Sunday, March 8, 2026

Kisah Lia ... Di Antara Gentar dan Redha...


Hari ke-18 Ramadan... 
Tidak lama lagi kita akan memasuki 10 malam terakhir. 

Allahuakbar.. Cepat sungguh masa berlalu.

Ramadan kali ini ada beberapa peristiwa yang membuatkan Patung Beruang berhenti sejenak untuk berfikir. 

Cuma Patung Beruang tidak pasti sama ada semua kisah itu ada rezekinya untuk dikongsikan disini. 

Tetapi ada satu peristiwa kecil yang berlaku minggu lepas.

Peristiwa itu berlaku di sebuah tangga sunyi.

Dan entah mengapa, ia masih tinggal di hati sehingga hari ini...



Di condo ini, Patung Beruang selalu terserempak dengan seorang cleaner muda. Namanya Lia. 

Pertemuan pertama kami somewhere in October last year. 


Lia biasanya bertugas membersihkan lif dan lobi di tingkat 2 hingga 6 yang bersambung dengan kawasan parking. Selalunya Patung Beruang akan terserempak dengannya pada waktu pagi ketika hendak ke pejabat, atau pada petang hari, tatkala pulang ke rumah. 


Macam mana Patung Beruang tahu nama dia Lia? 

Dari tanda nama yang dipakainya. 


Di awal pertemuan, setiap kali terserempak, Patung Beruang akan berkata, 

"Terima kasih, Lia." 

Reaksi Lia ketika itu? 

Dia hanya memandang dengan wajah terkejut, kemudian mengangguk perlahan.  Air mukanya nampak takut. 


Sehinggalah pada suatu hari, selepas Patung Beruang mengucapkan terima kasih seperti biasa, Lia tiba-tiba bertanya dengan suara perlahan: 

"Puan, kenapa Puan selalu cakap terima kasih dengan saya? Kan ini memang kerja saya."

Patung Beruang tersenyum.

"Ya. Sebab kamu buat kerja dengan bersungguh-sungguh. Jadi memang patutlah saya cakap terima kasih." 

Untuk pertama kalinya, Patung Beruang nampak Lia menguntum senyum. 

Hilang air muka takutnya

Diganti pula dengan wajah yang kelihatan lega.


Sejak hari itu, setiap kali Patung Beruang mengucapkan terima kasih, Lia akan membalas dengan, 

"Sama-sama, Puan." 

Sambil tersenyum ceria. 


Begitulah kebiasaannya selama berbulan-bulan. 

Kadang-kadang kami sempat berbual sedikit. Sekadar berbasa-basi untuk menceriakan hari.

 

Lia ialah anak sulung dalam keluarga. Baru berumur 21 tahun. Ibunya sudah meninggal dunia. Ini pertama kali dia datang ke Malaysia dan ini juga pekerjaan pertamanya. Ayahnya sudah tua, jadi Lia yang memikul  tanggungjawab untuk mencari rezeki supaya adik-adik di kampung dapat terus bersekolah. 

Lia datang ke Malaysia bersama suaminya, yang bekerja sebagai buruh di tapak pembinaan. 


Pernah sekali Lia merungut kecil, 

"Cuma Puan seorang cakap terima kasih dengan saya." 


Patung Beruang cuba menenangkan hatinya, 

"Tak apa, Lia. Kamu buat kerja kerana Allah kan? Yang penting Allah tahu kamu sudah buat kerja sehabis baik walaupun tiada orang cakap terima kasih." 


Comel saja dia merungut, hehehe.. 

Masih terserlah sifat seorang anak muda yang mungkin masih perlukan kasih sayang orang tua. 

Besar ujiannya. 

Baru berumur 21 tahun sudah perlu merantau ke negara orang demi kelangsungan keluarga di kampung. 



Peristiwa di Ramadan 2026: 

Minggu lepas, ketika pulang dari pejabat, Patung Beruang tergerak hati untuk singgah ke Village Grocer di tingkat LG. 

Selepas parking Si Putih di tingkat 4, Patung Beruang berjalan ke lobi. Tapi lif agak lambat pula. Jadi Patung Beruang decide untuk turun tangga sahaja ke tingkat LG. 

Ketika menuruni tangga, Patung Beruang ternampak Lia sedang duduk di anak tangga. 

Dia menangis. 

"Lia, kenapa kamu menangis? Kamu tidak sihat?" 


Lia terperanjat. 

Mungkin dia tidak menyangka akan terserempak dengan sesiapa disitu.

"Puan....saya mengandung." 

Suaranya perlahan sekali. 

Matanya bengkak seperti sudah lama menangis.

"Oh... Tahniah Lia. Suami kamu sudah tahu?" 

"Sudah. Dia gembira sangat."


Dia diam seketika. 

Air matanya jatuh lagi.

"Semua orang kata anak itu rezeki."

Dia menunduk.

"Tapi Puan... Saya tak nak anak ini. Saya benci dia."


Waktu itu Patung Beruang sedar, ada tangisan yang lahir dari kesedihan.

Tetapi disini, disaat ini, ada tangisan yang lahir dari ketakutan yang terlalu berat untuk dipikul sendirian. 


Patung Beruang tergamam.

Patung Beruang duduk disebelahnya lalu memeluk Lia. 

Biarkan dia menangis semahunya. 

"Puan..... Berdosa ke kalau saya tak nak anak ini?"


Patung Beruang terdiam. 

Tangan hanya mampu mengusap belakangnya perlahan. 

Sejujurnya, Patung Beruang sendiri tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan itu. 

Selepas beberapa minit, Lia kembali tenang.

Patung Beruang hanya mampu berpesan supaya dia berbincang dengan suaminya tentang kandungan itu. 

Tidak tergamak untuk bertanya mengapa dia tidak mahu kandungan ini. 

Pasti ada sebab tersendiri.

Dan mungkin terlalu peribadi untuk diceritakan...



Malam itu, sebelum tidur, Patung Beruang teringat kembali peristiwa di tangga. 

Teringat satu soalan yang Lia tanya sebelum kami berpisah.

"Puan ada anak?" 

Patung Beruang hanya menggeleng.


"Tapi Puan ada semuanya. Kenapa Puan tiada anak?"

Bibir ini hanya mampu mengukir senyum kecil. 

Hati berkata, 

Tiada manusia yang ada semuanya, Lia. 

Hanya Tuhan sahaja yang memiliki segalanya. 

Apa yang kamu nampak ini, tidak sampai 1% pun daripada kehidupan saya. 

Banyak perkara yang kamu tidak tahu. 

Malah, nama saya sendiri pun kamu tidak tahu. 



Terbayang air muka Lia yang kelihatan sedih dan berserabut. 

Terbayang bagaimana dia menangis seolah-olah kehamilan itu satu bencana buatnya. 


Hati ini terasa sebak. 

Air mata jatuh perlahan. 

Di sudut hati, Patung Beruang berdoa agar Allah mengurniakan rezeki terbaik buat Lia dan suaminya -  di dunia dan di akhirat. 


Apa rezeki yang terbaik?

Mungkin anak itu yang terbaik.

Atau mungkin juga bukan.


Kita tak tahu. Dan mungkin tidak akan pernah tahu. 

Pengetahuan kita sebagai manusia, sebagai makhluk Allah ini sangat terbatas. 

Seperti firman Allah dalam Surah Hud, Ayat 123: 

"And to Allah belongs the unseen (aspects) of the heaven and the earth, and to Him return all affairs. So worship Him, and put your trust in Him. And your Lord is not unaware of what you do." /  "Dan Allah jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi dan kepada-Nya dikembalikan segala urusan. Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepada-Nya. Dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan."



Di sebuah ruang

yang tidak pernah menyimpan nama, 

dua jiwa bertemu

tanpa dirancang oleh sesiapa

kecuali takdir. 


Yang satu memegang rahsia

yang sedang tumbuh perlahan di dalam rahimnya.

Rahsia itu bernyawa,

tetapi hatinya bergetar - antara mampu dan belum bersedia,

antara harapan dan ketakutan

yang datang tanpa dipanggil.


Yang satu lagi memegang sunyi

yang telah lama belajar diam. 

Sunyi itu tidak berbunyi, 

tidak menuntut simpati,

cuma sesekali bergetar 

apabila tersentuh

tentang sesuatu yang belum pernah dimiliki.


"Anak itu rezeki",

ujar suara lembut.

Bukan sebagai hukum,

bukan sebagai nasihat yang mengguris,

tetapi seperti doa

yang pernah berkali-kali

diangkat ke langit

dalam gelap yang sunyi.


Air mata jatuh.


Bukan kerana hidup tidak adil,

tetapi kerana takdir selalu hadir 

dengan wajah yang berbeza. 


Ada yang diberi sebelum bersedia. 

Ada yang sudah bersedia, 

namun masih menunggu 

di pintu yang belum terbuka.


Di antara mereka

tiada siapa yang lebih beruntung,

tiada siapa yang lebih malang. 


Hanya dua doa

yang terbang ke langit yang sama - 

satu memohon kekuatan untuk menerima,

satu memohon kesempatan untuk merasa. 


Dan mungkin,

tanpa disedari oleh dunia,

jiwa seorang ibu pernah berdiri di situ - 

bukan kerana pernah melahirkan,

tetapi kerana mampu menenangkan,

mampu memeluk dengan kata-kata,

mampu melihat cahaya

walau hatinya sendiri sedang diuji oleh rindu.


Di ruang kecil itu

tiada takdir yang berubah arah,

tiada janji yang dimeterai.


Hanya dua wanita

yang pulang dengan hati yang sedikit berbeza - 

entah siapa yang lebih kuat,

entah siapa yang lebih diuji,

atau mungkin

kedua-duanya sedang dipimpin perlahan-lahan

melintasi garis halus

di antara gentar dan redha... 



Pasti ada hikmah mengapa Allah aturkan pertemuan ditangga itu.

Mungkin Allah mahu Lia bertemu seseorang yang tidak menghukumnya pada saat dia paling rapuh.

Dan mungkin juga Allah mahu Patung Beruang memahami sesuatu yang selama ini hanya mampu dirasakan dari jauh. 


Kadang-kadang hidup mempertemukan dua manusia

yang sedang memikul ujian yang berbeza - 

yang satu sedang takut dengan rezeki yang datang terlalu awal,

yang satu lagi sedang belajar redha dengan rezeki yang belum tiba.


Di tangga sunyi itu

tiada siapa yang lebih bertuah

dan tiada siapa yang lebih malang.


Hanya dua hati

yang sama-sama sedang belajar percaya

bahawa setiap takdir yang Allah tuliskan

tidak pernah tersilap alamat.....

Book Review: Memoir Seorang Guru (updated version)


Tajuk: Memoir Seorang Guru

Penulis: Azizi Haji Abdullah

Ceritanya Patung Beruang: 

Alhamdulillah, Patung Beruang berjaya menyelesaikan pembacaan naskah ke-5 untuk tahun ini pada bulan lepas. Cuma baru hari ini berkesempatan untuk berkongsi disini.

Azizi Haji Abdullah merupakan penulis kelahiran Kedah yang Patung Beruang kenali karya beliau sejak dibangku sekolah lagi. Antara karya beliau yang pernah Patung Beruang baca sekitar 30 tahun dahulu adalah Seorang Tua di Kaki Gunung, Melukut Kota dan Sinappapal

Mungkin ada lagi karya lain yang pernah dibaca, cuma Patung Beruang sudah terlupa. In fact, 3 karya yang Patung Beruang sebut diatas ini pun sinopsisnya sudah kabur dalam ingatan. 

Jika suatu hari nanti Patung Beruang terserempak dengan karya-karya tersebut di pasaran, Insya-Allah akan dibeli untuk dijadikan koleksi. Karya yang baik, wajar disimpan - bukan sekadar untuk dibaca, tetapi untuk juga diwariskan kepada generasi akan datang. 


Naskah Memoir Seorang Guru ini setebal 358 mukasurat. Patung Beruang mengambil masa hampir 2 minggu untuk menghabiskannya. 

Bukan kerana ceritanya tidak menarik tetapi kerana jalan cerita dan lenggok bahasanya menyentuh hati sehingga Patung Beruang lebih selesa menikmatinya secara perlahan.

Ibarat minum kopi.

Sip by sip - menikmati pahit kopi di hujung lidah dan tekak, kemudian diselang dengan seteguk air kosong untuk meneutralkan deria rasa. 

Beberapa minit kemudian, diminum lagi kopi itu. Dirasai lagi pahitnya. Begitulah berulang-ulang sehingga secawan kopi itu habis. 

Sebab itu jangan hairan kalau Patung Beruang boleh mengambil masa berjam-jam, kadang-kadang sampai separuh hari, hanya untuk menghabiskan secawan Americano panas - yang akhirnya menjadi sejuk. Lagi-lagi kalau Patung Beruang minum sambil menyiapkan tugasan di laptop ataupun membaca. 

Semuanya demi menikmati kepahitan rasa kopi itu. 

Patung Beruang pinjam kata-kata my youngest brother, Imran: "Pahitnya kopi ini mengingatkan kita pada hakikat pahitnya kehidupan".  

Atau kata-kata Afgan, my favourite singer, "Secangkir kopi pagi ini pahitnya tak menyakiti. Kerna sudah terbiasa disakiti bertubi-tubi." 

Adoi... di siang hari bulan Ramadan, bercerita pula tentang kopi. Nampak sangat Patung Beruang rindu kopi, huhuhu.. 

Sabar Ilyana. 

Memang kebiasaannya di bulan puasa, Patung Beruang kurang minum kopi kerana sifatnya yang diuretic. Nanti kerap pula ke tandas, kemudian mudah terasa haus. Jadi, untuk mengelakkan semua itu, kita berpisahlah seketika dengan kopi sepanjang bulan ini. 

Tapi.... 


Hari Khamis lepas, 5 March, selepas berbuka puasa dan solat Maghrib di KLGCC Mall, Patung Beruang dan Imran duduk di Bad Scones, untuk sambung our catch up session 

(Duduk serumah pun nak kena ada catch up session di cafe, hehehe) 

Patung Beruang order Hazelnut Latte Ice, less sweet. 

Ya Allah... 

Sedapnya.. 

Nikmatnya secawan kopi setelah berminggu-minggu tidak minum - Tuhan saja yang tahu. 

Macam orang bercinta. Kadang-kadang perlu berpisah seketika supaya kita benar-benar menghargai manisnya saat bertemu semula.

Ok Ilyana, cukup. 

Stop all this naughty thought. 

Bulan Ramadan... behave please...


Let's back to our main objective today.. 


Menariknya Naskah Ini:

Naskah Memoir Seorang Guru membawa pembaca kepada kisah seorang bekas guru agama, yang hanya dikenali sebagai Ustaz. Setelah lebih  28 tahun berbakti di beberapa buah sekolah di pedalaman,  beliau kini bersara. 

Selepas kematian isterinya, Ustaz tinggal berdua dengan anak tunggalnya, Kamariah. Kini, Ustaz berdepan dengan dilema apabila Kamariah mahu menjadi guru, sama seperti dirinya dahulu.

"Gelisah. Serba salah. Rasa berdosa." 

Itulah belitan rasa Ustaz. Setiap batuk dan lenguh di usia senja seakan mengingatkan dosanya yang tidak terampun. Di sebalik gelaran pendidik, tersimpan parut-parut lama - tamparan, herdikan dan amarah yang pernah melukai anak-anak didiknya, kini menjadi bayang-bayang yang menyesakkan dada. 

Bagi Ustaz, profesion guru bukan sekadar soal mulia atau tidak. Ia tentang ketahanan jiwa. Ustaz gelisah apabila memikirkan mampukah Kamariah menghadapi kerenah dan dugaan dunia pendidikan, seperti dirinya yang pernah tewas dan terjerumus dalam kehampaan? 


Apa yang menyebabkan Ustaz berperilaku tidak seperti seorang murabbi? 

Segala-galanya bermula dengan seorang murid bernama Mat dan peristiwa tragis yang menimpa dirinya. Dan kerana itulah Ustaz mula membenci anak muridnya yang di pedalaman atau ceruk kampung. Bagi Ustaz, mereka ini sudahlah dungu malah degil pula. Mereka tidak pernah berfikir bahawa belajar itu aset masa depan. Ibu bapa pula tidak pernah membuka mata untuk menyedari betapa pentingnya pelajaran untuk anak-anak mereka. 

Di mata Ustaz, Mat adalah seorang murid yang pemalas. Bagi Mat, sekolah tiada ada apa-apa erti. Mat lebih suka bangun lambat, kerekot di tempat tidurnya, melastik burung, bermandi-manda di parit atau kubang, berkawan dengan lembu dan kerbau. 

Mat rasa bosan dengan sekolah dan buku-buku. Dia jemu apabila asyik disuruh membaca  buku. 

Dan kejemuan itu akhirnya meragut nyawa Mat apabila disuatu petang, ketika sedang bermain dengan Can, mereka ternampak sarang burung pipit diatas pokok pinang. Kenakalan Mat membuatkan dia nekad untuk memanjat pokok pinang tersebut demi mengambil anak-anak burung pipit diatas itu walaupun sedar yang pokok pinang itu kurus melengking, melentur dan sukar dipanjat. 

Tragedi berlaku apabila ketika Mat sedang memanjat, pokok pinang itu patah dan batang pinang sebesar lengan menyula punggungya. Mat kehilangan banyak darah dan nyawa-nyawa ikan, namun orang kampung tidak tahu bagaimana mahu menyelamatkannya.  

Tidak tertahan melihat keadaan anaknya diatas pokok pinang itu, ayah Mat menembak anaknya dan habislah nyawa anak malang itu. 



Selepas Mat, Ustaz berdepan pula dengan Alias, murid yang selalu datang lewat ke sekolah. Pakaian sekolahnya daif sekali. Seluar lusuh bertali pinggang tali rafia merah, dan baju tanpa dua biji butang di bawah. Rambut Alias kusut dan kering. Berkaki ayam. Betisnya bercalar-calar digores oleh pokok berduri di denai yang dilaluinya setiap kali perjalanannya datang ke dan pulang dari sekolah. Ustaz rasa jijik sangat setiap kali memandang Alias. 

Alias yang sering datang lambat ke sekolah diherdik dan dihina Ustaz. Hinaan lebih ketara apabila Alias memberitahu yang sebab kelewatannya adalah kerana beruknya hilang dan Alias perlu mencari beruk tersebut terlebih dahulu. 

Kemuncak kebencian Ustaz apabila Alias hanya tersenyum apabila rakan sekelas mengejeknya beruk. Ustaz merasakan yang senyuman itu seperti menyindirnya. Maka, satu tamparan kuat hinggap di telinga kanan Alias. Ustaz sedar ayunan itu penuh dengan rasa kebencian dan Ustaz terasa puas. 

Selepas peristiwa ditampar, Alias tidak datang ke sekolah. Desas-desus mengatakan yang Alias sudah berhenti. 

Ustaz mula rasa bersalah atas kekasarannya. Ustaz sedar yang perbuatannya salah dari segi undang-undang. 

Setelah tamat sesi persekolahan, Ustaz datang ke rumah Alias yang terletak sejauh 3 setengah kilometer. Untuk sampai ke rumah Alias, Ustaz terpaksa melalui lorong sempit seperti denai. Di kiri kanan penuh dengan pokok semalu, senduduk dan belukar. Lorong pula berlopak-lopak. Ternyata rumah Alias sangat-sangat terpencil. 

Ketika sampai di rumah Alias, Ustaz disambut ibu Alias. Seorang wanita tua, yang lumpuh. Rumah Alias sangat daif. Berbumbung atap bertam, berdinding papan dan buluh. Disana sini tersemat anyaman daun bertam. Tangga pun daripada kayu bulat dan lantai papan sayung bercampur buluh. 

Didalam rumah pun sangat serba-serbi kekurangan. Tiada meja atau kerusi.

Alias tinggal berdua bersama ibunya. Ayahnya sudah meninggal dunia. Sejak ibunya lumpuh, Alias terpaksa menggalas tanggungjawab untuk mencari sesuap nasi. Dengan beruknya, Alias mengambil upah memanjat pokok kelapa. Itu sajalah punca pencarian keluarga kecil itu.

Tamparan keras dari Ustaz beberapa hari lepas menyebabkan telinga Alias sakit, merah, bengkak dan daripada lubang telinga tersebut keluar nanah. 

Perasaan Ustaz bercampur-baur. 

Kesombongan dirinya menyebabkan anak kecil, yang miskin dan tidak berdosa itu terpaksa menahan sakit berhari-hari. Akhirnya, anak kecil itu memutuskan untuk berhenti sekolah kerana merasakan dirinya yang hina tidak layak untuk berada disitu. 



Kini, selepas berpuluh-puluh tahun, tatkala anak-anak didiknya sudah dewasa, masih adakah ruang untuk Ustaz menebus amanah, meraih keberkatan dan memaknakan kemurabbian? 

Saat segala-galanya telah berlalu?

Adakah anak-anak muridnya seperti Alias, Mohd Dhuha, Mihad, Sakinah, sudi memaafkan Ustaz yang sering menengking, memukul, menampar, menghina dan berprasangka buruk kepada mereka? 

Hanya kerana mereka adalah anak-anak di pedalaman, anak-anak kampung, yang comot, kotor, miskin, hina dimata Ustaz....


Begitulah serba sedikit sinopsis naskah ini.

Setiap watak anak-anak murid Ustaz, ada cerita tersendiri dalam naskah ini. Dan semua ceritanya sangat meruntun perasaan, terutama kisah Sakinah.


Selain jalan cerita yang sedap, ada banyak perkataan atau peribahasa baru yang Patung Beruang belajar dari naskah ini contohnya: 

Mencari cempedak di bawah kerambil : maksudnya mencari tidak pada tempatnya. 

Pikun : sangat tua 

Nifak : munafik

Bantut ikan haruan : bantut itu maksudnya pais. 

Yang ini memang Patung Beruang tergamam sekejap bila baca ayatnya - 

"Kamariah, kamu tahukah macam mana buat bantut ikan haruan? Ini makanan orang utara... Tapi, ibumu buat bantut memang cara yang teratur. Haruan sebesar betis akan dibelah belakang. Sisik jangan buang. Basuh cuci-cuci. Masukkan kepala parut parut dengan kunyit dan cili tumbuk, buah belimbing buluh dipotong-potong kemudian bakar." 

Selama ini, maksud bantut yang Patung Beruang tahu adalah halangan, sekatan, atau tidak dapat membesar. Jadi bila Patung Beruang came across with this paragraph, hati terdetik yang kisah perenggan ini tentang makanan. Tapi apakah dia "bantut ikan haruan" itu? 

Bila check di website Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), baru lah tahu rupanya maksud lain untuk perkataan "bantut" adalah "pais" atau "pepes". Sejenis makanan atau masakan yang dibalut dengan daun. Yes, kalau term "pais" atau "pepes", Patung Beruang tahu sangat sebab ia adalah terma yang biasa digunakan di Johor. 

Wow, banyak lagi perkataan Bahasa Melayu yang Patung Beruang tak pernah tahu kewujudannya. 


As usual, penulis lama sentiasa pandai bermain dengan kata-kata. Ada beberapa petikan yang buat Patung Beruang merenung sejenak, contohnya: 

  • Anak saya bodoh dalam pelajaran lain, Ustaz. Tetapi saya selalu berdoa agar dia menjadi manusia yang baik. 
  • Cerita bagaimana buruknya bapa dalam profesion guru. Bapa pendendam. Bapa ego. Bapa pemarah. Bapa pembenci. 
  • Dia ini memang nampak biasa dalam hidupnya tetapi dia tidak sedar dia menyimpan kahak dan kuping yang berbahaya. Dia cukup cemburu melihat kesenangan dan ketenangan orang dan yang paling buruk dia menyakitkan perasaan orang lain demi kepuasannya. 
  • Bapa tidak tahu sama ada pengajaran yang bapa ajar memberi kesan atau tidak. Apa-apa pun, jika mereka menjadi baik dan soleh, belum tentu kerana ajaran bapa. Bapa tidak pernah yakin ajaran bapa membawa berkat. Bapa sangat jauh bersifat murabbi. 
  • Bapa tidak pernah disentak oleh kesedaran bahawa menjadi guru atau ustaz itu perlu memiliki tanggungjawab dan mesti bersifat pendidik, apalagi sebagai murabbi. 


Membaca naskah ini, menghadirkan 1001 rasa dalam hati Patung Beruang.
Sedih.
Marah.
Kecewa.
Simpati. 


Rasa sedih dan kecewa melihat bagaimana Ustaz bersikap buruk terhadap murid-muridnya hanya kerana mereka adalah anak-anak kampung, pedalaman, miskin, tidak berpelajaran. 
Rasa simpati sangat pada anak-anak yang tidak berdosa itu, yang hatinya bersih dan suci, datang ke sekolah untuk menuntut ilmu. 
Rasa marah dengan sikap Ustaz yang sombong dan suka berprasangka buruk, ego melangit. Sifat yang sangat bertentangan dengan gelaran dirinya sebagai seorang guru agama. 

Tapi bila difikirkan semula, betullah ayat yang Patung Beruang selalu sebut pada Ibu: 
"Solat, mengaji, bersedekah, berpakaian seperti orang alim be it berjubah, berserban, bertudung labuh, semuanya manusia nampak. Kita boleh berlakon.
Tapi hati kita ini, manusia tak nampak. 
Allah saja yang tahu keadaan hati kita ini. Bersih ke, kotor ke, Allah saja yang tahu."
 
Dan sebab itulah pandangan mata manusia sering menipu. 
Orang yang disangka baik dan alim dimata manusia, mungkin disisi Allah adalah sebaliknya.


Naskah ini mengajar kita untuk sentiasa berhati-hati dengan perilaku kita. Setiap perbuatan jahat, zalim, kejam yang kita lakukan pada hari ini, pasti akan menghantui kita dimasa hadapan. 

Mencari rezeki yang halal itu mulia. Tetapi adakah rezeki yang halal itu berkat? 
Dimana keberkatannya jika kita tidak ikhlas menjalankan amanah?
Seperti keadaan hati kita, keikhlasan itu hanya kita dan Allah saja yang tahu. 

Naskah ini sedap.
Sedap sangat.
Karya penulis lama memang jauh berbeza dengan penulis muda. 
Patung Beruang sudah lama tidak menikmati novel seperti naskah ini. 
Yang kita teringin sangat untuk mengetahui apa ending nya, tetapi dalam masa yang sama, kita masih lagi nak membaca dan menghadam naskah ini perlahan-lahan. 
Menikmati setiap aksara yang tercatat. 
Menghayati setiap luka yang ditinggalkan oleh cerita itu....
I love it...


p/s: Ada orang tanya, kenapa ada Samsung earbuds diatas meja itu, ketika sedang duduk di Bad Scones? Takkanlah Patung Beruang pakai earbuds ketika catch up session dengan Imran? 

Hehehe... bukan begitu...

Sebenarnya, sebelum gambar itu diambil, Patung Beruang ada Teams call dengan seorang sahabat, berkenaan urusan kerja. Patung Beruang guna earbuds tersebut untuk entertain Teams call. Jadi, setelah tamat Teams call itu, barulah Patung Beruang snap gambar tersebut. 

Semoga tiada lagi salah faham ye.. hehehe..

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi, Bunny and Dak Yot...