Penulis: Che Soo Ismail
Menariknya Naskah Ini:
Kumpulan cerpen ini Patung Beruang selesaikan pembacaannya malam tadi, Alhamdullilah... Naskah ini mempunyai 18 buah cerpen yang mengangkat tema hal-hal kekeluargaan. Seperti yang tercatat di blurb, ceritanya mewakili kehidupan dan budaya golongan awam atau "orang kecil" yang selalu tertinggal dalam perkembangan sejarah sosial negara.
Cerpen ke-2 yang bertajuk Cinta Terlarang membawa pembaca dengan watak Hidayah, seorang gadis muda yang berpelajaran tinggi tetapi sanggup menjadi orang gaji di kediaman Dato' Nasrullah. Banglo tersergam indah itu hanya dihuni pasangan Dato' dan Datin, serta anak tunggal mereka Nasrul Hakim. Kehadiran Hidayah sebagai orang gaji telah mengubah suasana di banglo tersebut. Hidayah dilayan baik oleh Dato' dan Nasrul Hakim pula jatuh hati dengan gadis yang baik ini. Hanya Datin saja yang sentiasa melayan Hidayah dengan kasar dan dingin, walau gadis tersebut berusaha keras untuk mengambil hatinya. Melihat Nasrul Hakim yang bersungguh-sungguh ingin memperisterikan dirinya, membuatkan Hidayah nekad untuk berterus-terang dengan keluarga ini tentang identiti sebenar dirinya dan mengapa dirinya tidak akan boleh menjadi suri hati Nasrul Hakim.
Penulis juga mengangkat tema sumbang mahram melalui cerpen Mana Abah Kucing? Suasana dirumah Boy pada suatu hari sangat haru-biru. Hujan yang turun di luar membuatkan emak kucing sibuk membawa masuk anak-anaknya seekor demi seekor ke dalam rumah. Ketika bisingnya hujan dan bisingnya emak dan anak-anak kucing, bilik kakaknya, Nur Zalina juga turut bising dengan kehadiran music yang membingitkan telinga. Pintu bilik tetap dikunci dari dalam walau puas Ibu dan Boy mengetuk pintunya. Nur Zalina, anak gadis yang sedang meningkat remaja, secara tiba-tiba menukar corak pemakaiannya dari jeans dan skirt kepada baju kurung. Ibu merasakan itu adalah perubahan yang baik sehinggalah pada petang itu, segala-galanya dirasakan salah. Music yang bingit dari bilik Nur Zalina hanyalah untuk menutup kuat jerit tangisnya tatkala seorang bayi yang comel lahir dari rahimnya, diatas katil berseorangan tanpa kehadiran Ibu, Ayah atau pun suami. Manakan ada suaminya kerana bayi tersebut berkongsi ayah yang sama dengan Nur Zalina dan Boy.
Patung Beruang juga suka dengan cerpen Pulut Lemak Pisang Benggala yang membawa tema orang agama yang sombong dan merasakan dirinya lebih mulia dari keluarga fakir miskin dikampungnya. Kesombongan itu membuatkan dirinya tidak jujur dan ikhlas dalam mengajar Al-Quran pada muridnya yang miskin. Dan kesombongan itu dibalas Allah tatkala orang agama dan keluarganya menjejakkan kaki ke Mekah yang akhirnya menyebabkan dia hilang akal.
Kumpulan cerpen yang memaparkan kisah masyarakat disekeliling kita. Ada ceritanya seperti mencubit diri ini, terasa seperti ditegur depan-depan. Terima kasih penulis untuk naskah yang menarik dan penuh dengan pengajaran...