Wednesday, November 27, 2024

Book Review: Kronikel Sang Kucing Pengembara

 

Tajuk: Kronikel Sang Kucing Pengembara 

Penulis: Hira Arikawa 

Penterjemah: Iffah Syuqaira

Menariknya Naskah Ini: 

Nampaknya tahun ini Patung Beruang banyak membaca karya-karya terjemahan. Asalnya sekadar mencuba tetapi tidak sangka, serasi pula. Alhamdulillah... 

Naskah ini Patung Beruang selesaikan pembacaanya hujung minggu lepas. 



Kronikel Sang Kucing Pengembara membawa pembaca kepada watak seekor kucing jantan bernama Nana. Nana sebenarnya adalah kucing jalanan dan tidak mempunyai nama. Pada awalnya, Nana suka tidur di atas wagon perak kepunyaan Miyawaki Satoru. Pertemuan pertama mereka berlangsung dengan harmoni apabila Satoru memberi Nana ayam goreng katsu untuk haiwan comel ini mengalas perut. Sejak tu, hampir setiap hari Satoru akan memberi Nana makan. 

Pada suatu hari, Nana dilanggar kereta dan cedera. Dengan bersusah-payah Nana berjalan ke kediaman Satoru demi meminta tolong. Satoru membawa Nana ke klinik haiwan dan bermula pada hari tu, Satoru memelihara Nana dan menganggapnya sebagai kucing peliharaan. 


Diam tak diam, sudah  5 tahun Nana tinggal bersama Satoru. Persahabatan antara kucing dan manusia ini sangat utuh sehingga mereka saling memahami antara satu sama lain. 

Kini, Satoru terpaksa melepaskan Nana kerana dirinya tidak akan mampu menjaga haiwan comel itu. Mereka berdua dengan menaiki wagon perak, mula mengembara demi 1 misi iaitu mencari penjaga baharu Nana. 



Calon pertama untuk penjaga baharu Nana adalah Sawada Kousuke. Satoru dan Kousuke adalah sahabat zaman kanak-kanak ketika sekolah rendah. Walapun kedua-dua lelaki ini sudah melepasi usia 30 tahun, persahabatan mereka masih lagi utuh. 

Satoru telah menghantar email kepada Kousuke meminta agar Kousuke mengambil kucing kesayangannya. Namun, tidak pula diceritakan didalam email tersebut mengapa Satoru membuat permintaan sedemikian. 

Sawada Kousuke sudah berkahwin namun belum mempunyai anak. Beliau mengusahakan studio gambar yang diwarisi dari ayahnya, Studio Gambar Sawada. Sejak kecil, hubungan Kousuke dan ayahnya tidak rapat. Ada saja perkara yang membuatkan mereka tidak sependapat. 

Ketika dizaman sekolah rendah, Kousuke dan Satoru telah menyelamatkan seekor anak kucing di dalam longkang. Anak kucing tersebut akhirnya dibela oleh keluarga Satoru dan diberi nama Hachi. Kousuke seringkali berkunjung ke rumah Satoru demi bermain-main dengan Hachi. 

Setelah ibu ayah Satoru meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, Satoru dijaga oleh adik perempuan ibunya, iaitu Mak Cik Noriko. Noriko yang merupakan seorang peguam, menetap di bandar lain. Oleh itu, Satoru terpaksa berpindah dan meninggalkan Kousuke. Oleh kerana pihak pengurusan di blok kediaman Noriko tidak membenarkan haiwan peliharaan, dengan berat hati Satoru menyerahkan Hachi untuk dijaga oleh pak cik jauhnya. 

Sayangnya sejak itu, Satoru tidak lagi berpeluang untuk berjumpa dengan Hachi dek kerana jarak yang jauh antara mereka. Namun, pak cik sentiasa mengirimkan gambar terkini Hachi demi mengubat kerinduan Satoru. 



Pertemuan semula Satoru dan Kousuke demi mencari penjaga Nana telah membuka peluang untuk kedua-dua sahabat bertukar cerita dan mengimbau kenanagan zaman persekolahan serta kenakalan mereka. 

Sayangnya, Nana tidak rela untuk Kousuke menjadi penjaga baharunya. Oleh itu, Satoru dan Nana meneruskan pengembaraan mereka untuk berjumpa dengan calon yang berikutnya. 




Destinasi kedua adalah sebuah perkampungan ladang yang perjalanan daratnya berjam-jam lamanya. Disana, Satoru berjumpa dengan rakannya ketika bersekolah menengah rendah, iaitu Yoshimine Daigo. 

Yoshimine Daigo seorang petani yang berjaya. Sedari kecil lagi, dia minat bercucuk-tanam terutama apabila berpindah dan menetap bersama nenek. 

Yoshimine adalah anak tunggal kepada pasangan korporat yang berjaya di Tokyo. Seorang anak yang baik. Namun, kedua ibu bapanya sangat sibuk bekerja sehingga mereka tidak mampu meluangkan masa walau sedikit pun untuk Yoshiminie. Bagi mereka, segala keperluan material Yoshimine sudah disediakan lebih dari cukup.  Oleh itu, mereka berharap agar Yoshimine boleh memaafkan mereka apabila sering ditinggalkan bersendirian di rumah.

Apabila ibu ayah Yoshimine bercerai, dia membuat keputusan untuk tinggal bersama nenek yang jauh dari Tokyo. Di perkampungan nenek ini lah Yoshimine berkenalan dengan Satoru. 


Tanpa diduga, kedua-dua remaja lelaki yang kehilangan ibu ayah ini rupanya sangat serasi. Satoru seorang yang matang dan pencinta haiwan, Yoshimine seorang yang serious, suka buat hal sendiri tetapi sangat berbakat dalam berkebun. Malah, nenek Yoshimine juga sudah menganggap Satoru seperti cucunya sendiri. 

Persahabatan mereka berdua ibarat simbiosis. Satoru yang sering bersendirian dek kerana kesibukan Noriko sebagai peguam, menganggap Yoshimine dan nenek sebagai ahli keluarga baharunya. Nenek yang tidak pernah dimilikinya sebelum ini. Nenek pula rasa lega kerana kehadiran Satoru dianggap sebagai peneman Yoshimine dan pengubat hatinya yang terluka akibat perceraian ibu bapanya. Yoshimine pula yang selama ini sering ditinggalkan sendirian, terasa seperti mempunyai seorang abang atau adik dengan hadirnya Satoru. 


Kini, dua sahabat ini berjumpa semula tetapi dalam situasi yang berbeza. Nenek sudah meninggal dunia. Yoshimine tinggal bersendirian menguruskan ladangnya. Di rumah, Yoshimine ada seekor kucing oyen yang masih muda. Tetapi oyen ini sangat lembik berbanding Nana. Lagaknya seperti dia tidak bercita-cita pun untuk menjadi seekor kucing, hehehe...




Naskah yang mempunyai 267 muka surat ini Patung Beruang ambil masa hampir 3 minggu untuk selesaikan pembacaanya. 

Naskah yang membawa tema persahabatan, kasih sayang sesama ahli keluarga, pencinta haiwan, rasa sangat soothing saja bila membaca. Tapi.... jangan tertipu, hehehe.. 

Sebenarnya naskah ini penuh rencah. Ada satu ketika, Patung Beruang akan tersenyum atau tergelak sendiri ketika membaca dialog atau monolog Nana, si kucing yang bertuah itu. 

Pada ketika lain pula, Patung Beruang rasa sebak, sayu bila membaca hakikat kisah Satoru dan orang-orang disekelilingnya. Kisah hidup Satoru ini menyedihkan namun dia sangat optimist dan kuat untuk menjalani hari-hari mendatang. 



Seperti kebiasaanya, naskah terbitan Biblio Press tidak perlu dipertikaikan kualitinya. Walau ini adalah karya terjemahan, hasilnya sangat smooth dan terasa seperti kita sedang menatap naskah ini dalam bahasa asal. Alhamdulillah... 

Sunday, November 24, 2024

Book Review: Migrasi Yang Berlumpur (Thinking People)


Tajuk: Migrasi Yang Berlumpur (Thinking People)

Penulis: Jeong Young-Sun

Penterjemah: Shafiqah Azman

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah ini Patung Beruang selesaikan pembacaanya 2 minggu lepas. Jika tidak silap, Patung Beruang berjaya habiskan naskah ini dalam masa kurang 24 jam, Alhamdulillah. 

Pertama kali Patung Beruang jumpa naskah ini di Jualan Warehouse Iman Publication, di Iman Warehouse, Kajang. Bila baca blurb, terus rasa tertarik hati dan Patung Beruang nekad untuk membelinya. Ternyata, ia adalah keputusan yang tepat, Alhamdulillah...


Blurb: 

Korea Utara merupakan satu-satunya tempat pada abad ke-21 yang tidak ada kebebasan bergerak. Disebabkan itulah, ada rakyatnya yang nekad untuk melarikan diri ke Korea Selatan walaupun nyawa mereka menjadi taruhan. 

Protagonis buku ini, Juyeong, telah menghadiri temu duga di sebuah syarikat penerbitan. Di sana, dia bertemu dengan Ejen Perisikan Nasional Ko yang memerintahkan Juyeoung untuk memantau komen di internet. 

Selepas pilihanraya Presiden, Ko menawarkan pekerjaan kontrak kepada Juyeong di UNIWON, sebuah organisasi pendidikan penempatan semula yang membantu pembelot Korea Utara. Di sana, Juyeong bertemu dengan anak-anak Korea Utara yang telah melarikan diri ke Korea Selatan atas pelbagai sebab. 

Melalui kisah kanak-kanak seperti Suji yang datang ke Korea Selatan bagi mencari kebebasan dan Changju yang ingin mencari wang untuk bermain bola sepak, kita dapat memahami kehidupan kanak-kanak dari Korea Utara yang tidak hanya menderita kerana kesepian dan keterasingan di tempat asing, tetapi juga terpaksa membuktikan diri agar mereka dapat diterima oleh masyarakat Korea Selatan. Dalam masyarakat yang didorong oleh neo-realisme, kebebasan mereka terbatas. Label "pembelot Korea Utara" bagaikan sudah melekat pada diri kanak-kanak ini. 


Menariknya naskah ini adalah kerana prakatanya ditulis oleh Kim Sung Kyung, seorang pensyarah Universiti Pengajian Korea Utara dan tema tulisan beliau adalah "Pembahagian Kawasan, Perpecahan dan Pembelot Korea Utara". 

Perpecahan rakyat Korea memberi kesan luaran dan dalaman kepada penduduk mereka. Rakyat Korea Utara sering dilayan dengan dengan rasa tidak percaya dan orang Korea Selatan akan menjauhkan diri daripada mereka. 

Migrasi rakyat Korea Utara ke Korea Selatan sebenarnya tidaklah semudah yang disangka. Selain dari sunyi dan terasing di Korea Selatan, mereka juga terpaksa berusaha sehabis kuat untuk membuktikan yang mereka berguna di Korea Selatan. Di sini, label "Korea Utara" akan sentiasa melekat pada mereka. Mereka tidak boleh sesuka hati bercerita kisah kehidupan mereka. Oleh kerana mereka tidak mempunyai kelulusan dan kemahiran yang setara dengan rakyat Korea Selatan, pilihan pekerjaan juga sangat terhad dan mudah untuk menjadi mangsa ketamakan peniaga atau majikan yang kapitalis. 

Apabila rakyat Korea Utara tiba di Korea Selatan, mereka perlu tinggal di Hanawon atau Pusat Sokongan Penyelesaian untuk Pelarian Korea Utara, selama 3 bulan. Ini adalah untuk membantu mereka membiasakan diri di Korea Selatan dan mempelajari sistem kurikulum di negara ini. 


Naskah Migrasi Yang Berlumpur ini sedap tetapi dalam masa yang sama sangat menyesakkan. Penulis berjaya menyampaikan segala gejolak perasaan dan bebanan jiwa yang ada dalam setiap watak, i.e. Byung Uk, Seon Ju,  Suji dan Changju. 

Momentum cerita sangat laju sehingga Patung Beruang boleh membaca tanpa berhenti seolah-oleh seperti ingin sampai ke mukasurat terakhir seberapa cepat yang boleh. Semuanya demi mengetahui penamat cerita ini. 

Namun, penamat kisah ini bukan lah happy ending. Bukan juga sad ending yang melampau. Ia lebih kepada moto, "hidup ini perlu diteruskan walau apa pun yang anda hadapi. Berusahalah untuk teruskan perjalanan walau ada 1001 halangan yang menunggu di hadapan." 

Yang pasti, selepas tamat cerita ini, Patung Beruang sedar yang tajuk Migrasi Yang Berlumpur itu adalah tepat. Ibarat lumpur, walaupun sudah kering, kesannya pasti ada. Begitu juga dengan rakyat Korea Utara. Setelah bertahun-tahun mereka berhijrah dan berasimilasi dengan kehidupan di Korea Selatan, jati diri dan stigma sebagai rakyat Korea Utara akan tetap melekat pada mereka... 

Sunday, November 3, 2024

Book Review: Pada Pahitnya Secawan Kopi


Tajuk: Pada Pahitnya Secawan Kopi

Penulis: Aidil Ghazali

Menariknya Naskah Ini: 

Ini adalah buku terbaru yang Patung Beruang berjaya sudahkan pembacaannya. Selesai membaca pada malam semalam, Alhamdulillah. 

Jujurnya, Patung Beruang hanya mengambil masa selama 3 jam untuk selesaikan naskah ini. Apabila sudah mula membaca, terasa sukar untuk meletakkan naskah ini selagi tidak tahu apakah penamatnya. 


Pada Pahitnya Secawan Kopi membawa pembaca mengenali Nurul Intan Fatihah, seorang gadis bujang berumur lewat-20an, dan pemilik Kafe Kahwa. 

Minat dan kecendurangan terhadap dunia kopi menyebabkan Intan nekad untuk membuka cafe demi memenuhi impiannya. Sebagai anak sulung dari 2 beradik, menguruskan perniagaan sendiri memberi Intan kebebasan masa dan flexibility untuk menjaga ibunya, Puan Maryam yang sudah berusia. Selepas kematian arwah ayah, Intan merasakan dirinya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap Puan Maryam dan adik bongsunya, Imran. 


Zahirnya Intan seperti gadis lain. Muda, cantik, dan kuat bekerja. Hakikatnya, Intan diuji apabila dia disahkan mengidap Mayer Rokintansky Kuster Hauser (MRKH), iaitu kondisi perubatan yang merujuk kepada perempuan yang dilahirkan tanpa organ rahim yang sempurna. 

MRKH adalah satu kecacatan genetik yang berlaku dengan nisbah seorang daripada 5,000 wanita. Ia bukanlah penyakit keturunan dan boleh menimpa sesiapa saja secara rawak. 

Disebabkan MRKH juga, Intan tidak pernah datang haid walaupun setiap bulan pasti dia akan diserang sakit senggugut, sehingga memaksanya bertahan dengan pil tahan sakit dan hot patch. 

Oleh kerana Intan dilahirkan tanpa rahim, maka dia tidak akan mampu mengandungkan zuriat untuk selama-lamanya. 


Blurb: 

Semenjak Intan mengetahui keadaan dirinya yang tidak sempurna seperti wanita lain, dia sudah mematikan harapan untuk berkeluarga. Lebih-lebih lagi apabila hubungannya pernah terputus tengah jalan kerana perkara itu. 

Ketika Intan pasrah, ibunya, Puan Maryam pula beria-ia mengatur agar Intan berkahwin dengan calon pilihan. Meskipun berkali-kali Intan menolak, ibunya tetapi berkeras dengan keputusan tersebut. 

Hati Intan luluh berkecai apabila ibunya mula bertindak melampaui batas. Bagi Puan Maryam, semua demi kebaikan Intan. Namun bagi Intan, cukuplah sekali hatinya disakiti. 

Andai Intan membuka lagi hatinya untuk meraih kebahagiaan yang diimpikan, mampukah harapan ini mekar, atau dirinya akan kecewa buat kesekian kali? 



Pada Patung Beruang, naskah ini bukan kisah cinta.....

Naskah Pada Pahitnya Secawan Kopi ini menyorot suka-duka pengidap MRKH dalam melalui hari-hari mereka, berdepan dengan stigma orang disekeliling. 

Ada yang tahu kondisi sebenar diri mereka ketika di akhir remaja tatkala menjalani pemeriksaan secara menyeluruh oleh pakar sakit puan. Tetapi ada juga yang hanya mengetahuinya setelah berkahwin, apabila malam pertama bersama suami tidak seperti yang diharapkan. Kesannya, ada wanita yang diceraikan oleh suami pada malam pertama gara-gara kecacatan genetik yang tidak pernah mereka ketahui. 

Sangat bertuah jika pesakit mendapat pasangan yang sangat memahami dan sanggup meneruskan rumahtangga yang dibina walaupun sedar mereka tidak akan memperolehi zuriat. 

Tetapi ramai juga wanita yang mengambil keputusan untuk kekal tanpa pasangan kerana sudah lelah dengan cemuhan dari orang luar. 

Selain itu, tebalnya rasa rendah diri juga menyukarkan pengidap MRKH untuk menjalani kehidupan seperti wanita normal di luar sana. Rasa ketidaksempurnaan diri itu terlalu menebal sehingga hati mereka juga tertutup untuk menerima cinta dari insan lain. 



Selain itu, perkara menarik juga yang ada dalam naskah ini adalah penulis menyelitkan ilmu berkenaan kopi dan cafe, bagi menyesuaikan dengan watak Intan sebagai peminat kopi dan pemilik kafe kopi. Antara ilmu kopi yang tertulis disini adalah: 

  • Perbezaan kopi long black dan americano, walaupun kedua-duanya terdiri daripada campuran espreso dan air. Perbezaan kedua jenis kopi ini terletak pada cara penyediaanya iaitu, americano ialah espreso yang ditambah air panas, tetapi long black pula ialah air panas yang ditambah espreso.
  • Kopi Black Ivory atau dikenali juga sebagai kopi tahi gajah berasal dari Chiang Mai, Thailand. Harganya mahal kerana setiap tahun cuma 215 kg saja kopi ini dibuat. Kopi Black Ivory ini dihantar ke hotel-hotel bertaraf 5 bintang yang ternama di serata dunia dan hanya sebahagian kecil saja yang diperuntukkan untuk jualan runcit.   
  • Biji kopi Robusta memiliki kandungan caffein lebih tinggi berbanding biji kopi Arabica. Biji kopi Robusta rasanya lebih pahit, dan Arabica pula rasanya lebih manis, mirip coklat. 
  • Biji kopi Volcanica berasal dari pendalaman Kenya dan memiliki rasa pahit yang unik tetapi mewah, dan rasa sweet fruit. 
  • Biji kopi Peaberry adalah kopi jenis biji tunggal dari Tanzania, lebih asidik dan rasanya ada sedikit campuran rasa coklat, citrus  dan sipi-sipi manis. 


Oh ye, seperti biasa, novel terbitan Iman Publication selalu mempunyai ayat-ayat sedap yang menarik perhatian Patung Beruang. Untuk naskah ini, berikut antara petikan yang Patung Beruang gemari: 

  • Tuhan menguji bukan kerana benci, tetapi kerana sayang. Seperti hidup, kopi menyimpan kisah dan cerita. Hitam tidak selalu kotor, pahit tidak semestinya sedih. 
  • Apa perkara paling mahal dalam perkahwinan? Bukan kesetiaan, bukan juga kepercayaan. Tapi keyakinan. Yakin yang kita akan selamat dalam perkahwinan itu. 
  • Hiduplah sejujurnya secawan kopi. Dia hitam tidak berlagak dirinya putih dan dia pahit tanpa perlu berpura-pura manis. 
  • Rupa-rupanya selama ini, dia sudah bertemu seseorang yang tepat tetapi terhalang oleh waktu yang salah. 


Akhir sekali, jika anda adalah seorang penggemar kopi, besar kemungkinan selepas tamat membaca naskah ini, tekak anda akan rasa nak sangat minum kopi walaupun sekadar secawan americano kerana penceritaan tentang kopi didalam naskah ini terlalu jelas dan mengiurkan, hehehe.. 
Ini lah yang Patung Beruang alami malam semalam. Tetapi disebabkan jam menghampiri pukul 12 tengah malam, Patung Beruang simpan saja keinginan secawan kopi itu sehingga ke pagi esoknya... 

Saturday, November 2, 2024

Book Review: Aku Menyelam Untuk Hidup 2 (Darah, Keringat dan Air Mata)


Tajuk: Aku Menyelam Untuk Hidup 2 (Darah, Keringat dan Air Mata)

Penulis: Ahmad Jamal 

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah ini termasuk dalam senarai buku-buku yang patut dibeli ketika PBAKL 2024. Alhamdulillah, tercapai juga hasrat Patung Beruang untuk memilikinya. 

Naskah yang berdasarkan kisah benar penulis, suka-duka beliau sebagai seorang yang sangat meminati dunia menyelam. Penulis bermula sebagai penyelam rekreasi, penyelam pasukan khas dan akhirnya penyelam professional. 

Mempunyai 14 kisah, kisah pertama membawa pembaca kepada situasi genting yang dihadapi oleh penulis dan rakan-rakan di atas dek MV Masakuni pada 24 November 2013. Penulis dan 2 orang anggota kerja berbangsa Jepun bergilir-gilir memberikan bantuan kecemasan CPR kepada pesakit yang sedang terbaring  di tengah-tengah dek kapal. Ini bukanlah latihan kecemasan yang seringkali diadakan diatas kapal, tetapi ini adalah situasi genting sebenar apabila pesakit yang merupakan salah seorang penyelam, tidak sedarkan diri. 

Selepas beberapa minit melakukan CPR dan pesakit sudah mula sedar di atas pengusung, mereka segera mengangkat pengusung tersebut dibawa ke bot kru yang telah sedia di barge MV Masukuni ini. Bot kru terus menuju ke jeti West Coast dimana pasukan paramedik dan ambulan telah sedia menunggu. Pesakit dipindahkan ke ambulan dan kenderaan tersebut meluncur laju menuju hospital. Setiap saat sangat berharga kerana nyawa pesakit menjadi taruhan. 



Kisah penulis dan MV Masakuni bermula ketika penulis berkhidmat di Trim System Pte Ltd (Trim System) iaitu sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan menjual dan menyewakan peralatan menyelam bagi industri berat kepada mana-mana kontraktor menyelam yang berminat. Syarikat ini juga membekalkan tenaga kerja kepada mana-mana syarikat yang memerlukan. 

Nippon Salvage telah mendapat kontrak untuk melakukan kerja-kerja dibawah air untuk satu project besar di Singapura. Oleh itu, hyperbaric chamber sangat diperlukan. Maka, Nippon Salvage melantik Trim System untuk menyewakan hyperbaric chamber bersama pengendalinya sekali kepada Nippon Salvage. 



7 January 2013, bermulalah perjalanan penulis ke Singapura bagi memenuhi kontrak Trim System dan Nippon Salvage. 

Sebagai pengendali chamber atau Chamber Operator, antara tugas dan tanggungjawab penulis adalah: 

  • Menyiapkan dan menjaga beberapa peralatan yang diperlukan bagi operasi asas Deck Compression Chamber (DCC). 
  • Menyediakan jadual selaman untuk rawatan dan carta aliran tindakan (process flow) semasa kecemasan menyelam. 
  • Memastikan peralatan perubatan siap sedia di DCC. 


Antara kesulitan yang boleh terjadi pada penyelam adalah sindrom tersedut air masin (salt water aspiration syndrome). Keadaan ini berlaku akibat penyelam tersedut kabus air masin sewaktu menyelam. Ia biasa berlaku kepada penyelam yang tidak berpengalaman seperti semasa melakukan latihan kenaikan bebas dan semasa melakukan latihan bernafas berganti-ganti dengan rakan yang menggunakan satu alat pernafasan (buddy breathing), atau juga jika regulator second stage rosak atau bocor. Antara simptom-simptom yang akan dihadapi pesakit adalah: loya, muntah, sesak nafas, demam dan rasa letih, denyutan nadi yang laju, dan keliru. 



Setelah beberapa bulan bekerja dengan orang Jepun, penulis berkongsi pendapat beliau tentang bangsa tersebut antaranya: 
  • Rajin dan kuat bekerja serta sangat mementingkan kesempurnaan. 
  • Mereka terlalu mengagungkan bangsa Barat sehingga mewujudkan rasa rendah diri yang ketara tatkala berhadapan dengan bangsa Barat. 
  • Namun, mereka juga memandang rendah keupayaan dan pendapat bangsa lain melainkan terbukti yang individu tersebut memang lebih hebat & lebih cekap dari mereka. 
  • Reputasi dan maruah lebih utama daripada nyawa. 
  • Menggemari peralatan atau cara lama, sangat old school. 


Sepanjang penulis bertugas di MV Makuni, penulis diuji dengan kematian rakan sekerja yang dipanggil Wak Lan. Punca kematian Wak Lan bukanlah akibat penyakit penyelam atau tersalah rawatan hiperbarik, tetapi kerana berkaitan dengan sejarah penyakit jantungnya. Sudden Cardiac Arrest dicatat sebagai sebab kematian berdasarkan laporan bedah siasat yang dikeluarkan oleh pihak hospital. 


Berdasarkan Journal of Emergency Medical Services, sudden cardiac arrest bermaksud jantung terhenti mendadak iaitu kehilangan fungsi jantung, pernafasan dan kesedaran secara tiba-tiba. 

Kejadian mengejut ini disebabkan oleh gangguan elektrik di dalam hati yang menggangu tindakannya mengepam. Lantas menghentikan aliran darah ke seluruh tubuh. 

Sudden cardiac arrest ini berbeza dengan serangan jantung (heart attack), kerana heart attack berlaku apabila aliran darah ke bahagian jantung disekat. Namun, heart attack adakalanya boleh mencetuskan gangguan elektrik yang membawa kepada masalah jantung terhenti mendadak. 

Simptom-simptom sudden cardiac arrest adalah serta-merta dan drastik seperti tiba-tiba jatuh, tiada nadi, tidak bernafas dan tidak sedarkan diri. 




Setelah penulis tamat berkhidmat bersama Nippon Salvage selama 15 bulan, penulis bertukar lokasi tugasan di Kuala Lumpur pula, dimana penulis terlibat dalam projek kerja-kerja penggalian terowong bawah tanah untuk sistem pengangkutan awam di Lembah Klang iaitu Klang Valley Mass Rapid Transit (KVMRT). 

Di project KVMRT ini, penulis bertugas sebagai anggota pasukan perubatan dan sebagai penyelia hyperbaric chamber. Dalam project ini, terdapat 2 jenis chamber yang digunakan iaitu: 
  • Satu chamber digunakan sebagai tempat pekerja bawah tanah melakukan kerja dalam persekitaran bertekanan tinggi dan chamber ini terletak di bawah tanah. 
  • Satu chamber lagi digunakan untuk merawat pekerja bawah tanah yang menghadapi masalah kesihatan selepas mereka bekerja di bawah tanah dalam suasana persekitaran yang bertekanan tinggi dan dalam jangkamasa yang panjang. Chamber ini terletak di permukaan tanah. 



Antara ilmu baru yang Patung Beruang perolehi dari naskah ini adalah penyakit tekanan tinggi adalah sama dengan penyakit yang menimpa penyelam. Penyakit tersebut dipanggil "bends".  Asalnya chamber digunakan untuk merawat penyakit tekanan tinggi bagi pekerja bawah tanah. Lama-kelamaan, didapati yang penyakit penyelam menpunyai ciri-ciri yang sama seperti penyakit yang menimpa pekerja-pekerja bawah tanah. Oleh itu, chamber mula digunakan untuk merawat penyelam pula. 




Seperti kebiasaan, naskah yang berdasarkan pengalaman sebenar ini mempunyai magis yang tersendiri. Naskah ini juga tidak terkecuali. Bukan semua orang berpeluang untuk menceburi bidang yang diceburi penulis ini, namun dengan naskah ini, pembaca boleh membayangkan segala suka duka, pahit manis yang ditempuh didalam bidang ini. 

Naskah ini bukan sekadar kisah seorang penyelam atau operator / penyelia hyperbaric chamber, tetapi juga kisah kegigihan dan ketabahan seorang suami, seorang ayah, seorang anak, seorang lelaki yang tetap melangkah ke hadapan, sentiasa berkorban demi keluarga tersayang. Kisah seorang hamba Allah yang berjuang sepenuh hati demi agama dan Tuhan yang satu... 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...