Penulis : Siti Khadijah
Menariknya Naskah Ini :
Novel ini Patung Beruang selesaikan pembacaannya petang tadi. Alhamdulillah.
Momentum membaca Patung Beruang tahun 2021 ini sangat teruk. Sukar sekali untuk habiskan sebuah buku, dan setelah habis, sukar pula untuk berkongsi book review disini. Jujurnya Patung Beruang rindu untuk duduk mengadap buku atau mencoret catatan di sini sebagai mengisi masa lapang.
Puaslah berfikir, apakah puncanya jadi begini. Adakah disebabkan tekanan kerja yang melampau, beban kerja yang sentiasa membukit dan tidak pernah surut, keadaan diri yang terkurung disebabkan pandemik Covid-19 ini, atau tarikan Netflix yang terlalu kuat? Hm... entahlah... terlalu banyak faktor penyumbang sebenarnya.
Baiklah.. kita tinggalkanlah sebentar isu momentum Patung Beruang ini ye. Kerana diri ini tidak yakin yang masalah momentum ini boleh selesai dalam waktu terdekat...
Bisik Pada Langit, tajuknya sangat menarik. Ketika Patung Beruang ternampak naskah ini di Popular Aeon Equine Park, tangan terus mencapainya dan mula membaca baris-baris tulisan di kulit belakang.
Siti Hajar binti Rosli, seorang gadis pintar yang sedang menuntut di jurusan ijazah kejuruteraan di sebuah universiti ternama di Australia. Pengajiannya disana ditanggung sepenuhnya oleh biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Siti Hajar adalah anak kedua dari 3 orang adik beradik. Mempunyai seorang abang bernama Zaidi dan seorang adik lelaki, Iqram.
Sebagai anak perempuan tunggal, Siti Hajar sangat dilindungi dan ditatang seperti minyak yang penuh oleh Wak Rosli dan isterinya Mak Nab. Namun, walau bagaimana kuatnya perasaan sayang dan melindungi, Wak Rosli tetap bertegas dengan Siti Hajar bagi memastikan anak gadisnya ini menjadi manusia dan anak yang baik.
Sedar keadaan keluarganya yang miskin, Wak Rosli sangat mementingkan pelajaran anak-anaknya. Baginya, hanya pelajaran saja yang boleh mengubah nasib keluarga mereka. Sebagai orang kampung yang hanya membuat kerja-kerja kampung, Wak Rosli sedar kemiskinan keluarganya akan boleh menyebabkan masyarakat memandang hina pada mereka.
Zaidi dan Siti Hajar cemerlang ketika alam persekolahan. Namun setelah tamat SPM, Zaidi melupakan cita-citanya untuk menyambung pelajaran dek kerana Wak Rosli sakit dan mereka sekeluarga hilang punca pendapatan. Zaidi mengorbankan impiannya demi memastikan keluarga mereka ada makanan setiap hari, serta Siti Hajar dan Iqram mampu meneruskan persekolahan mereka. Dengan sijil SPM yang ada, Zaidi diterima bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat contractor di pekan sana.
Keputusan SPM yang sangat cemerlang melayakkan Siti Hajar untuk menerima biasiswa JPA dan tawaran belajar di Australia. Walau pada asalnya Wak Rosli berat untuk melepaskan satu-satunya anak perempuannya itu ke tempat orang, berkat pujukan Zaidi dan Mak Nab, dia merelakan pemergian Siti Hajar demi menuntut ilmu.
Di Australia, selain menghadiri kuliah, Siti Hajar juga bekerja sambilan demi mencari duit tambahan. Impiannya hanya ada 2, untuk membantu dan mengubah nasib keluarga yang berada di Benut, Johor dan juga membeli motosikal idamannya dengan duit sendiri. Walau sibuk dengan kerja sambilan, Siti Hajar masih lagi berjaya mendapat keputusan cemerlang di setiap semester dan menjadi pelajar terbaik di jurusannya.
Kini tinggal beberapa bulan saja lagi untuk Siti Hajar tamat pengajian dan pulang ke Malaysia. Rindu terhadap keluarga menggunung tinggi. Tanpa diduga, perancangan Allah mengatasi segalanya. Siti Hajar ditimpa kemalangan jalanraya dan kecederaan parah di kepalanya menyebabkan gadis ini berada di dalam keadaan koma selama berminggu-minggu.
Kemalangan yang menimpa Siti Hajar benar-benar memeranjatkan keluarga di Benut. Wak Rosli berkeras untuk segera pergi mendapatkan anak gadisnya itu walaupun sedar jarak Australia dan Benut, Johor terlalu jauh, dan ditambah dengan keadaan keluarganya yang langsung tidak berkemampuan. Sifat panas baran dan tidak sabar Wak Rosli benar-benar menguji Mak Nab, Zaidi dan Iqram. Dalam sedih dan takut memikirkan keadaan Siti Hajar, mereka juga gerun dengan tutur kata dan tingkah laku Wak Rosli yang boleh berubah sekelip mata.
Keadaan dan perkembangan Siti Hajar dihospital seringkali dimaklumkan oleh Irwan kepada Wak Rosli dan Zaidi. Kehadiran Irwan secara tiba-tiba dalam kehidupan keluarga mereka tidak disenangi oleh Wak Rosli. Tanpa pernah bersua muka dan mengenali secara peribadi, Wak Rosli membuat pelbagai telahan terhadap Irwan. Baginya apa yang berlaku pada Siti Hajar pasti disebabkan pengaruh Irwan. Siti Hajar anak yang baik. Siti Hajar tidak akan sekali-kali memalukan keluarga.
Masihkah ada harapan untuk Siti Hajar pulang ke pangkuan keluarga?
Atau mungkin hanya jasad sahaja yang pulang, mohon untuk disempurnakan dan disemadikan dengan tertib?
Apa benar, hari yang paling gembira itu sebenarnya permulaan untuk sesuatu yang menyedihkan?
Naskah Bisik Pada Langit ini sedap tetapi sedih. Ia kisah sebuah keluarga miskin, yang tinggal di kampung namun bertuah kerana mempunyai anak-anak yang baik dan bijak pandai. Anak-anak yang dikagumi oleh ibu bapa lain dek kerana kecemerlangan dalam akademik, kemahiran teknikal dan juga keperibadian yang sangat menyenangkan. Anak-anak muda yang tidak kekok untuk berjemaah dimasjid ketika Maghrib dan Isyak menjadi petunjuk betapa beruntungnya Wak Rosli dan Mak Nab sebagai ibu bapa.
Watak Wak Rosli adalah watak tipikal seorang ayah yang sangat menyanyangi keluarganya namun tidak pandai untuk menzahirkan secara lisan atau pun perbuatan. Baginya, kasih sayang itu adalah apabila beliau berusaha keras untuk memastikan ada makanan diatas meja makan setiap hari dan melindungi keluarganya dari sebarang bahaya dan musibah walau sekecil-kecil gigitan nyamuk di waktu malam.
Benarlah, ibu dan ayah itu terlalu banyak pengorbanan mereka demi membesarkan anak-anak dan memastikan mereka menjadi manusia yang berjaya. Kejayaan itu tidak semestinya diukur dari keputusan peperiksaan yang penuh dengan A atau kerjaya yang menjanjikan gaji yang lumayan. Apabila anak itu menjadi seorang manusia yang baik, hamba Allah yang beriman dan disenangi masyarakat, ia juga adalah suatu kejayaan bagi ibu bapa.
Sebuah naskah kekeluargaan yang sangat merendah diri dan berpijak di realiti....