Ada 1 kisah benar yang berlaku. Seorang lelaki berumur, yang bakal bersara pada pertengahan tahun hadapan. Isterinya mula berkira-kira bagaimanakah kehidupan mereka sekeluarga selepas ini? Pencen suaminya berjumlah beberapa ratus sahaja. Duit pampasan EPF pula tidak sampai RM60k. Anak-anak mereka yang berjumlah 4 orang, kesemuanya masih belajar lagi. Yang sulung dan no. 2 masih di IPT. Yang ke-3 dan bongsu masih bersekolah menengah dan rendah. Bolehkah mereka sekeluarga hidup selepas si suami bersara? Cukupkah pencen yang beberapa ratus itu untuk memberi makan, pakai dan belanja persekolahan anak-anak. Si isteri pula surirumah sepenuh masa. Mereka berdua tidak mempunyai simpanan pun. Mujurlah rumah yang mereka diami sekeluarga telah habis dibayar. Begitu juga dengan pinjaman kereta, sudah dilangsaikan. Dan si suami atau isteri ini tidak ada hutang apa-apa pun samaada kepada bank atau pun orang persendirian.
Hari berganti hari, akhirnya tinggallah beberapa minggu sahaja sebelum si suami tamat berkhidmat. Dan semestinya, organisasi tempat suami berkhidmat, tidak berminat untuk menyambung perkhidmatannya walaupun secara kontrak. Si suami sudah berkira-kira untuk memohon lesen teksi juga memohon jawatan pengawal keselamatan. Selain itu, disebabkan si suami ini suka bercucuk tanam, maka sekeliling rumah mereka penuh lah dengan tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan seperti bendi, sawi, tomato, terung, cili, ubi dan pisang. Fikir si suami, at least tanaman tersebut boleh juga dijadikan sumber makanan mereka sekeluarga dan jika ada lebih, bolehlah dijual.
Tiba-tiba, tanpa diduga, seorang hartawan yang amat mengenali pasangan suami isteri ini menawarkan pekerjaan kepada sisuami. Hartawan ini mempunyai sebidang tanah yang besar dikawasan tersebut. Malangnya tanah tersebut terbiar kosong dan tidak diusahakan kerana hartawan dan keluarganya tinggal di bandar besar. Maka, hartawan ini minta agar sisuami ini mengusahakan tanah tersebut. Dan hasil tanaman yang ditanam ditanah tersebut diminta agar dijual bagi menampung kehidupan pasangan ini.
Maka, bermulalah kehidupan pasangan suami isteri ini sebagai petani. Pelbagai pokok ditanam dari pisang, jambu, mangga, limau, cempadak, nangka sehingga lah tanaman yang simple seperti sayur-sayuran, serai dan daun pandan. Namun, kehidupan petani tidak seindah yang disangka. Tanaman diserang penyakit, diserang virus, cuaca yang tidak menentu dimana kadang-kala panas sehingga kemarau, ataupun hujan sehingga air membanjiri kebun tersebut. Juga dugaan dari manusia-manusia rakus yang sampai hati masuk ke kebun dan mencuri tanaman yang ada. Apabila hasil tanaman dijual kepada peraih, wang yang diperolehi tidak berpadanan dengan titik peluh yang dicurahkan selama ini. Peraih mengambil kesempatan dengan membayar harga yang murah, sedangkan mereka akan menjualnya semula kepada customer dengan harga yang mahal. Timbangan pula ditipu terang-terangan. Adakalanya, tanaman yang elok, dikatanya busuk, maka bayaran akan dikurangkan lagi. Begitulah nasib pasangan suami isteri ini.
Pasangan suami isteri ini tidak mudah mengalah. Tekad mereka 1 saja, mereka ingin mengusahakan kebun ini sehingga berjaya dimana 1 hari nanti, mereka mampu untuk berkongsi wang ringgit hasil dari kebun ini bersama-sama dengan pemilik asal kebun ini, hartawan tersebut.
Kini, sudah 8 tahun pasangan suami isteri itu mengusahakan kebun tersebut. Sudah banyak air mata dan keringat yang tumpah. Kebun yang seluas 3 padang bola sepak Stadium Bukit Jalil, kini telah 80% penuh dengan pokok-pokok. Juga terdapat sebuah kolam yang letaknya ditengah kebun, dipenuhi dengan ikan-ikan betuk, puyu dan beberapa ekor kura-kura, sebagai tempat mereka bersantai setelah penat bekerja. Mereka tiada pekerja. Hanya mereka berdua membanting tulang dan kudrat yang semakin dimamah usia. Apabila anak-anak pulang bercuti, anak-anak juga turut serta membantu dikebun. Tatkala orang lain berlumba-lumba bercuti ke sana sini, dalam dan luar negara, mereka tidak ada istilah cuti. Mereka hanya berehat pada hari Jumaat sahaja, untuk memastikan si suami dapat pergi solat Jumaat dengan tenang dan dalam keadaan bersih. Hari lain, mereka akan berada di kebun dari selepas subuh hinggalah ke tengahari. Pulang ke rumah untuk makan dan solat Zuhur. Sesudah solat Asar, mereka kembali ke kebun. Dan pulang sebelum senja. Begitulah rutin kehidupan seharian pasangan suami isteri ini. Bagaimana dengan kehidupan mereka pada masa kini?
Alhamdulillah, walaupun tiada pendapatan tetap, tetapi rezeki Allah sentiasa ada. Kini, 3 orang anak pasangan itu sudah bekerja dan kesemuanya menjawat jawatan profesional. Malah, anak ke-3 mereka lulusan luar negara. Anak yang bongsu pula sedang menghitung hari untuk terbang ke luar negara pada bulan September ini, bagi melanjutkan pelajaran atas tajaan sebuah badan kerajaan. Pasangan suami isteri ini juga sudah pandai mencari pembeli sendiri bagi menjual hasil tanaman mereka. Pembeli yang lebih jujur dan lebih menghargai nilai tanaman tersebut. Mereka juga sudah mahir dengan teknik pertanian. Tidak malu untuk bertanya dan menimba ilmu, bukan sahaja dari pegawai di Jabatan Pertanian, malah juga dari pengusaha kebun lain serta dari penjual pokok di nursery dan juga penjual baja dan racun serangga.
Pasangan ini juga mampu membeli sebuah kenderaan 2nd hand dengan bayaran tunai bagi menggantikan kenderaan mereka yang telah sedia uzur. Mereka juga mula mampu untuk mengupah pekerja sambilan sebagai pembantu, dengan upah harian serendah RM50 seorang. Namun, perkara yang paling membanggakan adalah pasangan suami isteri ini mula mempunyai simpanan mereka sendiri, dimana baki simpanan untuk setiap seorang dari mereka berjumlah lebih dari RM20k seorang dan ia semakin bertambah setiap bulan. Kata mereka, simpanan ini adalah untuk kegunaan mereka bagi menunaikan ibadah haji di Mekah, serta untuk menampung kehidupan mereka di hari tua. Malah, jika anak-anak dalam kesusahan, mereka juga sanggup membantu dengan duit simpanan mereka ini.
Mereka menghargai setiap sen yang diperolehi dan skill pengurusan kewangan mereka semakin mantap. Mereka tidak berhutang. Mereka tidak suka membazir. Hidup seadanya, makan seadanya. Ini kerana mereka sedar betapa susahnya untuk mencari rezeki yang halal. Tetapi mereka suka membantu orang lain. Jika bukan dengan wang ringgit, pasti dengan hasil tanaman mereka. Kata mereka, rezeki yang Allah bagi ini bukan hak mereka sepenuhnya. Rezeki ini mereka kena kongsi bersama.
Mereka yakin dengan janji Allah. Rezeki datang dari Allah tetapi dengan syarat mereka kena berusaha tanpa jemu dan putus asa. Kebergantungan mereka kepada Allah sangat kuat kerana mereka sedar, mereka tiada pendapatan tetap. Hasil tanaman walau dijaga sebaik mungkin, masih lagi terdedah dengan risiko bencana lama, serangan penyakit, kecurian dan penipuan dari peraih atau pembeli, dan 1001 sebab yang boleh menyebabkan hasil tanaman atau jualan mereka berkurangan.
Si isteri mula sedar, ketakutan yang dialaminya ketika suaminya hampir bersara dulu sebenarnya adalah sesuatu yang normal. Tetapi, ketakutan itu mula hilang sedikit demi sedikit apabila dia dan suaminya menggantungkan harapan sepenuhnya kepada Allah untuk urusan rezeki mereka sekeluarga. Dan Alhamdulillah, berkat usaha, doa dan tawakal mereka, hasilnya amat membanggakan.
Begitulah 1 kisah benar yang berlaku dihadapan mata Patung Beruang. Kebergantungan kepada Allah yang begitu jitu sekali kerana mereka sedar, sebagai seorang yang bekerja sendiri, rezeki itu tidak tetap. Bukan seperti kita yang makan gaji ini. Kita tahu cukup hujung bulan, tengok saja akaun dalam bank, pasti terlihat gaji kita sudah dimasukkan kedalam akaun oleh majikan kita. Sehingga kita terlupa, Allah yang memberi rezeki kepada kita. Majikan itu hanya pengantara sahaja. Cubalah bayangkan jika tiba-tiba hari ini, organisasi tempat kita bekerja ini diisytiharkan muflis dan tidak lagi mampu membayar gaji pekerja. Apa perasaan kita? Terkapai-kapai lemas memikirkan nasib dihujung bulan?
Berapa ramai juga manusia diluar sana yang sanggup memberi rasuah, sanggup melobi, menabur fitnah, semata-mata untuk memastikan contract dan tender tertentu jadi milik mereka. Mereka beranggapan, pihak yang meluluskan contract dan tender itu lah yang memberi rezeki kepada mereka. Oleh itu, mereka sanggup buat apa sahaja agar pihak yang mempunyai kuasa itu sentiasa berada dipihak mereka. Kerana ketakutan itu lah, mereka lupa Allah yang Maha Pemberi Rezeki...
No comments:
Post a Comment