Tajuk : Semusim Di Mahsyar
Penulis: Hadi Fayyadh
Menariknya Naskah Ini:
Ini adalah novel ke 3 tulisan Hadi
Fayyadh selepas Semusim Di Barzakh dan Ketika Azazil
Berputus Asa. Untuk naskah kali ini, pembaca dikenalkan dengan watak
Iqlima Salsabila, seorang gadis muda, anak tunggal kepada Pak Berahim dan Mak
Salmah.
Oleh kerana fitnah dari ahli keluarga
terdekat, Pak Berahim dan Mak Salmah dipaksa berkahwin. Pak Berahim yang ketika
itu sudah beristeri dan mempunyai seorang anak lelaki, terpaksa meninggalkan
keluarganya. Mak Salmah pula yang ketika itu sedang bercinta dengan seorang
lelaki lain, juga terpaksa meninggalkan kekasih hatinya.
Semenjak kecil, orang kampung menfitnah
Pak Berahim sekeluarga. Mereka mengatakan Iqlima Salsabila adalah anak tidak
sah taraf. Tambahan pula Pak Berahim sudah lumpuh. Maka, hanya Mak Salmah
sahaja yang berusaha keras untuk menyara keluarga. Disebabkan fitnah dan
keadaan keluarga yang susah, Iqlima membesar menjadi seorang anak yang sangat
terluka dan terlalu membenci ibu dan ayah kandungnya sendiri.
Ketika menginjak dewasa, Iqlima disahkan
mengidap kanser hati. Keadaannya semakin kritikal sehingga perlu mencari
penderma yang sesuai. Tatkala itu, hadirlah Dr. Qaleef, rakan sepermainan yang
telah terpisah lama.
Qaleef dan Iqlima hanya berbeza beberapa
tahun sahaja. Mereka sering bermain bersama ketika zaman kanak-kanak. Namun,
pada suatu hari Qaleef sekeluarga berpindah dari kampung itu dengan alasan
keluarga mereka turut menjadi cemuhan orang kampung kerana baik dengan Pak
Berahim dan Mak Salmah.
Kini, Qaleef bertugas di hospital tempat
Iqlima dirawat. Pertemuan yang tidak disangka itu membibitkan satu perasaan
cinta antara mereka berdua. Akhirnya, Qaleef sukarela untuk mendermakan
sebahagian hatinya kepada Iqlima.
Maka, prosedur untuk pembedahan dan
pemindahan hati mula dirancang. Namun, disaat akhir, Qaleef menarik diri dari
prosedur tersebut dengan alasan yang tidak disangka. Mujur, terdapat seorang
insan yang sudi untuk menggantikan tempat Qaleef disaat akhir, menjadi penderma
hati kepada Iqlima.
Malangnya, prosedur tersebut tidak
berjaya. Iqlima dan penderma hatinya disahkan meninggal dunia dan mereka
dikebumikan di dalam satu liang.
Kini Iqlima dialam lain.
Alam yang tidak pernah disangkanya akan
dihuni ketika usianya masih lagi muda. Iqlima mula berdepan dengan pembalasan
atas setiap dosanya terutama sekali akibat perilaku dan layanannya terhadap
kedua orang tua kandungnya.
Dalam menghadapi detik-detik pembalasan,
Iqlima seringkali ditemukan dengan seorang wanita yang muda dan cantik, dan
sering membantunya. Iqlima merasakan ikatan kasih sayang yang kuat antaranya
dan wanita ini. Wanita ini juga dikelilingi oleh para pengiringnya. Iqlima
merasakan yang wanita ini pasti seorang yang sangat alim atau tinggi
kedudukannya disisi penghuni langit sehingga Allah menaikkan darjatnya dari
kalangan manusia lain.
Seksaan demi seksaan ditanggung Iqlima
sehingga merasakan dirinya sudah tidak berdaya lagi. Disaat itu Iqlima tersedar
betapa dasyatnya pembalasan terhadap seorang anak yang derhaka. Iqlima mula
menyesal dan meminta ampun pada Allah. Dia berdoa agar diberikan peluang kedua
untuk dia menebus segala dosanya terhadap Pak Berahim dan Mak Salmah.
Adakah rintihan Iqlima akan didengari?
Atau mungkin Iqlima akan terus berdepan
dengan pembalasan atas setiap dosanya sehinggalah hari Kiamat menjelang?
Siapa sebenarnya wanita muda dan cantik
yang sering membantu Iqlima?
Adakah memang benar wanita itu mempunyai
pertalian dengan Iqlima atau ia hanyalah sekadar saudara seagama?
Meneliti naskah Hadi Fayyadh kali ini
mengingatkan Patung Beruang pada tulisan Archer. Bukan berkenaan topik tetapi
lebih kepada susunan plot.
Naskah kali ini mempunyai momentum yang
laju dan kejutan yang besar di penghujung cerita. Seperti biasa, Patung Beruang
mengambil masa kurang dari 24 jam untuk menghabiskan naskah ini.
Jika ditanya, mana yang lebih baik,
adakah naskah ini atau pun buku pertama iaitu Semusim di Barzakh,
sukar untuk Patung Beruang jawab. Ini kerana kedua-dua naskah ini mempunyai
kekuatan tersendiri.
Untuk Semusim di Barzakh,
Patung Beruang sangat tersentuh dengan watak lelaki tua yang diibaratkan
sebagai amalan baik manusia ketika didunia. Watak lelaki tua yang berusaha
untuk melindungi Fayyadh ketika beliau sedang berdepan dengan pengembaraannya
di alam barzakh.
Dan untuk naskah Semusim di
Mahsyar ini pula Patung Beruang rasa terlalu marah dengan
watak Iqlima. Seorang gadis yang cantik namun sangat ego, sombong dan kurang
perikemanusiaan. Namun, jika difikirkan semula, tidak mustahil watak sebegini
muncul didalam dunia ini. Antara kita mahu melihat atau tidak sahaja.
Benarlah Islam mengatakan fitnah itu
lebih buruk dari membunuh. Kerana fitnah, sebuah keluarga bahagia menjadi
porak-peranda dibuatnya. Kerana fitnah, seorang isteri kehilangan suaminya, dan
seorang anak kehilangan ayahnya. Kerana fitnah, seorang lelaki hilang
kemampuannya menjadi ketua keluarga yang baik. Kerana fitnah, seorang anak
menjadi anak derhaka. Dan kerana fitnah juga, seorang anak menanggung
penyesalan yang tidak berkesudahan sehingga akhir hayatnya.
Bagi yang menabur fitnah, dia berasa
puas melihat kehancuran insan-insan yang difitnahnya. Namun, kepuasan itu tidak
berkekalan. Sampai satu saat, dia mula menyesal atas tindakannya tatkala dia
melihat kerosakkan yang dilakukan semakin melarat sehingga tidak mampu dikawal.
Dan penyesalan itu menghantui hidupnya apatah lagi apabila kebenaran
terbongkar, mangsa fitnahnya tidak sudi memaafkannya walau dirayu 1000 kali
pun.
Selain itu, perancangan hidup setiap
makhluk itu telah diatur oleh Allah dengan secantiknya. Kita sering berdoa, meminta
dan merintih kepada Allah. Berharap agar Allah mengabulkan segala permintaan
kita. Namun sedarkah kita, kadang-kala permintaan kita tidak ditunaikan agar ia
memberi pengajaran kepada kita dan juga manusia lain agar tidak melakukan
kesilapan yang sama. Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat
hamba-Nya???
No comments:
Post a Comment