Monday, May 9, 2011

Ikhlaskah kita dalam bekerja???

Lepas maghrib tadi, Patung Beruang belek2 koleksi majalah yang ada diruang tamu ini. Tiba-tiba mata ini terpandang pada Solusi Isu No. 11. Antara artikel yang menarik perhatian Patung Beruang adalah mengenai keikhlasan didalam bekerja.

Ya, Patung Beruang juga bertanya pada diri sendiri, "Ikhlaskah selama ini Patung Beruang bekerja??? Adakah pekerjaan yang Patung Beruang lakukan selama ini dikira sebagai ibadah?? Ataupun hanya sekadar mendapat habuan wang ringgit tetapi nilainya kosong disisi Allah swt???

Alhamdulillah, didalam artikel tersebut dinyatakan 6 syarat yang perlu dilaksanakan didalam fasa pekerjaan agar pekerjaan yang kita lakukan seharian itu menjadi ibadah iaitu:


  • Sebelum bekerja, kita tetapkanlah niat untuk melakukan yang terbaik. Tanyalah hati, apakah niat kita bekerja? Dan pastikanlah niat kita itu adalah niat yang baik seperti ingin mencari rezeki, berbakti kepada masyarakat, membantu keluarga dan sebagainya.

  • Kita juga mestilah memastikan subjek atau aktiviti yang dilakukan itu sah disisi syariat. Dengan kata lain, lakukanlah kerja yang dibenarkan (Halal) disisi syariat. Pastikan yang pekerjaan tersebut tiada unsur-unsur haram seperti riba, penipuan, pendedahan aurat, pergaulan bebas dan sebagainya.

  • Semasa melaksanakan kerja, laksanakanlah dengan betul dan bersungguh-sungguh. Janganlah melanggar peraturan Allah dan peraturan yang dicipta manusia selagi ia tidak bercanggah dengan peraturan Allah. Janganlah mencuri masa, sabotaj, mengampu pihak atasan dan apa juga aktiviti yang boleh mengganggu produktiviti dan prestasi kerja.

  • Berkerja secara optimum iaitu terbaik. Kuasailah ilmu-ilmu dan skil yang berkaitan dengan pekerjaan yang dilakukan agar pekerjaan dapat dilakukan dengan sempurna.

  • Tidak meninggalkan perkara-perkara asas didalam Islam iaitu rukun Iman dan rukun Islam. Ingatlah, sesiapa yang menjaga hubungannya dengan Allah, maka Allah akan menjaga hubungannya dengan manusia.

  • Natijah yang baik. Jika ditakdirkan kita berjaya, maka bersyukurlah dengan kejayaan yang diperolehi. Sebaliknya, jika gagal, bersabarlah kerana hakikatnya Allah mahu mematangkan lagi diri dan kemahiran kita. Berfikir positif dan sentiasa bersangka baik dengan Allah kerana Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

Selain itu, dinyatakan juga beberapa kelebihan apabila kita bekerja dengan ikhlas seperti:



  • Mendapat kekuatan, kebijaksanaan dan kesabaran. Ini adalah kerana orang yang ikhlas akan mendapat bantuan dalam melaksanakan kerjanya. Allah akan sentiasa memberi bantuan apabila hamba-Nya memohon pertolongan.

  • Hasil kerja berkualiti dan produktif. Jika seseorang bekerja ikhlas kerana Allah, dia akan melipatgandakan kerjanya di tahap terbaik kerana yakin pembalasan daripada Allah jauh lebih banyak, baik dan kekal dan bukannya sekadar mengharap kadar gaji yang diterimanya setiap bulan.

  • Terhalang daripada melakukan penyelewangan kerana dia merasakan yang dirinya sentiasa diawasi oleh Allah.

  • Mewujudkan hubungan harmoni sesama rakan sekerja kerana merasakan yang mereka tiada sebab untuk menzalimi orang lain demi mendapat pujian, pangkat dan ganjaran material.

  • Mentaati orang atasan selagi tidak bercanggah dengan syariat dan dalam masa yang sama menghormati orang bawahan dan tidak akan sekali-kali menzalimi mereka.

  • Yakin dan berani menyuarakan pandangan dan pendiriannya apabila kena pada tempat, masa dan suasananya. Apa yang benar, akan dinyatakannya dengan jelas dan beradab sekalipun pahit dan dia juga bertanggungjawab atas pendiriannya itu.

Hm..Banyak betul info yang Patung Beruang perolehi dari artikel tersebut. Insya-Allah, sekarang Patung Beruang berazam untuk lebih ikhlas didalam bekerja dan dalam masa yang sama menjadikan ia satu ibadah disisi Allah swt. Semoga maklumat yang diperolehi dari artikel tersebut dapat Patung Beruang manfaatkan sebaik mungkin. Amin...


Sumber: Majalah Solusi (Panduan Hidup Bersyariat) Isu No. 11

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...