Sunday, August 17, 2025

Book Review: Solehah 2


Tajuk: Solehah 2

Penulis: Nabilah Alwie

Menariknya Naskah Ini: 

Ini adalah naskah yang ke-8 yang berjaya Patung Beruang selesaikan pembacaannya, Alhamdulillah. Patung Beruang tamat membaca naskah ini 8 April 2025. Maaf ye, selepas beberapa bulan baru Patung Beruang berpeluang untuk berkongsi review disini. Jujurnya, ada banyak lagi buku-buku yang sudah tamat dibaca tetapi pending book review. Insya-Allah, Patung Beruang akan cuba selesaikan satu persatu. Bertabahlah ye, hehehe..

Naskah Solehah 2 ini menghimpunkan tujuh (7) kisah yang berkisar kepada 33 jenis jahiliah atau dosa yang sering berlingkar dikalangan kaum wanita. 

Kisah pertama membawa pembaca kepada watak Hanim, seorang anak gadis kampung yang bekerja sebagai penoreh getah. Hanim tinggal berdua saja dengan ibunya, Mak Senah. 

Hanim yang bosan dengan kehidupan yang miskin, kena bersusah-payah seawal pagi demi mencari sesuap nasi, telah meminta pertolongan Tok Esah, seorang bomoh di kampung itu. Hanim menggunakan ilmu hitam untuk mendapatkan lelaki idamannya, Razi, anak orang kaya disitu. 

Hanim adalah gambaran wanita yang lupa tentang kedudukannya sebagai hamba Allah. Hanim tidak solat dan sering merungut tentang kekurangan lahiriah sehingga tiada secebis rasa bersyukur diatas pelbagai nikmat lain yang Allah kurniakan. 



Kisah ke-2 pula kita dikenalkan dengan Sakinah, isteri Razi. Pasangan muda ini baru saja memulakan alam rumahtangga. Kehidupan Sakinah yang bergelar suri rumah sepenuh masa terlihat sempurna pada awalnya. Namun, keadaan bertukar apabila Sakinah mudah terpedaya dengan kehidupan perkahwinan orang lain yang dilihatnya di media sosial yang dianggap jauh lebih indah dari kehidupannya. Kini, Sakinah mula membanding-bandingkan Razi dengan suami orang lain yang dirasakannya berkali ganda lebih baik. Hakikatnya, Razi sudah menjalankan tanggungjawab dan tugasnya sebagai suami kepada Sakinah dengan sehabis baik seperti menyediakan tempat tinggal, makan minum yang cukup dan segala nafkah wajib semuanya. Malangnya Sakinah tetap menyebar aib Razi, suaminya di media sosial kerana terlalu mengikutkan perasaan. 



Kisah ke-3 pula pembaca dihidangkan dengan kisah Mak Normah, ibu kepada Sakinah. Bagi Mak Normah, Sakinah adalah anak yang terbaik dan sentiasa membahagiakan dirinya sedangkan anak sulungnya, Syahirah pula dianggap tidak berguna. Mak Normah gemar menjadikan Syahirah sebagai bahan umpatannya dengan jiran-jiran, sehingga ke tahap memfitnah dan memaki hamun. Di pihak Syahirah pula, dia sudah berusaha menjadi anak yang terbaik dan berbakti pada ibunya. Oleh itu, dia redha dengan ujian yang Allah datangkan ini dan sentiasa berdoa agar suatu hari nanti Mak Normah sedar akan kesilapannya. 



Cukuplah Patung Beruang kongsikan 3 kisah disini. Selebihnya, kenalah baca sendiri ya. 

Walaupun naskah ini tebal, iaitu mempunyai 499 mukasurat namun Patung Beruang tidak rasa bosan pun untuk menelitinya kerana jalan cerita yang menarik dan mencerminkan realiti disekiling kita. Mungkin ada antara dosa-dosa yang diceritakan dalam naskah ini, kita pun turut sama melakukannya, huhu.. 

Selain itu, kisah yang dipaparkan ini wataknya saling berkait dan ini membantu kelancaran momentum membaca. Terima kasih penulis atas naskah yang menarik dan sangat bermanfaat. Semoga ia menjadi saham akhirat buat penulis, Aamiin...  

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...