Tajuk: The Fourth Estate
Penulis: Jeffrey Archer
Menariknya Novel Ini:
The Fourth Estate ini antara novel Archer yang paling tebal yang ada dalam simpanan Patung Beruang. Honestly, besides this novel, there are 2 other Archer novels that pending for book review and also another 2 novels yet to read, huhu...
Seems like I've become die hard fans for Archer for the past 12 months, hehe..
Basically, The Fourth Estate ini mengisahkan tentang perlumbaan antara 2 orang tycoon media, berbeza jarak usia, berbeza latar belakang dan pendidikan, datang dari benua yang berbeza tetapi mereka mempunyai satu matlamat yang sama iaitu mewujudkan empire media yang terbesar di dunia.
Richard Ian Armstrong atau nama asalnya Lubji Hoch adalah seorang berketurunan Yahudi yang dilahirkan dan dibesarkan di Douski. Dilahirkan dalam keluarga yang berpegang kuat dengan ajaran Yahudi, ibu dan ayahnya mengharapkan agar Lubji menjadi seorang Rabbi apabila dewasa.
Namun, kemiskinan keluarga membuatkan Lubji melihat perniagaan adalah satu-satunya cara untuk beliau mencari pendapatan yang tetap selain meningkatkan ekonomi keluarganya. Lubji berkenalan dengan Mr. Lekski seorang peniaga barang kemas dan permata, dan melalui Mr. Lekski, Lubji mempelajari selok-belok perniagaan termasuk cara tawar-menawar didalam urusan jual beli, cara mempamerkan barang-barang dagangan dan cara melayan pelanggan.
Setelah itu, apabila German yang diketuai oleh Adolf Hitler mula mendarat dan menyerang orang-orang kampung, Lubji melarikan diri sehingga ke Budapest. Disana, Lubji bekerja dengan Mr. Cerani, seorang pemilik gerai suratkhabar.
Kerajinan dan ketekunan Lubji menyebabkan Mr. Cerani dan isteri sangat menyayanginya dan mengaggapnya seperti anak mereka sendiri. Selain itu, kecekapan Lubji juga menyebabkan jualan gerai mereka semakin maju dari hari ke hari sekaligus memberi keuntungan yang tinggi. Kepintaran Lubji tidak diragui apabila beliau mampu menguasai pelbagai bahasa dalam tempoh yang singkat, sekaligus membuatkan beliau boleh membaca semua suratkhabar yang dijual digerainya dan sentiasa memantau perkembangan terkini terutama kedudukan Hiltler dan askar-askarnya.
Malang menimpa apabila pada suatu malam, Lubji ditawan oleh tentera Hilter dan beliau dibawa ke depoh tahanan. Setelah ditawan beberapa lama, Lubji berjaya melarikan diri sehingga akhirnya beliau menaiki kapal laut dan dibawa belayar ke Liverpool.
Sesampainya di Liverpool, Lubji ditahan di tahanan pendatang asing. Dalam tempoh itu, Lubji belajar bahasa Inggeris bagi membolehkannya memberi keterangan didalam mahkamah, menceritakan asal-usul dirinya dan bagaimana beliau boleh sampai ke Liverpool. Nasib menyebelahi apabila Lubji dibebaskan dan diterima menjadi askar. Bermulalah perjalanan kerjaya Lubji sebagai seorang askar sehingga beliau dinaikkan pangkat menjadi Kapten. Bagi mengelakkan syak wasangka dan memudahkan penerimaan masyarakat disekeliling, Lubji Hoch telah menukar namanya kepada Richard Ian Armstrong.
Kapten Richard Armstrong diminta untuk mengetuai suratkhabar Der Telegraph di Berlin. Tujuannya adalah untuk menyebarkan propaganda Britain dan Amerika kepada penduduk Berlin. Dalam masa yang sama, mereka juga ingin menjatuhkan pesaing utama mereka iaitu Der Berliner. Maka, bermulalah kehidupan Richard Armstrong didalam dunia penerbitan suratkhabar.
Keith Townsend adalah anak tunggal kepada Sir Graham Townsend, seorang pemilik penerbitan Melbourne Courier dan Adelaide Gazette yang terkemuka di Australia. Semenjak kecil Keith sangat berminat dengan penerbitan suratkhabar dan majalah. Mempunyai latar belakang keluarga yang berpengaruh, Keith dihantar bersekolah di St. Andrew's Grammar, sebuah sekolah berasrama penuh lelaki di Melbourne, dan seterusnya ke Worcester College, Oxford untuk menyambung pengajian dalam bidang Politik, Falsafah dan Ekonomi.
Setelah tamat pengajian, Keith bercadang untuk pulang ke Australia. Namun, cadangan tersebut ditolak oleh Sir Graham dimana beliau mahu agar Keith bekerja di Daily Express, suratkhabar yang dimiliki oleh Max Beaverbrook. Pengalaman bekerja di Daily Express sangat bermakna kepada Keith kerana beliau mempelajari selok belok penerbitan dari bawah sehinggalah ke peringkat menguruskan kewangan dan juga sumber manusia, serta strategi pemasaran dan perkembangan syarikat.
Masuk tahun ke-2 Keith di Daily Express, Sir Graham meninggal dunia dan memaksa Keith untuk segera pulang ke Australia. Setelah pengebumian selesai, Keith menyedari yang ibunya sedang dalam proses menjual aset penerbitan yang dimiliki keluarga kepada Sir Colin, pengerusi Messenger dengan alasan perniagaan itu tidak menguntungkan. Messenger adalah pesaing terdekat Gazette. Keith berjaya menghalang penjualan tersebut dan bermulalah usaha Keith untuk membangunkan semula Courier dan Gazette dalam memastikan dua pernerbitan ini mencatatkan keuntungan semula.
Keith berusaha keras memastikan rekod penjualan Gazette mengatasi Messenger. Dan apabila ia berlaku, jurang perbezaan semakin ketara sehingga menyebabkan Sir Colin terpaksa membuat tawaran kepada Keith untuk membeli Messenger. Messenger adalah penerbitan pertama yang dibeli oleh Keith, seterusnya kedua-dua penerbitan ini digabungkan dan dinamakan Gazette Messenger, dimana Sir Colin dilantik sebagai Pengerusi dan Keith sebagai CEO.
6 bulan berikutnya, nama "Messenger" dilucutkan dari penerbitan, dan Sir Colin menghantar surat perletakkan jawatan. Ini menjadikan Keith adalah satu-satunya pemilik kepada kedua-dua penerbitan tersebut.
Richard Armstrong mengukuhkan empayarnya apabila beliau pulang semula ke Britain. Dalam masa yang sama, Keith menguasai penerbitan di seluruh Australia juga mempunyai lombong arang, hotel dan radionya sendiri. Kini, kedua-duanya mula mengintai syarikat penerbitan di Amerika Syarikat pula. Mereka sedar dengan menguasai media Amerika bermakna mereka juga menguasai media dunia.
Perebutan empayar media antara Richard Armstrong dan Keith membuatkan mereka berdepan dengan masalah kewangan yang sangat meruncing. Wang yang banyak dihabiskan untuk pembeli syarikat-syarikat penerbitan lain, dibayar kepada bekas-bekas pemegang saham serta digunakan untuk melobi kesatuan sekerja.
Adakah masalah kewangan yang dihadapi membantutkan hasrat mereka untuk menjadi pemegang saham utama kepada suratkhabar utama dunia seperti New York Star, The Globe dan sebagainya?
Siapakah pemenang disebalik perlumbaan ini? Lelaki yang asalnya tiada apa-apa tetapi berusaha keras untuk berdiri sendiri atau anak hartawan yang mempunyai latar belakang dan pendidikan yang hebat tetapi tetap gigih berusaha untuk membuktikan kemampuan diri?
Membaca The Fourth Estate ini membawa Patung Beruang mengembara ke zaman sebelum perang, ketika zaman perang dan sesudah perang. Juga membawa Patung Beruang mengembara ke dalam otak pemikiran ahli pernigaan yang sentiasa licik, penuh tipu helah tetapi mempunyai matlamat yang jelas. Novel yang sangat menarik serta penuh dengan pengembaraan yang berliku seolah-olah seperti kita sedang mendaki gunung dan selepas itu menuruni gaung pula, huhu..
Kalau ditanya, siapakah watak kegemaran Patung Beruang, jawapannya adalah Keith Townsend. Kenapa??? Kenalah baca sendiri ye... :)