Pulang dari kerja tadi, Patung Beruang meluangkan masa sebentar untuk menonton tv. Masa tu, Astro Ria sedang mainkan filem Ombak Rindu. Jujurnya, Patung Beruang tidak pernah menonton filem tersebut. Bukan sombong atau berlagak atau malu untuk menonton filem Melayu, cuma Patung Beruang rasa tidak teruja. Ya, walaupun filem tersebut mendapat sambutan yang hangat dan sering diperkatakan oleh peminat filem Melayu.
Tapi entah mengapa, malam ini Patung Beruang terasa untuk menontonnya sehingga habis. Lalu, bertemankan sepupu Patung Beruang, Amira, kami berdua menonton untuk mengikuti kesudahan filem tersebut.
Selesai menonton, banyak persoalan yang bermain di minda Patung Beruang. Mengapa watak ibu Haris itu terlalu sombong, bongkak dan kejam? Watak tersebut sangat cliché kerana terlalu banyak ditonjolkan dalam mana-mana filem/drama Melayu atau pun Indonesia, seorang wanita yang kaya-raya, yang merasakan hidupnya sempurna, sering kali mempunyai hati perut yang busuk, bertindak mengikut emosi, suka menganiaya orang miskin, tidak pernah melayan orang luar dengan baik dan akan berpura-pura menjadi seorang wanita yang baik dan naïf di depan anak/keluarga sendiri.
Begitu juga dengan watak Izah. Ditonjolkan sebagai seorang gadis baik tetapi miskin dan sering menjadi mangsa keadaan. Berkahwin dengan lelaki kaya tetapi dirinya tidak diterima oleh keluarga si suami. Terlalu mencintai suaminya sehingga sanggup berkorban apa saja hatta hati dan perasaan. Sanggup memendam rasa dan menderita demi suami yang tercinta. Difitnah dan dianiaya pun, tetap tidak mahu bertindak untuk mempertahankan diri sendiri. Malah, mengharapkan orang lain (iaitu Pak Dollah) untuk memberitahu cerita sebenar (iaitu dia dianiaya) kepada Haris. Mengapa tidak berusaha untuk berterus terang saja dengan si suami? Bukankah sebagai suami isteri, seharusnya tidak patut ada rahsia? Dan sebagai suami isteri, sepatutnya mesti cuba menyelesaikan masalah/kemelut rumahtangga dengan sendiri tanpa melibatkan orang lain? Adoi.. cliché nya...
Haris pula, sebagai hero dalam cerita ini digambarkan sebagai seorang lelaki kaya, dari keluarga ternama, ada rupa, pangkat, kerjaya dan segalanya. Dan cliché nya adalah, rupa-rupanya dia hanyalah anak orang gaji saja. Tetapi diserahkan kepada keluarga kaya kerana isteri orang kaya tersebut asyik kematian anak setiap kali beliau mengandung. Dibesarkan didalam keluarga kaya membuatnya menjadi seorang lelaki yang ego tetapi akhirnya tunduk pada cinta Izah.
Maaf kalau Patung Beruang katakan watak-watak sedemikian seringkali bermain di layar perak/kaca tv kita. Takda apa yang istimewanya pun. Jika benar watak tersebut memang benar-benar wujud di alam nyata, perlukah ia diulang-ulang sehingga penonton (Patung Beruang) terasa seperti sedang menonton filem Hindustan i.e. tidak berpijak di bumi nyata.
Atau mungkin hati Patung Beruang ini telah keras sehingga gagal untuk menjiwai perasaan cinta yang cuba ditonjolkan didalam filem tersebut??
Ah, C.I.N.T.A itu sentiasa indah ke? C.I.N.T.A itu akan sentiasa berakhir dengan gembira kah? C.I.N.T.A itu bisa membuat seseorang itu pasrah dengan segala apa yang menimpanya walaupun sedar dia dianiaya?
Patung Beruang tidaklah terlalu berpengalaman dalam dunia C.I.N.T.A ini. Seperti yang Patung Beruang katakan dengan PA di office last week, "I'm so lucky in my study and career. Unfortunately, I'm not lucky enough in my love story." Ya, Allah sedang menguji Patung Beruang.
Patung Beruang selalu ingatkan pada diri sendiri, rasa C.I.N.T.A tidak sepatutnya menjadikan kita lemah dan terima saja apa pun yang orang lakukan terhadap kita.
C.I.N.T.A pada seorang hamba Allah itu tidak sepatutnya melebihi rasa C.I.N.T.A kita pada yang Maha Esa. Dan C.I.N.T.A tidak sepatutnya membuatkan kita menderita, tetapi ia sepatutnya menjadikan kita seorang hamba Allah yang lebih baik dan lebih dekat dengan-Nya. Apabila disebabkan C.I.N.T.A membuatkan kita berubah menjadi seorang hamba yang ingkar kepada Penciptanya, jauh dari-Nya, bersiap sedialah untuk melupakan C.I.N.T.A tersebut kerana ia hanya akan merugikan kita saja.
Ramai manusia yang tewas dengan C.I.N.T.A. Bak kata pepatah, "lautan api sanggup direnangi". Ibu bapa dan keluarga sanggup dibuang, rakan-rakan dan saudara-mara sanggup dijadikan musuh hanya demi mengikut kekasih yang dicintai. Tetapi berbaloikah? Kerana C.I.N.T.A, mata hati kita menjadi buta. Fikiran yang waras mula hilang pertimbangan. Akal yang panjang mula menjadi pendek.
Tidak semua kisah C.I.N.T.A berakhir dengan gembira seperti filem Kuch Kuch Hota Hai. Banyak saja kisah C.I.N.T.A yang putus di tengah jalan. Dan ramai juga menjadi seorang insan yang lebih kuat dan lebih baik setelah mereka melalui episod sedih didalam kisah C.I.N.T.A mereka. Yang penting bagaimana untuk kita menghadapinya. Berakhirnya kisah C.I.N.T.A bukan bermakna kehidupan kita juga turut berakhir. Kerana setiap yang berlaku, sama ada baik atau buruk, pasti ada sebab mengapa ia terjadi. Dan yang pasti, setiap kejadian yang berlaku itu adalah yang terbaik untuk kita pada masa itu. Lihatlah dengan mata hati, fikiran yang lapang dan hati yang jernih, nescaya kita pasti akan nampak apa yang Allah tunjukkan.
Salam C.I.N.T.A dari Patung Beruang :)
No comments:
Post a Comment