Tajuk : Dilema Melayu
Penulis: Tun Dr Mahathir Mohamad
Menariknya Naskah Ini:
Wah…Lamanya Patung Beruang tidak menulis
Book Review disini. Rindunya nak mencatat setiap satu buku-buku yang telah
Patung Beruang baca untuk sepanjang tahun ini. Senarai buku yang telah dibaca
semakin bertambah, tetapi dalam masa yang sama, senarai buku yang telah dibeli
namun belum sempat dibaca juga semakin panjang. Sabar je lah..
Naskah ini pertama kali dterbitkan pada
tahun 1970. Wah.. sudah 48 tahun umurnya namun masih lagi naskah ini
diterbitkan dan dicetak semula untuk pembaca generasi muda seperti Patung
Beruang.
Untuk pengetahuan, sebenarnya Patung
Beruang telah memiliki naskah ini hampir 10 tahun namun baru tahun ini Patung Beruang
berpeluang untuk menghabiskannya. Baca sedikit, simpan. Baca lagi then simpan
lagi. Itu yang akhirnya bertahun-tahun barulah habis satu buku ini. Lagi satu,
Patung Beruang kurang gemar apabila buku tersebut mempunyai font yang kecil dan
spacing yang sangat rapat. Ia memberi tekanan yang lebih kepada mata ini
seterusnya menganggu kelancaran pembacaan. Hm..sangat cerewetkan?
Naskah ini mempunyai 10 buah bab iaitu:
1. Di Manakah Silapnya?
2. Pengaruh Keturunan dan Alam Sekitar ke
atas Bangsa Melayu
3. Dilema Ekonomi Melayu
4. Pengertian Persamaan Kaum
5. Asas-Asas Perpaduan Kebangsaan
6. Pemulihan Bangsa Melayu dan Dilema
Melayu
7. Masalah Melayu
8. Tatasusila dan Sistem Nilai Melayu
9. Politik Perkauman dan Parti
10. Malaysia dan Singapura
Dalam keseluruhan naskah ini ada
beberapa Bab yang Patung Beruang sangat gemari, antaranya adalah Bab terakhir
iaitu Malaysia dan Singapura. Hubungan Malaysia dan Singapura
ibaratnya seperti love hate relationship. Pernah bersatu di suatu masa dahulu
namun akhirnya berpisah dan membawa haluan masing-masing. Tun Mahathir pernah
beberapa kali dipanggil ke Singapura untuk memberi ceramah kepada kumpulan
pemikir Singapura berkenaan masa hadapan hubungan antara Malaysia dan
Singapura. Untuk makluman, Singapura mempunyai “Kumpulan Pemikir” atau Think
Tank yang dinamakan sebagai Pyramid Club. Ahli-ahli Pyramid Club ini terdiri
daripada elit eksekutif dan politik serta memang terlibat secara langsung dalam
hal-ehwal harian pemerintah Singapura. Idea dan inisiatif mereka ini lah yang
membentuk dan menjadikan Singapura seperti hari ini.
Sebenarnya semenjak penghujung 1960-an
lagi Tun Mahathir telah membuat kesimpulan yang masalah percantuman semula
antara Singapura dan Malaysia memang tidak akan berlaku kerana ia bukanlah
perkara yang menarik buat golongan intelek Singapura. Ini penting kerana
disinilah permulaan perubahan sikap dan penerimaan kedua-dua negara yang perpisahan
ini adalah suatu kenyataan dan kekal.
Walau Singapura dan Malaysia hanyalah
bersebelahan sahaja, dipisahkan oleh Tambak Johor, namun ia tidak menjamin
kedua-dua negara ini boleh serasi jika ditakdirkan mereka bercantum semula.
Perbezaan ideologi, sistem dan corak pemerintah, struktur dan tahap pemikiran
masyarakat, sosio-ekonomi, latar belakang pendidikan dan asal-usul keturunan
kaum adalah antara faktor yang membuatkan adalah lebih baik untuk kedua-dua
negara ini berpisah secara kekal.
Adat berjiran, pasti sesekali timbul
salah faham, sifat cemburu dan sakit hati sesama sendiri. Begitu juga dengan
dua negara ini. Malaysia memandang Singapura sebagai negara orang Cina, dan
Singapura pula menyatakan Malaysia adalah negara orang Melayu. Selain itu,
terdapat juga pertelingkahan berkenaan ruang udara, isu menambak pasir di
perairan, persaingan ekonomi yang antaranya menyebabkan Malaysia memajukan
Pelabuhan Klang bagi menjadi pelabuhan utama di Semenanjung Malaysia, isu
permit kerja yang melibatkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan pelbagai
lagi kisah suka duka kedua-dua jiran ini.
Hakikatnya, unsur cemburu dan iri hati
memang tidak dapat dielakkan. Namun, jika dilihat apa yang berlaku selama
berpuluh-puluh tahun ini, dapat disimpulkan bahawa berdasarkan pertalian kaum,
cuma Malaysia sahaja yang dapat diharapkan oleh Singapura untuk menjadi sahabat
yang tulen. Maka, adalah penting untuk pemerintah Singapura sentiasa memelihara
hubungan dengan Malaysia walau apapun keadaannya.
Sebenarnya, ada banyak perkara yang
boleh dikutip dari naskah ini kerana ia menggambarkan keadaan masyarakat di
Malaysia terutama orang Melayu ketika tahun 1960-an. Tulisan ini banyak
menyenaraikan 1001 kelemahan dan kesilapan orang Melayu, suatu kritikan sosial
kepada kaum utama di Malaysia, namun ia juga membuka mata pembaca betapa jika
orang Melayu tidak berubah, mereka tetap akan terpinggir di negara ini untuk
selama-lamanya. Tidak dinafikan kini sudah ramai orang Melayu yang berjaya,
golongan profesional, memiliki harta, berjawatan dan berkedudukan. Namun, dalam
masa yang sama, masih ramai orang Melayu yang tersepit didalam kehidupan
seharian dan memerlukan bantuan untuk mereka maju ke hadapan. Bukan soal malas,
tetapi lebih kepada mereka tiada akses kepada saluran yang betul.
Meneliti naskah ini adakalanya membuatkan
Patung Beruang rasa marah dan sakit hati. Namun, hak penulis untuk menulis apa
yang dihajatinya. Mungkin lebih baik seandainya naskah ini juga turut
menyelitkan idea dan pandangan bagaimana untuk memperbaiki kedudukan orang
Melayu agar mereka tidak terpinggir di bumi sendiri, berbanding dengan
membentangkan segala kelemahan dan kesilapan mereka….
No comments:
Post a Comment