Sunday, April 3, 2022

Book Review: You Are Loved


Tajuk: You Are Loved 

Penulis: Mizi Wahid

Menariknya Naskah Ini: 

Ini adalah naskah ketiga dari Mizi Wahid yang ada dalam koleksi Patung Beruang. Alhamdulillah.. 


Naskah You Are Loved membawa pembaca tentang betapa pentingnya untuk kita sayang diri kita sendiri, terima segala kelebihan dan kekurangan tanpa perlu membandingkan diri kita dengan orang lain diluar sana. Rawat dulu hati kita sebelum kita merawat insan lain. Bantu diri sendiri agar menjadi hamba Allah yang baik. 

Sedar bahawa kewujudan setiap diri kita ini memberi impak antara satu sama lain. Jadi penting untuk kita rasa prihatin dan empati terhadap insan lain. Rezeki dan ujian masing-masing tidak sama. Percayalah yang Allah tidak akan menciptakan sesuatu makhluk atau manusia itu sia-sia sahaja. 


Pada masa ini, ramai dari kita rasa kekosongan. Kosong jiwa. Kosong hatinya. Kekosongan itu mendatangkan satu beban emosi yang berat. Kita rasa terbeban sehingga seakan tidak mampu untuk menghadapi hari-hari yang mendatang. Ada antaranya mula merasakan kekosongan itu setelah kehilangan seseorang atau sesuatu dari kehidupannya. Mungkin kehilangan pasangan, ahli keluarga, kehilangan haiwan kesayangan, atau juga perubahan corak kehidupan seperti dari berkerjaya kepada tidak bekerja atau dari bekerja sendiri kepada makan gaji atau juga diuji dengan masalah kesihatan atau kewangan. 

Perlukah dilawan perasan kosong itu?

Ye, perlu. 

Ingat, Allah tidak akan mencipta makhluknya hanya dengan alasan kosong semata-mata.

Setiap dari kita ada tugas dan tanggungjawab tersendiri. Paling utama, tanggungjawab kita sebagai makhluk Allah. 

Boleh bersedih tetapi jangan berlama-lama. 

Suata hari nanti, kita tetap perlu bangkit dan buka lembaran baru. Selagi masih bernafas, perjuangan menjadi hamba Allah yang baik masih perlu diteruskan. 

Buka mata dan pandang disekililing. Ramai yang memerlukan kita. Mungkin dari segi tenaga, wang ringgit, buah fikiran, ilmu pengetahuan atau mungkin juga perhatian. Banyak yang boleh dibantu untuk kebaikan....


Perasaan yang lebih menyakitkan daripada rasa tidak disayangi adalah, kita merasakan yang kita disayangi pada awalnya, namun pada suatu hari kita menyedari yang kasih sayang itu sebenarnya sudah hilang. Ia sangat menyakitkan. Rasa dikhianati. Rasa ditikam bertubi-tubi. 

Kita mula bertanya, apa salah kita? Apa dosa kita? Apa yang telah kita lakukan sehingga Tuhan memberi beban emosi sebegini berat? 

Beratnya bebanan jiwa itu sehingga kita rasa sesak, rasa sukar untuk bernafas. Zahirnya normal seperti tiada apa. Kita menjalani kehidupan seperti orang lain. Bangun pagi, melangkah keluar rumah mencari rezeki. Pulang ke rumah setelah senja. Tidur dimalam hari. Dan esok, aktiviti yang sama berulang kembali. Namun, tiada siapa sedar yang dalam hati kita ini sedang penuh dengan hujan dan taufan. Bibir tersenyum diluar dan hati menangis didalam. Kita pendam segalanya kerana tiada kata yang mampu diluahkan untuk memberi kefahaman kepada manusia. Walaupun pada insan yang paling rapat. 

Ingatlah sahabat, hati kita ini milik Allah. Allah yang berkuasa untuk meletakkan apa jua perasaan didalam hati kita. Dan Allah juga lah yang berkuasa untuk menarik kembali perasaan itu. 

Ketika tiada kata yang terluah dibibir, Allah cukup mengerti apa yang ada di dalam hati ini. Allah tahu jiwa kita sedang menangis dan merintih. Allah tahu kita rasa penat. Allah juga tahu betapa beratnya beban jiwa yang kita tanggung.

Tetapi Allah tidak pernah zalim pada kita. Allah uji kita dititik kelemahan kita. Kenapa? 

Kerana Allah nak kita kuat. 

Sebab itu kita akan diuji berkali-kali di titik kelemahan yang sama. 

Sehingga kita cukup kuat untuk menghadapinya dan ia bukan lagi menjadi kelemahan kita. 



Seperti biasa, tulisan Mizi Wahid ada soothing effect pada Patung Beruang. Terasa seperti patah perkataan yang ditulis itu memujuk hati ini, agar kembali kepada Sang Pencipta. 

Apa pun situasi kita, kembali semula kepada Allah. Kerana Dia lebih mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Disaat kita rasa kita tiada tempat mengadu, ingatlah bahawa Dia sentiasa ada. 

Tidak semua perkara kita mampu bercerita atau berkongsi dengan manusia. Salah-salah cerita, boleh terbuka aib sendiri. Salah-salah cerita, boleh dijadikan umpan fitnah and umpatan. Namun, kita boleh berkongsi apa saja dengan Allah. Lintasan hati kita juga Dia tahu. 

Kehidupan ini terlalu singkat untuk disia-siakan demi memenuhi expectation manusia lain. Kehidupan ini juga terlalu singkat untuk dijadikan medan perlumbaan dengan manusia lain. Kehidupan ini sepatutnya menjadi medan persediaan kita untuk tinggal di alam yang kekal.... 

Book Review: Nur' Ain: Isteri Buruh Paksa


Tajuk: Nur' Ain: Isteri Buruh Paksa

Penulis: Adly Azamin

Menariknya Naskah Ini: 

Naskah ini sebenarnya Patung Beruang selesaikan pembacaannya pada bulan January  atau February hari itu. Dek kerana kekangan masa, baru kini Patung Beruang dapat kongsikan kisah naskah itu disini. 


Nur' Ain: Isteri Buruh Paksa membawa pembaca ketika zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu. Nur' Ain adalah watak seorang wanita muda yang berani dan bijak, lahir dalam keluarga yang kaya dan terhormat di Kampung Tanjung Bayan, pinggir Hutan Melintang, Perak.

Baru beberapa hari bergelar isteri kepada Khairi, tanpa diduga Khairi ditangkap oleh askar Jepun angkara fitnah Bujang, pengkhianat bangsa. Bujang sakit hati apabila Khairi, pemuda dari luar kampung yang berjaya memiliki Nur'Ain dan bukan dirinya. Oleh itu, Bujang menggunakan hubungan rapatnya dengan Jepun, menyebarkan berita yang Khairi adalah bahaya pada askar Jepun serta patut ditangkap dan dijadikan buruh paksa. 

Selepas Khairi ditangkap, tinggallah Nur' Ain seorang diri menguruskan ladang kelapa milik keluarganya. Kemakmuran tanaman milik keluarga Nur' Ain menjadi sumber rezeki kepada penduduk kampung. Selain dari menguruskan ladang, Nur' Ain juga berjualan di pasar pagi dan disana juga Nur' Ain berpeluang untuk mengetahui perkembangan semasa pemerintahan tentera di Tanah Melayu. Nur' Ain berharap agar suatu hari nanti perang akan  berakhir dan suaminya, Khairi akan pulang ke Tanjung Bayan. 


Adam, adalah seorang askar yang ditugaskan untuk datang ke Hutan Melintang bagi memerhatikan perkembangan tentera Jepun disana. Adam memang dilahirkan dan menetap beberapa tahun di Hutan Melintang kerana arwah ayahnya adalah bekas pegawai tinggi kerajaan disana. Rumah agam yang tersergam indah dan cantik di sana adalah milik arwah ayahnya. 

Kini, setelah beberapa tahun, Adam pulang semula ke Hutan Melintang dan mendiami rumah tersebut. Kedatangan Adam tidak disenangi oleh Bujang yang sedari awal bercita-cita untuk memiliki dan mendiami rumah agam tersebut walaupun sedar dirinya tiada langsung pertalian terhadap rumah itu.

Kebencian Bujang terhadap Adam memuncak pada suatu petang apabila Bujang dan konco-konconya datang menyerang Adam dirumah tersebut. Bujang menuduh Adam menyimpan radio dan mengugut untuk melaporkannya kepada askar Jepun. Setelah puas membelasah Adam, Bujang dan konco-konconya membakar rumah tersebut. 

Adam sempat menyelamatkan barang-barang peribadinya dan lari menyelamatkan diri. Dia diselamatkan oleh orang kampung Tanjung Bayan dan diterima bekerja di ladang kelapa Nur' Ain. 

Keperibadian Adam yang rajin dan sangat menghormati orang lain menyenangkan orang-orang kampung Tanjung Bayan. Tiada sesiapa tahu identiti sebenar Adam kerana kebenaran itu boleh membahayakan nyawanya jika diketahui askar Jepun. 


Adam dan Nur' Ain sama-sama berjuang menuntut kemerdekaan Tanah Melayu walau dengan cara yang berbeza. Perjuangan mereka bukan saja membuka mata penduduk kampung tetapi juga askar Jepun dan pegawai tinggi mereka...

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...