Sunday, March 20, 2016

Book Review: Kembara Distonia

Tajuk: Kembara Distonia

Penulis: Mohd Firdaus Ismail

Kisahnya Novel Ini:

Kembara Distonia ini mengisahkan kehidupan seorang anak muda, Firdaus yang mengidap Idiophatic Dystonia yang mana ia melemahkan kakinya dan menyebabkan kaki beliau kehilangan deria rasa ketika berpijak. 

Penyakit yang ditanggung Firdaus menyebabkan beliau sukar untuk bergerak seperti remaja seusianya, urusan pembelajarannya sering terganggu dan kewangan keluarga yang kian meruncing kerana proses rawatan yang tidak berkesudahan. 

Firdaus dan keluarganya tidak pernah berputus asa mencari rawatan atas penyakit yang ditanggungnya. Rawatan moden dan tradisional sentiasa dicuba. Temujanji doctor dihospital juga seboleh-bolehnya dipatuhi. Firdaus yakin pasti ada penawar terhadap penyakitnya ini. Kecanggihan teknologi perubatan dan kehebatan doctor-doctor pakar pasti membuahkan hasilnya. 

Dalam masa yang sama, Firdaus sedaya upaya untuk meneruskan pelajarannya di kolej. Walaupun terpaksa bersusah-payah untuk bergerak, dari asrama ke kolej, dari kelas ke kelas, Firdaus kuatkan semangatnya. Persahabatan dengan rakan-rakan di kolej terutama dengan Laila Camelia bagai memberi sinar baru didalam hidupnya. Dia merasakan lebih bersemangat untuk melalui hari-harinya walaupun Dystonia tidak pernah meninggalkannya. 

Namun, persahabatan Firdaus dan Laila Camelia telah membuahkan satu perasaan didalam dirinya. Dalam masa yang sama, emaknya merasai perubahan didalam diri anak lelakinya ini dan mula memberi nasihat agar Firdaus tidak kecewa dikemudian hari. Nasihat agar Firdaus menyedari dimana letak dirinya dan 1001 kemungkinan yang bakal berlaku apabila dua hati bersatu. 

Oleh kerana penyakit yang dihidapi agak jarang dijumpai, Firdaus telah dijemput untuk hadir ke persidangan pakar-pakar perubatan bagi ditemukan dengan pakar-pakar perubatan dari luar negara. Di sana, keadaannya menarik perhatian seorang pakar perubatan dari Singapura, dimana beliau mencadangkan agar Firdaus datang ke Singapura untuk memudahkan beliau mengkaji dengan lebih lanjut penyakit ini sekaligus mencuba untuk merawat Firdaus. Namun, cadangan tersebut terpaksa ditolak kerana masalah kewangan keluarga Firdaus. 

Adakah penawar bagi Dystonia atau Firdaus terpaksa bergantung pada ubat untuk selama-lamanya? 

Berapa lama lagi keluarganya mampu meneruskan rawatan sedangkan kos rawatan semakin meningkat dan mula menekan kewangan keluarga ini? 

Bagaimana pula dengan pelajarannya. Dapatkan Firdaus menamatkan pengajiannya dikolej atau mungkin perjalanannya terhenti separuh jalan? 


Kembara Distonia ini membawa kita menyelami hati seorang anak muda yang lahirnya sihat seperti bayi lain, tetapi mula merosot kesihatannya sedikit demi sedikit apabila usianya semakin meningkat. Menyelami rasa hati seorang remaja yang tertanya-tanya mengapa dirinya yang diuji. Mengapa tidak orang lain. Menyelami rasa hati seorang anak yang merasakan keadaanya membebankan keluarga terutama ibu dan ayah yang telah banyak berkorban wang ringgit, tenaga dan masa. 

Pada Patung Beruang, karya ini seperti tidak lengkap kerana ia tidak menceritakan apakah kesudahan kisah Firdaus. Ia hanya berlegar-legar dibeberapa tahun usia remaja Firdaus sedangkan pembaca pasti ingin tahu bagaimanakah keadaannya apabila Firdaus menginjak dewasa. Bagaimana beliau berdepan dengan penyakitnya ini sebagai seorang lelaki dewasa yang matang, bukan lagi sebagai remaja yang lemah fisikal dan mentalnya. Hm.. Agak kecewa juga dengan ending novel ini tetapi Patung Beruang yakin, pasti penulis ini ada sebab tersendiri mengapa beliau menamatkan novel ini dengan babak sebegitu.. 

Namun dalam masa yang sama, Patung Beruang merasakan yang penulis ini mencoretkan kisahnya yang sebenar. Kisah dirinya sendiri. Dan apabila terbaca di ruangan dedikasi, Patung Beruang yakin, penulis ini adalah seorang yang sangat tabah mental dan semangatnya, bukanlah lemah seperti yang digambarkan dengan watak Firdaus didalam novel ini. Apapun, jika karya ini adalah pengalaman sebenar beliau, Patung Beruang doakan agar beban penyakit beliau semakin berkurangan, semoga diberi kesembuhan dan berjaya dunia akhirat. Aamiin... 

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...