Monday, March 3, 2025

Book Review: The Little Liar


 Tajuk: The Little Liar 

Penulis: Mitch Albom

Menariknya Naskah Ini: 

Sudah masuk bulan March dan ini adalah coretan pertama Patung Beruang disini. Maaflah kerana laman ini sepertinya tidak terjaga. Rutin kerja yang sibuk dan sangat mendesak membuatkan Patung Beruang tidak mampu untuk duduk sebentar meluah kata disini.... Allahuakbar.. 


Untuk tahun 2025 ini, Patung Beruang mulakan dengan membaca novel dari salah seorang penulis kegemaran iaitu Mitch Albom. Alhamdulillah, Patung Beruang berjaya selesaikan naskah ini dalam 1-2 hari. 


Naskah yang dibeli di Big Bad Wolf 2024 pada bulan December hari tu, membawa pembaca kepada watak Nico Krispis, seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun yang tidak pernah berbohong seumur hidupnya. 

Pada tahun 1960-an, ketika tentera Nazi merampas kediaman keluarga Nico di Salonika, Greek, kanak-kanak ini yang bersembunyi di bawah tangga bersama-sama dengan Fanine, budak perempuan merangkap jiran dan rakan sekelasnya. Nico melihat bagaimana keluarganya diusir keluar dan dibawa entah kemana oleh tentera Nazi.

Selepas beberapa lama dan keadaan sekeliling senyap sunyi, Nico dan Fanine keluar dari tempat persembunyian mereka. Fanine segera berlari pulang ke rumah dan tatkala sampai disana, dia melihat tentera Nazi menembak mati ayahnya di hadapan kediaman mereka. 


Nico pula dijumpai oleh seorang pegawai tentera Jerman, Udo Graf yang memberi peluang kepadanya untuk menyelamatkan keluarganya dengan syarat Nico menyelesaikan satu tugasan penting. Udo Graf meminta Nico untuk memujuk masyarakat Yahudi di Salonika untuk menaiki keretapi ke utara demi masa depan yang lebih baik. Nico dijanjikan yang keluarganya akan bersatu semula dan mereka akan disediakan rumah dan pekerjaan disana. 

Nico yang seumur hidupnya tidak pernah berbohong menganggap kata-kata Udo Graf adalah benar. Oleh itu, keesokkan harinya, ketika di stesen keretapi Nico tidak putus memberi harapan kepada masyarakat disitu agar menaiki keretapi yang telah disediakan oleh tentera Jerman. 

Berhari-hari Nico menjalankan tugasnya di stesen keretapi itu dengan penuh dedikasi. Ketika hari terakhir, Nico berjumpa dengan keluarganya disitu. Seperti biasa, Nico memberikan harapan yang indah-indah namun kata-katanya itu disanggah oleh orang dewasa yang lain kerana mereka lebih mengetahui keadaan sebenar peperangan berbanding budak sekecil Nico. Tiba-tiba, datang seorang askar Jerman yang memukul dan memaksa penduduk disitu untuk segera menaiki keretaapi tersebut. Keganasan yang berlaku didepan matanya telah membuatkan Nico tersedar apa yang dipercayai dan dituturkannya selama ini adalah palsu semata-mata. 

Nico berlari mendapatkan Udo Graf dan pasukannya demi meminta penjelasan. Dan seperti dijangkan, mereka hanya mengejek kenaifan Nico yang tidak tahu apa-apa realiti peperangan pada masa itu. 

Nico kembali ke gerabak keretapi untuk menahan keluarganya dari pergi. Namun, segala-galanya sudah terlambat dan keretapi telah bertolak. Anak kecil ini rasa beban penyesalan yang terlalu kuat dan disaat itu, dia nekad untuk menjadi seorang 'pathological liar", tidak akan bercakap benar lagi. 



Di atas gerabak keretapi terakhir menuju ke Auschwitz, abang Nico bernama Sebastian, dalam diam menyalahkan Nico atas kecelakaan yang menimpa keluarga dan masyarakat mereka. Ketika di dalam keretapi, dalam usahanya untuk menyelamatkan gadis yang dicintainya, Fannie, Sebastian telah menolak gadis itu keluar dari keretapi yang sedang bergerak. Fannie terselamat dari kecederaan yang teruk akibat ditolak dari keretapi. Dia berjalan dan terus berjalan sehingga diselamatkan oleh seorang wanita Hungarian, bernama Gizella, dan telah merawat dan menyembunyikan gadis kecil ini selama beberapa bulan. 


Tatkala tiba di Auschwitz, Sebastian yang dikenali pasti sebagai abang Nico oleh Udo Graf, telah dijadikan target oleh Udo. Setelah misi di Salonika selesai, Udo telah dinaikan pangkat untuk mengetuai kem tahanan di Auschwitz. 

Selama setahun beberapa bulan, ahli keluarga Sebastian dan Nico telah meninggal dunia di kem tahanan Auschwitz disebabkan oleh kekejaman tentera Nazi. 


Fannie, gadis yang diselamatkan oleh Gizella pula telah ditangkap dan dibawa ke Sungai Danube untuk dibunuh. Namun, disana kelibat Fannie disedari oleh Nico yang telah mengubah identitinya dan dalam perjalanan ke Auschwitz demi misi menyelamatkan keluarganya. Melalui pakatan Nico dan Katalin Karady, seorang artis wanita terkemuka Hungary, mereka berjaya menyelamatkan Fannie dan 23 orang kanak-kanak Jewish dari dibunuh di Sungai Danube. 

Fannie akhirnya bersembunyi bersama-sama dengan pelarian Hungary selama beberapa bulan sehingga perang pun berakhir pada tahun 1945. Tatkala perang berakhir, Sebastian yang bebas dari Auschwitz, terus pulang ke Salonika dan terserempak dengan Fannie disana. Pasangan remaja ini akhirnya berkahwin dan mempunya seorang anak perempuan bernama Tia. 


Nico pula menceburi bidang hiburan sebagai producer dan ternyata dia sangat berbakat. Hampir kesemua produksinya menjadi buah mulut peminat dan pemain industry serta mencatatkan keuntungan yang lumayan. Namun, tiada siapa yang mengetahui identiti sebenar Nico dan kehidupan peribadinya. Kehidupan dan peribadinya sangat tertutup dan tiada wartawan yang berjaya untuk menemuramah dirinya. 


Nico dan Fannie akhirnya bertemu semula apabila Fannie mula bekerja di syarikatnya. Adakah persahabatan rakan sedari kecil ini akan bertaut semula? 

Namun Nico bukan lagi Nico yang Fannie kenal berpuluh-puluh tahun dahulu. 

Nico sebagai lelaki dewasa, terlihat sangat menyedihkan dan menanggung beban jiwa yang sangat berat. Dia sangat bersopan dan melayan semua orang disekelilingnya dengan baik. Namun, kata-kata yang keluar dari mulutnya sangat minimum dan hanya berkisar tentang kerja. 



Naskah ini berkisar dari tahun 1936 sehingga 1983. Walau watak utamanya adalah Nico, seorang kanak-kanak berbangsa Yahudi, namun jika dilihat dari konteks yang lebih luas, naskah ini berkisar tentang peperangan dan kesannya kepada mereka yang terlibat, bukan saja dari segi fizikal tetapi juga mental dan jiwa mereka. 

Watak Nico digambarkan sebagai seorang kanak-kanak  dan lelaki yang cerdik. Asalnya naif tetapi berubah menjadi licik demi memastikan misinya berjaya. Hatinya baik cuma keperibadian dia sangat tertutup sehingga tiada siapa yang benar-benar mengenalinya termasuklah abangnya Sebastian, ataupun rakan sekelasnya ketika kecil, Fannie. 

Patung Beruang tertarik dengan watak Fannie. Asalnya, Patung Beruang menyangka Fannie adalah watak sampingan agar kisah ini tidak tertumpu pada watak-watak lelaki saja seperti Nico, Sebastian dan Udo Graf. Ternyata telahan Patung Beruang salah. 

Watak Fannie penting terutama ketika Fannie dan Nico berkerja dibawah satu bumbung. Fannie menunjukkan empati yang sangat tinggi terhadap Nico dimana dia tidak pernah memaksa Nico untuk mengaku identitinya sendiri ataupun berterus-terang mengenai apa yang berlaku selepas keretapi terakhir meninggalkan Salonika pada tahun 1936.  Fannie sedar Nico yang berada di hadapan matanya pada ketika ini adalah hasil / kesan dari segala kesusahan dan penderitaan yang ditanggung lelaki itu bertahun-tahun selepas terpisah dengan keluarganya. Beban yang ditanggung jiwanya terlalu berat sehingga setiap hujung minggu Nico akan pergi ke kawasan perkuburan Yahudi dan membersihkan setiap batu nisan yang ada disitu. 


Secara amnya, naskah ini sebenarnya genre thriller. Tetapi, janganlah bayangkan triller yang macam Jeffrey Archer ye kerana Archer dan Albom adalah dua penulis yang sangat berbeza. 

Yang pasti, walaupun ini adalah genre thriller, sentuhan Mitch Albom masih ketara dimana Patung Beruang dapat rasakan betapa sengsaranya jiwa-jiwa yang tidak berdosa iaitu Nico, Sebastian dan Fanine dalam meniti hari-hari kehidupan mereka. Dan semuanya adalah gara-gara peperangan yang tidak pernah mereka pinta...

Dan seperti biasa, naskah Mitch Albom akan makan air mata Patung Beruang. Naskah ini juga tidak terkecuali, huhuhu... 

About Me

My photo
A simple girl who love books and teddy bears namely Bibi and Si Boyot...