Tajuk:
Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia - Koleksi Kisah Ulama Silam Yang Kaya Dengan Pendidikan Akhlak.
Penulis: Umar Muhammad Noor
Cerita Patung Beruang:
Malam ini tiba-tiba Patung Beruang rasa seperti nak mengemas buku-buku yang ada didalam bilik ini. Ikutkan perancangan, Patung Beruang hendak memilih buku-buku yang telah dibaca untuk dibawa pulang ke kampung. Simpan saja di perpustakaan mini dirumah ayah. Boleh dibaca oleh ahli keluarga yang lain ataupun tetamu yang datang. Lagipun, minggu ini kan ada Pesta Buku in KLCC. So, Patung Beruang kenalah sediakan ruang untuk buku-buku baru yang bakal dibeli pula, cewahhhh, heheh..
Sedang leka mengemas, tiba-tiba Patung Beruang terjumpa buku ini. Ya Allah, inilah antara buku kegemaran Patung Beruang yang rasanya sangatlah rugi jika Patung Beruang tidak kongsikan pada semua betapa menariknya buku ini.
Menariknya Buku Ini:
Buku ini menghimpunkan kisah-kisah para ulama yang sangat kaya dengan akhlak yang terpuji, penuh ilmu dan hikmah untuk diambil pengajaran. Semuanya disusun dengan kemas didalam 30 bab.
Bab 1: Akhlak Mulia Cerminan Islam membuka kisah dimana betapa pentingnya umat Islam sentiasa mengamalkan akhlak yang mulia kerana ia memberi gambaran yang jelas kepada umat Islam yang lain dan juga mereka yang bukan beragama Islam. Ia mengisahkan mulianya akhlak Rasulullah SAW apabila didatangi oleh wanita Yahudi dari Bani al-Mustoliq iaitu Juwairiyah binti al-Harits. Beliau merupakan puteri kepada seoarang pemimpin suku Bani al-Mustoliq tetapi kini beliau menjadi tawanan tentera Islam dan beliau diminta sejumlah wang tertentu jika hendak menebus dirinya. Bagi penyelesaikan urusan pembebasan dirinya, Rasulullah telah menikahi beliau dan ini juga bermakna semua tawanan Bani al-Mustoliq adalah besan Baginda SAW. Dan akhirnya kaum Muslimin segera memerdekakan setiap tawanan yang berada di tangan mereka tanpa perintah Rasulullah SAW. Sikap mulia para sahabat ini telah menyentuh hati tawanan-tawanan yang dibebaskan sehingga mereka dengan sukarela menyatakan keislaman mereka. Ya Allah, betapa akhlak yang mulia itu berjaya memikat orang lain untuk sama-sama berdamping dengan agama Islam.
Bagaimanakah kita apabila berdepan dengan situasi dimana orang lain mencela kita? Adakah kita akan berdiam diri dan berusaha untuk memperbaiki kelemahan kita agar kita tidak dicela lagi di kemudian hari? Atau, kita akan menjadi sangat marah dan bertikam lidah atau membalas celaan dengan orang yang mencela kita itu? Bab 2: Celaan Membakar Semangat boleh dijadikan panduan untuk kita apabila berdepan dengan celaan manusia lain. Didalam bab ini turut diceritakan mengenai seseorang yang mencela Ibnu Sina, ahli falsafah Islam yang sangat pandai dan genius. Orang tersebut mencela Ibnu Sina kerana beliau tidak hafaz al-Quran. Setelah mendengar celaan itu, Ibnu Sina menjadi sangat malu dan marah sehingga mendorong beliau untuk menghafaz seluruh al-Quran dalam hanya SATU malam sahaja. Ya Allah, betapa hebatnya ahli falsafah Islam ini. Beliau membalas celaan itu dengan cara yang sangat hebat.
Seringkali manusia gemar merungut apabila dilanda musibah. Tanpa disedari, musibah yang ditimpakan oleh Allah SWT itu boleh membawa tuah jika kena cara untuk menguruskannya. Bab 5: Musibah Membawa Tuah menceritakan pasangan bahagia iaitu Abu Salamah dan Umi Salamah yang diuji dengan perpisahan ketika mereka hendak berhijrah ke Madinah. Dan seterusnya, Abu Salamah meninggal dunia akibat luka parah ketika Perang Uhud. Musibah yang menimpa Umi Salamah benar-benar menguji kesabarannya kerana beranggapan tiada lelaki yang lebih baik dari Abu Salamah. Dan akhirnya, selepas tempoh 'iddah, beliau dipinang oleh Rasulullah SAW, iaitu manusia terbaik yang Allah SWT ciptakan. Maka ingatlah, apabila musibah itu datang, walau betapa sedihnya kita, Allah SWT telah mengaturkan perjalanan yang terbaik untuk kita. Mudah-mudahan kita akan sentiasa bersabar dan bersangka baik dengan Dia Yang Maha Kuasa.
Bab 20: Berikan Makanan Halal Untuk Anak pula menceritakan betapa pentingnya makanan halal diberikan kepada anak-anak. Jika dilihat, para ulama terdahulu sangat menjaga pemakanan mereka dan anak-anak mereka. Sehinggalah ke urusan susu ibu yang diminum oleh si kecil tersebut. Mereka tidak pernah mengizinkan orang lain menyusui anak kecil mereka selain dari isteri mereka. Ini bagi memastikan tubuh anak itu tidak bercampur sesuatu yang tidak dapat dipastikan kehalalannya. Didalam bab ini turut diterangkan berkenan konsep halal, haram dan juga syubhat. Syubhat iaitu perkara-perkara yang samar dan ia terletak diantara halal dan haram. "Sesiapa yang meninggalkan perkara-perkara yang syubhat, maka ia telah membersihkan kehormatan diri dan agamanya. Sesiapa yang jatuh ke dalam syubhat, maka ia terjatuh ke dalam haram." Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada an-Nu'man bin Basyir.
Sebenarnya, jujur Patung Beruang katakan semua bab yang ada didalam buku ini sangat menarik dan penuh dengan pengajaran. Banyak kisah-kisah yang pertama kali Patung Beruang dengar atau baca, dan ini menambahkan lagi rasa excited untuk menghabiskan pembacaan buku ini. Semua kisah tersebut sebenarnya berkait dengan realiti kehidupan kita pada masa kini seperti pentingnya menjaga soal halal dan haram dari semua aspek lebih-lebih lagi pemakanan kita, pentingnya kita menuntut ilmu kerana semua ilmu adalah sangat berharga, kita juga dituntut untuk berfikir sebelum berkata-kata kerana jika salah percakapan, buruk padahnya, adab bersosial sesama manusia, buruknya sifat mengumpat dan berprasangka dan lain-lain. Moga semua pembaca mendapat manfaat dari buku ini, Amin..