditanya, pelajar tersebut mengatakan yang ayahnya bekerja sebagai juruukur dan ibunya bekerja di pejabat. Oh.. mungkin memang pelajar ini tidak mampu. 

Cikgu Fazli bertanya lagi, kenderaan apakah yang dipandu oleh ibu bapanya ketika pergi kerja. Pelajar ini dengan jujur menjawab yang ayahnya memandu BWM dan ibunya pula memandu Honda. 

Oh anak.. rupanya bukan awak tidak mampu tetapi  memang ibu ayah awak sengaja tidak izinkan untuk awak mengikuti rombongan itu. Yelah, mungkin ibu ayah malas nak menghantar awak ke sekolah pagi-pagi, lebih awal dari biasa hanya kerana hendak pergi rombongan, heheh... 



Membaca naskah Cikgu Kelas Sebelah seperti kita sama berada di sekolah tempat Cikgu Fazli mengajar. Melihat keletah kanak-kanak, yang jujur, polos dan naif. Yang masa depannya masih panjang. Yang persahabatannya sangat ikhlas tanpa mengira kaum dan latar belakang. Yang hadirnya ke sekolah dengan seribu impian dan harapan. Yang hadirnya ke sekolah sebagai latihan untuk mereka menjadi insan yang berguna kemudian. 

Kanak-kanak ini memerlukan guru yang berdedikasi dan ikhlas mencurah ilmu dan bakti tanpa jemu. Kanak-kanak ini memerlukan guru yang memahami mereka adalah kanak-kanak. Guru yang tidak merampas keriangan hidup sebagai kanak-kanak. Guru yang memuji apabila mereka melakukan kebaikan dan menegur apabila mereka tersilap jalan. 

Membaca naskah ini membawa kita mengenali apa erti keikhlasan. Bertugas dengan niat untuk beribadah. Bertugas memikul amanah sehabis baik. 

Betapa besar jasa guru kepada seorang manusia itu. Guru yang mendidik dari kita tidak tahu apa-apa sehingga akhirnya kita boleh terbang tinggi di awan. Dan guru itu tanpa jemu, mendidik anak murid yang lain agar dapat terbang tinggi dan lebih tinggi dari dirinya sendiri. 

Terima kasih para guru sekalian... Hanya Allah sahaja yang mampu membalas budi dan jasa kalian terhadap kami, anak-anak didik yang kini telah mampu meredah tinggi awan dengan bersendirian... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...