Hari ni Patung Beruang berdepan dengan situasi yang sangat menyakitkan hati. Patung Beruang terpaksa berkomunikasi dengan seseorang yang tidak pandai menjaga lidah, tidak peka dengan persekitaran dan tidak pernah peduli dengan perasaan orang lain kecuali dirinya sendiri.
Patung Beruang selalu terfikir, mengapalah Allah jadikan manusia begini hidup dimuka bumi ini? Mereka berterusan mendera orang disekeliling dengan lidah yang Allah kurniakan. Dan kerana lidah itulah, ramai orang yang terluka tanpa dia sedari. Dan tidak kurang juga ramai yang mencemuh didalam hati.
Bagi Patung Beruang, manusia macam ni hanya mementingkan diri sendiri sahaja. Mereka bebas mengeluarkan kata-kata dengan sewenangnya tanpa memikirkan adakah kata-kata tersebut boleh memberikan kesan yang negatif kepada orang disekililing. Mereka tidak peduli jika banyak hati yang terguris. Mereka juga tidak kisah jika orang serik untuk berhubung dengan mereka. Bagi mereka, yang penting hati puas kerana dapat melontarkan segala apa yang terbuku dihati dan difikiran.
Sudah hilangkah perasaan sabar didalam diri mereka? Tidak wujud lagikah perasaan malu pada orang disekeliling? Tidak mampu lagikah untuk berfikir sedalam-dalamnya sebelum berkata-kata?
Ibu Patung Beruang selalu berpesan, "Fikir dahulu sebelum berkata-kata. Orang yang bercakap selalunya akan lupa apa yang diucapkannya. Tetapi orang yang mendengar selalunya akan ingat apa yang didengarinya." Maknanya, jika kata-kata kita melukakan hati orang lain, kita mungkin akan terlupa, tetapi tidak bagi orang yang mendengarnya dan lebih lagi lah pada orang yang terluka kerananya.
Oleh itu, sekadar peringatan untuk semua termasuklah Patung Beruang sendiri, tidak rugi jika kita menapis terlebih dahulu setiap apa yang akan keluar dari mulut kita. Tidak rugi juga jika kita sentiasa bersabar walau dalam apa keadaan sekalipun. Setiap apa yang Allah jadikan, pasti ada manfaat dan kegunaannya. Apalah gunanya kita menggunakan lidah ini untuk memuaskan hati dan perasaan tetapi dalam masa yang sama kita juga menyakiti hati dan perasaan orang lain. Luka diluar nampak darahnya. Tetapi hati yang terluka, Allah sahajalah yang mengetahuinya....
No comments:
Post a Comment