Tajuk: Bahagianya Menjadi Gadis Pilihan (Pesan Allah dan Rasul untuk dirimu)
Penulis:
1. Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh
2. Mohd Hariri Hj Mohamad Daud
Menariknya Buku Ini:
Buku ini menghimpunkan 25 kisah menarik untuk tatapan para gadis diluar sana bagi membentuk keperibadian dan akhlak mulia selari dengan syariat Islam
Buku ini dimulakan dengan Bab 1 yang menceritakan perihal Islam adalah satu agama yang indah dimana Islam membela wanita kerana sebelum ini wanita dianggap sebagai hamba seks sahaja. Bab yang bertajuk Gadis Dimuliakan oleh Allah s.w.t. ini dimulai dengan pertanyaan seorang gadis sunti yang bernama Asma' kepada ustazahnya berkenaan kebanyakkan hadith mahupun ayat Al-Quran lebih tertumpu kepada kaum lelaki. Maka, adakah itu menunjukkan Islam lebih mementingkan lelaki berbanding wanita?
Namun, jawapannya ada didalam ayat 35, surah Al-Ahzab dimana Allah s.w.t menjelaskan "Sesungguhnya, lelaki Islam serta perempuan Islam, dan lelaki beriman serta perempuan beriman, dan lelaki yang taat serta perempuan yang taat, dan lelaki yang benar serta perempuan yang benar, dan lelaki yang sabar serta perempuan yang sabar, dan lelaki yang merendah diri kepada Allah serta perempuan yang merendah diri kepada Allah, dan lelaki yang bersedekah serta perempuan yang bersedekah, dan lelaki yang berpuasa serta perempuan yang berpuasa, dan lelaki yang memelihara kehormatannya serta perempuan yang memelihara kehormatannya, dan lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah sudah menyediakan untuk mereka semua keampunan dan pahala yang besar." Ternyata ayat yang Allah turunkan ini telah menenangkan jiwa wanita-wanita beriman dimana ia menjadi bukti Islam mengangkat darjat dan martabat wanita serta meletakkan mereka setaraf dengan kaum lelaki dari sudut hak dan tanggungjawab. Ia menjelaskan yang lelaki dan perempuan beriman mendapat keampunan dan tempat disisi Allah s.w.t tanpa ada diskriminasi.
Seterusnya pembaca dibawa menelusuri Bab 2: Sebaik-baik Perhiasan Dunia dimana Allah memerintahkan wanita menutup aurat, menjaga itu dan ini kerana ia adalah bagi menjaga keistimewaan wanita tersebut sebagai perhiasan yang berseri-seri di dunia ini. Wanita ini digambarkan sebagai bidadari dunia yang menyerikan kehidupan manusia. Wanita terkenal dengan sifat kelembutan, sopan santun secara fitrahnya, kudratnya terbatas namun tidak menjadikan mereka lemah atau tertindas. Allah mengangkat darjat mereka dan terdapat beberapa surah didalam Al-Quran yang diambil dari nama-nama wanita seperti An-Nisaak dan Maryam. Selain itu, wanita juga dikaitkan dengan keindahan dan kesenangan di syurga untuk mereka yang beriman dan soleh seperti yang dicatat pada ayat 56, surah Ar-Rahman dimana Allah s.w.t menjelaskan, "Dalam syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu kepada mereka semata-mata. Yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin. Maka, yang manakah satu antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?" Bab ini memberi pengajaran kepada para gadis diluar supaya menginsafi kejadian wanita sesudah Allah s.w.t mengangkat darjat mereka, jangan pula mereka merendah-rendahkan darjat kerana kejahilan mereka sendiri, jangan menderhaka dan mendustakan nikmat yang Allah s.w.t berikan.
Patung Beruang tertarik dengan kupasan berkenaan haid di Bab 4: Hikmah Haid Kepada Wanita. Haid itu daripada segi bahasa adalah mengalir. Ulama kontemporari, Dr. Wahbah Az-Zuhaily dalam kitab Fiqh Adillah mengatakan, maksud haid adalah darah yang mengalir keluar dari kemaluan wanita. Darah itu melalui rahim secara semula jadi dan bukan kerana penyakit ataupun kerana selepas melahirkan anak. Wanita yang didatangi haid boleh melakukan apa saja aktiviti seperti bersukan, menuntut ilmu, bekerja dan sebagainya kecuali hukum-hukum yang berkaitan saja. Sebenarnya haid memberi hikmah kepada kaum wanita antaranya:
- Haid melatih wanita supaya sentiasa membersihkan kotoran dan pelbagai najis sehingga tidak berasa jijik sekiranya membersihkan najis anak ataupun suami yang uzur.
- Sebagai tanda wanita itu sudah baligh, dia perlu membataskan pergaulannya bersama-sama lelaki ajnabi.
Dewasa ini gejala sosial yang melanda masyarakat kita semakin parah. Perzinaan, hubungan sejenis, hamil diluar nikah semakin menjadi-jadi dan seolah-olah ia adalah perkara biasa. Bab 7: Cinta Itu Buta? membicarakan masalah-masalah ini. Budaya songsang dan keberanian mereka menonjolkan secara terang-terangan seolah-olah mencabar hukum-hukum Allah s.w.t. Ia bukannya petanda kemodenan yang mesti dibanggakan tetapi adalah sifat keji manusia pada zaman jahiliyah. Sedangkan Allah s.w.t telah memberikan amaran keras lagi dasyat kepada mereka-mereka yang terlibat dengan zina ini. Dan disinilah pentingnya seseorang itu menjaga aurat dan tingkah laku walaunpun sesama jantina. Ingatlah, syaitan dan iblis itu tidak pernah berputus asa untuk menyesatkan anak-anak Adam a.s.
Urusan jodoh dan pernikahan seorang gadis itu juga ada diceritakan didalam buku ini seperti didalam Bab 9: Usah Lewat-Lewat!, Bab 10: Gadis Berhak Memilih Jodoh, Bab 11: Majlis Pernikahan Biar Berpada dan Bab 12: Wanita Baik Untuk Lelaki Baik?. Sememanganya semua gadis mengimpikan perkahwinan yang membahagiakan. Namun apakah definisi bahagia? Adakah bahagia bermaksud apabila dapat mengahwini boyfriend yang dicintai bertahun-tahun? Atau bahagia itu bermaksud wang ringgit dan kemewahan yang melimpah-ruah? Perkahwinan yang hebat dan menelan belanja ratusan ribu ringgit? Bagaimana pula dengan pengisian rohani sebelum dan selepas pernikahan? Adakah kita yakin percintaan yang terjalin bertahun-tahun sebelum pernikahan mendapat keredhaan Allah? Atau mungkinkah percintaan atau perhubungan itu sendiri mencetuskan bibit-bibit perzinaan? Selepas pernikahan pula, adakah rumahtangga yang dibina menjadi syurga dunia tetapi neraka akhirat atau menjadi syurga dunia dan akhirat?
Antara perkara yang menarik perhatian Patung Beruang pada buku ini adalah setiap bab akan dimulai dengan dialog Asma' dan ustazahnya berkenaan isu yang akan dikupaskan. Selain itu, setiap bab juga ada kata-kata hikmah yang bersesuaian, rumusan dari pandangan pihak-pihak yang pakar seperti Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Pihak Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dan tokoh-tokoh ulama' seperti Imam Al-Ghazali dan sebagainya. Malah, diselitkan juga kisah-kisah menarik yang menjadi tauladan, sama ada yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w., sebelumnya atau selepasnya.
Dizaman sekarang ini dimana pergaulan bebas menjadi kebiasaan, hiburan yang melalaikan dijadikan santapan harian, kurangnya pemantauan dari ibu bapa dan masyarakat telah memberikan 1001 cabaran yang hebat untuk ditempuh oleh para gadis diluar. Jika kuat asasnya, maka bertahanlah dengan nilai-nilai Islam. Jika lemah asasnya, maka terjerumus lah mereka ke arah kebinasaan. Wahai para gadis diluar, buku ini ditulis dengan gaya bahasa yang santai tetapi penuh dengan nasihat dan panduan. Tidak seharusnya buku ini diketepikan begitu saja...