Tajuk : Every Day
Penulis : David Levithan
Menariknya Naskah Ini:
Akhirnya dapat juga Patung Beruang duduk menulis Book Review setelah sekian lama. Alhamdulillah.
Ini adalah naskah berbahasa Inggeris yang terkini Patung Beruang sudahkan pembacaannya.
Ini adalah naskah berbahasa Inggeris yang terkini Patung Beruang sudahkan pembacaannya.
Sebenarnya, naskah ini Patung Beruang beli pada petang Hari Raya Aidiladha tahun 2016. Selepas dibeli, naskah ini elok sahaja tersusun di rak buku, huhu.
Patung Beruang terlupa tentang kewujudannya sehinggalah pada malam Ahad, 2 minggu yang lepas. Ketika Patung Beruang sedang meneliti satu persatu buku yang tersusun di rak buku didalam bilik, tiba-tiba mata terpandang naskah ini. Tangan pun terus mencapainya dan membaca sinopsis dibelakang.
Entah kenapa, Patung Beruang rasa tertarik pula dengan sinopsis tersebut.
Bermulalah episod pembacaan Patung Beruang. Dari muka surat pertama, bertukar ke muka surat kedua, ketiga dan seterusnya. Tanpa disedari, pada malam itu sahaja, Patung Beruang berjaya membaca hampir suku naskah.
Naskah Every Day ini mengisahkan tentang A, seorang remaja lelaki yang mempunyai kehidupan yang sangat pelik. Peliknya adalah setiap malam, ketika A tidur, rohnya akan masuk ke badan orang lain, dan pada keesokkan harinya, A akan bangun sebagai individu tersebut. A akan masuk ke jasad individu yang berumur lebih kurang sepertinya, tidak kira samaada lelaki atau perempuan, pelbagai bangsa, latar belakang keluarga dan kehidupan.
Seingat A, dia telah mengalami keadaan sebegini semenjak kecil lagi. Dan sehingga kini, A tidak tahu siapa sebenarnya diri dia, siapa ibu bapanya, dari masa asal usulnya dan mengapa dia boleh berkeadaan begini.
Pada suatu hari, A bangun sebagai Justin, seorang remaja lelaki yang perwatakkan kasar dan mempunyai teman wanita bernama Rhiannon. Entah mengapa, A merasakan ada sesuatu yang istimewa terhadap Rhiannon.
Zahirnya, Rhiannon seperti gadis remaja yang lain. Berpasangan dengan Justin kerana tidak mahu ketinggalan berbanding remaja yang lain. Sedangkan hakikatnya Justin tidak pernah menghargai dan melayannya sebagai teman wanita. Justin perwatakan dominan dan tidak menghiraukan sesiapa pun disekelilingnya. Oleh itu, perhubungan Justin dan Rhiannon lebih kepada one way relationship. Dari mata kasar, mereka kelihatan seperti bercinta. Kenyataannya, Justin tidak mengenali siapa sebenar Rhiannon seperti kesukaan, impian, pemikiran, tabiat dan lain-lain yang berkaitan dengan gadis itu.
A sedar yang pada keesokan harinya, dia akan bangun sebagai orang lain. Ada kemungkinan A tidak akan berjumpa lagi dengan Rhiannon. Oleh itu, A berusaha untuk mengenali Rhiannon dengan lebih dekat lagi sebagai sahabat pena, sebagai remaja yang baru berpindah ke sekolah tersebut, dan juga menyamar sebagai seorang tetamu di sebuah majlis yang dihadiri oleh Rhiannon dan Justin.
Persahabatan A dan Rhiannon tidak semudah yang disangka. Pada mulanya agak sukar untuk Rhiannon menerima kenyataan yang setiap hari A akan berubah bentuk fizikal. Selain itu, A juga menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri menjadi individu berbeza setiap hari. Malah, A juga tidak mampu menjamin yang keesokkan harinya dia akan bangun sebagai remaja yang berada di bandar yang sama tempat Rhiannon menetap.
Menjadi individu yang berbeza membuatkan A lebih memahami erti kehidupan manusia. A pernah bangun sebagai seorang remaja yang lahir dari keluarga bahagia dan mempunyai kemewahan. Namun, A juga pernah bangun sebagai seorang remaja buta dan hanya berpandukan kepada deria lain untuk menjalani kehidupan sehariannya.
Di hari yang lain, A menjadi seorang remaja yang ketagihan dadah yang kronik. Sangat kronik sehingga dia merasa khayal sepanjang hari.
Di hari yang lain pula, A bangun sebagai seorang remaja perempuan yang sangat merindukan ibunya yang telah meninggal dunia. Kerinduan yang amat terhadap mendiang ibunya diburukkan lagi dengan sikap ayahnya yang berpura-pura seperti keluarga mereka berkeadaan normal. Remaja perempuan ini telah lama merancang untuk membunuh diri demi menamatkan penderitaan dan kekosongan jiwanya. Tatkala A menyedari keadaan sebenar gadis ini, A dan Rhiannon berusaha untuk membantunya demi mengelakkan tragedi yang lebih besar.
Itulah antara kisah individu yang meminjamkam sehari dari kehidupan mereka kepada A tanpa mereka sedari.
Namun, konflik mula tercetus ketika seorang remaja lelaki seakan menyedari dirinya menjadi seorang yang berbeza pada suatu hari. Ia diburukkan lagi tatkala remaja lelaki ini terlihat alamat email A di history internet komputernya. Dari situ, remaja lelaki ini mula menghantar email kepada A dan berusaha untuk membongkar identiti sebenar A.
Pencarian remaja lelaki ini disokong oleh pihak gereja. Bagi mereka, A adalah syaitan yang bertujuan untuk merosakkan kehidupan manusia.
Namun, ada beberapa persoalan yang sering bermain di fikiran A...
Adakah A satu-satunya manusia begini diatas muka bumi ini?
Sampai bila A akan berkeadaan begini?
Tiadakah cara untuk A bangun sebagai individu yang sama setiap hari?
Honestly, momentum naskah ini sangat laju. Itu sebabnya Patung Beruang hanya mengambil masa lebih kurang 2 hari saja untuk menghabiskan pembacaan.
Naskah ini lebih menyentuh tentang kehidupan manusia yang pelbagai ragam, cara hidup, pemikiran, latar belakang dan status sosio ekonomi. Ia menceritakan bagaimana setiap keluarga mencorakkan kehidupan ahli-ahli mereka serta cabaran yang dihadapi.
Hubungan A dan Rhiannon lebih kepada hubungan persahabatan dimana masing-masing menghargai kelebihan dan kekurangan satu sama lain dan saling menghormati. Namun akhirnya, Rhiannon mengakui dia jatuh cinta dengan A kerana merasakan A lebih mengenali dan memahami dirinya berbanding Justin.
Patung Beruang simpati dengan watak A.
A itu ibarat seperti kebanyakkan manusia pada hari ini. Menjalani kehidupan seharian, dengan rutin yang telah ditetapkan, namun tidak berpeluang untuk mengenali lebih dekat insan-insan yang berada disekeliling. Setiap apa yang dilakukan, tiada jiwa didalamnya. Fizikal semata-mata. Seolah-olah mengikut jadual waktu mega yang telah ditetapkan dari awal. Suka atau tidak, tempuh saja tanpa banyak soal.
Namun, yang paling menyakitkan adalah hakikat yang dirinya tidak mengenali siapa ibu bapanya, siapa ahli keluarganya. Hidup sebatang kara, sehingga ketika waktu kecil, apabila A bertemu keluarga yang sangat bahagia, A akan menangis ketika hendak tidur malam. Ini kerana A sedar tidur malam adalah detik perpisahan dirinya dan keluarga tersebut. Tiada lagi peluang untuk mereka bersama pada keesokkan harinya. What a sad life.....
No comments:
Post a Comment