Sunday, March 17, 2019

Book Review: Cikgu Kelas Sebelah

Tajuk : Cikgu Kelas Sebelah

Penulis : Mohd Fadli Salleh

Menariknya Naskah Ini: 

Cikgu Mohd Fadli Salleh adalah antara guru yang mempunyai ramai follower di Facebook. Jujurnya, Patung Beruang sendiri pun salah seorang follower beliau, hehe.. 

Seorang guru Matematik yang mengajar di sebuah sekolah rendah di Lembah Klang, Cikgu Fadli terkenal kerana keunikkan cara pengajaran beliau di dalam kelas. Ini membuatkan pelajar berasa seronok untuk mempelajari Matematik dan merasakan Matematik adalah subjek yang mudah difahami. 

Selain itu, Cikgu Fadli juga terkenal dengan aktiviti kebajikan dengan membantu pelajar dan keluarga yang kesusahan terutamanya golongan miskin bandar. 

Patung Beruang menjadi follower beliau pun disebabkan beliau selalu update aktiviti-aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan yang beliau dan team jalankan di Facebook. Dari situ, kita sebagai orang luar, boleh saja turut sama menyumbang jika berhasrat ingin sama berkongsi saham akhirat. 

Naskah Cikgu Kelas Sebelah ini Patung Beruang beli di Popular Sunway Velocity. Pada hari itu, Patung Beruang keluar dinner dengan Iman selepas waktu kerja. Selepas makan dan solat Maghrib, kami menuju Popular sebab ingat nak belilah buku sebuah dua. Bukanlah sebab buku di rumah sudah habis baca, tetapi lebih kepada rindu nak beli buku. Sabar je lah kan? huhuhu...  

Naskah Cikgu Kelas Sebelah ini membariskan 101 kisah pengalaman Cikgu Fazli sebagai seorang guru yang mengajar di sekolah rendah. Pengalaman bersama dengan para pelajar, ibu bapa, kakitangan sekolah dan juga masyarakat sekitar. 

Ada kisah yang membuatkan kita tersenyum atau tergelak sendiri, dan ada juga kisah yang mengundang sebak didada. 

Ada suatu kisah tentang seorang ibu yang bersusah payah mengumpul duit untuk membayar yuran PIBG anaknya. Akhirnya, setelah beberapa bulan penggal persekolahan dibuka, barulah beliau dapat menyerahkan bayaran PIBG sebanyak RM50 kepada Cikgu Fazli. Keesokan harinya, setelah tamat waktu persekolahan, Cikgu Fazli terserempak dengan ibu tersebut dan memulangkan duit RM50 itu. Dengan alasan buku resit sudah dipulangkan ke pejabat. Maka, agak leceh untuk meminta semula buku resit semata-mata kerana seorang pelajar membuat bayaran. Duit RM50 yang dipulangkan itu disambut dengan rasa syukur dan sebak oleh ibu tersebut. 

Hakikatnya, Cikgu Fazli tidak tergamak untuk menerima bayaran tersebut kerana menyedari kesusahan keluarga itu. Namun beliau kagum bagaimana ibu tersebut masih berusaha untuk melunaskan bayaran yuran PIBG kerana menyedari tanggungjawabnya sebagai penjaga pelajar. 

Mungkin bagi sesetengah orang, RM50 itu tiada apa nilainya. Hanya cukup-cukup untuk belanja sekali makan di cafe hipster. Namun, bagi orang lain pula, RM50 itu terlalu besar nilainya. Mungkin itulah jumlah duit dapur untuk makan seminggu bagi satu keluarga. 


Di satu kisah yang lain, seorang pelajar meluahkan rasa sedih kepada Cikgu Fazli kerana tidak dapat mengikuti rombongan sekolah. Pelajar tersebut memberitahu yang ibunya tidak membenarkan dia mengikuti rombongan dengan alasan tidak mampu untuk membayar yuran rombongan tersebut. 

Cikgu Fazli mula bertanya tentang latar belakang ibu bapa pelajar tersebut. Yelah, manalah tahu jika pelajar tersebut dari keluarga susah, bolehlah beliau bantu apa yang patut. 

Setelah ditanya, pelajar tersebut mengatakan yang ayahnya bekerja sebagai juruukur dan ibunya bekerja di pejabat. Oh.. mungkin memang pelajar ini tidak mampu. 

Cikgu Fazli bertanya lagi, kenderaan apakah yang dipandu oleh ibu bapanya ketika pergi kerja. Pelajar ini dengan jujur menjawab yang ayahnya memandu BWM dan ibunya pula memandu Honda. 

Oh anak.. rupanya bukan awak tidak mampu tetapi  memang ibu ayah awak sengaja tidak izinkan untuk awak mengikuti rombongan itu. Yelah, mungkin ibu ayah malas nak menghantar awak ke sekolah pagi-pagi, lebih awal dari biasa hanya kerana hendak pergi rombongan, heheh... 



Membaca naskah Cikgu Kelas Sebelah seperti kita sama berada di sekolah tempat Cikgu Fazli mengajar. Melihat keletah kanak-kanak, yang jujur, polos dan naif. Yang masa depannya masih panjang. Yang persahabatannya sangat ikhlas tanpa mengira kaum dan latar belakang. Yang hadirnya ke sekolah dengan seribu impian dan harapan. Yang hadirnya ke sekolah sebagai latihan untuk mereka menjadi insan yang berguna kemudian. 

Kanak-kanak ini memerlukan guru yang berdedikasi dan ikhlas mencurah ilmu dan bakti tanpa jemu. Kanak-kanak ini memerlukan guru yang memahami mereka adalah kanak-kanak. Guru yang tidak merampas keriangan hidup sebagai kanak-kanak. Guru yang memuji apabila mereka melakukan kebaikan dan menegur apabila mereka tersilap jalan. 

Membaca naskah ini membawa kita mengenali apa erti keikhlasan. Bertugas dengan niat untuk beribadah. Bertugas memikul amanah sehabis baik. 

Betapa besar jasa guru kepada seorang manusia itu. Guru yang mendidik dari kita tidak tahu apa-apa sehingga akhirnya kita boleh terbang tinggi di awan. Dan guru itu tanpa jemu, mendidik anak murid yang lain agar dapat terbang tinggi dan lebih tinggi dari dirinya sendiri. 

Terima kasih para guru sekalian... Hanya Allah sahaja yang mampu membalas budi dan jasa kalian terhadap kami, anak-anak didik yang kini telah mampu meredah tinggi awan dengan bersendirian... 

Monday, March 4, 2019

Book Review: Every Day

Tajuk : Every Day

Penulis : David Levithan

Menariknya Naskah Ini: 

Akhirnya dapat juga Patung Beruang duduk menulis Book Review setelah sekian lama. Alhamdulillah. 

Ini adalah naskah berbahasa Inggeris yang terkini Patung Beruang sudahkan pembacaannya.

Sebenarnya, naskah ini Patung Beruang beli pada petang Hari Raya Aidiladha tahun 2016. Selepas dibeli, naskah ini elok sahaja tersusun di rak buku, huhu. 

Patung Beruang terlupa tentang kewujudannya sehinggalah pada malam Ahad, 2 minggu yang lepas. Ketika Patung Beruang sedang meneliti satu persatu buku yang tersusun di rak buku didalam bilik, tiba-tiba mata terpandang naskah ini. Tangan pun terus mencapainya dan membaca sinopsis dibelakang. 

Entah kenapa, Patung Beruang rasa tertarik pula dengan sinopsis tersebut.

Bermulalah episod pembacaan Patung Beruang. Dari muka surat pertama, bertukar ke muka surat kedua, ketiga dan seterusnya. Tanpa disedari, pada malam itu sahaja, Patung Beruang berjaya membaca hampir suku naskah. 

Naskah Every Day ini mengisahkan tentang A, seorang remaja lelaki yang mempunyai kehidupan yang sangat pelik. Peliknya adalah setiap malam, ketika A tidur, rohnya akan masuk ke badan orang lain, dan pada keesokkan harinya, A akan bangun sebagai individu tersebut. A akan masuk ke jasad individu yang berumur lebih kurang sepertinya, tidak kira samaada lelaki atau perempuan, pelbagai bangsa, latar belakang keluarga dan kehidupan. 

Seingat A, dia telah mengalami keadaan sebegini semenjak kecil lagi. Dan sehingga kini, A tidak tahu siapa sebenarnya diri dia, siapa ibu bapanya, dari masa asal usulnya dan mengapa dia boleh berkeadaan begini. 

Pada suatu hari, A bangun sebagai Justin, seorang remaja lelaki yang perwatakkan kasar dan mempunyai teman wanita bernama Rhiannon. Entah mengapa, A merasakan ada sesuatu yang istimewa terhadap Rhiannon. 

Zahirnya, Rhiannon seperti gadis remaja yang lain. Berpasangan dengan Justin kerana tidak mahu ketinggalan berbanding remaja yang lain. Sedangkan hakikatnya Justin tidak pernah menghargai dan melayannya sebagai teman wanita. Justin perwatakan dominan dan tidak menghiraukan sesiapa pun disekelilingnya. Oleh itu, perhubungan Justin dan Rhiannon lebih kepada one way relationship. Dari mata kasar, mereka kelihatan seperti bercinta. Kenyataannya, Justin tidak mengenali siapa sebenar Rhiannon seperti kesukaan, impian, pemikiran, tabiat dan lain-lain yang berkaitan dengan gadis itu. 

A sedar yang pada keesokan harinya, dia akan bangun sebagai orang lain. Ada kemungkinan A tidak akan berjumpa lagi dengan Rhiannon. Oleh itu, A berusaha untuk mengenali Rhiannon dengan lebih dekat lagi sebagai sahabat pena, sebagai remaja yang baru berpindah ke sekolah tersebut, dan juga menyamar sebagai seorang tetamu di sebuah majlis yang dihadiri oleh Rhiannon dan Justin.

Persahabatan A dan Rhiannon tidak semudah yang disangka. Pada mulanya agak sukar untuk Rhiannon menerima kenyataan yang setiap hari A akan berubah bentuk fizikal. Selain itu, A juga menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri menjadi individu berbeza setiap hari.  Malah, A juga tidak mampu menjamin yang keesokkan harinya dia akan bangun sebagai remaja yang berada di bandar yang sama tempat Rhiannon menetap. 

Menjadi individu yang berbeza membuatkan A lebih memahami erti kehidupan manusia. A pernah bangun sebagai seorang remaja yang lahir dari keluarga bahagia dan mempunyai kemewahan. Namun, A juga pernah bangun sebagai seorang remaja buta dan hanya berpandukan kepada deria lain untuk menjalani kehidupan sehariannya. 

Di hari yang lain,  A menjadi seorang remaja yang ketagihan dadah yang kronik.  Sangat kronik sehingga dia merasa khayal sepanjang hari.  

Di hari yang lain pula,  A bangun sebagai seorang remaja perempuan yang sangat merindukan ibunya yang telah meninggal dunia. Kerinduan yang amat terhadap mendiang ibunya diburukkan lagi dengan sikap ayahnya yang berpura-pura seperti keluarga mereka berkeadaan normal.  Remaja perempuan ini telah lama merancang untuk membunuh diri demi menamatkan penderitaan dan kekosongan jiwanya.  Tatkala A menyedari keadaan sebenar gadis ini,  A dan Rhiannon berusaha untuk membantunya demi mengelakkan tragedi yang lebih besar. 

Itulah antara kisah individu yang meminjamkam sehari dari kehidupan mereka kepada A tanpa mereka sedari. 

Namun,  konflik mula tercetus ketika seorang remaja lelaki seakan menyedari dirinya menjadi seorang yang berbeza pada suatu hari.  Ia diburukkan lagi tatkala remaja lelaki ini terlihat alamat email A di history internet komputernya.  Dari situ, remaja lelaki ini mula menghantar email kepada A dan berusaha untuk membongkar identiti sebenar A. 

Pencarian remaja lelaki ini disokong oleh pihak gereja.  Bagi mereka,  A adalah syaitan yang bertujuan untuk merosakkan kehidupan manusia. 

Namun,  ada beberapa persoalan yang  sering bermain di fikiran A...
Adakah A satu-satunya manusia begini diatas muka bumi ini? 
Sampai bila A akan berkeadaan begini? 
Tiadakah cara untuk A bangun sebagai individu yang sama setiap hari? 




Honestly, momentum naskah ini sangat laju. Itu sebabnya Patung Beruang hanya mengambil masa lebih kurang 2 hari saja untuk menghabiskan pembacaan. 

Naskah ini lebih menyentuh tentang kehidupan manusia yang pelbagai ragam,  cara hidup,  pemikiran,  latar belakang dan status sosio ekonomi. Ia menceritakan bagaimana setiap keluarga mencorakkan kehidupan ahli-ahli mereka serta cabaran yang dihadapi.  

Hubungan A dan Rhiannon lebih kepada hubungan persahabatan dimana masing-masing menghargai kelebihan dan kekurangan satu sama lain dan saling menghormati.  Namun akhirnya, Rhiannon mengakui dia jatuh cinta dengan A kerana merasakan A lebih mengenali dan memahami dirinya berbanding Justin. 

Patung Beruang simpati dengan watak A.
A itu ibarat seperti kebanyakkan manusia pada hari ini.  Menjalani kehidupan seharian, dengan rutin yang telah ditetapkan, namun tidak berpeluang untuk mengenali lebih dekat insan-insan yang berada disekeliling. Setiap apa yang dilakukan, tiada jiwa didalamnya. Fizikal semata-mata. Seolah-olah mengikut jadual waktu mega yang telah ditetapkan dari awal.  Suka atau tidak,  tempuh saja tanpa banyak soal. 

Namun,  yang paling menyakitkan adalah hakikat yang dirinya tidak mengenali siapa ibu bapanya, siapa ahli keluarganya.  Hidup sebatang kara, sehingga ketika waktu kecil, apabila A bertemu keluarga yang sangat bahagia,  A akan menangis ketika hendak tidur malam.  Ini kerana A sedar tidur malam adalah detik perpisahan dirinya dan keluarga tersebut.  Tiada lagi peluang untuk mereka bersama pada keesokkan harinya.  What a sad life..... 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...