Tajuk: Why Mars & Venus Collide
Penulis: John Gray
Sinopsis:
Buku ini mengupas tentang perbezaan antara lelaki dan perempuan dimana perbezaan ini sering mencetuskan salah faham dan ketidakselesaan kepada perhubungan kedua-dua belah pihak.
Mempunyai 10 bab yang menarik iaitu antaranya:
- Bab ke-2 ini mula menceritakan secara terperinci apakah yang membezakan antara seorang lelaki dan perempuan dan bagaimana ia menghasilkan tekanan kepada perhubungan kedua belah pihak. Perbezaan yang disentuh adalah dari sudut fizikal, psikologi, cara berfikir, emosi dan tingkah laku.
- Bab ke -3 pula menerangkan hormon-hormon yang berkait dengan tekanan kepada lelaki dan perempuan. Adrenalin dan cortisol adalah 2 hormon yang berkait rapat dengan tekanan. Testosterone pula adalah hormon penyelamat bagi lelaki dimana hormon ini membolehkan mereka berfikir dengan lebih rasional, membantu mereka sentiasa aktif, merangsang aktiviti fizikal dan otak dan juga 1001 kegunaan lain. Oxytocin pula adalah hormon penyelamat bagi perempuan dimana ia menjadikan seorang perempuan itu sentiasa gembira, bahagia dan bersemangat dalam menjalani kehidupan seharian, menjadikannya tidak kenal erti penat dan jemu dalam apa jua yang dilakukannya.
- Senarai Panjang Didalam Kehidupan Seorang Perempuan adalah fokus didalam bab ke-4. Kehidupan seorang perempuan memang sentiasa sibuk. Menguruskan keluarga, kerjaya dan masyarakat. Tetapi itulah yang membahagiakan diri perempuan itu walaupun dimata orang luar, ia sangat memenatkan.
- The 90/10 Solution membicarakan dimana 90% pengisian semula hormon oxytocin adalah datang dari seseorang perempuan itu sendiri. Bakinya 10% datang dari pasangannya. Bagaimana untuk memenuhkan semula tangki oxytocin bagi memastikan seorang perempuan itu kembali bertenaga dalam mengharungi hari-hari yang mendatang? Bab ke-5 ini ada jawapannya.
- Bergaduh, berselisih faham dan bertengkar adalah lumrah didalam sesuatu perhubungan. Tetapi adakah ia sesuatu yang menyihatkan atau ia hanya merosakkan sahaja perhubungan tersebut? Seringkali kita melihat pertengkaran yang akhirnya membawa kepada perpisahan. Ia amat menyedihkan. Bagaimana hendak bertengkar tanpa menyakitkan kedua-dua belah pihak? Bab ke-7 dan 8 menerangkan tentang kesilapan yang sering kali berlaku setiap kali pasangan bertengkar dan bagaimana cara untuk mengatasinya.
- Cinta sejati tidak mengenal masa, tempat, suasana dan ketika. Namun, cinta yang tidak dibaja dan dijaga sentiasa, lambat-laun akan pudar ditelan masa. Sangatlah menyedihkan apabila melihat pasangan yang lanjut usia, yang sudah hidup bersama berpuluh-puluh tahun tetapi berpisah dengan alasan tiada lagi cinta didalam hati mereka. Bab 9 dan 10 banyak memberi tips-tips dan panduan yang berguna untuk menjaga cinta agar ia kekal dan mekar harum sepanjang hayat.
Menariknya Buku Ini:
Lelaki tidak akan boleh hidup tanpa perempuan dan perempuan juga tidak akan boleh hidup tanpa lelaki. Walaupun berbeza kejadian, sifat, sikap, pemikiran dan macam-macam lagi tetapi itulah yang melengkapi kehidupan antara satu sama lain.
Jujurnya buku ini membuatkan Patung Beruang lebih faham tentang lelaki dan juga perempuan, perbezaannya dan persamaannya dan bagaimana cara untuk menanganinya agar kurang tekanan didalam sesuatu perhubungan.
Buku ini sesuai untuk dibaca oleh semua samaada yang sudah berkahwin ataupun masih bujang. Banyak tips dan panduan yang diberikan boleh digunakan dalam kehidupan seharian, dirumah, ditempat kerja, di tempat awam dan dimana sahaja agar kita lebih memahami individu disekeliling kita.
Kita tidak boleh mengubah seseorang untuk menjadi seperti apa yang kita mahukan. Tetapi kita boleh menghargai dirinya seadanya seperti mana dia menghargai kita seadanya. Tiada manusia yang sempurna didunia ini. Tetapi kekurangan yang ada padanya itulah yang menyeimbangkan kelebihan yang kita ada dan begitu juga sebaliknya.
Dalam kehidupan ini, sifat toleransi dan sabar adalah dua perkara yang sangat penting. Tanpa dua sifat ini, tiada perhubungan yang boleh berjalan dengan lancar. Adalah sangat merugikan jika seseorang itu terlalu mementingkan diri dan perasaan sendiri kerana ia hanya akan membuatkan rasa sayang orang kepadanya terbuang begitu sahaja. Malah lebih memburukkan lagi apabila perasaan sayang itu bertukar kepada meluat, benci dan dendam yang akhirnya hanya akan memakan diri sendiri. Jadi, pelajarilah dan fahamilah segala persamaan dan perbezaan, kelebihan dan kekurangan insan disekeliling kita kerana sebagai manusia kita tidak akan mampu untuk hidup seorang diri tanpa seorang pun manusia sebagai teman.