Tajuk: Isabella
Penulis: Maulana Muhammad Saeed Dehl VI
Penulis: Maulana Muhammad Saeed Dehl VI
Penterjemah : Dato’ Abdullah Hussain (Sasterawan Negara)
Sinopsis:
Isabella, gadis Kristian yang sangat terkenal dengan kehebatan ilmunya terhadap agama Kristian di Bandar Cordova, Sepanyol. Sebagai anak kepada Peter,Ketua Paderi Sepanyol, Isabella dibesarkan didalam lingkungan persekitaran Kristian dimana ayahnya bercita-cita untuk menjadikannya seperti Mariam, ibu
Nabi Isa yang hidupnya diabadikan untuk beribadah.
Tanpa diduga, insiden terdengar perbualan antara 2 pemuda Islam, Umar Lahmi dan Maaz adalah titik permulaan kepada perubahan dalam pegangan hidup Isabella. Dengan niat untuk menegakkan kebenaran ajaran Kristian yang dianutinya, Isabella telah mengesyorkan agar satu perdebatan agama diadakan bagi mencari kebenaran antara Islam dan Kristian.
Perdebatan yang diadakan beberapa kali sama ada di gereja atau dirumah Ketua Paderi Peter telah menarik perhatian ribuan penganut Islam dan Kristian bagi menyaksikan agama manakah yang memang berpaksi kepada kebenaran.
Setelah beberapa siri perdebatan yang berakhir dengan kegagalan paderi Kristian untuk merungkaikan persoalan yang ditimbulkan oleh para ilmuwan Islam, telah membuka pintu hati
Isabella untuk mendekati ajaran Islam. Dibantu dengan Umar Lahmi dan rakan-rakan terutamanya Ziad, akhirnya Isabella bersama dengan 4 orang rakan karibnya, Mirano, Martha, Hanana dan Catherine akhirnya memeluk Islam.
Walaupun mendapat tentangan hebat dari pihak gereja sehingga Isabella dikurung oleh para rahib, hati dan pendirian Isabella tetap teguh kepada Islam malah semakin menebal.
Percubaan rakan-rakannya untuk mengeluarkan Isabella dari kurungan telah membawa kejayaan dan seterusnya bermulalah hidup Isabella sebagai seorang muslimah secara terbuka.
Menariknya Buku Ini:
Kedatangan ke Popular Book Store, Jusco Melaka Bandaraya tanpa dirancang telah menemukan Patung Beruang dengan novel ini apabila ia diletakkan di ruang hadapan kedai dan dikategorikan sebagai new arrivals. Jujurnya, novel ini dibeli kerana Patung Beruang tertarik dengan nama besar penterjemahnya, Dato’ Abdullah Hussain, seorang sasterewan negara yang banyak menghasilkan karya-karya hebat seperti Interlok dan Imam.
Patung Beruang mengenepikan anggapan awal yang novel terjemahan selalunya tidak seindah novel asalnya kerana Patung Beruang percaya Dato’ Abdullah telah berusaha sedaya upaya untuk menterjemahkan karya yang hebat ini ke Bahasa Melayu tanpa menghilangkan intipati utama novel ini disamping masih mengekalkan nilai-nilai estetika Bahasa Melayu.
Alhamdulillah, ternyata Patung Beruang tidak rugi sedikit pun apabila membaca novel ini. Jalan cerita yang pantas dan setiap babak penting diperincikan dengan baik sehingga seringkali Patung Beruang terasa seolah-olah hidup di Sepanyol, sezaman dengan Isabella dan menyaksikan dengan mata sendiri semua perdebatan yang diadakan. Selain itu, fakta berkenaan Islam dan Kristian juga diperincikan dengan jelas dan jitu sehingga berjaya menimbulkan satu persamaan pendapat antara penulis novel dengan pembaca.
Ternyata tamatnya pembacaan novel ini telah memberikan seribu satu kepuasan kepada Patung Beruang. Benarlah kata orang, sastera yang berkualiti itu mungkin tidak popular di pasaran tetapi ia tetap memberikan seribu satu kepuasan kepada khalayak pembaca yang sentiasa merindukan karya-karya sebegini.